Sunday 25 April 2010

IKATAN KASIH SAUDARA MARA

Doa anakanda Nora sedang di aminkan

Sepupuku Sal bersama Nurul puteri asal Trengganu, kuheret menembusi kebun sawit


KADANG memang kehidupan keluarga sudah tersurat dalam takdir Ilahi. Misalnya kita dilahirkan menunggal dalam rumah tangga ayah ibu. Membesar dalam asuhan kasih kedua orang tua, kemudian ditakdirkan kita dipisahkan dan dibesar pula oleh ninda. Di rumah pusaka datuklah kami sering berkumpul, saling mendengar cerita Nenek Alang, kerap menatap kesunyian mata nenek yang menjaga kami penuh adab dan sopan warisan. Kerap takdir jua membuat kita terpisah jauh dengan saudara mara, ada yang merantau mengikut orang tua masing-masing berpindah randah, belajar jauh meninggalkan tempat kelahiran sehingga kenangan sewaktu kecil semakin hilang bila berjauhan. Tetapi takdir juga kita dapat berkumpul kembali, menyambung kasih yang hilang.


Ya kita perlu menyambung kembali detik kenangan masa kecil di rumah nenek. Berkumpul, masak bersama, dan berdoa seperti yang diajari nenek. Di hari semakin hujung ini, saudara sepupuku Sal muncul kembali dalam kehidupan keluarga kami . Tentulah pertemuan kasih ini dijalin dengan saling berkunjung di waktu yang dijanjikan. Hujung minggu ini kami meninggallan Gombak menuju ke arah pesisir Kuala Selangor dan berlabuh di Tanjung Karang. Tiba di sisa halaman Nyang Galuh. Di depan rezeki doapun melantun. Amin, suara jelas dan sendu dari bibir manis anakanda Nora. Alhamdulillah !

Menu daripada Chef Sal

Musim kerang membesar? Semua bahan makanan kami dapatkan di pasar Tanjung Karang. Sayuran hasil tanaman penduduk kampung : bende, terung segar cukup dicelur saja. Petai kami adun bersama tempoyak dan hirisan daun kunyit ditambah dengan ulam cekur/kencur, serta sambal belacan. Seperti biasa siapa saja yang ingin bergabung ke Tanjung memang diiring chef yang arif di dapur. Kali ini sepupuku Sal menakluki bahagian dapur...Di meja makan, keringat pun mengalir deras dalam bahang panas, panas pilihan raya di Ulu Selangor ! (tiba-tiba dapat pesan SMS , isteri Ladin telah selamat melahirkan MIM Mestika. Masyaallah, kuasa Ilahi, walapun persembahan PADAT ditunda ke tarikh 5 Mei...siapa sangka, buah hati Ladin lahir tepat di hari yang dijanjikan dengan Mestika Hati. Selamat datang ya MIM Mestika! milik semua kerabat kita juga khan!)

******

Gombak
26102010:1:17

Thursday 22 April 2010

MESTIKA HATI > tenaga gerak sisa Anak Alam + Aktivis Muda Anak Negeri Selangor?

Penghulu Adat (Dr Ibrahim Ghaffar), Penghulu Silat /
tarian Piring (SEA Awardee A Ghaffar Ibrahim )
duduk di depan Pengarah Persembahan MH Ladin Nuawi
SETELAH berhimpun untuk latihan semalam (21 April 2010) baru saya menyedari penggerak asas Mestika Hati (MH) memang terdiri dari generasi 1970an-1980an. Malah tiga orang yang pertama, Dr Ibrahim, Ibrahim Ghaffar dan saya sendiri ialah dari kelompok pelukis - penyair Anak Alam (AA) yang mendasari hidup kesenian dengan kembara jalanan . Ini memang tidak pernah diatur - semua secara kebetulan. Barangkali dasarnya, mungkin saya menyedari kami memang seiring cara kerja. Bila diajak datang melenggang, tidak banyak kerenah, bila dikerah kerja seni, ya bekerjalah kami. Ladin Nuawi bergabung dengan AA pada awal 1980an, nakal, cengeng tapi berani mengembara konon ingin mengikut jejak pendekar AA, Latif Mohidin. Mengembara ke India, tersadai di London, dan akhirnya pulang menubuhkan kumpulan teater dengan anak-anak Bingkas Kebayan (BK)
Bob Khalik tidak banyak dalih, tidak menolak untuk melanjutkan
kerja rentak Selangor.
KETIKA mencanai konsep MH, terbayang, irama muzik rakyat (kertung Orang Asli , Gondang
sembilan Rawo, kompang, dan kempeling termasuk muzik asli ) - bagaimanakah rentak dan irama Negeri Selangor. Malah beberapa kali dalam mesyuarat Induk PADAT, telah dimomokkan, Selangor tidak ada identiti kesenian dan budaya. Hatiku menyala, marah dan mual dengan suara 'orang luar' yang kononnya pengkaji budaya. Bila kukatakan, pamanku menari zapin sejak tahun 1930an di Gombak, dia tidak percaya malah menambah, " eh itu milik Johor". Wah, bagaimana dengan Datuk Khaharrudin Mukmin, penari , pereka dan penyusun buku Tarian Zapin itu dari Johorkah? Datuk Kemala, bertandak silat dengan Pak Mad Dabus juga di kampung kami di Batu 4 1/4 Gombak. Ya muzik gambus dan zapin sudah berentak sepanjang jalan Gombak dari Kampung Puah menjalar ke Hulu Gombak di Kampung Orang Asli. Siapa yang percaya kerana tiada catatan yang telah dibukukan.....(dengar ini anakanda Kesultanaan Gombak@Dewangga Sakti!)....Jadi bila kuhubungi Bob Khalil tenaga pengajar di ASWARA, kami pernah bersama melakukan penyelidikan Gamelan Trengganu...ya gayung bersambut, beliau sudi menjadi penyelaras RENTAK SELANGOR !
Kumpulan Dewangga Sakti yang baik hati
selalu menyambut dengan memberi senyuman bererti
mereka juga senang kupanggil Kesultanan Gombak!

Kumpulan Dewangga Sakti memang sudah kukenali, usaha mereka menghidup dan melestari muzik gambus malah mengyembangnya dengan lagu-lagu yang memasyarakatkan budaya anak-anak muda Melayu. Usaha mereka sudah berbaloi. Mantan mahasiswa non sastera daripada UIA tapi sudahmenjadi seniman gambussa..hora! Mereka tidak cerewet malah menyokong dan sudi bergabung dalam kerja kolaborasi rentak Selangor.

Bob Khalil dengan senang hati membawa pelajarnya Uda
bermain Sitar, Nad bermain E Hue dan Firdaus sebagai
penggubah rentak!

Negeri Selangor memang kaya dengan rakyatnya beraneka keturunan. Selain warisan Melayu Melaka, sudah dikenal pasti aneka keturunan Melayu-Bugis, Melayu-Minang, Melayu-Rawo
Melayu-Aceh,Melayu-Banjar dll. Tidak ketinggalan sisa warisan dari keturunan India dan China yang dibawa masuk oleh Penjajah terutama pada awal tahun 1930an yang asalnya sebagai buruh estet dan lombong bijih. Saya hampir bertekak di bilik sidang mesyuarat Induk dan bersuara , " Tidak ada gendang ular naga tidak ada gendang keling.....kita akan bawa seni halus dari warisan mereka ". Maka Bobpun membawa pelajar ASWARA, Uda pun memetik Sitar, dan Nad mendenting tali E Hue. Tentu sekali BK tidak putar kepala berkali-kali kerana semua pemuzik sudah pun mengalunkan rentak dan ini mendapat sokongan hebat oleh Dendang Anak dengan suara Islamis dan Keroncong Arif makin menyemarak lagu tema MH. Insyaalllah!

Sekarang dalam minggu ini, latihan terus di jalankan. Walau masih ada halangan, ada dugaan, bagaimana menyeleras persembahan adat dan MH, soal ruang (stadium yang masih dipakai hingga 4 Mei, masyaallah)...ahhhaaaa. Puan CEO , Puan Kalthum, Tuan Aris, tu abang Mahadi
tolong selesai masalah ruang latihan ini dan persiapan Persembahan Adat dan MH!


*****
Bangi
23 April 2010

Monday 19 April 2010

Mestika Hati - sembah adat sembah beradab

MESTIKA HATI adalah kerja gotong royong para seniman anak Negeri Selangor. Siapa saja yang tinggal di Selangor melebihi 5 tahun, setia dan baik hati....mereka adalah anak negeri ini (ini definisi saya , maaf YB Datuk , ampun DYMM Tuanku). Sejak 2 tahun lalu kerja merencana, merapi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri PADAT Selangor memang agak kecoh, kalau tidak kuat rasa dan fikir, melantun habis jasmani dan rohani. Selama dua tahun kami yang terlibat, terlantun, terlontar, berbincang dengan berbagai wajah dan suara. Para penyedik ahli bahasa, sastera budaya, sejarah, sains alam didokong para penguasi politik, semua direstui DYMM Tuanku Sultan. Sejak dari mula itu saya sudah diarah tugas dalam bidang pelestarian Seni Budaya. Kami bekerja macam ribut tidak kira siang malam, kertas kerja, laporan penyelidikan dibincangkan hingga malam suntuk. Alhamdullillah tibalah detik 5 Mei 2010...

Pelancaran PADAT sudah dititah diperintah, tidak ada seni tari, muzik pop/rock apa sajalah yang berkaitan seni yang bercorak hiburan....kubuka selera hati meraba-raba malam tanpa bintang tanpa sokongan sesiapa kecuali staf yang mengendalikan tarikh, tempat mesyuarat. Sejak November 2009, ketika Jawatan Kuasa Induk mengerahkan ' kerja' maka bermulalah tarikh bermesyuarat....dengan teraba-raba juga, nama kumpulan seniman timbul tenggelam, terawang-awang, dan risikan haluspun bermula....siapakah yang sudi menyahut arah titah dan perentah ini?
Kuberanikan melamar teman-teman lama, yang pernah terlibat dengan KKBS lama (1970an), atau peristiwa pelancaran Muzium Selangor (1990an)...ada yang bersambut ada yang menyiput. Maka semaraklah risikan itu bila Bingkas Kebayan, Dewangga Sakti, Arif Keroncong, Pusat Kebudayaan UKM dan Dendang anak sudi bersama. Kenapa pula banyak kumpulan muzik? Ahahah, inilah otak ini membayangkan kerja sama - kolaborasi seni. Bayangkan bagaimana Maamur menggotong double bass yang seperti perempuan hamil 9 bulan. Konsep dasar persembahan dibawa ke mesyuarat - ada yang faham ada juga tidak....siapa tu Bingkas Kebayan, kenapa pilih gambus, keroncong....tak ngantuk ke? Lebih membingungkan terdengar suara " kita tidak dana yang cukup" , kita juga tidak boleh mencari penaja? " Ohhhooo, sabar ya hati....siapa yang mendengar keluhmu? Seniman, seniman hanya mereka yang menyambut gayungku.Memang ada yang meletak harga, tidak cukup waktu dan berapa dana upahnya? haaaa, saya terbatuk ke kerongkong jatuh ke dalam tersedak hingga ke malam ..


ADAT dan ADAB Melayu ! " Serahkan saja ke Siti, kalau Sultan bertanya, dia saja yang jawab memberi penjelasan. Kalau Tuan tidak suka, ya itu urusan Siti juga "

Kita cuba, kita cuba, kalau tidak dilakukan bila lagi. Intan masih ragu agaknya....dengan alasan dan perintah selalu terganggu.

Ya hanya kawan-kawan seniman, saya serahkan untuk membuktikan persembahan ini penuh adat dan adab Melayu. Bob Khalil dalam kesibukan mengajar masih sudi bergabung sebagai penyelaras , Wak (Dr) Ibrahim tidak menolak dicadang sebagai Penghulu Adat. Pak Muhamad Taib tiba-tiba muncul pulang dari Belanda tidak menolak dicadangkan sebagai Penghulu Balai. Istilah adat ini sudah membingung penguasa atasan..." tidak bertembungkan dengan adat istana?" aaa....sabar, aja kita cara jalan penyelesaian....


Kami pun mula munda mandir di Jalan Melayu untuk melihat kain yang sesuai untuk dijadikan busana adat, untuk penghulu untuk bunda inangda dan dayang. Kini hampir tiba detik 5 Mei, kerontong bambu sudahpun berlagu, silat sudahpun di ajari lompat, gambus berdenting, biola bersuara nyaring, keroncong , azan dan zikir Dendang Anak saling bersahut dengan tingkah anak-anak Ladin, Bingkas Kebayan dan rebana Tak tun AGI!

Inilah cinta kita bersama,

Mestika Hati,
Taman anak Negeri
gelombang awan pelangi

Mentari cantik
memberi rezeki
pesan bulan
jangan rawan
hati taulan

Demi janji
berdiri dengan tabiat
rukun muafakat
inilah adat
rahmat dunia akhir.


Konsep asal ini sudahpun dikembangkan oleh Ladin. Teruskan. Lusa kita bergabung untuk bersama melembutkan gerak adat dan adab bersama. InsyaAllah.

*****
Tanjung Karang-Gombak
19 April 2010

Saturday 17 April 2010

Antara warisan adat, adab dan cita seniman

(Buat kerabat Mestika Hati)
RIUH rendah sudah biasa. Hiruk pikuk juga boleh dimaklum. Tetapi itu kalau perlakuan jasmani. Bagaimana dengan pemikiran jiwa ditambah dengan sokongan kemanusiaan rasa. Sejak lama sudah dibidalkan, bulat air kerana pembentung, bulat akal kerana muafakat.
Inilah tindak tanduk kerja sepanjang terlibat dengan perkongsingan untuk melerstarikan adat dan adab yang sudah lama hanyut tersisih. Kalau adapun telah tersiat, robek disana, dijahit dijerumat sesekali. jangn terkejut memang sudah ada usaha melerstarikan seni budaya ke arah mencungkil adat adab dan warsian dengan nilai islamis. Tetapoi banyak juga yang tergapai, tidak tahu, meragukan kerana meraka kumpulan anak muda yang kononnya sudah tersesat dengan ilmu barat.

Sang yang berkuasa, hanya bersuara, menyampaikan kehendak, duduk di bilik sidang, sibuk memberi arahan, perlu itu perli ini....sudikah kumpulan ini turun ke bawah tempat kumpulan muda itu dengan rancaknya, berhempas pulas memintal akal dan jiwa warisan yang sudah hampir lupus di telan zaman.

Cikcuk fikiran dan bercanggah atau saling curiga sudah mula terasa bila seni perlukan dana. Seniman bukan tukang pukul rebana, bukan sekadar mendenting tali gambus. Di manakah dana itu dapat kita kumpul untuk memeriahkan sukma seniman demi memeriahkan perbadangan yang baru berpucuk? Si kecil terkehel bahu, melompat, turut merendah meninggi suara dalam latihan agar sedap didengar telinga, cantik sopan di depan mata? Mereka bergilir berpindah tempat latihaan itupun sudah biasa. Memikul double bass, mengepit rumah biola, suling dan gambus. Belum fikirkan lagi berapakah kita di bayar untuk persembahan ? Suara usil kedengaran , " tahu ke, ini atas titah dan perintah " - terasa seperti berada di anjung istana Melayu lama pula, ketika biduanda disambut dengan gajah, gajahpun di kebil di pintu balai. Biduanda pun bergurindam, raja terlela di peraduan.


Sabar dan tawakkal. Persembahan jadi janganlah kami melukut di tepian gantang. Kalau sanggup bersilat dan melantun puisi bukan niat untuk menghibur hati peribadi. Telah lama seniman kita kerap dianak tirikan. Seniman luar lebih diraikan. kalau warisan untuk dihidupkan kenapa takut penonton tidak dapat menikmat keroncong , gambus hingga penyanyi anak negeri yang merintih dengan lagu " Di Simpang Tiga " tidak dapat dilibatkan? Kita bukan perencana cuma pemberi idea. Ini juga kerap di ributkan mahu kemana persembahan Mestika Hati. Titah dan perentah lagi, " tidak ada tarian tiada ada muzik muda mudi " .Allahuakbar, Subahnallah inilah pengawal persembahan Azat tanda sebuah kelahiran! InsyaAlllah.


Para kerabat Mestika Hati dari kita semua untuk mereka semua. InsyaAllah
*****
Tanjung Karang
18042010

Friday 16 April 2010

Sisa warisan berlansung di Tamu Ranau

Kuih penyaram, adunan tepun, gula merah masih mengembang di siang hari yang mula menyengat panas di pekan kecil menghala ke Ranau. Kujengah seorang suami membantu isterinya menyeduk adunan tepung di dalam bekas acuan plastik (asalnya daripada tempurung kecil)....lelaki suami itu agak tergamam kudekati, tapi bila ku memilih kuih penyaram beradun daun pandan, baru terbayang senyuman di bibirnya. Penyaram sejenis kuih yang umum
memang terkenal di kepulauan Borneo, termasuk Brunei, Sabah Sarawak sampai ke Sambai dan Kutai. Malah kuih ini di jumpai di Jambi. Kuih atau penganan inu menjadi pelengkap acara pesta jamuan dan perkahwinan....Melor dan Wira tersengih bila kuhulur sebungkus penyaram yang berminyak. Ya sesekali pulang ke Negeri Bawah Bayu saya tidak menolak apa saja makanannya terutama asam bambangan hasil buatan ibunda Dayang Zakiah di Sembulan.
Nenek ini tersenyum dengan suntil tembakau atau sigup di mulutnya. Walau hanya berjualan pucuk ubi tapi kegembiraan jelas di wajahnya. Inilah detik suasana persahabatan di pasar tamu, tempat temuan para penjual dan pembeli. Di sinilah aneka bekalan makanan dapat menjalin aneka suku keturunan, Bajau, Murud, Idahan, Irannun juga keturunan china yang sudah menzahirkan kelompok kadazan.


Sigup-sigup, hasil tuaian sendiri. Di tamu tiada iklan di larang merokok apalagi di larang menjual tembakau. Beli, beli....termasuk sirih pinang...ahaaaa semua hasil tanaman dan tuaian kami.



Bangi
16 April 2010



Tuesday 6 April 2010

Antara pendidikan seni dan seni bersantai

Persembahan pelajar ijazah Universiti Malaya
di ASWARA, 3 April 2010.
Penonton hanya golongan kerabat pelajar,
Mana penonton bukan Melayu sedangkan
teaternya memang berlatar negeri jauh sana?
KUALA LUMPUR bagai sudah mencapai matlamat mengembang seni untuk hiburan dan pelancongan. Di mana-mana saja sudah diadakan halaman, ruang, lobi persembahan seni. Dari bersifat rakyat hinggalah acara hiburan untuk para elitis. Nilainya tetap hiburan


Penari Istana Budaya sedang membuat latihan
sebelum acara persembahan selepas jam Maghrib
Setiap Sabtu malam Minggu , di sediakan pula halaman santai di laman Istana Budaya yang telah mengambil alih program pasar seni yang diaktifkan oleh kolompok pelukis sebelum ini. Halaman santai sesuai dengan namanya, memang untuk bersantai . Kalau tidak ada kumpulan undangan , maka penari IB sendiri akan menghibur tamu...Cuma tertanya juga, adakah pelajar seni membuat persembahan di sini? Sejauh manakah pendidikan seni dapat melahirkan para birokrasi yang bijaksana mengendali bidang seni budaya tanah air?
Tambah Fousan Santa yang turut bersantai di sini wah saya sudah seperti berada di kota musim bunga Italia!!!! Oh ya...di telinga saya masih tertangkap alunan kertung Orang Asli dan kempeling jawa dari kampung Delik Kelang....sudahkan mereka membuat persembahan di sini. Pelajar teater Pusat Pengajian Bahasa, Sastera dan Kebudayaan UKM sudahkah buat persembahan di sini, yang turut dihadhiri Dekan Dan Naib Canselor???
**********
06042010

Monday 5 April 2010

Ciri -ciri kain kain untuk busana warisan

Kain dari Atas Angin, Parsi, Sham, India paling digemari
oleh kerabat istana untuk dijadikan persalinan baju Melayu

SEJAK hubungan dagang di pelabuhan Melaka terbuka bebas sepanjang awal abad ke 13, telah dikenali berbagai jenis kain yang masuk ke Alam Melayu. Dalam teks sastera tradisi kerap diperikan baju dari Atas Angin, baju ainulbanat, kain antelas diikuti dengan kain cindai (asalnya patola gujerat). Aneka jenis kain di potong dan dijahit tangan dijadikan baju, sarung, seluar (shalawar, Parsi) dan destar (asal kata Justar, Parsi), Melayu disebut sebagi ikat kepada, tengkolok atau setangan (Patani -Kelantan). Abad ke 17 sudah dikenal pasti jenis tenunan terutama dengan kepakaran mengolah benang daun nanas dan serat anggerik hutan. Akhirnya Tenunan terkenal di daerah persisir pantai timur, warisan dari Melayu Champa, dan Bugis Makasar . Manakala kemasukan benang emas dari India menjalar tumbuh pula tenunan songket dan tekad menekat.


Batik sarung ialah warisan rakyat dari Kelantan dan Trengganu. Asal muasal memang di bawa dari Jawa pada awal abad ke 19. Tetapi batik lepas Jawa tidak menjadi pakaian rakyat sebagai pakaian basahan. Sebaliknya sarung menjadi pilihan tukang batik di pantai timur.


Pola baju Melayu kerap diidentitikan sebagai pakaian lengkap lima persalinan. Pola baju kurung cekak musang asalnya , MESTI BERBUTANG 5 untuk membezakannya dengan baju cekak China dan cekak Hindi yang hanya berbutang 3. Sarung samping dan songkok atau destar makin menyempurnakan gaya berbaju Melayu.

Chapal memang asal gaya Hindia-Afghan. Tetapi telah ditukangi oleh kerabat Minang yang mula berdagang di Kampung Baru dan Jalan Melayu Kuala Lumpur. Dengan capal makin sempurnalah kalau anda ingin bergaya di hari raya , ke pesta kahwin lengkap berbusana baju Melayu...
*********
06042010








Sunday 4 April 2010

Si kecil dan didikan seni warisan

DALAM dunia yang serba canggih ini semua ingin cepat menjadi. Habis sekolah atau masih kuliah sudah sibuk untuk membina dan mencipta nama yang gah. Si penangguk di air keruh atau jernih pula bermuka mesra menggoda. Termasuk korporat yang menjadi penaja. Hanya memilih apa yang terdedah di wajah glamour. Berbekal wajah dan bakat digodak oleh pertandingan segala berbau heboh, berjejer beratur untuk mengikut aneka pertandingan aneka festival....tentang pendidikan seni pernahkah mereka di ajar sejak dari bawah?


MUJUR masih ada seniman tidak berlandaskan pemilihan wajah cantik, tidak tergugah dengan nama glamour yang digilai pendana yang sanggup menghambur wang untuk persembahan mereka walau baru terlibat dengan persembahan tetapi meletooooop. Nah siapakah yang memikir si kecil di sekitar kita untuk membimbing seni berlandas akal dan budaya warisan?

KITA dapat ketawa lucu melihat telatah si kecil yang bijak menyambut cerita. Ya inilah si kecil yang didik oleh Kumpulan Bingkas Kebayan...dengan dana kecil, percuma berkumpul di tepi sungai lesu di bawah pohon rendang (kerana tiada sanggar beratap) mereka masih ketawa, mereka turut berselawat bersama Saudara Azmee dari Dendang Anak, latihan untuk persembahan sebuah kerajaaan negeri yang kaya, tetapi miskin pemikiran seni budaya----belum tentu di bayar berapa...tidak mengapa mereka sudah memulakan latihan...Insyaallah hati seni gemilang pemimpin yang berkuasa akan terbuka.....demikian kerja ini atas titah dan perintah. Asal saja kerja seni ktia tidak diganggu insyaAllah Ladin....teruskan latihan dan persembahan Mestika Hati.....


4 April 2010