Wednesday 28 May 2008

Akhir Mei

29 Mei 2008
Khamis
Tiba juga dikau, Mei yang manis. Telah sekelian lama dia menghilang. 20 tahun 30 tahun? Ya, hujan luruh amat kuatnya ketika langit Jogja menggelap rawan. Kami baru saja merapikan sisa-sisa makanan, setelah makan malam bersama di asrama PKPMI Jalan Abu Bakar Ali. Ada suara berbisik, " Alhamdulliah tidak ada apa-apa terjadi di tanahair". Dia bekas pelajar Sekolah Alam Shah yang pernah dibawa ke Hospital Besar KL untuk menderma darah setelah tragedi maut 13 Mei 1969. Dia sempat melihat sisi asap bertumpuk-tumpuk di Jalan Ampang bersebelah Kampung Baru. Mana kau ketika itu? Soalan lain bertanya. " Aku tersangkut di Petaling Street, tengah gila-gilanya melukis, membeli dye untuk mencelup kain batik" . Orang sudah riuh rendah di Kampung Baru, perarakan juga sudah sampai berkumpul di halaman rumah Menteri Besar Datok Harun Idris, tetapi kenapa aku tersangkut di Petaling Street. Setengah tersentak seorang berpakaian seragam hijau mengherdik,
" Hei amoi balik rumahlah". Amoi? Masya Allah, " Saya,saya..." . " Siapa lu?" Suara itu mengaum, matanya bersinar, " Awak Melayu, atau Amoi ha? ". " Melayu la". Tiba-tiba tanganku direntap. Tubuhku diangkat, terapung, melayang dilepar ke lori askar. Ouuup!
Jogja , Mei 1972, kami terayun, terhening. Beberapa minggu kemudian, malam hampir subuh, suara Suara Malaysia sayup-sayup mengalunkan musik sendu, terdengar patah-patah suara pembaca berita, Masya Allah benarkah lagu ' Air mata Kuala Lumpur' itu merakam detik perpisahan mengilukan ketika Kuala Lumpur harus diceraikan dengan ibundanya Negeri Selangor...sehingga hujan luruh tidak hentinya dan air sungai Gombak melimpah ruah dan Kuala Lumpur tenggelam oleh bah besar bulan Februari 1972. Tetapi kau dengarlah lirik lagu 'Air mata Kuala Lumpur', itulah lagu akhir ciptaan Uncle Rem?
Mei datang dan pergi.
Mei pagi ini juga begitu panas dan menyengat. Hari ini genap 36 tahun tokoh kita Seniman Agung Allahyarman P.Ramli @ Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih telah meninggalkan kita buat selamannya. Aku masih tidak percaya, masih mengingati cerita Mak, " Uncle Rem mu datang menghantar sebuntil beras, waktu malam setelah pemergian Aruah Ayah Die, pada 20 Dis 1970" . Dan dua tahun kemudia Uncle Rem juga harus pergi membawa lara, merana..." Demi kesedaran semua karyaku adalah untuk bangsaku" .
Siang ini kutatap kad undangan "Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil Perdana sempena Hari Seniman Kebangsaan 2008. Acara di Masjid Wilayah Persekuan Jalan Duta 29 Mei 2008, Khamis jam 8 malam. Alfatiha untuk semua seniman yang berjuang tanpa minta balasan.
PKPMI = Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia

Monday 19 May 2008

Hudan, Tuhan Lindungungi sahabat kami

Kampus Bangi.
Baru pagi ini terdengar rintihanmu, setelah mendengar angin memukul kepedihan yang kau tanggung. Angin menghimbau sejak seminggu lalu, baru pagi ini tiba ke cupingku, memberitahu kau sudah di hospital. Hudan sikecil lincah sepanjang bengkel puisi MASTERA di Samarenda, yang juga menari-menari melagukan puisi, tatkala Komang si kupunyakupu dengan rambut bergelung lebat, Amir yang diam tafakur, yang hadir ialah gerak kipasmu menghempas...tapi sekarang kau terpengap, mata terpejam, dalam selimut coklat berbulu halus, dengan tiub terpasang di hidung dan mulut, bagaimana harus kupanjangkan lagi ingatan duka itu, sahabat kita, anakanda Hudan, teduhlah kau dalam lindungan Nya, insyaAllah kau yang gigih tabah, dan pintar dengan ketengangan itu Dia menguji kita semua. Semua sahabat-sahabatmu mendoakan, agar kau cerah kembali, bersuara, berjenaka dengan ilmu kalammu, puisi itu katamu, adalah ubat patah hati. Tambah Ira, Wahyu Umbu memberi kasih penenang jiwa. Insyallah dalam tidurmu (jiwa-hatimu tidak tidur kutahu) kau tengah menabur cinta dan kami sahabatmu menabur doa untuk ubat pengasih untuk kau bangkit, menguatkan segala luka jasmani demi roh yang harus dibebat dengan doa dan Cinta Abadi.


Hudan
dalam hujan kau beri kabar
daunan di kebun menari-menari
dalam kabus ada mentari memberi sayap berduri
aku melihat mutiara Samarenda
mdngalungi lehermu, beraneka warna
puteri Banjar selalu siap
dengan tasbih cinta di dada.

Sekarang tidurlah dalam jaga
bidadari sedang merapi tubuhmu
luka dan darah menjadi lukisan
dalam diam tidurmu
ada pengawal lebih tahu
kesakitan memberi kehidupan
selepas itu adalah senyuman
yang mengikat segala ujian.

20 Mei 2008
(buat Huda di hospital kota Banjarmasin,setelah kecelakaan 27 April yang lalu)

Monday 12 May 2008

Pesantren Luqman Hakim

Triv Nan Achnas,
di Pondok Kelapa
Kami telah meraih Pasir Berbisik mu. Setengah cemas, marah, kacau , diam dan beku. Memang kami menontonnya dalam diam seribu bahasa. Kemudian muncul pula Fotorgrafer. Setengah cemas, melihat studio antik, memikirkan zuriat yang hilang - kepada siapa harus kau lemparkan pengalaman keluarga. Dia tersisih sendiri setelah tubuh isteri harus berkecai di rel keretapi. Dan siang ini, si perempuan muda ini kembali dari Jogja dengan senaskah film baru arahan Luqman Hakim dan kau Nan, sebegai produsernya.
- " Siapa yang menonton karyamu, Nan?"
- "Lalalala, orang seperti kak Izan banyak di sini. Cukuplah".
Kami menunggu Pesantren film baru kalian dari perempuan lelaki yang kini sudah menjadi suami isteri. Syabas.

Sunday 11 May 2008

Perjalanan Keretapi - Laut

12 Mei 2008
MEMANG kalau kita akan memulakan perjalanan, rasanya selalu berfikiran positif. Insya Allah perjalanan kita akan lancar, mulus hingga sampai di tempat tujuan. Terkadang kita lupa juga dengan jarak dan jauh perjalanan sehingga sengaja dibuat jalan berliku. Rupanya di sinilah kesilapan itu. Kenapa? Oleh kerana sudah lama tidak menaiki keretapi, kamipun memlilih jalur keretapi ke selatan - Senandung Malam. Bagai seorang pemimpi, otak kembali bergegar, ada kilau dari bola api mengetuk dinding masa lalu, masa kecil ketika kerap berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu - dalam gerabak kelas tiga, kerusi kayu, kami kejang, ada yang berdengkur tidur walaupun terpelusuk di ruang atas tempat simpanan barang. Tanpa sebarang keluh kesah untuk tiba ke negeri di pantai timur Semenanjung. Jarak jauh yang berputar itu menyedarkan aku ketika memilih jalur ke selatan dengan jarak ruang yang panjang - 50 tahun? Kau pun terpinga, atau kembali insaf Alhamdulillah kau masih dapat mendengar desah dan gegar perjalanan keretapi malam. Dalam koc kelas 1 ekskutif (kononnya) dinyatakan anda akan selesa dengan gerabak mewah KTMB. Dan kaupun santai ingin mencatat apa saja pengalaman sepanjang malam perjalanan dengan telatah penumpang lain, sambil membuka bekalanan makanan, kamipun semacam piknik di restoran. Mata seakan tidak akan ditidurkan sehingga di setiap stesen kau membuka mata seluasnya. Malam semakin berkabus, lampu tetap bersinar di kota kecil yang disinggahi, setelah Gemas, memasuki Kulai sebelum Johor Bharu. Puas, wah sengan bayit-bayit pendek dan panjang, kau susun detak hatimu, kau kait juluran waktu tersisi - berapa detikkah akan tertinggal.
Tanggal 26 April Subuh (Sabtu) Senandung Malam tiba di Johor Bharu...kau tersentak, sayu , berkecil hati? Pemuda-pemuda (ramainya lelaki Kelantan) berderet membeli tiket menuju ke pulau hujung. Ada yang memakai jaket biru hampir lusuh, berselipar, berkasut getah, dengan menjinjing beg plastik, perempuan muda dan separuh baya tergesa memilih jalur dan masuk ke stesyen. Merekakah buruh-buruh kasar yang mencari rezeki di sana? Ya gaji di situ lebih tinbggi berbanding di Semenanjug! Begitu jelas pemandu teksi yang membawa kami ke Setulang Laut, untuk menyeberang ke Batam. Di luar stesyen keretapi juga berderet, berhimpun motor berjejal - nampaknya seharianlah mereka di situ menunggu tuannya pulang dari pulau hujung. Jam baru menunjukkan pukul 7 pagi. Dalam remang pagi, kulangkahi mendaki jerjak tangga untuk ke seberang. Sebab jalan sehala di depan stesyen, hanya untuk laluan bas. Laluan teksi harus merentas jejambat ke seberang. Nah terbayangkah kau yang sudah melepasi usia pesara terkial dan sebolehnya merasa tenaga perkasa, merasa jengkel juga dengan kekurangan keperluan awam? Pintu otomatis antara gerabak tidak berfungsi. Terbuka sepanjang malam. Maka riuh rendah gegar dan desah sang keretapi malam. Dengan wajah dan suasana suram di steseyen tanpa kafe atau ruang tunggu yang tenang sepagi ini? Beginikah nasib pengembara dalam negeri? Sehingga tiba di jeti juga suasana amat meragukan pula. Di mana jeti? " Itu naiklah ke pintu di celah -celah pejabat dan mall mewah sana, naik ke aras satu, ada tangga selengkar, nanti jumpa, pejabat kastam juga! " Wah-wah Johor Baharu. Baharu dalam segala pembangunan, tapi sayang, pejabat kerajaan tersorok di celah-celah kemewahan bangunan swasta. Kesian orang Batam pasti terkejut dengan pelabuhan atau jeti Stulang Laut - berbanding dengan Pelabuhan Batam yang menyergam dilayan bagai masuk ke ruang tunggu lapangan terbang.

Ya di Jeti Stulang Laut, setelah melepasi deretan kastam, feri ekspress sudah menunggu - cantik dan selesa. Kononnya milik Orang Malaysia. Laut pesisir penuh dengan deretan kapal-kapal dan bungkahan barang dagang- makin keluar dari pesisir, melewati rumah-rumah nelayan - pasti inilah kumpulan Orang Laut dengan gaya hidup sederhana sejak berzaman. Bukankah mereka dulu yang mengiringi bahtera Paduka Tuan untuk mengelak serangan kapal Siam dan Majapahit di sudut zaman abad ke 12 dulu. Orang laut, atau bukankah pahlawan batin yang melompat terkejut dengan bahtera anak raja dari Bentan terperangah dan mengatakan mereka bersua dengan Singa-Pura-pura . Dan kukira itulah cucucicit anak singa pura-pura masih berdayung dengan payang kecil menjala, dan mencucuk batang kayu nibung ke dalam laut berselut mengejutkan ketam dan udang . Fikiran dan feri sama-sama melantun-lantun meredah ombak melepasi gambaran tangki minyak di pinggir singa pura-pura.
Pelabuhan Batam sudah berbangunan perkasa. Pusat dagang bebas cukai memang sudah diinciri pedagang. Matakupun kehilangan pantai nelayan, jejeran pohon kelapa lebih sepuluh tahun dulu sudah terpenggal dan Batam sudah gondol dengan pandangan Melayu! Aku kesasar lagi, memilih jalur keterapi semalaman dan memilih laut hanya berjarak 45 minit dari Stulang Laut. Sunda Kelapa masih jauh. Kami harus memilih laluan udara untuk ke Sunda Kelapa.