Tuesday, 18 May 2010

Pengalaman, Gaya dan Kerja Seni

Pak Lugam, mengaut daun kelapa - lidi untuk
dijadi anyaman leka, di Pulau Tioman, Julai 1987
> menjadi watak dalam cerpen " Taman-Taman Laut",
dlm antologi Rindu Pala Muda, DBP 2005
Asas Pendidikan
PENDIDIKAN seni dan sastera masih kabur di setengah golongan masyarakat. Kerap dilontarkan pandangan remeh , seni itu hiburan, sastera itu kerja impian atau khayalan. Malah masih ramai ibu bapa menolak dan mencurigai apabila anak mereka memilih jurusan seni di IPT atau IPTS. Tidak jarang pelajar itu sendiri bingung bila ditawar mata kuliah seni kerana mereka bukan di jurusan itu. Jika mereka memilih kelas ko-kurikulum seni pula, itupun kerana mereka juga tidak ada pilihan setelah tidak mampu memilih kelas yang memerlukan keaktifan di padang atau tidak berminat dalam kerja sosial. Untuk anak-anak yang mula menyedari bakat masing-masing mereka tetap berusaha memilih jurusan yang mereka minati dalam bidang ini. Semua IPT sudahpun menawarkan kursus yang bersangkutan seni, sesuai dengan keperluan semasa. Maka tidak hairan, agar lebih dipandang canggih maka masing-masingan IPT mencipta nama sesuai dengan kebangkitan teknologi. Cuma ASWARA yang berani mengekalkan istilah tradisi iaitu Akademi Seni Warisan Negara.
Kira sebenarnya (pura-pura) lupa sesungguhnya pendidik seni sudah bermula sejak nenek moyang kita menghasilkan karya seni agung , walaupun prosesnya kerja hanya di bawah rumah (seni tenunan , songket, batik, seni ukiran logam terutama hiasan emas perak). Manakala seni rakyat lainya seperti menganyam, membetuk tanah liat, menyobek ragam hias wau, mengukir kayu dan lain-lain telah mencatat nilai sejarah yang tidak mungkin disembunyi oleh mata hati yang kerap mengkategorikan produksi ini sebagai kraf tangan yang kononya tidak memerlu daya intelek. Di sinilah seni dimomokkan, seni yang tidak menghasilkan keuntungan ekonomi, kalau kewangan yang dikejar oleh insan yang memandang seni hanya kerja sambilan.


Program kerabat Persatuan Pelukis Malaysia,
melakar dan melukis bersama Sharifah Zuriah,
di Tasik Chini, Julai 1987
Warisan kepakaran
Setelah menyedari seni itu harus dipelajari maka wajarlah kita mewariskan kepakaran generasi awal itu. Di sinilah setelah menggenggam sedikit pengetahuan, maka seni harus dikembangkan, disebar ke khlayak yang memerlukan pendidikan seni. Seorang guru seni, hanya patuh dengan sistem, senarai mata kuliah yang masih banyak diwarisi sistem Barat. Dalam seni lukis, China mengajar kita sapuan warna tipis dengan sapuan berus dan tinta. Barat membawa masuk peralatan cat yang dipelopori sejak awal-awal pra merdeka. Pelajar seni dibawa belajar ke UK. dan mereka ini pulang dengan meneruskan pengalaman studio seni lukis Barat di Maktab Pergurunan (termasuk SN Syed ahmah Jamal, Khalid Yusof, Ismail Zain dsb ) . Mereka ini juga yang bergabung dengan penubuhan ITM pada awal 1970an. Berapa ramaikah yang menjadi pelukis atau guru seni?
Sejarah berulang lagi. Untuk menjadi pelukis memerlukan perjuangan yang kuat bagi dapat tumbuh subur dan terkenal. Akhirnya kembali kepada Takdir dan ketentuan Ilahi. Allah SWT jugalah yang menjadikan mereka terkenal, pameran berhasil dan lukisan dibeli dan nama mereka yang terpilih ini melonjak ke persada tanah air dan antarabangsa. Tahun 1970an telah menaikkan nama Latif Mohidin (baru pulang dari Jerman-Peranchis), Ibrahim Hussin (UK-USA), Syef Ahmad Jamal (UK-USA).

Melakar di Pulau Ketam, Mac 1987
Sifat Kesabaran
" Harus sabar dan tekun ". Itulah pesan pelopor Angkatan Pelukis Semenanjung (1950-1980an), Datuk Hussien Enas, ketika saya baru pulang dari Jogja. Tradisi Jogja yang kerap mengheret pelajarnya agar berpanas, dan berhujan adalah ciri untuk melatih pelajar seni percaya diri, kuat dan tabah. Latihan skesta adalah kerja wajib sehingga emosi dapat dijalurkan ke haluan kepedulian dan latihan akrab dengan alam. Walaupun anda memilih kerja di studio, kerja latihan jiwa harus melibatkan manusia, alam dan fauna. Tradisi ini juga dipupuk melalui Persatuan Pelukis Malaysia (1980an-1990an), setelah APS padam dan Anak Alam mula (1975-199oan) membawa haluan masing-masing. Tetapi kita pelukis sudah bertapak dengan gaya kerja masing-masing. Ada pelukis sepenuh masa, menjadi tenaga pengajar dan mencuri masa untuk melukis dan berpameran. Ada yang membuka galeri dan terus melukis.
Begini jugalah tradisi kerja seni saya termasuk bidang susastera. Puisi, cerpen atau novel bukan hanya menulis (menaip ) bilik pustaka. Saya harus keluar mendampingi masyarakat, alam persekitaran, termasuk meredah rimba, mendaki bukit, berperahu atau bot laju, kapal laut/terbang. Data-data kajian dicatat saling bertindan dalam diari,buku catatan yang memang khas, satu buku atau dua untuk setiap kerja dalaman mahupu kerja ke lapangan . Mungkin latihan pendidikan di ASRI ini bersambung dengan kerja mendampingi para sahabat, informan kerja penyelidikan, seniman atau tokoh yang saya jumpai dan dampingi sehingga memang mencari di manapun dia berada. Inilah kerja seni dengan gaya pengalaman kembara budaya saya.


Gaya pelukis mendekati masyarakat-
kerabat Persatuan Pelukis Malaysia melukis di Pulau Ketam, Mac 1987


Menjalin persahabatan seni dan seniman

Inilah salah satu kaedah mengukuhkan tradisi ilmu dan berpameran. PPM sejak tahun 198oan kerap mengadakan acara melukis bersama di luar Kuala Lumpur. Di bawah pimpinan Khalid Yusof kami diboyong melukis bersama ke Pulau Ketam, ke Tasik China, Ke Pulau Tioman. Program ini dilanjutkan dengan pameran dengan kerjasama beberapa Kedutaan Asing. Hingga kini gabungan dan kerjasama ini makin kukuh dilanjutkan oleh kelompok muda dan disokong oleh galeri yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kian ramai memahami perkembangaan seni dan cara memperoleh wang untuk pelukis dapat meneruskan tradisi melukis atau memilih kerja Pelukis Sepenuh masa. Kelompok pelukis ini juga membentuk komuniti masing-masing, saling bersahabat menjalinkan projek dan pameran. Selain Balai Seni Lukis Negara dan Petronas yang merajai ruang pameran yang gah dan membanggakan, telah bermunculan galeri dan grup yang menyokong kegiatan seniman muda. Inilah yang disokong dan dilakukan oleh R.A. Galeri, Pelita Hati, Kumpulan Matahati, Art Case, Kumpulan pelukis Jalan Conlay, Galeri Chandan, Citra, Tangsi, Ruang Seni Lostgen, Sokagakai, Annexe dan lain-lain lagi. Galeri bebas ini semakin tumbuh di sana sini. Pelukis kadang mengeluh juga kerana kalau sepenuhnya mengharap kerja galeri yang mengundang, pastilah potongan komisyen lukisan yang terjual boleh tiba ke takuk 40 %. Bagaimana dengan kerjasama? Mencari modal tajaan untuk kos ruang pameran, katelog, jamuan, undangan. Apa lagi mencari pembeli atau sejauh manakah anda dapat menghimpun para kolektor. Inilah rahasia yang harus dipelajari kalau anda memilih gaya pelukis sepenuh masa.

Dunia seni lukis hari ini sudah menjadi produk gaya elit. Para kolektor elit juga sudah mempunyai senarai pelukis dan lukisan yang akan dimiliknya. Ini juga rahsia yang harus dipelajari ketika anda mendampingi sang kolektor. Pelukis yang bijak bukan lagi rahsia kerana sudah kerap mengundang para elita ini ke studio mengadakan jamuan petang atau cocktail party serta menyuguh lukisan menarik di dinding ruang tamu dan bilik jamuan . Atau pelukis ternama sudah mempunyai PR masing-masing (isteri atau suami) mengatur pertemuan dengan membawa katelog, gambar sambil minum petang di hotel bintang 5 di kota metro ibu kota. PR inilah yang kerap menghubungi para kolektor dan galeri, terkadang mendesak lukisan yang wajar dibeli. Anda bagaimana?

Begini jugalah dalam menghasilkan karya susastera. Anda mula menggarab, mengumpul bahan, sebagai kerja asas bagi memenuhi jiwa senimu. Kerana seni itu milik bersama, walaupun berada di bidang berbeza tetapi susastera mempertemukan kita. Kenapa tiba-tiba anda ingin Menulis, berpuisi menulis cerpen atau novel. Inilah anugerah dan kebesaran Ilahi. Kita telah ditiupi roh - rohani dengan kesedaran mencintai mengasihi. Jiwa tergetar, hingga hati terpanggil untuk sama berkongsi pengalaman. Inilah pengalaman seni kehidupan yang harus, harus dicurahkan untuk kita nikmati bersama. Anda sudah memulakan. Kini andalah juga yang harus menyudahkan luahan hati, rasa, fikiranmu Selamat berkarya.

Saya titip catatan kecil daripada cerpen " Taman-taman Laut"

" Dia masih di sana . Sebentar lagi akan pulang" Itulah ucapan Pak Lugam. Aku tidak percaya juga. apabila Pak Lugam dengan suasana berbisik mengadakan, " Bidar selalu membawa susunan batu karang yang menarik, setiap malam bulan mengambang penuh. Dan batu-batu karang itulah sumber rezekiku yang sering dibeli pelancong."

Kini anda sudahpun berada di pulau Pak Lugam dan Suri Bedar!


******
* draf 1 bahan perbincangan untuk Bengkel Penulisan Kreatif Siri 4, "Pemurnian Karya cerpen dan Sajak" Kg Mukut, Pulau Tioman, Pahang, anjuran UPENA, UiTM Segamat Johor, 22-24 Jun 2010

*****

Gombak
19052010





No comments: