Thursday 20 May 2010

Mengalir ke peta sejarah, mengalir, melakar tinta ke kasih susastera

Gerbang pintu masuk ke arena Colosium, dalam renyai gerimis
kulakar wajah zamanmu , 2 April 2000
Bismillahhirrahmanirrahim
1.
Latar Sejarah
PENTINGnya pengetahuan sejarah selalu membaur fikiran dan kecintaaan kita untuk menemui tapak sejarah itu. Sejak di sekolah rendah ibu sudah membawa saya untuk menyudu aiskrim di Coloseum Cafe di Batu Road (1955). Di pekan kecil Setapak pula, kami setiap hari lalu lalang di depan bangunan teater Al Hamra. Otak si kecil ku merasa aneh, membaca papan tanda di depan bangunan batu, tanpa warna. Pengalaman kecil itu membaur gemilang bila semakin kita mendekati sejarah terutama di sekolah menengah. Sudah tahu di mana letak bangunan dan nama itu. Nama itupun berdengung-dengung setiap kali ungkapan nama itu di sebut, unsur visual pula makin mendekati kefahaman itu....satu cita-cita muncul, bila akan sampai ke tempat itu? Roma. Roma oh Roma aku akan tiba ke tanahmu!

Peta Venizia - Venice sudah kita kenali sejak zaman sekolah
kini kurangkul suara pendayung Gendola, ooohlllaa
2.
Tempat dan Tokoh Sejarah
Cekgu Zauwiah adalah guru sejarah sejak di tingkat 4. Saya sudah tertarik dengan catatan zaman kuasa Pompei bertambah lagi dengan watak Marcopolo. Tempat, zaman dan tokoh itu terus menjadi impian, ' bila aku akan sampai ke sana?' Aneh, otak dan cita-cita lebih cepat sampai ke tempat idaman berbanding jasad diri. Melalui halaman buku sejarah, halaman peta, otakku merakam impian dengan mula mecatat, satu persatu, jalur pelayaran Marcopolo seakan terhampar di depan mata. Hasilnya idea saya mula mengembara merakam isu kembara seorang anak muda harus meninggalkan kekasih oleh perbezaan darjat. Dia mula mengembara tiba-tiba sudah tersadai di kota impiannya,
" Mi scusi ", Nik tergagap-gagap mengeluarkan patah-patah bahasa Itali yaang baru dipelajarinya. Maafkan saya!
" Parle Inglese? " . Nik meneruskan lagi suaranya. Harap-harap gadis yang ditegurnya bisa berbahasa Inggeris.
" Boleh berbahasa Inggersi " Sekali lagi dia mengulang perkataan yang sama.
" Che cosa vuola!". Aduh, Nik mengeluh sendiri. Gadis itu menjawab dalam bahasa ibundanya. Tapi Nik tahu maksudnya - awak hendak apa ?
" Il treno...la stazione fer...er, ferroriaria!"
(kutipan cerpen Potret Azelea, 1986)
******
3.
Aliran Imaginasi
Mengingat cara saya menghasilkan ayat di atas dalam cerpen saya tersenyum sendiri, aneh sedikit berani. Saya belum sampai lagi ke negara Impian itu - Itali. Tahun 2000 baru Allah SWT mengizinkan saya untuk sampai ke sana, berjalan sendiri setelah selesai acara Konfrens Kemanusiaan di Geneva. Saya pilih tren laju Eurostar Italia, merentas jalur Eropah menuju ke arah selatan, Venezia....Venice kota berair yang dirindu seluruh umat manusia dunia. Kenapa tidak?
Saya masih mencari Nik yang hilang di situ? Nik.
Percaya tidak, Nik hanya nama watak dalam cerpen di atas. Tiada yang wujud kecuali imaginasi yang tumbuh untuk getaran emosi dan gejolak jalur peta sejarah.....hatiku bersuara, untuk mencari siapa saya kutemui dalam nota kuliah seni lukis di ASRI....hasilnya:
1) Nik sudahpun menghafal lagu Mandolini di Napoli
2) Nik sudah membuka rumah rahsia Leanardo, de (di) Vinci
3) Nik sudah melakar seni Baroque
4) Nik sudah berdayung dengan gondola dan memetik gambusa di Terusan Venezia
********
4.
Latar tahun 2000
1 April 2000 subuh keretapi ekspress Eurostra Italia dari Zurich tiba di Venezia St Lucia. Setengah bersorak diam-diam kuratapi hariku yang hingar bingar sepanjang kehidupan , kadang sekelip mata menjadi ruang lingkup sunyi senyap. Inikah kota impian sejak kecil dulu. Venezia - Venice!
....
Gelora gondola berteriakan
di situkah doamu berlontaran?
Kau yang selalu pergi tergesa
masih sempat melakar pesan
dalam kotak kaca mata
tersisip nota
simpan aku di relung
cinta kehidupan
....
(inilah sajak subuh pertama, di Venezia)
Ku ikuti jalur terusan yang berpanjangan. Mereguk harum kopi espresso Itali di Caffe Michelangelo sehingga perjalanan dengan keretapi malam tidak pernah melupakan keberangkatan .

Piazza D'Spagna - Arena Tangga Sepanyol
tempat temu janji dunia!

5.
Melakar tinta ke kasih susastera
Dengan lebih berani dan olah yang mantap saya mula menyusun cerpen " Bulan Madu Piazza d' Spangna". Kerinduan pada Nik, membuatkan Azalea tiba hanya oleh kasih cinta yang menderita lebih 10 tahun berpisah dengan Nik.
Saya mencari tangga pertemuan kasih sayang, setiap pengembara tidak akan melewati satu-satu tangga Sepanyol yang didirikan di bekas empayer Roman, bukan didirikan oleh orang Sepanyol. Azalea datang dengan hasrat yang lebih menggunung sebagai pelajar pasca sarjana bidang arkitek. Kalau tidak bertemu Nik, dia tidak merasa di aniaya...dia datang oleh cinta ilmu juga.
Kini dia berdiri di St Peter d' Roma menatap patung karya Giovanni Leronzo Bermini dan kini benar-benar berdiri depan pintu pagar Universita Ca Foscari. Mana Nik? Kuliah seni bina saling bergabung kelas wajib seni muzik. Setiap mahasiswa diwajibkan menyedia nota muzik asli juga gubahan muzik hasil karya mastero Itali sebagai latar kerja masing-masing. Tetapi siapa menduga pertemuan kembali dengan Nik dialirkan melalui lagu Mandulinata A Napule, inilah kasih saya bersuara jauh di kota impian berzaman.

6.
Dari Musim bunga 1986 - ke musim bunga 2000
Takdir Ilahi? Inilah puncak kerja kita sebagai penulis. Antologi ini mengumpul 3 buah cerpen dan 3 sajak iaitu,
Cerpen:
1. Potret Azalea, 1986
2. Bulan Madu Piazza d' Spagna
3. Konserta Musim Bunga

Sajak:
1. Keretapi Malam Venezia - Zurich
2. Potret Luka de Rotanda
3. Roma hingga senja di Plaza dell Republica
*****
7.
Komentar
Saya memberi contoh perjalanan imaginasi dan realiti. Dengan gabungan imaginasi dan minda, inilah yang wajar bergabung bagi meneruskan kerja penulisan. Melalui kerja melakar tinta- sketsa adalah satu keadah penulis yang terbiasa dengan kaedah visualisasi. Kebiasaaan melakar membuat sketsa adalah kerja spontan dengan unsur kepekaaan pandangan mata. Kerja penulisan selanjutnya memerlukan proses panjang, melibatkan daya emosi, dan dihalusi dengan aspek pemikiran terutama dalam menggarap isu yang ingin disampaikan. Kaedah ini bukan hal yang baru, malah sejak ayat pertama sebagai surat suci al Quran telah mengajarkan kepada kita, Surah Utama. " Tulis dan Bacalah " ....telah memberi pedoman untuk kita lebih prihatin menyampaikan ilmu, olahan seni hanya sebuah jalan untuk matlamat idaman mencari dan menemukan ' Keindahan Alam Ciptaan Yang Maha Esa'. InsyaAllah.
*******
Draf 2, bahan perbincangan bengkel Pemurnian Karya Cerpen dan Sajak, anjuran UPENA,
UiTM, Kg. Mukut, Pulau Tioman , Pahang, 22-24 Jun 2010

Tuesday 18 May 2010

Pengalaman, Gaya dan Kerja Seni

Pak Lugam, mengaut daun kelapa - lidi untuk
dijadi anyaman leka, di Pulau Tioman, Julai 1987
> menjadi watak dalam cerpen " Taman-Taman Laut",
dlm antologi Rindu Pala Muda, DBP 2005
Asas Pendidikan
PENDIDIKAN seni dan sastera masih kabur di setengah golongan masyarakat. Kerap dilontarkan pandangan remeh , seni itu hiburan, sastera itu kerja impian atau khayalan. Malah masih ramai ibu bapa menolak dan mencurigai apabila anak mereka memilih jurusan seni di IPT atau IPTS. Tidak jarang pelajar itu sendiri bingung bila ditawar mata kuliah seni kerana mereka bukan di jurusan itu. Jika mereka memilih kelas ko-kurikulum seni pula, itupun kerana mereka juga tidak ada pilihan setelah tidak mampu memilih kelas yang memerlukan keaktifan di padang atau tidak berminat dalam kerja sosial. Untuk anak-anak yang mula menyedari bakat masing-masing mereka tetap berusaha memilih jurusan yang mereka minati dalam bidang ini. Semua IPT sudahpun menawarkan kursus yang bersangkutan seni, sesuai dengan keperluan semasa. Maka tidak hairan, agar lebih dipandang canggih maka masing-masingan IPT mencipta nama sesuai dengan kebangkitan teknologi. Cuma ASWARA yang berani mengekalkan istilah tradisi iaitu Akademi Seni Warisan Negara.
Kira sebenarnya (pura-pura) lupa sesungguhnya pendidik seni sudah bermula sejak nenek moyang kita menghasilkan karya seni agung , walaupun prosesnya kerja hanya di bawah rumah (seni tenunan , songket, batik, seni ukiran logam terutama hiasan emas perak). Manakala seni rakyat lainya seperti menganyam, membetuk tanah liat, menyobek ragam hias wau, mengukir kayu dan lain-lain telah mencatat nilai sejarah yang tidak mungkin disembunyi oleh mata hati yang kerap mengkategorikan produksi ini sebagai kraf tangan yang kononya tidak memerlu daya intelek. Di sinilah seni dimomokkan, seni yang tidak menghasilkan keuntungan ekonomi, kalau kewangan yang dikejar oleh insan yang memandang seni hanya kerja sambilan.


Program kerabat Persatuan Pelukis Malaysia,
melakar dan melukis bersama Sharifah Zuriah,
di Tasik Chini, Julai 1987
Warisan kepakaran
Setelah menyedari seni itu harus dipelajari maka wajarlah kita mewariskan kepakaran generasi awal itu. Di sinilah setelah menggenggam sedikit pengetahuan, maka seni harus dikembangkan, disebar ke khlayak yang memerlukan pendidikan seni. Seorang guru seni, hanya patuh dengan sistem, senarai mata kuliah yang masih banyak diwarisi sistem Barat. Dalam seni lukis, China mengajar kita sapuan warna tipis dengan sapuan berus dan tinta. Barat membawa masuk peralatan cat yang dipelopori sejak awal-awal pra merdeka. Pelajar seni dibawa belajar ke UK. dan mereka ini pulang dengan meneruskan pengalaman studio seni lukis Barat di Maktab Pergurunan (termasuk SN Syed ahmah Jamal, Khalid Yusof, Ismail Zain dsb ) . Mereka ini juga yang bergabung dengan penubuhan ITM pada awal 1970an. Berapa ramaikah yang menjadi pelukis atau guru seni?
Sejarah berulang lagi. Untuk menjadi pelukis memerlukan perjuangan yang kuat bagi dapat tumbuh subur dan terkenal. Akhirnya kembali kepada Takdir dan ketentuan Ilahi. Allah SWT jugalah yang menjadikan mereka terkenal, pameran berhasil dan lukisan dibeli dan nama mereka yang terpilih ini melonjak ke persada tanah air dan antarabangsa. Tahun 1970an telah menaikkan nama Latif Mohidin (baru pulang dari Jerman-Peranchis), Ibrahim Hussin (UK-USA), Syef Ahmad Jamal (UK-USA).

Melakar di Pulau Ketam, Mac 1987
Sifat Kesabaran
" Harus sabar dan tekun ". Itulah pesan pelopor Angkatan Pelukis Semenanjung (1950-1980an), Datuk Hussien Enas, ketika saya baru pulang dari Jogja. Tradisi Jogja yang kerap mengheret pelajarnya agar berpanas, dan berhujan adalah ciri untuk melatih pelajar seni percaya diri, kuat dan tabah. Latihan skesta adalah kerja wajib sehingga emosi dapat dijalurkan ke haluan kepedulian dan latihan akrab dengan alam. Walaupun anda memilih kerja di studio, kerja latihan jiwa harus melibatkan manusia, alam dan fauna. Tradisi ini juga dipupuk melalui Persatuan Pelukis Malaysia (1980an-1990an), setelah APS padam dan Anak Alam mula (1975-199oan) membawa haluan masing-masing. Tetapi kita pelukis sudah bertapak dengan gaya kerja masing-masing. Ada pelukis sepenuh masa, menjadi tenaga pengajar dan mencuri masa untuk melukis dan berpameran. Ada yang membuka galeri dan terus melukis.
Begini jugalah tradisi kerja seni saya termasuk bidang susastera. Puisi, cerpen atau novel bukan hanya menulis (menaip ) bilik pustaka. Saya harus keluar mendampingi masyarakat, alam persekitaran, termasuk meredah rimba, mendaki bukit, berperahu atau bot laju, kapal laut/terbang. Data-data kajian dicatat saling bertindan dalam diari,buku catatan yang memang khas, satu buku atau dua untuk setiap kerja dalaman mahupu kerja ke lapangan . Mungkin latihan pendidikan di ASRI ini bersambung dengan kerja mendampingi para sahabat, informan kerja penyelidikan, seniman atau tokoh yang saya jumpai dan dampingi sehingga memang mencari di manapun dia berada. Inilah kerja seni dengan gaya pengalaman kembara budaya saya.


Gaya pelukis mendekati masyarakat-
kerabat Persatuan Pelukis Malaysia melukis di Pulau Ketam, Mac 1987


Menjalin persahabatan seni dan seniman

Inilah salah satu kaedah mengukuhkan tradisi ilmu dan berpameran. PPM sejak tahun 198oan kerap mengadakan acara melukis bersama di luar Kuala Lumpur. Di bawah pimpinan Khalid Yusof kami diboyong melukis bersama ke Pulau Ketam, ke Tasik China, Ke Pulau Tioman. Program ini dilanjutkan dengan pameran dengan kerjasama beberapa Kedutaan Asing. Hingga kini gabungan dan kerjasama ini makin kukuh dilanjutkan oleh kelompok muda dan disokong oleh galeri yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kian ramai memahami perkembangaan seni dan cara memperoleh wang untuk pelukis dapat meneruskan tradisi melukis atau memilih kerja Pelukis Sepenuh masa. Kelompok pelukis ini juga membentuk komuniti masing-masing, saling bersahabat menjalinkan projek dan pameran. Selain Balai Seni Lukis Negara dan Petronas yang merajai ruang pameran yang gah dan membanggakan, telah bermunculan galeri dan grup yang menyokong kegiatan seniman muda. Inilah yang disokong dan dilakukan oleh R.A. Galeri, Pelita Hati, Kumpulan Matahati, Art Case, Kumpulan pelukis Jalan Conlay, Galeri Chandan, Citra, Tangsi, Ruang Seni Lostgen, Sokagakai, Annexe dan lain-lain lagi. Galeri bebas ini semakin tumbuh di sana sini. Pelukis kadang mengeluh juga kerana kalau sepenuhnya mengharap kerja galeri yang mengundang, pastilah potongan komisyen lukisan yang terjual boleh tiba ke takuk 40 %. Bagaimana dengan kerjasama? Mencari modal tajaan untuk kos ruang pameran, katelog, jamuan, undangan. Apa lagi mencari pembeli atau sejauh manakah anda dapat menghimpun para kolektor. Inilah rahasia yang harus dipelajari kalau anda memilih gaya pelukis sepenuh masa.

Dunia seni lukis hari ini sudah menjadi produk gaya elit. Para kolektor elit juga sudah mempunyai senarai pelukis dan lukisan yang akan dimiliknya. Ini juga rahsia yang harus dipelajari ketika anda mendampingi sang kolektor. Pelukis yang bijak bukan lagi rahsia kerana sudah kerap mengundang para elita ini ke studio mengadakan jamuan petang atau cocktail party serta menyuguh lukisan menarik di dinding ruang tamu dan bilik jamuan . Atau pelukis ternama sudah mempunyai PR masing-masing (isteri atau suami) mengatur pertemuan dengan membawa katelog, gambar sambil minum petang di hotel bintang 5 di kota metro ibu kota. PR inilah yang kerap menghubungi para kolektor dan galeri, terkadang mendesak lukisan yang wajar dibeli. Anda bagaimana?

Begini jugalah dalam menghasilkan karya susastera. Anda mula menggarab, mengumpul bahan, sebagai kerja asas bagi memenuhi jiwa senimu. Kerana seni itu milik bersama, walaupun berada di bidang berbeza tetapi susastera mempertemukan kita. Kenapa tiba-tiba anda ingin Menulis, berpuisi menulis cerpen atau novel. Inilah anugerah dan kebesaran Ilahi. Kita telah ditiupi roh - rohani dengan kesedaran mencintai mengasihi. Jiwa tergetar, hingga hati terpanggil untuk sama berkongsi pengalaman. Inilah pengalaman seni kehidupan yang harus, harus dicurahkan untuk kita nikmati bersama. Anda sudah memulakan. Kini andalah juga yang harus menyudahkan luahan hati, rasa, fikiranmu Selamat berkarya.

Saya titip catatan kecil daripada cerpen " Taman-taman Laut"

" Dia masih di sana . Sebentar lagi akan pulang" Itulah ucapan Pak Lugam. Aku tidak percaya juga. apabila Pak Lugam dengan suasana berbisik mengadakan, " Bidar selalu membawa susunan batu karang yang menarik, setiap malam bulan mengambang penuh. Dan batu-batu karang itulah sumber rezekiku yang sering dibeli pelancong."

Kini anda sudahpun berada di pulau Pak Lugam dan Suri Bedar!


******
* draf 1 bahan perbincangan untuk Bengkel Penulisan Kreatif Siri 4, "Pemurnian Karya cerpen dan Sajak" Kg Mukut, Pulau Tioman, Pahang, anjuran UPENA, UiTM Segamat Johor, 22-24 Jun 2010

*****

Gombak
19052010





Saturday 15 May 2010

Nilai warisan di ruang kontemporari

Labu Sayung mengapit tempayan taucu China. Sejak lama kehidupan budaya
memang saling pinjam meminjam dan menjadi milik sepunya

Gelas buatan Murano, Itali ditata di meja makan tengahari.
Meja dihias dengan kuntuman anggerik desa
daunan pakis, keladi dan bunga sepit udang - melengkap
teori lokaliti dan globalisasi


Budaya itu hidup dan berkembang , ini ditandai dengan aneka barang kelengkapan hidup yang digunakan. Berzaman masyarakat tumbuh dengan nilai saling pinjan meminjam disamping membina dan mencipta jati diri. Dari tanah liat di Sayung atau Pulau Tiga Perak, nenek moyang Melayu mula mengguli tanah liat dan membentuk labu, periuk belanga, geluk, labu. Sisa zaman pra sejarah yang dijumpai di Bukit Tengku Lembu, telah membuktikan kepakaran menguli tanah telah wujud dan berkembang sejak zaman Neolitik. Motif hias yang sederhana makin berkembang dengan kemasukan budaya Dongsong. Kini dalam saingan budaya benda oleh olah globalisasi, meja makan kita makin beragam hiasannya.

Pohon gajus=keteghe ini sudah merimbun berusia lebih 70 tahun masih tersisa di Pulau Tok Umai

Jauh di Pulau Tok Umai yang sudah kehilangan penghuni masih tumbuh subur merimbun pohon gajus = keteghe. Kerana tumbuh di kawasan berpasir, ditiup angin tanpa kira muzim pohon subur merendang, dahan melengkar menjulai ke tanah. Pohon makin membiak kerana bijinya tertebar, mungkin dimamah tupai dibawa burung atau tikus. Hampir tumbuh di mana-mana hingga ke kawasan tengah pulau, masih tumbuh anak-anak pohon ini . Melihat pucuk-pucuk lembut, lidah mana tidak tergiur?


Kupetik pucuk jagus, ku hidang di meja makan.
Komentar chef, " Hari ini kita makan western food! "
Jawabku , " Ayuh cukuplah salad saya dengan pucuk gajus ini !"
Sambil meratah salad gaya itali, ku lihat beberapa tangan menjulur mencapai pucuk gajus yang ku petik dari pulau Tok Umai. Alhamdulliah !


*****
Gombak
15052010

Friday 14 May 2010

Sumber Alam ke Karya Seni

Akar mengkuang menjulur dan menerjah -
seniman pun tergugah. Alhamdulillah Simpang siur akan menjelma
hasil susunan baru
seorang pengukir, Azizul

1.
Daripada Pencipta Yang Maha Agung, Dialah Pencipta Alam Nya. Manusia hanya hamba Nya yang diberi anugerah menggubah bahan keperluan kehidupan seharidupan. Dengan kesedaran dan kemampuan menyusun rasa indah, lahirlah karya seninya.

Inilah kerja seorang Azizul yang memetik pemandangan unsur alam. Daripada akar pandan laut, mengkuang terjelma silang menyilang ukiran kayu, sisa bahan kayu lama yang hanyut di bawa ombak. Jalinan akar mengkuang sudah berubah menjadi karya seni orang pengukir
kreatif pun bermula. Ilham terjelma daripa sumber semula jadi.

2.

Ombak terus memukul pantai. Percikan ombak kadang mengalun lembut, kadang menggembur menggebu pandangan. Apakah yang dilihat oleh seniman yang mendorongnya untuk lebih kreatif? Hanya kesetiaan kerja akan membukti golongan seni serius memilih dan memillah apa yang dilihat di depan mata. Tetapi yang mendorong kerja seni oleh daya apresiasi yang tidak jemu berhenti, merenung semua hasil Ciptaaan Ilahiu. Insyaallah


Gelombang Ombak
bicaralah!!









Tuesday 11 May 2010

Yang Merah Itu Saga


DI MANA, dan ketika usia berapa , kali terakhir anda mengutip buah saga?
Masih di ingati di belakang Sekolah Rendah Setapak berdiri agam pohon saga. Kami mengutipnya, digunakan untuk belajar mengira. Tergantung siapa yang datang awal ke sekolah mengutipnya dan memasukkan ke dalam botol yang dibawa dari rumah. Siapa yang malas, hanya membawa biji buah getah, atau batu yang dikutip di tepi jalan.
Biji saga menjadi citra penting dalam memerikan keindahan BUDI:
Yang kurik itu kundi (buah sejenis saga tapi kulitnya berkurik)
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa.
Betapa kagumnya sebatang pohon warisan tiba-tiba tegak di halaman rumah. Jiran mula bising, " Pohon itu membesar, habis rumah kita" Kudiami tidak peduli omel jiran lelaki sebaya yang sudah pencen, di depan rumah Bangi . Aku juga tidak jelas pohon yang tersemai oleh olah sang unggas, yang memindahkan biji yang dibawa terbang entah dari mana. Batangnya seakan pohon asam, termasuk daunnya yang berjurai kecil, seakan daunan pucuk petai belalang.
Harianku penuh tanpa peduli pohon tegak berdiri di celah pagola. Ini pohon baru tumbuh bagai menyambut aku kembali dari perjalanan jauh. Pohon restu tidak mungkinkah ini pohon budi (bodhi, angsana).
Hampir menjulang melebihi pagola, pohon itu tegak kukuh berdiri....tanpa kusedari telah lebih setahun mengutip biji-biji buah saga yang kukira dibawa sang unggas. Sehinggalah setelah hampir separuh botol, sedikit aneh, kerana rajinnya burung menjatuhkan biji saga, barulah saya mendongak ke atas, melihat buah-buah yang bergantungan hampir kering, pecah dan tiba-tiba jurai yang kering jatuh tepat di atas bahu....masyaAllah sambil meraba batang pohon bisikku, " Ya Allah kau SAGA rupanya...." Sehingga bagai terdengar bisik Nenek Alang kami " Pohon saga hanya tumbuh di tanah yang berezeki di tanah subur....ia memanggil unggas untuk bernyanyi di celah rimbunannya...."
Saga, saga merah menyala
saga,saga suburmu di situ
di halaman rumah kita
lindungi kami
mensyukuri anugerah Mu!
*****
Gombak
12052010

Sunday 9 May 2010

Kerabat Mestika Hati di Gombak

DALAM keriuhan, kekecohan menampilkan Pelancaran Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), dan latihan Mestika Hati, kutinggalkan Kecak dan Adik yang sudah sarat menunggu kelahiran anak masing-masing. Hampir terlupa juga menyediakan tempat lahir anak-anak itu....akhirnya muncul juga di celah-celah hari pelancaran. Kali ini muncul wajah-wajah manis lucu, ada bergaya dengan bulu Bucuk yang sudah menghilang, tompok hitam putih seakan anak panda, seeekor hitam penuh dan seekor belang rimau. Dua bapak yang memang kami kenal....sayang Bucuk tidak melihat bayi comel iini, kelabu....telinga dan hidung coklat , macam musang.....Kecak kini melahir 5 ekor dan 3 ekor anak Adik. Semoga kerabat Mestika Hati ini sehat dan berumur panjang..

Kecak memang letih melayan kerenah 5 ekor anaknya, kadang bertumpang dengan anak Adik, si hitam...berlumba-lumbah mencari susu sang ibu....


Si gebu Abu bermata musang jeli. Si Panda, hidung hitam terkedek...Ada Lilin, Lalat entah apa lagi Cik Bulan yang memberi nama....seluruhnya melengkap Mestika Hati Kami, anak negeri....Satu nak hadiah ke Mim Mustika, tapi minta izin Cik Bulan dulu ya ????

******
Gombak
09052010

Thursday 6 May 2010

7 Haruman Bunga Alam Melayu


BAGI menyempurnakan lagi suasana adat dan adap untuk pelancaran PADAT, sejak awal telah diberi tahu kepada Afif sebagai penyelaras busana, " Kita akan lengkapkan dengah hiasan 7 haruman bunga dari kebun Alam Melayu " . Dua hari menjelang acara, Afif sudah menjalari ke pasar Kampung Bharu. Hasilnya kosong. Tanpa kuduga dia sudah menempah tiket bas keberangkatan malam Sabtu ke Kota Bharu Kelantan dan tiket penerbangan pulang ke Kuala Lumpur hari Ahad pagi (5 Mei). MasyaAllah ini sungguh mengejutkan. Beliau cuba menenangkan," Semua peralatan busana sudah siap, ada dua orang pelajar saya akan membantu...kita harus mendapatkan 7 bunga dengan haruman Melayu...ooooh " . Saya ragu apakah beliau dapat sampai sebelum acara malam 5 Mei itu. Hari Ahad jam 12 tenghari dapat panggilan darinya: " Prof saya sudah di KLICT ". alhamdulillah saya sungguh berSyukur ke hadrat Ilahi. Detik cemas mula mengendur. Apatidaknya tiba di bilik persalinan busana semerbak 7 jenis bunga menyerbak harum dengan bau 1) mawar merah desa 2) cempaka putih 3) cempaka merah 4) cempaka telur 4) kenanga 5) kesidang/kerak nasi 6) bunga cina dan 7) bunga melor. Oooh satu kerja yang sunggah mengharu sukmaku.

Si kecil Ija pun berdandan dengan hiasan kuntum bunga cina....

Nad pemetik I hue juga berhiasan sekuntum bunga cina, untaian cempaka kuning dan kenanga



Ibunda inangda dengan tersenyum tenang didandan dengan bunga melur meliliti bundaran sanggul di kepala. Sekuntum cempaka kuning diselit di atas cuping telinga. Dilengkap petam di kening. Harum, harumlah kau 7 bunga aneka bau....Selamatlah melangkah ke acara adat dan adab di depan DYMM Sultan Selangor kita yang mulia !
Terimakasih ya Afif !!!!!
*****
Bangi
06052010


Mestika kecil lahir di Gombak juga


DALAM kesibukan dengan pelancaran PADAT dan Mestika Hati, di rumah Gombak juga si Adik melahirkan lagi anak-anaknya (3 ekor). Inilah dia si Mestika Hati....harus nmembesar dengan sehat ya
*****
05052010

Tuesday 4 May 2010

LATIHAN TERAKHIR PADAT

TABUH besar dan Kentung sudah diangkat ke pentas. Menunggu keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor, melangkah disambut Ketua Adat, diarak apit oleh Pahlawan delapan, ibunda inang kanan membawa puan sedulang, inangda kiri membawa bunga rampai. Bunga emas bergetar, lambang kesultaan. tabuh dan kentung dipalu tanda bermula arakan ke balai adat.


Datuk Orang Kaya Petaling, memberi latihan mengadap sembah diraja. Puan dan sirih dijamah Paduka.


Tuk Guru mengajar silat kepada anak-anak kampung, Bingkas kebayan. Rentak si api-api, semoga malam ini lilinnya bernyala ya Pak Agi.

Semua penggerak Rentak Selangor seramai 350 orang dalam latihan mengiringi suara Mestika Hati, semoga PADAT negeri Selangor kembali ke waris anak Negeri.


....
Shah Alam
5 Mei 205

Saturday 1 May 2010

MENDENGAR BAHASA ALAM

Oooogggg kedekkedek,onggounnng....suara katak tidak lelahnya bernyanyi. Terdengar suara pecahah air, barangkali katak melompat ke kolam, gerimis dinihari mencelah di kisi-kisi tangga, malam sudah larut...saya bangun mendegar suara yang kembali muncul di rimbun pepakis, riang-riang memang sejak petang sudah bergema di bawah rimbun bambu kuning, anak mengkarung, melompat dari kolam sebelum hilang dalam tempayan. Ya kami sudah memasuki halaman mendengar bahasa alam.



Kuinjaki pasir basah bekas air pasang. Kukutip sarang lokan, kerang , setengah pecah dan sarang siput digunggung umang-umang. Siput seakan bergerak sendiri, kadang tergolek dan jari-jari umang dengan pantas, memujuk sarang siput. Di bawah sisa bungkahan akar pohon rhu, masih menjulur jejari anak ketam...matahari masih memancar cahaya panas. Sebentar lagi ombak akan menenggelam bungkahan akar rhu, atau sisa pohon cemara tua. Tiba-tiba cuping telingaku menangkap larik puisi Latif Mohidin, " pohon cemara" hasil ciptaan dan nyanyian oleh Ibrahim Bachik


Pohon cemara sabar menanti - antara larik puisi Latif Mohidin, rhu atau cemara memang setia di pantai Tanjung Rhu. Ranting menjulang, daunan tajam terus meruncing ke atas. Semakin kudongak ke atas, semakin tinggi rasanya langit yang membiru, bersir berkilau. Bertahun berzaman kau di situ, tumbuh dimamah musim, kering, berpanas tumbuh meranting, kering dan berpucuk baru lagi.

Air meleleh membasahi pipi tempayan setinggi pohon kelapa berusia tiga tahun. Terasa suara dalam berteriak, siapakah di dalam tempayan gergasi itu? Otak fikir dan imaginasiku saling bergaul, bagaimana kalau dapat memanjat tempayan itu dan berenang di dalamnya? Imaginasiku tersentak tepat seekor anak katak berkulit hijau lincin melompat keluar dari tempayan....tepat jatuh ke kepala...oooupoopopppp. Seekor belalang hijau bersayap kuning muncul di celah pelepah pandan. Daun pandan bergoyang dan menerbitkan bau yang sudah diperikan dalam dulang bunga pandan. Untuk dikau yang tahu menikmati haruman pandan, makin terasa wangi di mana-mana . Dalam keharuan menikmat suara bahasa alam ini,fikiranku tergoncang lagi, kenapa bahasa manusia bangsaku pula kerap dimomokkan, hanya untuk menunjukkan masing-masing berjaya di dunia antarabangsa ?
Saya termenung sendiri dan tiba-tiba terkejut dengan suara lembut menyapa,
" Ibu suka dengan taman ini ? Indah ya! "
Perempuan kulit putih itu sedang meletakkan sekuntum kemboja di celah telinga kiri, sambil menghulur tangan kanannya....beliau bersuara lagi , " Saya tinggal di Bali dan belajar menari dengan Nyi Wayan di Ubud? "
Oooppp....kami berpisah kerana beliau akan berangkat pulang sebentar lagi Langkawi-KL-Den Pasar untuk balik ke cottagenya di Ubud.
Petang itu saya mengumpul bahasa alam yang serba indah dan bersahaja. Mampukah dalam minggu ini menulis puisi dengan baik sebagai keinginan tuan rumah yang baik hati mengundang kami menikmati halaman kebun, rimba, sungai, pantai dan pulau yang penuh aura kasih alam? Terima kasih Tan Seri TR!

*****
Tanjung Rhu-Gombak
29 april - 2 Mei 2010