Friday 30 September 2011

7. 150 Tahun Kampung Kami

1.

150 tahun usia kampung kami?

Kau terkejut? Tidak percaya, lebih tua usianya dari kota raya - ibu negara? Ha?  Kenapa mendelik. Kota raya bersimbah cahaya. Aku tafakur sendiri di bawah tiang lampu, Pasar Budaya- bekas Pasar Besar di ibu kota sedang nongkrong bersimpun  di galeri Ghani Ahmad, dikeliling siswi UPSI. Inilah contoh galeri  yang  sudah dipindahkan di kawasan luar Pasar Seni. Pelukis makin terpinggir di ruang Pasar Seni yang semakin hebat .  Kadang disebut Pasar Budaya yang tidak mampu menyewa galeri mewah di mall di pusat hebat kerana menjual anika barang seni bukan lagi  100 peratus milik tempatan. Mana Pasar Seni yang digahkan 35 tahun lalu. Bila ruang melukis di Jalan Melayu, di Jalan Bonos, di Jalan Ampang, malah yang di anjur Kementerian Kebudayaan, di Jalan Belandapun sudah dilupuskan. Suara mentgeri suara Datuk Bandar bergema " Kita akan bangunkan Pasar Seni akan menempatkan studio pelukis... " tetapi selepas 20 tahun...ruang pelukis semakin kecil, malah  sewa semakin meningkat. Peraturan yang sengaja melecehkan ' pelukis pinggiran'. Itulah istilah si lintah darat pengusaha kota raya, mereka golongan pedagang mewah. Terakhir Aris Aziz juga harus keluar. Kembali menjadi pelukis berpindah randah...ya Rabbi. Pernah Balai Seni Lukis Negara mengadakan acara hujung minggu, pasar seni di halamannya. tiba-tiba diberhentikan. Diadakan pula Lebuh Seni di dataran Merdeka.  Berbondong seni di hujung minggu. Taraf seni rakyat bagai pesta arak berarak , masuk kandang keluar kandang. Mana Pasar Seni yang utuh sebenarnya. Tanpa pelukis mengheret papan lukis ke hulu ke hilir. Ayuh bangun semula Pasar Besar Gombak menjadi Pasar Seni!!!

 
Kudengar debat dua orang anak muda, bila kubercerita tentang asal usul wilayah  Gombak yang meliputi Kg Puah di Batu 3  3/4 hingga ke Batu 12. Dan  kampung kami  di Batu 4 1/4 Jalan Gombak bersungguh mempertahan kampung halamananya setelah DBKL mula mengatur dan menjalurkan kampung-kampung di pinggir kota untuk dibangun pada tahun 2020. Sepuluh tahun lagi, sembilan tahun lagi. Akukah si penutur tentang asal usul kampung yang bermula dengan peristiwa Raja Rasul singgah  di Labuhan Batu, batu hampar yang menjulur di dua lidah bercabang , Sungai Gombak dan Sungai Ampang bersatu dengan Sungai Kelang. di situlah kemudiannya muncul Masjid Jamik, bersebelahan pinggiran Pasar Seni sekarang. di Labuhan Batu inilah rombongan dari Labuhan Dagang- Kelang, menghulu membuka kampung di Ulu Sungai Ampang dan di Ulu Sungai Batu, Sungai Ulu Gombak. Jangan tanya Yap Ah loy rombongan mereka belum sampai lagi. Catatan sejarah harus diluruskan,  siapa yang membuka kota Kuala Lumpur. Kota yang penuh lumpur datang dari hulu sisa banjir dari  tiga batang  sungai utama,Sungai Gombak, Sungai  Ampang dan Sungai Batu. Kau tahu di mana letaknya Kampung Batu, Bukit Batu  sebelum munculnya  Batu Road? Gua Batu yang kau sebut Batu Gave?  Ikut mitos datuk saudara kami A.Samad Ahmad, mengatakan,  itulah sisa jelmaan Nakhoda Tanggang yang  menderhaka dan kapalnya menjadi batu setelah disumpah oleh ibunda masa lalu. 

****
2...bersambung. 

Thursday 29 September 2011

KUTIPAN UNTUK KULIT BUKU BHG. BELAKANG

Latfy dan kawan-kawan, grafik:
bahagian belakang buku Rumah Waris Uwan ...

' Kampung asal berpaya ini kini disebut Kampung Bandar Dalam bersebelahan dengan Kampung Padang Balang. Perkataan Bandar berasal dari dialek Minang- Negeri Sembilan, Bonda atau Banda bererti tali air. Iaitu oleh peristiwa banjir besar 1928 di Sungai Gombak, penuhlah tali air menjadi 'banda yang dalam' maka bernamalah kampung ini Kampung  Bandar Dalam.  Inilah Bonda  ibu tanah air yang perlu dilindungi,dikasihi  khususnya buat warga Kampung Bandar Dalam serta para generasi muda pewaris seni budaya Bangsa' (dalam  Kasih Bonda kampung Paya Kami, DBP, 2009)  

*****
' Important too is her oral-aural quality. Siti Zainons's works are composed for the ear, and it is when  they are spoken and heard that their  distinctive are highlighted. The oral-aural quality relates were works to traditional literature - its folkloristic traditions. especially, which view poems a stories as part of performance as an oral art, memorised and dramatised at sosial or other ocassions'
 ( SN Prof. Dr Muhammad Haji Salleh dalam Malaysian Writers Siti Zainon Ismail, DBP, 1989). 

*****
 '...Siti  Zainon berguru mengikut tatacara konsep belajar dengan masyarakat Melayu di zaman dahulu. Perguruannya membawa dirinya menjelajah , berkelana, mengembara menyelidik khazanah  purba pusaka zaman silam. Dari desa kecil di tempat terpencil, dari tanah besar ke pulau-pulau Nusantara, dari negeri ke negara sehingga ke kota-kota besar dan kecil di Asia Tenggara, Eropah di mana sahaja ada jejak-jejak silam  seni seniman Melayu ..sekarang Siti kembali menjejak kampung kelahirannya, Gombak ' 
( Prof. Madya Dr Mahzan Musa dalam  Zikir Pelangi, The Rainbow Siti Zainon Ismail, 2000 : 19) 

KBD, 30 Sept 2011


Friday 23 September 2011

DENGAN WARNA ALAM YANG BERSIH


'...Melukis itu kerja remeh, main-main, dan eeehh, anak aku juga boleh melukis seperti itu ...!!!'

Pernah anda mendengar ocehan remeh begini.  Suara lain bersambut, ' boleh ke hidup dengan melukis' .

Inilah nada momokan yang harus dilalui oleh pelukis yang baru melangkah ke dunia seni lukis yang luas ini. Sehingga tahun 1950an memang belum ada pun sekolah seni lukis apa lagi pusat pengajian tinggi yang menawar kursus aneh ini.  Menjelang tarikh kemerdekaan  YTM Tunku Abdul Rahman telah menaungi Badan Kebudayaan Melayu dan selepas itu berdirilah Angkatan Penulis Semenanjung (1956). Sebuah galeri sudah berdiri di bawah kuasa pemerintah dengan nama Balai Seni Lukis Negara. Pemerintah Inggeris pula telah mengeluar biasiswa menghantar murid pintar untuk mengikuti berbagai kursus termasuk kursus seni bina. Di sinilah mula dicatat, pemuda Melayu Syed Ahmad Jamal yang bermula mengikuti kusrus seni bina tetapi akhirnya muncul sebagai graduan seni lukis dan menjalar catatan, ' pelukis muda baru pulang ke tanah air, dengan sejumlah lukisan yang aneh: garis-garis lincah impresioniosme'. 

Di tanah ketika itu berkembang seni lukis realisme-romantis  potret dipelp[pori oleh Hussein Enaz  ( tahun 1950an Angkatan Pelukis Semenanjung ), lukisan cat air, pemandangan oleh Abdullah Arif dan Young Mun Sejak  (tahun 1930an) di Pulau Pinang. Beberapa orang daripada mereka adalah pelukis semula jadi serta berpengalaman dari tanah asal masing-masing. Tetapi melalui sistem pendidikan seni Barat, Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein dan Latif Mohidin, memang terpilih untuk belajar  di Eropah. 

Di sinilah jejak pertama Syed Ahmad Jamal. Sejak awal kerja melukisnya bermula dengan rasa yang jernih. "  Ruang kerja, susunan berus, campuran warna harus bersih."  Inilah pesannya ketika kami bersama santai di ruang terbuka di Balai Seni Lukis Negara di bangunan lama di depan Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Ketika pameran solo sempena usia 70 tahun di Muzium Kesenian Islam, warna cerah gemilang tetapi dengan sapuan dan campuran warna yang bersih semakin 'ranggi'. Percikan bintang bertaburan dengan latar sapuan berus lebih lapang tetapi meninggalkan kesan bergelombang, warna ungu langit seperti lapisan pelangi, jingga biru hijau menyatu. Warna muda yang segar.

Sejak menjelang tarikh kemerdekaan, kesan kepada nada merdeka telah  ke akar. Itu juga pesannya. Walau sekali imbas kita tahu beliau membawa aliran impres-ekspresionisme Barat. Tetapi itu hanya gaya. Jelasnya lagi...' sepanjang belayar, pulang ke tanah air, ketika kapal memasuki Selat Melaka,  ohhh saya sudah tiba ke tanah air tercinta'. Suara itulah saya puisikan dan membacakannya di hari pelancaran pameran itu. Rimbunan Rumbia, melepas pucuk-pucuk tinggi, menuju  ke langit...itulah semangat juang sebagai nada kebebasan. Unsur alam itu sudah lama bergelora.  Beliau melihat akar dan sulu noipah, laut brgelora yang muncul ialah semangat bergeloran anak muda menjelang memnuambut detik kebebasan.
Kebebasan dan nada juang itu terpanjar denga aris lincah, spontan, palitan berus kasa, saling bertindih mempamerkan kalimah  abjad jawi moden, dalam judul ' Tulisan' (cat minyak  1962). Hal yang sam juda dilakukan oleh latif Mohidin dalam siri ' Pago-pago'. 

Bagi Syed Ahmad Jamal , kesan perjuangan semangat menjeIang  kemerdekan  makin kukuh setelah bergemanya, Konsep Kebudayaan Kebangsaan (1972), bagi mencari akar pribumi (Seminar akar-akar Pribumi, 1979). 

" Siri Ledang" 
Sejak tahun 1979, Beliau tidak berpaling lagi. Pemikiran Melayu digali dari teks Sastera Klasik. Ikon Ledang mula meruap.  Beliau juga menemukan ikon budaya tempatan hingga berhasil mengadakan pameran Rupa dan Jiwa (Univerisiti Malaya ).   Karyanya juga tidak terbatas dengan bahan asas Seni Rupa seperti kanvas dengan akrilik tetapi juga melibatkan usaha reka corak  dengan tema Sejarah Melayu dalam kerja tenunan dalam judul ' Jambatan Emas/Jambatan Perak (songket + gouache). 

Semangat Ledang, bukan berdiri sendiri sebagai mitos Sejarah Melayu-Melaka tetapi juga jauh ke belakang telah wujud semangat dunia Melayu Nusantara dengan simbol gunungan 'Mahameru, Tumpal, Pucuk Rebung'. Simbol gunungan juga adalah ikon dengan  motif yang menjati diri sejak kewujudan kesenian warisan: wayang kulit, gerak tarian dan irama muzik Nusantara.

Usaha beliau ini telah membuka wadah kesenian Seni Rupa Malaysia yang wajar menjadi contoh kepada  pelukis muda tanah air.  ...
Semangat Ledang, bukan berdiri sendiri sebagai mitos Sejarah Melayu-Melaka tetapi juga jauh ke belakang telah wujud semangat dunia Melayu Nusantara dengan simbol gunungan 'Mahameru, Tumpal, Pucuk Rebung'. Simbol gunungan juga adalah ikon dengan motif yang menjati diri sejak kewujudan kesenian warisan: wayang kulit, gerak tarian dan irama muzik Nusantara.

Usaha beliau ini telah membuka wadah kesenian Seni Rupa Malaysia yang wajar menjadi contoh kepada pelukis muda tanah air. ...

(sambungan tulisan ini  lihat judul : 2.Manifestasi Dunia Seni > Puisi dan Lukisan, www.senirupasiti.blogspot.com/19/09/2011) 


@SITI ZAINON ISMAIL (Untuk rujukan sila nyatakan sumber @SZI, "Judul" dalam http://www.senirupasiti.blogspot.com,23/ Sept 2011)
Gombak
23 September 2011

Tuesday 20 September 2011


BAJU MELAYU
Teluk Belanga dan Cekak Musang
sudah diangkat sebagai
busana warisan.
Baju Melayu Teluk Belanga
diperikan dengan dua gaya :
1) samping di luar baju  ' dagang dalam'
2) samping di bawah baju ' dagang luar ' 
3) di jadikan pakaian dalam majlis  rasmi
4) lengkap songkok atau destar

(data untuk akta warisan bahagian Busana, Teksil dan Seni Hias Diri
Kementerian  Kebudayaan dan Warisan)

20 ept 2011

MAMPUKAH
jemari tanganmu
bekerja seperti ini
Jingga???
Dikau diam
seribu bahasa
langkahmu menjengkit
tapi kau tetap perkasa
Maha Pencipta
Segalanya
Rahsia Tercinta!


21 September 2011

Monday 19 September 2011

2. Manistasi dua Seni> Puisi dan Lukisan



(...sambungan dari judul >  Dengan Warna Alam Yang Besih)

PADA perayaan meraikan ulang tahun beliau yang ke 70 tahun, Muzium Kesenian Islam telah mempamerkan karya agungnya dalam siri Islamis. Judul-judul seperti "Kiblat" dan " Safar dan Marwah" dapat dijadikan rujukan. Betapa batin seninya bergelora hanya dengan meniti Jalan Kebenaran. Secara pribadi beliau sendiri pernah menyatkan bahawa seni lukis adalah bahasa warna dan puisi ialah 'bahasa kata'. Dengan gembira beliau mencadangkan, ' Kenapa tidak Siti puisikan lukisan saya'.  Mungkin agak terlambat saya menyahut cabaran beliau.  Dengan kesedaran kasih seni juga saya harus menjawab cabaran itu. Berikut saya catat puisi yang terlahir dari renungan karya lukisan beliau. Hanya Al Fatehah juga terakam mengenang budi seorang mahaguru seni saya sepanjang berkenalannya dengan beliau sejak  tahun  1972, ketika APS menganjur pameran solo ku di British Council.  Berikut inilah puisi yang terlahir daripada lukisan beliau yang menimbulkan gelora seni puisiku...
"Ruang Kiblat"
 Berpencar-pencar bintangMu
berpinar mencari Yang Satu
 Matahari itulah  KembangMu
sejak Syuruk menjelang Senja
kembali ke dinihari
ke subuh syukur
tiada  duka lara
tiada benci dan resah hati
berlegar berlingkar
kamilah si bunga kapas
terbang melayang
tetap tidak
tidak lagi berwalang
hanya Baitullahilharam
Butiran embun Cinta 
terpendam berzaman bercahaya!

 (Syawal 1432
19 September 2011)

Nurulhaq di depan karya ayahanda

"Tun Mamat Mendaki Himalaya"
 Kau bawa dirimu
Melayu
di puncak itu
matahari yang sama 
di pucuk salju
kau tiba di perabung
kau catat nama
sebuah negara
anugerahNya!

Pribadi kita tinggalkan iri
bendera adalah zikir batini
Tun Mamat
menggenggam pesan Tuah
pergilah anakku
negeri Ledang  di merata dunia
bola negeri di Timur di Barat
panji tanah air
dalam zat 
delima sakti
janji makrifat.

 
Di tapak meru kecil
puncak-puncak bangsa
tak lelah berpencak
Insyaallah
tanah bergunung di Himalaya
Lembahnya di nurani
insani.

(Syawal 1432/Sep 2011)


Ramlan (pengarca) dan Nuruhaq Syed Ahmad Jamal
di depan karya "Safa dan Marwa"

"Safa dan Marwa"

Kau
bawa dirimu
berlari-lari kecil di perbukitan
tanah pasir angin kering
tidak ada kesal dan benci
tanpa dendam
si kecil harus tahu
kau anakku!
Demi Sang Yang Satu
Imam kita jauh di tanah Halil
kita terlempat di gurun sunyi
tidak anakku
temani ibumu
hentakkan kakimu
ibu berlari berlari
demi Rentak CiptaNya!
air terpercik
tak sekali lenyap
di gelimangi Cahaya
Iman UmmahMu!

Kita
si penjaga Rumah
mereka datang berbondong
dengan lurus  tuju
Cinta Yang Satu!
(21 Syawal 1432/Sept 2011)
 
Demikian kesan saya sebagai penyair-pelukis turut bergelora dengan garis dan warna beliau yang merakam  alam yang bersih. Al Fatehah buat Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal.  


Tulisan dan gambar hakcipta  Siti Zainon Ismail
galerimelora@yahoo.com
19 Sept- 11 Oktober 2011

Sunday 11 September 2011

DEWAN KESENIAN RAKYAT MENJADI ISTANA BUDAYA


HASIL Kongres Dasar Kebudayaan Kebangsaaan  (DKK)1972, antaranya ialah menyatukan persembahan kegiatan Kesenian Kebangsaan. Tiga dasar utama yang menjadi patokan  : 1) Unsur-unsur tempatan 2) Unsur luar (dari pendatang) diselaraskan dengan unsur termpatan 3) Nilai Islam bagi mengharmonikan aspek persembahan.

Sekretariat DKK terdiri daripada institusi  sastera (DBP),  IPT, tokoh-tokoh yang terlibat dalam bidang  kepakaran masing-masing dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sebagai sekretariat. DKK dinaungi oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Pesan beliau Kesenian dan Kebudayaan : MENJALIN  HATI RAKYAT  . Maka dirancanglah reka bentuk bangunan komplek Kesenian Kebangsaan dengan  mengambil kira peranan  Taman Ismail Marzuki, Jakarta sebagai rujukan fungsi. Pengisian haruslah bernadikan semangat rakyat. Maka impian Usman Awang  (Sasterawan) di sokong oleh Prof Ungku Aziz, Prof M Taib Osman (Ilmuan) , Krishen Jit ( Teater) , Ismail Zain, Syed Jamal   (Pelukis),   Khoo Kay Kim (Sejarawan ) , Azah Aziz (Busana)  , P.Ramli  ( Film-Muzik) dll, bersetuju kegiataan menjurus kepada bentuk Kesenian Rakyat. Maka reka bentuk bangunan (buat sementara disebut komplek)  pun mengambil tema Gasing, bulat padu, dan lincah ligat berpusing, berhenti tepat seimbang, bermain bersama dalam pertandingan..   


Carta Pembahagian bidang kesenian rakyat

TETAPI
TIBA-TIBA
YANG MENJADI
ISTANA BUDAYA

Untuk renungan
DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN TERABAI
PUNCA DKK IALAH OLEH PERISTIWA  13 MEI 1969

SASANA  BNM
11 September 2011

Friday 9 September 2011

MALAM RAYA - SYAWAL 1432


Walaupun belajar masak si bujang ku tetap minta si ibu yang masak rendang. Hei kali ini mereka  berdua sudah meyediakan semua ramuan. Si ibu hanya menumis, memasukkan semua bumbu, bawang merah, halia, lengkuas, bawang putih, kunyit, serai, santan...kacau--kacau..


Kerana si bujang ku memang suka masak, maka penuhlah segala bumbu di dapur. Tetapi untuk masak rendang haaaa, semua barang dalam botol tidak perlu ..si ibu mahu ramuan buat sendiri, dari kupas bawang, menumbuk hasil tangan ya...baru jadi rendang Uwan Gombak.

Selamat Hari Raya, maaf zahir batin