Wednesday 23 December 2009

Seharum Bunga Rampai


Sewangi bunga rampai, kutitip salam buat
sahabat yang telah memberiku semangat
hanya Dia yang membuat kita saling berjabat

Setelah 10 Maharam, tiba hujung Masihi
izinkan daku pergi sebelum tiba lagi (atas izinMu Ya Ilahi).
Maafkan segala tutur terlanjur
gelak ketawa mengusik
simpan laramu sendiri di malam sunyi
sudah kutitir langit
hingga ke hujung pelangi
sudah Kau tebarkan sayapku
meniti benua MilikMu
kami tidak ada apa-apa
kecuali Mendekap Erat CintaMu
biar iri dan benci masih di hati mereka
biar cinta dan kasih kuterima
tiada pesan
tiada pintaan
kuundur membawa hala
menjenguk kembali
rawa-rawa yang kutinggal lama
percik air di parit sepat
menjejaki sarang ketitir di celah tiang
rumah lama yang pengap
insyaAllah menjelang fajar
10 Muharam
sambutlah kami yang pulang
jalan lempang
kuisi kembali
benih rindu
kupaut ke kalbu.

(menjelang berangkat ke Tanjung)

24 Disember 2009 / 7 Muharam 1431

Wednesday 9 December 2009

Malam Berinai - Renjis-renjis di Pilis - Bunga Rampai

Merenjis air mawar dalam adat
berinai kecil - bersanding,


Kelengkapan ini termasuk tepung beras yang
sudah digiling (pilis), bunga rampai, air mawar

Renjis-renjis di pilis
ditepungi si daun tawar
hai beras kunyit ditabur
disiram si air mawar
Lirik lagu ini memang menepati makna adat merenjis. Alatan merenjis ialah daun si tawar yang menyejukkan (di Aceh di sebut sebagai peuseujuk) diules tepung (beras yang digiling halus) di renjis ke pilis (dahi) sehingga dapat menjadi penawar - mengelak kepanasan.
Ini adalah gaya alami untuk menyesuaikan suasana, gemuruh hati pasangan pengantin yang harus dilembutkan dengan kesyukuran daripada ayah bonda yang merenjis, lengkap pula dengan doa restu , sama juga dalam adat menepek inai di malam berinai kecil hingga dipantunkan,
Awal Bismillah menepek inai
Inai ditepek di tapak tangan
mari berdoa beramai-ramai
supaya pengantin dalam damai
selesai acara menginai ditabur air mawar, beras kunyit lambang kesyukuran, punca rezki, jangan pula ditabur sesukahati tapi dijemput ke telapak tangan pengantin lelaki dibawa ke telapak tangan pengatin perempuan. Mak andam haruslah mengutip beras kunyit tadi dan dimasuk kembali ke dalam batil. Kemudian dijemput bunga rampai diletak ke telapak tangan ke dua-dua pengantin sebagai maksud seperti di pantunkan,
Bunga rampai dalam cepu
Taruh mari dalam raga
Ucap selamat pengantin baru
Ibu bapa menampung suka
Selesai acara menginai atau merenjis ini, maka dihulurlah bunga + telur sebagai lambang terima kasih pengantin yang bakal mengembang zuriat.
(catatan: usahakan bunga + telur sebagai tanda terimakasih, bukan gula-gulu atau coklat yang tidak melambangkan punca zuriat)
****
@ SZI
Nota manuskrip budaya dan adat resam Melayu

Dulang, talam berkaki - pahar




ANTARA peralatan yang digunakan untuk kelengkapan adat dan budaya ialah pahar iaitu sejenis dulang, talam -diperbuat dari logam gangsa, perak, atau berukir larik emas. Hampir seluaruh istana Kerajaan Melayu Nusantara memiliki dan menggunakan pahar sebagai tempat hidangan makanan, di atasnya disusun piring, batil, kendi malah segala peralatan hiasan juga di letak di situ . Hingga kini pahar menjadi milik pusaka diguna dalam banyak acara adat resam kita. Misalnya pahar juga menjadi tempat menegakkan sirih junjung dan di 'junjung' di atas kepala, dan diletakkan di kepala rombongan.
Inilah tanda dan saksi bangsa yang berbudaya:
Laksamana berbaju besi
Masuk ke hutan melanda-landa
Hidup berdiri dengan saksi
Adat berdiri dengan tanda
(pantun dari Sekalung Budi Seuntai Bahasa, DBP 1994)j,

Tuesday 8 December 2009

Susun sirih > Sirih Junjung , seni hias Adat Resam Melayu

Program Perbadanan Adat dan Warisan Melayu Negeri Selangor (PAWMNS)


1.Perkara : Sirih Junjung

Istilah sirih junjung dikaitkan dengan bentuk cara pertumbuhan asal sirih. Daunnya yang berbentuk hati berukur melebih setapak tangan, tumbuh menjalar bersulur mengikut tiang junjungan. Dalam acara adat isitiadat pula daunnya digubah dengan rekabentuk gunungan, datar di bawah dan menjulang ke puncak ,disusun di atas dulang ''paha" dan di junjung di atas kepala ketika membawanya ke ruang acara adat. Ia dikaitkan dengan kebiasan adat 'makan sirih' yang dilengkapi dengan, seulas pinang dan gambir, sepalit kapur + bunga cengkeh, tembakau dll. Adat menyusun atau menggubah sirih pula telah diterima sebagai sebahagian kelengkapan adat resam Melayu dalam upara perkahwinan terutama untuk masjlis persandingan. Daun sirih hanya lambang bila dimakan dianggap makin menyegarkan memberi 'semangat' - kesihatan batin kepada pemakannya. Maka dalam adat pembuka kata, sirih dijadikan tanda pembuka bicara atau untuk menyampaikan hajat hati kerana setiap tamu yang berkunjung ke rumah akan disuguh tepak atau puan sirih lalu dipantunkanlah ,

Makan nasi di atas dulang
Gulainya lazat ikat tenggiri
Makan sirih sekapur seorang
Sampai hajat hidangan kami


Mengunyah sirih sekapur sudah menjadi kebiasaan masyarakat Melayu terutama setelah selesai makan sebagai pemanis atau penyegar lidah malah dipercayai akan menceriakan wajah.
Tetapi makna sogohan sirih sudah mula tidak dimerngerikan maka dipantunkan,


Saya tak mahu pukul rebana
Dipukul dua setekan
Saya tak tahu sirih bermakna
Disogok sayapun makan

atau

Pinang certak pinang certi
Dihempas mari atas papan
Saya tak tahu kata mengerti
Sirih diberi saya makan.



Sirih sebagai lambang pembuka kata, sebagai wadah hiasan untuk upacara peminangan hinggalah di adat persandingan - sudah makin kehilangan makna lambang budaya. Atas kesedaran melestari keindahan adat resam Melayu, maka hiasan sirih junjung perlulah diperhalusi reka bentuk asasnya. Kenapa disusun meninggi tirus di puncak lalu di junjung di arak dari rumah pengantin lelaki ke rumah bakal pengantin perempuan. Begitu pula sirih junjung juga sudah sedia menunggu di depan pelaminan sebagai tanda menerima kunjungan rombongan pengantin lelaki.


2. Sirih Junjung - Pelestarian Adat Resam

Dalam rangka perasmian majlis adat warisan (Mac 2009) bahagian balai persembahan seni merangka program pameran dan pertandingan menyusun Sirih Junjung terbuka kepada semua perwakilan dari Sembilan Daerah Negeri Selangor (Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Gombak,

Objektif :

1. Memulihara adat resam sebagai simbol keindahan adat.
2. Suguhan Sirih sebagai lambang pembuka bicara
3. Melestari reka bentuk warisan susun Sirih Junjung
4. Gubahan tanpa menolak ciri asas kelengkapan Sirih Junjung
5. Menerbitkan -penulisan hasil ciptaan warisan susun sirih


Panduan Persiapan Sirih Junjung

1. Daun Sirih
2. Kapur, pinang, gambir, tembakau, bunga cengkeh dsb
3. reka bentuk menegak - menjulang ke atas
4. Hiasan bunga alami Melayu
5. Di susun di atas dulang berkaki
6. Hiasan tambahan sesuai dengan amanat melestari warisan


Penilaian dilihat dari sudut:

1. Menampakkan pemikiran keindahan Melayu
2. Menampilkan hasil ciptaan asli sesuai dengan gubahan latar budaya setempat
3. Cara peragaan - menghidang dulang susun Sirih Junjung
4. Hiasan sampingan tanpa mengabaikan ciri warisan
5. Kreativi yang membina citra Melayu

Acara akan di adakan pada bulan Mac 2010 (tarikh akan diberitahu)

Untuk anda dan kumpulan yang berminat sila hubungi Saudara Aris Sayed
PAWMNS beralamat Muzium Negeri Selangor, Shah Alam
tel. 03 55103220 hp/ 0193425538

Monday 7 December 2009

Ulai Sirih - Salam beradab


Dalam gerak tarian Melayu, salam sembah bersulur bayung. Bayung sirih digerak urai, menjulur ke atas, dengan seyuman alam, jemari digerai mengulau, melanjut sembah, di bawa ke kanan, di bawa ke kiri, ditarik ke atas, tidak melebihi alis mata. Pelupuk mata tetap mengarah ke ulai jari, merunduk ke bawah bukan mendongak galak ke langit. Gerak jemari dalam tarian Melayu - bernuansa alam, alam terbentang jadikan guru.

Saturday 5 December 2009

Pinang, sirih pinang mari meminang

Jejeran pohon pinang mencelah dengan
pohon bunga tanjung dan angsana
setandan buah pinang, hampir dilupakan
oleh penghuni kota dengn warna kuning jingga menawan

sayapun gembira menghimpun dan mengutipnya

AYUH mari kita berpantun dengan citra pohon dan buah pinang dengan kaedah:
1) mengutip pantun yang telah sedia ada dengan ritma a/b/a/b
2) bentuk kreasi baru (ciptaaan sendiri) tanpa merosak citra, irama sesuai dengan struktur pantun asal dengan makna perlambangan dan maksud pantun.
Haaa kali ini saya sengaja mengusik anda yang hampir lupa dengan keindahan pantun. Mana tahu Prof Ungku Aziz akan memilih pantun anda untuk kajian dan melengkap penulisan pantunnya. Saya tunggu dengan menghadiahkan anda sebuah pantun adab warisan:
Sepinang dua pinang
Habis pinang dalam raga
Sudah dimakan sirih pinang
Apa cerita mahu dibuka?
Buah pinang sebagai citra pantun dimakan sebagai adat bertamu
dengan tujuan merisik atau meminang
Salam kasih sepantun sirih pinang
Gombak
07112009


Halaman kosong di Istana Budaya

Ayuh kita ganti papan tanda ini menjadi
tempat berpencak guru silat



Alangkah harmoninya suara Datin Seri Maznah
melantunkan puisi atau membaca
naskah cerpennya di sini
bersama SN Datuk A.Samad Said?


Alkisah asalnya dicadang mendirikan Taman Budaya yang memuati semua kegiatan seni di
halaman yang sama: seni tari, muzik , teater, seni lukis dan kegaitaan sastera lainnya. Tahun 1970an, berhimpun para penggiat seni antaranya pengarah kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Ismail Zain, termasuk Datuk Baharudin Musa, Usman Awan (DBP), Krisyen Jit (Teater), Puan Azah Aziz (Busana) - ini nama sebahagian saja. Usman Awang dan Ismail Zain tertarik dengan gaya kehidupan seniman di Taman Ismail Marzuki , Jakarta. Wajah yang lebih merakyat dapat dikongsi bersama tanpa ada status dan pangkat.

Reka bentuk taman pun mula di garap. Wujudlah bentuk bumbung bercitra gasing yang berbucu enam-lapan, konon dapat ligat kalau berpusing (bukan bulat?)

Tetapi di zaman mantan PM Datuk Seri Mahathir, semua reka bentuk bangunan harus gah, canggih hebat....jadilah reka bentuk seperti sekarang, yang penuh dengan protokal , masuk harus lengkap berpakaian - etik gaya barat ( terlarang jeans, selipar , hahha). Persembahan pun hebat-hebat, tercanggih, dengan dana tinggi yang tidak memberi peluang kepada kumpulan teater kecil. Lebih melopong ide untuk mengumpul semua golongan seniman gagal. IB hanya untuk kumpulan teater , nyanyian dan muzik. Lalu didiri pula Balai Seni Lukis bersebelahannya....
Hingga zaman Kak Jah terus terkilau, kerana tidak pernah diundang mempersembahkan karya makyongnya di situ.

Saya kerap berjalan ketika orang tidak ada persembahan di siang hari. Senang menumpang di bawah redup pohon angsana, jejeran batang pinang, dengan buahnya yang berselerak....kadang mengutip si cantik merah jingga ini.

Siang memang sepi....entah kenapa saya bagai terdengar rebab digesek seseorang di balik angsana. Terdengar pula langkah pencak silat, titir rebana, tiupan serunai, santai di halaman. Sungguhkan telinga ku menangkap bunyi gerak-gerak seni rakyat yang tidak dapat diangkat ke dalam arena kalau tidak dipersembahkan dalam bentuk konsert, muzikal, orkestra?

Tapi sebenarnya di situ sudah pun dimasuki Mamamia, The Cats ....

Tuuuupppp buuuik, rupanya serangkai buah pinang berjatuhan menyentak lamunanku ...ooooh
si cantik pinang....semoga, anda kumpulan silat yang kerap melompat di arena teater pentas IB, marilah sesekali melompat di halaman, memencak gelora, tabuhlah gendang, tiuplah serunai di halaman rakyat???



Gombak
07 Dis 2009

Friday 4 December 2009

SENIMAN NEGARA

BERAPA lama nama pelukis Seniman Negara kita kekal di dinding bas ini? Setahun, dua tahun? sebelum dilupuskan? Tidaaaaak - semoga menjadi rumah muzium, sambil berkeliling kota atau berkeliling seluruh Tanah Air - bawalah kami menumpang di rumah ini wahai Tuan Balai Seni Lukis Negara! Kita beramai ke utara, masuk ke perbatasan Siam, menuju ke tanah Chola , menyeberang tambak Johor tiba di Selat Terebrau, atau memilih Sselat Melaka, tiba di Tanjung Balai haaaaa, laju - laju menuju Sungai Melayu!!!
26122009

Tuesday 1 December 2009

Idaman Kedai Buku

Kedai buku , biar kecil tapi kalau ditata dengan
mata hati yang jeli, akan menjadi bersih,
cantik dan berkualiti.
(impiana kedai buku Balai Adat di bawah
wakaf berPERABUNG ????)


Mohon para sahabat terutama pustakawan Negara/Negeri dan kawan-kawan yang menyanyangi khazanah budaya ilmu, merapikan senarai buku yang berkaitan dengan adat-adab budaya Melayu - untuk kita satukan dalam data sumber e-warisan ilmu budaya. Balai Adat Selangor sedang merangka kerja sama dengan pengkaji dalam lingkaran Dunia Melayu khusus perkara tersebut terutama Arkib Negara, PNM-PNS, DBP.

AJK acara perasmian (Mac-Jun 2010) dikendalikan oleh:

1) Bahagian sastera - Dr Ibrahim Ghafar - rencana terdekat akan meraikan Sasterawan Negara ke 10 Dr Anwar Redhwan. Penulis Anak Negeri Selangor yang ingin terlibat sila hubungi (Dr Ibrahim - 019 3261551 )

2) Bahagian Seni lukis dikendalikan oleh Galeri Lukisan dan Sastera Ulu Selangor - Kuala Kubu, Rawang Selangor dan Galeri Shah Alam. Pelukis Anak Negeri atau berada di Selangor ( Abd Wahab. Abd Hamid - 017 6787208)

3) Bahagian Kesenian Rakyat- Pak Faizal (ada dalam FB)

4) Bahagian Persembahan Adat - Adab - (Siti Zainon Ismail - SMS > 019 3510896/emel >znismail@yahoo.com )