Monday, 19 September 2011

2. Manistasi dua Seni> Puisi dan Lukisan



(...sambungan dari judul >  Dengan Warna Alam Yang Besih)

PADA perayaan meraikan ulang tahun beliau yang ke 70 tahun, Muzium Kesenian Islam telah mempamerkan karya agungnya dalam siri Islamis. Judul-judul seperti "Kiblat" dan " Safar dan Marwah" dapat dijadikan rujukan. Betapa batin seninya bergelora hanya dengan meniti Jalan Kebenaran. Secara pribadi beliau sendiri pernah menyatkan bahawa seni lukis adalah bahasa warna dan puisi ialah 'bahasa kata'. Dengan gembira beliau mencadangkan, ' Kenapa tidak Siti puisikan lukisan saya'.  Mungkin agak terlambat saya menyahut cabaran beliau.  Dengan kesedaran kasih seni juga saya harus menjawab cabaran itu. Berikut saya catat puisi yang terlahir dari renungan karya lukisan beliau. Hanya Al Fatehah juga terakam mengenang budi seorang mahaguru seni saya sepanjang berkenalannya dengan beliau sejak  tahun  1972, ketika APS menganjur pameran solo ku di British Council.  Berikut inilah puisi yang terlahir daripada lukisan beliau yang menimbulkan gelora seni puisiku...
"Ruang Kiblat"
 Berpencar-pencar bintangMu
berpinar mencari Yang Satu
 Matahari itulah  KembangMu
sejak Syuruk menjelang Senja
kembali ke dinihari
ke subuh syukur
tiada  duka lara
tiada benci dan resah hati
berlegar berlingkar
kamilah si bunga kapas
terbang melayang
tetap tidak
tidak lagi berwalang
hanya Baitullahilharam
Butiran embun Cinta 
terpendam berzaman bercahaya!

 (Syawal 1432
19 September 2011)

Nurulhaq di depan karya ayahanda

"Tun Mamat Mendaki Himalaya"
 Kau bawa dirimu
Melayu
di puncak itu
matahari yang sama 
di pucuk salju
kau tiba di perabung
kau catat nama
sebuah negara
anugerahNya!

Pribadi kita tinggalkan iri
bendera adalah zikir batini
Tun Mamat
menggenggam pesan Tuah
pergilah anakku
negeri Ledang  di merata dunia
bola negeri di Timur di Barat
panji tanah air
dalam zat 
delima sakti
janji makrifat.

 
Di tapak meru kecil
puncak-puncak bangsa
tak lelah berpencak
Insyaallah
tanah bergunung di Himalaya
Lembahnya di nurani
insani.

(Syawal 1432/Sep 2011)


Ramlan (pengarca) dan Nuruhaq Syed Ahmad Jamal
di depan karya "Safa dan Marwa"

"Safa dan Marwa"

Kau
bawa dirimu
berlari-lari kecil di perbukitan
tanah pasir angin kering
tidak ada kesal dan benci
tanpa dendam
si kecil harus tahu
kau anakku!
Demi Sang Yang Satu
Imam kita jauh di tanah Halil
kita terlempat di gurun sunyi
tidak anakku
temani ibumu
hentakkan kakimu
ibu berlari berlari
demi Rentak CiptaNya!
air terpercik
tak sekali lenyap
di gelimangi Cahaya
Iman UmmahMu!

Kita
si penjaga Rumah
mereka datang berbondong
dengan lurus  tuju
Cinta Yang Satu!
(21 Syawal 1432/Sept 2011)
 
Demikian kesan saya sebagai penyair-pelukis turut bergelora dengan garis dan warna beliau yang merakam  alam yang bersih. Al Fatehah buat Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal.  


Tulisan dan gambar hakcipta  Siti Zainon Ismail
galerimelora@yahoo.com
19 Sept- 11 Oktober 2011

No comments: