SEBUTLAH senarai pohon yang dikau kenali. Dari ketapang berusia beratus tahun, tubuh agam batangnya sebidang tiga -lima pemeluk lekaki gagah, pucuk muda daun tenum yang berbau manis, batang rotan tua melingkar seperti sang ular meliuk manja menuju ke pucuk awan, buah ambangan bertaburan di tanah berukuran tumpurung kelapa matang (rasanya aduhai gabungan masam manis buah bacang-kuini diracik digaul dengan cili berlacan ), buah tabai, berwanga ungu ranum lemak di hujung lidah , lumut-lumut pakis menyatu dengan batu-batu grenit , butiran saga bertaburan di tanah, daun palma ekor ikan bergoyang disentuh angin, bunyi derak ranting dielus ekor tupai, gema anak anak kera dan decau kuang saling bersahutan, berselang seni dengan tiupan suling Endet...yang lain ialah debaran jantung saling bergetaran di dada peredah rimba tripoka di kaki gua Niah. Gerimis pagi masih berderaian ketika kami menyeberangi dada Sungai Niah untuk mula melangkah ke rimbun rimba menuju mulut gua.
Udara pagi dan sisa embun atau hujan masih membasahi pelepah aneka daun. Aliran anak sungai kecil mencelah di timbunan batu-batu bersisik menerbitkan kesan resah air mata diri. Entah apalah yang difikirkan oleh Mbak Dian Hadaing (penyair Jawa dalam usianya yang ke 75 tahun) dengan tebaran rambutnya separuh ubadan, lincah kicau dan derai ketawa Chiranan berceloteh dengan Michael Griffith (sahabat baik Dato' Sri Lord Cranbrook dari Wales), kediaman dalam senyuman Patrick penterjemah untuk Kassim dari Nakon Si Thamarat, lelucon Dato' Adi Tuah, kesiriusan Dr Victor Pogafev mencatat pantun Russia , kesibukan guru bahasa Kim Keum-Hyun (Korea) dan kelincahanan HanXiao Indah (pelajar MA Kelas Sosio Melayu, China), mengutip istilah bahasa Melayu dan Iban, ...siapakah penggerak kerja kembara bertema "Budaya, Alam Semulajadi: Hutan, Gua dan Lelayang?" kalau bukan dari tenaga muda dari Jabatan Warisan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Pelancongan Sarawak, Resedensi Miri dan DBP Sarawak.
Malam pertama di chalet sudah berhamburan puisi-puisi dan lagu dan petikan gitar-suling. Hingga larut Malam, masing-masing membawa lirik ingatan puisi Mencari Indah dengan gaya Lim Swee Tin bernyanyi. Di hari kembara kedua penyair-penyair muda berpusi di sempanjang pondok singgahan menuju ke gua, termasuk wakil dari Brunie, Awan Suib dan Zefri Arif, berselang seli dengan kumpulan penyair pemuzik PUTRA, dengan ketuanya Paul Ganggang dan teman-teman muda lain, Abizai Abi, Jaya Ramba, Atot dll. Gema itu dibawa pulang sehingga dalam mesyuarat terakhir terbinalah rumusan, seperti ide Jabatan Warisan sebuah buku puisi rimba-gua akan terbitkan. Selepas ini tidak ada alasan papan tanda tentang pohon, dedaun hidupan burung lelayang, kelawar, cicak terbang, siput gondang, akan turut tercatat dalam nada puisi alami.
Ya Gua Niah terletak di Residensi Miri. Maka sepanjang acara disertai Timbilan Residen Bonaface Itang Apar (kerana Residen Datu Ose Murang datang di hari perasamian dan penutupan). Baca puisi di rimba dan gua, mungkin belum diterokai oleh DBP. Tapi Dato' Zuraina dengan idea Tan Seri Lord Cranbrook sudah membuka jalan. Kerana Cranbrook juga meminati puisi tradisi, malah turut mengutip cerita lisan masyarakatdi persekitar Gua Niah sehingga Syair Jerjezang turut diedit dan diterbitkan (2001) susunan Haji Mera'ee Abdullah dan diterjemah oleh beliau.. Puisi beliau pula merupakan catatan pengalamannya sebagai seorang arkeologis, yang begitu mencintai tulang, tengkorak purba manusia di gua. Barangkali tidak heran juga Othman Yatim turut menjadi penyair. Sayang saja Almarhum NA Halim belum mempamerkan bakat kepuisisannya (siapa tahu kalau isterinya sudi membongkar buku catatannya terpalit bait-bait puisi?)
2 comments:
Haji Mera'ee is my grandfather. Googled him up and I found this. Yes, I saw the original copy of that Syair Jerjezang. That old man sure had a lot of hidden talents. Miss him. :)
Saya ada buku Syair Jerjezang...Saya dapat buku ni pada tahun 2008...masa festival ini di sambut di Taman Negara Niah...bertarikh 11 November 2008...saya memang tinggal kat Niah😊
Post a Comment