Sunday 31 May 2009

RUMAH No 17 Jalan 1/7k Bandar Baru Bangi - 11

Sisa anjung, di sini bersila Amin Sweeny, Kratz, Anand Haridaz,
Agi...suara debat sarjana sastera Melayu Antara Bangsa.
Suara mereka terus bergema
Lampu di ruang tamu masih menyala, esok lusa padamlah
kau di ganti lampu baru oleh penghuni baru
Sisa-sisa buku yang perlu dikeluarkan dari pustaka lama

Sisa perkakas dapur yang dipakai oleh siswi yang numpang di rumah ini
Loceng lembu dari Minangkabau hadiah seseorang
yang telah menghilang diri hehhee di mana kau?
kalau tamu datang, ketuk sini ya

Pernah dalam hujan lebat, serambi depan yang beratap zink meratap dengan kuat. Seorang Echo mengirim pesan. Sekarang kenapa Echo mendiamkan diri. Tapi cerpenmu bagus-bagus ya. Masih mengajar di Melaka kah?

Di sini juga dulu pernah berkumpul para siswa-siswiku, kawan-kawan sarjana, kawan seniman, berkumpul, Teater Asyik dan Marzuki pernah bermalam di sini, saling bercerita, membicangkan projek seni, mencipta lagu, juga untuk berdoa dan berzikir. Ya sudah ada yang bernaung di Putrajaya, di Kementerian Luar Negeri, pegawai kanan, guru-guru menjadi YB. Saya masak menjamu kawan-kawan . Sekarang kadang - kadang kita bertemu , jeling lupa-lupa ingat. Ya saya seperti biasa saja, pindah randah. Kenangan itu kubawa mengikuti langkah , ya aku harus melangkah lagi hingga tiba detik untuk mengucapakan selamat tinggal.

Kg Bandar Dalam
1 Jun 2009








RUMAH No 17 Jalan 1/7k Bandar Baru Bangi - 1






AKHIRNYA barang-barang harus dikeluarkan juga dari sini. Sebahagian buku-buku, alatan melukis, lukisan-lukisan koleksi lama (1970an-1980an), koleksi warisan Melayu lama, anyaman ,tembikar, acuan kuih tembaga sudah diheret ke studio Tanjung Karang dan Rawang. Sebahagian besar fail kerja, nota-nota kuliah, kutumpuk di rumah Mak. Rasa berat dan sedih juga harus meninggalkan rumah pertama yang kubeli hasil kerja UKM yang ditempati sejak tahun 1983.
Melor dan Wira tidak sanggup menjaga rumah ini. Rumah yang pernah membesarkan mereka terutama tahun 1985-1988. Selepas itu mereka memilih tinggal dengan nenek di Bandar Dalam dan hingga kini lebih betah tinggal dengan cara sederhana, di rumah pusaka nenek.

Hari Sabtu kemarin (30 Mei 2009) ku dekati pohon mengkudu, dahan bunga kertas yang menjulang ke atas, ranting dan dahan pohon saga...(yang disemai burung), batu batu berlumut di taman, bunga pisang hutan menjulur ke atas, pelepah teratai dan keladi , buah mengkudu seakan berbisik, " jangan tinggalkan kami" - apakah yang harus kupesankan kecuali mengheret jiwa yang pernah terbenam di sini, yang pernah melahirkan karya-karya sejak lebih 20 tahun lalu.

BUKU TERBITAN 2009


MEI 2009 lahirlah dua buku ini:
1) Bait Senandung Malam- The Rhythm of Night Song (puisi, Ints. Terjemahan Negara, 2009, RM 25.00)
2) Delima Ranting Senja (novel, Utusan Melayu, 2009, RM 35.00)
....Bait Senandung Malam
Setelah kereta kencana di pacu laju
ke langit fatamorgana
jejak bertapak semakin kelam
angin terus menderu
rel bergerak gerabak berayun
desah keretapi malam
mengenggam amanat nilam .....
...Delima Ranting Senja
Dari bangsa yang dirundung duka
bangkit jiwa pejuang mempertahan pusaka
dan hak dalam dunia tadbiran si maharaja perkasa
hanyalah di bawah takluk kehendaknya
Biar puluhan tahun, biar ratusan tahun darah tumpah
mengalir menjadi sungai derita ,
jiwa pejuang tak kan kering-kering
kerana selaga ada hujan yang melebat
pasti gilir gerimis dan sidangnya suasana...
* * * * *
Kawan-kawan yang ingin mendapatkan buku ini boleh hubungi pengurusan Galeri Melora-->
Penulis juga sudi berkongsi pengalaman untuk sesi dialog bersama dengan mahasiswa dan kelab seni budaya boleh juga hubungi Galeri Melora.

ZAMAN DOELOE-DOELOE 11


APRIL 1970, acara makin meriah. Tiba hari KARTINI hari meraya
dan mengenang jasa Jeng Kartini, puteri bondoro Jepara. Dan kami siswi kampus ASRI pun buat acara pameran (aku menang hadiah Sketsa Kartini). Semua wajib berbusana tradisional daerah. Aku masih pakai baju kurung moden warna biru tua (hei asalnya ini gaun le, lihat tu, berjejer butang logam emas dari leher ke dada, hingga ke pergelangan tangan.) tapi ku padankan dengan songket bertabur dan selempang (terima kasih Mak kerana membekalkan anakmu dengna songket hitam dan biru laut ). Sebelah ku Atinen Wahyuningsih kawan sekuliah jurusan seni lukis tapi dia menari juga, berlakon sebagai Nyai Loro Kidul di sanggar Bagong Kusdiharjo. Buat pertama kali Nyai Loro Kidul bersaiz besar....kalau tidak selalu ramping dan luwes...oop maaf Tien, eh masih menjadi bos di Arttiles Bogor?).
Wah selepas minggu pelocoaan (Januari 1970) , setelah mula kuliah, nah bulan Julai sudah agak tenang. llllihat di belakang ku, pondok reot tempat kami dapat makanan murah dengan lauk tempe dan tauhu goreng. Amin. Amin sungguh indah hari yang KAU beri pada kami (gambar kiriman Ki Mas Wardoyo Sugianto, Direktor Seni Rupa, ISI Jogja, lihat facebook beliau)

ZAMAN DOELOE-DOELOE 1




ALHAMDULILLAH , ALLAH Yang Maha Esa masih memberi kami nafas memberi kesehatan hingga masih dapat tersenyum mengenang masa lalu. Terimakasih Ki Mas Wardoyo Sugianto (no 2 dari kiri, berkaca mata hitam, bertopi) mengirim gambar-gambar (Jan 1970) ke facebook ku. Tampang yang masih polos ketika digelar sebagai Ratu Mahasiswi baru dan dipasang mahkota permaisuri jin. Lihat tu, Krisnadi asal Ceribon juga masih risi. Aku pakai baju kurung dan songket. Tapi salah cara pakai, kerana meletak kepala kain di depan (al maklum ketika itu masih belum mengkaji falsafah kain sarung). Acara penutupan minggu peloncoan bergembira di Gembiraloka (taman haiwan). Tapi aku sudah beraksi menjadi pelukis, di mana-mana melukis, buat sketsa... lihat kakiku , pakai sandal aje heeeheeh (War, mana Enderiani?, di belakangku Wayan Sika, terkenal dengan galerinya di Ubud, kawan-kawan kalau main ke Bali boleh cari beliau di sana)

Friday 29 May 2009

GALERI DI SEBUAH IPT?

DEMIKIANLAH jadinya apabila pemimpin di pusat ilmu, kurang menghayati seni budaya. Suatu ketika peminpin atasnya (NC), minatnya pada seni begitu ketara. Didapatkan dana untuk mengumpul dengan membeli karya seni. Beberapa tahun hilanglah sejarah itu...kerana pemikir sains dan teknologi seakan mengasingkan pemikiran dan jiwa seni in. Baru-baru ini ketika dijemput ke IPT tersebut, Melor sempat menemukan karya ini " Pohon Hayat 11" (hanya ada dua siri, satu dibeli oleh DBP, dulu di pamerkan di Perpustakaan?). Pertanyaan Melor, kenapa karya dipamer di ruang lalu lalang antara Dewan Besar yang kerap dijadikan ruang pemereksaan atau ruang persembahan. Selesai acara, kerusi ditumpuk begitu saja, tak kisah ada apa di sekitarnya. Ah Hasil....ini karya baruku (2009) - karya 3 dimensi, lukisan tahun 1983 " Pohon Hayat 2 " + kerusi-kerusi + kotak kecemasan paip kain? = hahahah . Anda boleh letak harga baru untuk dilelong....petpetpeeeiiit?

Thursday 28 May 2009

TENUNAN ALAM MELAYU

Tenun Samarenda (beli di Samarenda, 2007) corak beragi
MEMANG anda sudah kerap memakai kain samping atau kain sarung pelekat. Sejauh manakah anda peka untuk memastikan corak kain tenunan yang anda pakai. Atau dari manakah asal kain tenunan itu atau hanya diberi nama demikian sedangkan ia ditenun di tempat lain. Mungkin tip berikut boleh membantu kesedaran estetika dan appresiasi seni yang tinggi yang memang ada di sanubari anda.

Tenun Makassar = corak beragi (Ujungpandang, 1986)

Kategori corak:
1) Corak melintang/corak berdiri = pakan melintang/loseng menegak
2) Corak catur = pakan - loseng beragi
3) Corak Bugis = beragi (kotak disebut biasa sebagai catur) kecil
4) Corak Samarenda = beragi besar
5) Tenun Pahang, juga diberi nama seakan nama asal, corak Bugis

Semua istilah teknologi, motif hias tenunan dapat di rujuk dalam buku: Tenunan Pahang (Kraftangan), Tekstil Tenunan Melayu (SZI, DBP, 19967). Dari sudut falsafah pemakaian sila rujuk Semua tulisan Tenas Effandi terbitan DBP dan Universiti Malaya

MENJAGA KUCING

Bucuk masih menyusu, usia sebulan (mei 2007)
BUCUK tiba-tiba jadi pendiam. Malu-malu dan selalu masuk dalam pelukan kami. Melor bingung takut Bucuk sakit. Hari Minggu memang selalu bersedia untuk menghantar Bucuk ke klinik Haiwan - Animal Medical Centre di Wisma Medivet no 8 Jalan Tun Razak. Harus mendaftar dan Melor punya senarai panjang kucing-kucingnya yang sakit. Pernah malam hari raya kami tergesa ke klinik, si Jeng Ayu, di hempat kayu ukiranku, Jeng Ayu masuk wad tiga hari...dan Melor harus berulang hari raya di klinik. Sekarang Bucuk sudah hampir 2 tahun. Kerap berjalan seiring dengan kekasihnya, Belanga...hussh jangan ganggu mereka!

2008-2009 DENGAN TERBITAN BUKU

Menyemak ejaan buku puisi Bait Senandung Malam -
The Rhythm of Night Song (ITNM, 2009)s
Bersama orang kuat ITNM, Haji Khir Ngadiron
dan Rafeah Eksekutif Editor ITNM

SEJAK semalam (Khamis), saya memikirkan kerja serius sejak 10 tahun lalu...menulis dan melukis. Alhamdulliah Allah memberi kekuatan semangat dan kasih sayang mendalam di nubari. Hasilnya bukan dicapai dengan segera. Harus bersabar. Ini berdasarkan buku-buku yang tiba-tiba datang bagai hadiah tahun 2008-2009. Tapi kawan-kawan mahu berkongsi derita penulis ? Ini kesahnya tentang buku-buku saya:

1) Kasih Bonda Kampung Paya Kami ( DBP 2008, RM 30.00) , digarap sejak tahun 2002- ketika Allahyarham Mak dalam kondisi lupa ingatan. Saya menghibur Mak dengan melakar apa saya yang boleh menumbuhkan ingatan hariannya. Begitulah saya melukis jambatan gantung, melukis rumah nenek, perkakas dapur dan bilik nenek. Mak gembira mengingati hari-hari nya sewaktu kecil.... bererti buku ini baru dapat terbit setelah 8 tahun (sebagai manuskrip) dan 4 tahun di penerbitan. Mak pun tidak sempat melihat lahirnya buku ini (Mak meninggal pada 26 Oktober 2003).

2) Bait Senandung Malam - the Rythem of Night Song (ITNM 2009, RM 25.00), memang dirancang untuk merakam perjalanan lewat keretapi. Jun-Julai 2008 saya dan suami memilih jalan keretapi dari KL-Johor. Dari Johor naik feri ke Batam dan baru terbang ke Jakarta. Inilah catatan lansung mengheret pengalaman sejarah perjuangan wanita (Mak dan Makcik Shamsiah Fakeh). Latar perjuangan tentera, penulis, wartawan. Ini catatan bab 1. Bab 2 baru menempel puisi-puisi catatan keretapi sejak 1969-2006. BUKU INILAH YANG MERAKAM SEJARAH INDAH...diserahkan ke ITNM bulan November 2008. Buku ini dilancar pada 19 Mei 2009. HANYA 6 BULAN saja mereka dapat menunai janji. HEBAT DAN TAHNIAH kepada semua staf ITNM.

3) Delima Ranting Senja (novel 500 hl, Utusan Melayu 2009, RM 35.00). Buku ini baru saya terima petang semalam. Antara sebak, tertanya dan hampir tidak peduli malah tidak mampu untuk bergembira. Tapi inilah rezeki. Ya buku ini cerita luka kembara, menata cinta suami isteri berkahwin rahsia konon kerana mereka pasangan public figur. Saya usahakan data sesahih mungkin terutama dengan latar kecamuk politik di negeri hujung Sumatera sejak zaman kuasa Iskandar abad ke 17 hingga ke pasca merdeka. Karya ini sudah terbir secara eceran di majallah Perempuan 1998-1999. Karya ini sudah digarap sejak tahun 1997, diserahkan ke tangan editor pada tahun 2004. Dan semalam buku itu tiba bererti 4 tahun wajahnya baru kutatap sebagai novelku yang ke 3. Patutlah ku Amin, dan pujian hormat kepada editornya. Cuma surat perjanjian yang dikepilkan kurang memuaskan, kerana tidak disebut tarikh hakcipta berlaku sampai bila?

4) Suara Hujung Tambak, pengalaman seni budaya (koleksi esei dan karya kreatif), masih di tangan editor juga sudah berusia lebih 6 tahun, padahal tinggal cetak saja, tetap tidak muncul?...huhu.. hatiku berlagu..

* Kawan-kawan penulis, semak semua surat perjanjian, yang seharusnya diterima sejak buku disahkan untuk terbitan. Sehingga sekarang, saya tetap saja menerima surat perjanjian untuk ditangani setelah buku masuk ke percetakaan atau buku siap diterbitkan. Sedangkan dalam perjanjian ada disebut, setelah 6 bulan buku tidak ada perkembangan, penulis boleh menarik balik manuskrip yang sudah diserahkan...haaahhha bayangkan manuskrip saya selalunya di tangan editor lebih daripada 3 - 6 tahun...



SENYUMAN

SEMUA TERSENYUM
gembira - seakan puas melayan kami penulis yang
berbagai tingkah. Semua staf ITNM termasuk Soo Cham @Sakura (tengah)
bergembira kerana novelnya Air Mata Ibu (DBP,2007) turut tersenarai
dalam projek terjemahan ITNM (gambar di depan rumah Mak setelah
menghantar pulang ( maaf Mei, wajahmu tiada -
anda memotret kan, 19 Mei 2009).

Wednesday 27 May 2009

KERUSI (KURSI?)

LELAKI itu
mengejar KERUSI
yang memberinya kebanggaan
duduk bergaya
sambil tersenyum
melihat orang di depan
sambil mengangguk-angguk
akulah sang pemilk kerusi
sang kuasa hingga ia lupa
pada isteri yang setia
tersimpuh di atas tikar lusuh
dia tidak pulang lagi
kerana memilih yang baru
mengajak duduk di sebelah
walau mereka tidak menikah!

CUCU SEORANG PENGKAJI SASTERA MELAYU

si cilik Louise
LOUISE ni cucu seorang Pengkaji Sastera Melayu. Ibunya Sara lahir di Pulau Pinang, ketika ayahnya mengajar di USM. Seorang saintis dan belajar teater. Louise ni cucu bonda juga (datuknya, mantan suamiku hahahh, Reena jangan terkejut ya). Datuknya itu mula tertarik dengan bahasa dan sastera Melayu, setelah neneknya seorang jururawat pulang dari Sarawak dan membawa peta serta gambar-gambar wajah Melayu. Diapun mendaftar di Sydney University memilih jurusan Malay Studies dan al hasil banyak melakukan kerja terjemahan. Salah satu kumpulan puisi bonda The Moon is a Candel (DBP, 1992) adalah terjemahannya. Di Jakarta dia juga menterjemah buku Pram dan baru-baru ini menterjemahkan buku Kumatikan Radio. Tentang The Moon is a Candle sudah dijual gudang berharga RM 1. 00 atau dah hilang begitu saja.
Si Louise, cucu cilikku ini, kononnya bersama datuk juga berbahasa Melayu sambil bermain lompat-lompatan . Semoga saja ia menjadi seperti anakanda Reena kelak, mencinta sastera dan budaya Melayu.

ZEL

Melor (Editor Zel) dan Mawar (pengarang Zel)

TAHUN 1998, dengan berani saja Melor menerima tantangan untuk menerbitkan karya Mawar, Zel. Ini kerjasama antara Galeri Melora dengan pengarang (termasuk Lading Masih di Tangan oleh Nisah Haron). Hei setiap pengarang keluar modal sendiri lee. Melor baru saja mendaftar ke ITM Johor, belum berstatus universiti ketika itu). Mawar dan Nisah ingin berkongsi dengan kerja kecil Melor, kerana dia buat layout buku, kecil macam katelog lukisan saja. Memang banyak kelemahan kerja suntingannya - ejaaan salah, maklum Mawar dan Nisah berani menampilkan istilah Melayu lama, disamping istilah ilmu dunia yang mula diceburi kedua pengarang muda ini.

16 Mei lalu mereka bertemu sempena Multaqah Kebudayaan dan Kesenian Islam di UKM. Mawar turut membentang kertas kerja memprosi karya-karya penulis muda. Tahniah juga kepada Nisah Haron berani bersuara ' karya Ayat-ayat Cinta tu tak sehebat mana.... dibandingkan dengan karya FT...tapi hebat kerana promosi'. Siapa nak promosi karya kita? Penerbit, wartawan, kawan-kawan? Itu yang diberi tip oleh Mawar dalam Multaqah itu.


GAYA HIDUP SI JINGGA

Aku tidur dulu ya
Eh, Iqbal tu macam Usman Awang?
Bonda dah selesai baca? Tak pakai kaca mata - nampak ke?
HARI ini Jingga masuk usia 5 bulan. Ruangnya hanya di rumah, jarang keluar. Ia kerap jadi mangsa dikejar Tam-Tam dan Bucuk kalau keluar dari ruangnya. Gara-gara anak angkat, memang selalu dimusuhi si penghuni asal. Tapi Jingga anak baik. Dia selalu menjaga 'ibunya' yang sibuk di meja tulis. Malah sedia menemani, kadang bersama membuka halaman buku, merengek-rengek di cawan minuman (sehingga si ibu sedar, air sudah dingin). Kasihan kadang hingga letih menunggu akhirnya tertidur di celah puisi Iqbal....



CUCU ALAM

Ilham A Latiff Mohidin berganding dengan Sasterawan
Negara Datuk A Samad Said
SEKALI lagi terima kasih kepada Institut Terjemahan Negara Malayasia, kerana mempertemukan kami dengan kawan-kawan penulis pada 19 Mei lalu. Saya merasa dimanjakan kerana Mei dan Rina datang menjemput saya di rumah Mak, Kg Bandar Dalam. Dalam acara seumpa inilah wajah-wajah yang hilang tiba-tiba muncul, bukankah inilah detik yang dinanti dalam acara santai dan terbuka, sederhana dan mewah juga kami di jamu....Alhamdullillah. Tetapi bagi saya yang mengharukan ialah menemuikan kembali wajah yang hilang itu. Nah lihat siapa yang gagah tempan ini, ingat Oom Latif Mohidin atau Pago-pago? Ketua Anak Alam (1975 - ) . Anak Alam dah tua pun tidak seaktif zaman kami remaja dulu....kini sudah ramai Cucu-cucu Alam. Dan hari itu terpampan tergaman melihat kelibat yang seiras sahabat lama kami. Selain Hassanudidin membawa wajah Pak Arena Wati, nah muncul juga Ilham, tetap seiras dengan wajah sang bapa. Cuma Ilham lebih tinggi dan agam. Beliau menggantikan tempat sang ayah yang tidak dapat hadir. Saya sendiri, hanya pernah bertemu Ilham ketika beliau berusia 5 tahun di Melawati. Dan sekarang pemuda ini sudah berusia 30 tahun , kelihatannya lebih ramah daripada sang ayah sentiasa tersenyum melayani karenah sahabat ayahnya yang masih gila-gila bahasa kalau bertemu sahabat lama. Bayangkan kalau bertemu A. Ghafat Ibrahim (AGI) , Ibrahim Ghafar, riuh rendahlah arena. Para eksekutif muda ITNM terkejut ya?
Rasanya bos ITNM juga harus diberi tahu, banyak lagi waris-waris sasterawan perlu dijemput....umpamanya anakanda atau isteri Allayarham Othman Putih, TS Taib, keluarga Datuk Abdullah Hussin, Shahnon Ahmad. Bagi kami kaum penulis terharu kerana ITNM sudah menggambil alih kerja kasih mesra dunia penulisan yang dulu ditangani oleh DBP. Syabas...bukan ampu ye.

Tuesday 26 May 2009

MELAYU DARAH - PUSAKA WARIS

Hassanuddin ARENAWATI
" Saya bukan Melayu Politik, bukan Melayu Korporat. Tapi saya MELAYU DARAH"
Hassanuddin kembali menuturkan apa yang pernah diungkap oleh ayahandanya Allahyarham ARENA WATI. Ya dia adalah putera tokoh sasterawan kita lelaki pelaut. Lelaki Bugis atau Makassar lebih menjadi Jantan, harus keluar dari kepompong, apa lagi kalau bumi diombrak ambrik oleh penjajah. Demikian juga dijelaskan dalam pertemuan terakhirku (November 2008) dengan beliau sebulan sebelum Pak Arena di masukkan ke wad di HUKM. Begitulah seakan suara tokoh Sasterawan Negara melantun-lantun bila kami para penulis bertemu dalam acara pelancaran buku terbitan Institut Terjemahan Negara pada 19 Mei lalu di Putrajaya. Kalau kawan-kawan lain berkerumun untuk berjabat tangan, menjengah wajah ke arah Menteri, saya lebih senang diam-diam aje, ambil makanan, ambil gambar. Dan wajah anakanda Sasterawan Negara ini, mengingatkan saya dengan wajah sang tokoh waktu muda kutemui di studio Naz Achnaz di lorong Chowkit (sekarang jalan mengarah ke PWTC) atau ketika saya mencuri tutur kata para seniman ketika itu: Pak Sako, Bung Dolah (Datuk Abdullah Hussin), Boestaman saling berdebat di Pustaka Antara (tahun 1967) . Tutur Pak Arena lagi , " Akan sia-sialah Melayu itu, kalau kita masih saja, bertepuk bertandak...kerana asik bersabung ayam: menang sorak kampung tergadai ".
Melihat wajah TPM petang itu yang sudah berkali-kali bertutur dalam bahasa Inggeris di kaca TV, saya terlontar lagi jenaka Arena Wati dalam trilogi Busa Kalbu tentang Perdana Menteri,
Bakal Perdana Menteri
Terlelap pada hujung dini hari
Tidurya bermimpi berkelahi diri sendiri
Dibantai hujan tak sedarkan diri
Kepalanya tersadai di atas landasan keretapi
Terakhir tambah Pak Arena, Melayu itu bukan OLEH pada kulit sawo matangnya, tapi oleh semangat cinta BUDI ALAM MELAYU dengan latar Agama yang bertungak pada IMAN.
(untuk lebih lanjut, sila habiskan novel triologi Allahyarham terbitan DBP 2002).
Petang itu kami berpisah dengan janji Hassanudin akan menyiapkan lakaran rumah sewa mereka, rumah papan bumbung limas di Setapak mengarah ke Jalan Gombak tidak jauh dari Kampung Puah. Di depan rumah itulah saya pernah berlarian malam, dari rumah sewa kami di Setapak menuju Kampung Bandar Dalam kerana Ayah Dei diserang lengkingan kejang dan saya harus memberi tahu dan menjemput dukun di Batu 4.
Al Fateha buat Allahyarham Sasterawan Negara kita. Amin

AKAR DIRI KEBUN HATI

Di taman depan sana juga kita bersimpuh menangkap
suara burung- sekarang taman ini terlalu bersih kerana
ada papan tanda ' dilarang pijak rumput'
Siapakah menanam pohon ini? Mungkin Ismail Saidin,
jurutaman di UKM ( gambar 16 Mei 2009)

30 TAHUN ia tumbuh di sini, dialah akar, bergugus, berumbi menunjang ke bumi, mengukuh banir, berserabut, menumpang atau utuh...di bawah meranti ini dulu kami berteduh, bersila di rumput kala dikau belum seutuh ini. Kelas Apresiasi Seni bergabung dengan Sanggar Seni, kami bersila bersuara, berjenaka . Kadang pengawal datang mengintip, tertanya kenapa ada kelas di bawah pohon. Eh tak tahu, apakah Cik Mawar ada dalam kelompok diskusi di sini. Rasanya tidakkan, hahaha. Ya siapakah peduli dengan mengapungkan suara, memengapkan rohani sambil berpejam mata untuk menghayati puisi Uswan Awang, " Balada terbunuhnya beringin tua di pinggir sebuah bandaraya" ...

- " Aduh gilalah guru seni tu, ajak pelajarnya berkumpul baca puisi di bawah pohon " . Itu suara daripada seorang Prof Y yang selalu jengkel untuk meluluskan permohonan program persembahan seni di dataran FSKK (Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan). Keluh Usman Awang ,
' ... Namaku beringin pohon tua yang terbuang
di musuhi oleh rancangan bernama pembangunan"

Ya ini jugalah keluhan Ismail Saidin, " saya sudah pencen, pohon-pohon yang saya tanam dulu di kampus cantik kita, banyak yang sudah tumbang , ditebang, di buang". Di manakah Akar Diri dan suburkah Kebun Hati kita kini?

Monday 25 May 2009

TAMU KELUARGA TSUNAMI

dari kiri: Dra Jamilah, dosen pendidikan sejarah,
Dra Jannah pakar masakan Aceh, dan Ibu Yu
KUNJUNGAN sahabat kerap menjadi kita lebih hidup . Jalinan persahabatan sejak muda , Alhamdulillah, masih diizin Ilahi untuk kita saling mengunjungi. Akhir April mereka menghubungi lewat telpon, " Kami udah di KL, jalan-jalan nanti akan ketemu pakar mata, boleh kita jumpa?". Suara Dra Jannah kedengaran gembira kerana masih diberi detik untuk kami berjumpa. Aku baru selesai ancara KONGRES MUAFAKAT, protes kepada DBKL yang akan merobohkan enam kampung Melayu di pinggir ibu kota. Bertemulah kami , aku dan sahabat yang banyak membantu perjalanan kajianku di pedalaman Aceh sejak tahun 1986. Sejak tahun 1990han rumah Dra Jannah memang tempat penginapan setiap kali tiba di Banda Aceh. Beliau juga antara sahabat yang banyak tahu rahsia kehidupanku di Aceh sana. Turut sama Dra Jamilah dan ibu Yu. Mereka adalah keluarga sisa libasan amuk gelora Tsunami.
Dalam ketawa masih ada sebak hiba. Ibu Yu kehilangan anak dan menantu dan sekarang harus menjaga cucu-cucu. Kuhantar mereka ke Hospital Mata Hussin Onn di PJ. Lalu kami keliling KL, masuk taman-taman batu, tol raya mewah, lalu singgah ke rumah Mak yang sunyi. Tangisan mereka berhamburan mengenang Mak yang sudah lama pergi. Kemudian doa pun berhamburan dalam sedu bila Dra Jamilah membaca doa buat Ibunda: Al Fateha...di rumah Templer mereka kembali ceria mendengar deru air dari anak sungai yang mengalir di bawah rumah. Apakah yang diucapkan kalau bukan kenangan dan kasih sayang. Walau hanya secangkir kopi madu, dan biskut merie, mereka masih dapat menahan sebak, dan doa juga berhamburan di rumah kami. Begitulah tradisi warga Aceh, di mana-mana doa dan sholat selalu mempertemukan kasih murni yang lebih abadi.

Wednesday 20 May 2009

DI TAMAN NEHRU DERU ANGIN BHOPALl

(Teringat Elizabeth, buat Adreena)
rupanya tipis sekali angin yang menyapa
antara derai gembira kazuko
lembut alun tutur Kim
senyum elizabeth
masih kubawa di hari senja
gagak gegak gempita
angin memintal di koshi
riuh maillu mengenalkan puisi kenya
dan rendra yang senang menggoda
di situlah taman nehru
puisi berhambur di bawah jinjang rhu
kami tertidur di bawah rimbun bhodi
(telah 24 tahun berlalu)
kolio hampir jadi menteri bulgaria
tapi tercekik kerana menyokong islam turki
david maillu amat dihormati
bagai mahaguru
dengan dunia dagang
percetakan dan kedai buku
tanyaku,
mana elizabeth
ayuh kembali lagi berpuisi
di negeri salji!
salam buat Elizabeth, ibumu Adreena
lanai kijang 21:15

Tuesday 19 May 2009

KALAU RINDU APA UBATNYA ? KERJA KERAS LAGI

Antara pelapis sarjana tekstil Alam Melayu: dari kanan Prof.Madya Dr Haziah
(ATMA UKM), Sita Ratna (Balai Kajian Melayu, Penyengat),
Prof. Madya Dr Norwani Nawawi (UiTM),
Ramlah (Kurator Muzium Trengganu)
Tenun Pahang Diraja, corak melintang, teknik selitan ikat

Logo Tenunan Pahang sekarang dibawah payung istana Pahang


LAMA TIDAK menulis di sini. Telah beberapa minggu, ulang alik keluar kota. Menyiapkan kertas kerja untuk dua seminar. Tapi menarik juga kerana kita menjadi lebih hidup menumpang keceriaan kawan-kawan se kajian. Acara seminar tenunan Pahang (12-14 Mei) di Kuantan telah usai, dengan ucaptama " Konsep Adat Pakaian Cara Melayu" . Tahniah untuk Akademi Pengajian Melayu (UM) dan Tengku Puan Muda Pahang kerana menghidupkan kembali kejayaan tenunan Pahang. Ramai juga wakil peserta hampir 2000, termasuk para pelajar seni tekstil, pengajar, pengkaji, pereka fesyen, wakil korporat. Masing-masing ghairah kembali ingin menggali warisan keluarga. Mek seorang keluarga kerabat juga menampilkan contoh-contoh busana dan tenunan pahang yang dipakai oleh neneknya (tahun 1950). Kirana seorang pereka fesyen yang terkenal dengan butik mewahnya di KLCC, telah bersuara " nanti saya cipta baju you satu set lengkap dengan turban? ha songket ke tenunan?
Sabtu bersambung pula dengan malaqah majlis wanita Islam di Bangi (16 mei) dengan kertas kerja " Peranan Kebudayaan Melayu dalam mencari Jati Diri Wanita" Dalam batuk dan deman gembiranya hati melihat keceriaan Mawar dan Nisah.

Satu kertaskerja dan forum dengan Penghulu2 Selangor tertangguh kerana Paduka Sultan Selangor masih di luar negara. Sejak Januari hingga Mei ini terus dengan kertas kerja untuk 6 seminar dan forum. Rasanya untuk tahun ini cukup dulu. Maaf Chikgu Haneem, tulisan untuk SeniMalaysia belum bermula, tapi sudah ada judul : " Kesan dan Kesedaran Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam karya Pelukis Semasa" - boleh ke? . Saya masih memikirkan beberapa karya kawan saya seorang doktor yang terus mengkaji dan meneliti Dunia Melayu. Ini jua menghantui untuk saya terus ingin menulis. Saya bersyukur masih ramai adik-adik kita terus berjuang menghidupkan warisan budaya, dengan berbagai cara. Pagi tadi lihat Zul Dewangga Sakti, di TV 1 memakai baju Melayu dengan teman-temannya. Cantik segak menawan. Banyak nak lihat, masih banyak yang perlu kajian. Terima kasih Adreena, bahasa Melayu mu cantik, pasti orangnya cantik menawan juga - bila agaknya bonda boleh mendapat rawatan kecantikan (urutan Melayu Nusantara)....siang ini saya menulis pinjam komputer Hemalata di Jabatan Warisan, Wisma Chulan...jadi tidak ada gambar nak dimuatkan. Mungkin kalau sehat akan singgah di Lanai kedai kopi BNM, akan sambung dari sana. Salam rindu untuk semua.

Tapi masih tertanya juga dua buah buku harus sudah siap cetak. Dengarnya Delima Ranting Senja sudah siap, tapi susah pula nak cari editonya...bila boleh dapat buku itu?. Bupati Bireuen di Aceh dah setuju untuk melancarkan novel itu disitu akhir Julai ini (ada 3 bab dengan tokoh beliau dalam pelarian sebelum dipanggil pulang). Boleh ke editor hubungi dan kirim novel itu ke DR Wildan di Universitas Syeh Kuala yang akan memperkatakannya? Harap Azah terbaca blog ini. Satu judul lain kumpulan esei dan tulisan kreatif Suara dari Hujung Tambak, patutnya juga sudah di cetak, tapi editornya buat-buat diam juga? 4 tahun huhueeehuaa. Inilah nasib penulis Malaysia...apakah wajar saya menulis karya cinta pop atau pop cinta dengan liuk goyang poco-poco untuk segera laris?

" Huum lalala trallalaaa "...kata Melor!
* Masih terbayang senyum meleret Zaharah Nawawi, Khatijah Hasyim dan Som Cham. Eceet Chik dari ItMN jangan lupa poster pertemuan semalam di Puterajaya ya.