Tuesday, 26 May 2009

MELAYU DARAH - PUSAKA WARIS

Hassanuddin ARENAWATI
" Saya bukan Melayu Politik, bukan Melayu Korporat. Tapi saya MELAYU DARAH"
Hassanuddin kembali menuturkan apa yang pernah diungkap oleh ayahandanya Allahyarham ARENA WATI. Ya dia adalah putera tokoh sasterawan kita lelaki pelaut. Lelaki Bugis atau Makassar lebih menjadi Jantan, harus keluar dari kepompong, apa lagi kalau bumi diombrak ambrik oleh penjajah. Demikian juga dijelaskan dalam pertemuan terakhirku (November 2008) dengan beliau sebulan sebelum Pak Arena di masukkan ke wad di HUKM. Begitulah seakan suara tokoh Sasterawan Negara melantun-lantun bila kami para penulis bertemu dalam acara pelancaran buku terbitan Institut Terjemahan Negara pada 19 Mei lalu di Putrajaya. Kalau kawan-kawan lain berkerumun untuk berjabat tangan, menjengah wajah ke arah Menteri, saya lebih senang diam-diam aje, ambil makanan, ambil gambar. Dan wajah anakanda Sasterawan Negara ini, mengingatkan saya dengan wajah sang tokoh waktu muda kutemui di studio Naz Achnaz di lorong Chowkit (sekarang jalan mengarah ke PWTC) atau ketika saya mencuri tutur kata para seniman ketika itu: Pak Sako, Bung Dolah (Datuk Abdullah Hussin), Boestaman saling berdebat di Pustaka Antara (tahun 1967) . Tutur Pak Arena lagi , " Akan sia-sialah Melayu itu, kalau kita masih saja, bertepuk bertandak...kerana asik bersabung ayam: menang sorak kampung tergadai ".
Melihat wajah TPM petang itu yang sudah berkali-kali bertutur dalam bahasa Inggeris di kaca TV, saya terlontar lagi jenaka Arena Wati dalam trilogi Busa Kalbu tentang Perdana Menteri,
Bakal Perdana Menteri
Terlelap pada hujung dini hari
Tidurya bermimpi berkelahi diri sendiri
Dibantai hujan tak sedarkan diri
Kepalanya tersadai di atas landasan keretapi
Terakhir tambah Pak Arena, Melayu itu bukan OLEH pada kulit sawo matangnya, tapi oleh semangat cinta BUDI ALAM MELAYU dengan latar Agama yang bertungak pada IMAN.
(untuk lebih lanjut, sila habiskan novel triologi Allahyarham terbitan DBP 2002).
Petang itu kami berpisah dengan janji Hassanudin akan menyiapkan lakaran rumah sewa mereka, rumah papan bumbung limas di Setapak mengarah ke Jalan Gombak tidak jauh dari Kampung Puah. Di depan rumah itulah saya pernah berlarian malam, dari rumah sewa kami di Setapak menuju Kampung Bandar Dalam kerana Ayah Dei diserang lengkingan kejang dan saya harus memberi tahu dan menjemput dukun di Batu 4.
Al Fateha buat Allahyarham Sasterawan Negara kita. Amin

6 comments:

mie3425 said...

Dr. Siti,

Pertama kali saya mendengar perkataan "Melayu Darah" yang diungkapkan oleh Sdr. Hassanuddin ketika Majlis Tahlil untuk Allahyarham SN Arenawati anjuran ITNM dan PENA pada tanggal 11 Mac 2009. Saya begitu terharu dengan perjuangan Allahyarham yang begitu luhur terhadap bangsanya Melayu dan latarnya Nusantara.

RahmatHarounHashim said...

Beberapa jenis Melayu
1. Melayu Asli
2. Melayu..... Negeri, Daerah di seluruh Nusantara spt Melayu Kelantan, Melayu Minang, Melayu Brunei dsb.
3. Melayu Peranakan
4. Melayu Mamak
5. Melayu Anglofilik
6. Melayu Arab, Melayu Yamani. Bila bertutur BM pakai ana ante. Contohnya Kpg Arab di Surabaya.
7. melayu Perlembagaan
8. Melayu genetik (berdasarkan DNA)
9. Melayu Cape (Cape Malays)
10. Melayu Madagaskar
11. Melayu Srilanka
12. Melayu Taiwan (ada 14 suku Melayu di Pulau taiwan)
13. Melayu Champa
14. melayu Siam (yang hilang bahasanya tetapi mengekalkan budaya Melayu)
15. Melayu Darah
16. Bukan Melayu Berjiwa Melayu.

D'Rimba said...

Anakanda lebih menghormati pejuang bahasa setulus jiwa daripada mereka............

SITI ZAINON ISMAIL said...

haha para sahabat MELAYU...biar Mo Lo Yo, Malayo, Melayu.....kita dah hilang Tanah Melayu = Malaya = Malayan (oleh lidah Barat). Maka tak terjeritpun bila Malayan Banking jadi Maybank ( bank milik Mei si gadis cilik tu...). Bank Bumiputera dah jadi apa? bahasa Melayu pula makin senyap aje di hujung lidah orang Melayu itu...hei Danish, he Irish, nak ke Sentul East? huhahua, betul Rahmad, semoga banyak bukan MElayu ada berJIWA Melayu dengan lancara berbahasa Ibunda sebuah Negara Merdeka...(seperti anakanda kita Adreena). Mie teruskan perjuangan ItNM yang menyokong kerja penulis berjiwa dan berakal Melayu...Mat saya masih mengulang jenakamu dalam PAM...

Adreena Renniow Abendanon said...

Bonda...
Kalau difikirkan memang lucu sekali... rena sendiri tidak tahu susur galur papa jerman + apa... dalam ic keluarga dibilang SERANI... ada nenek jerman sebelah yang dikenal... tidak begitu ramah dengan reena... tidak suka bercerita tentang susur galur mereka juga... namun ada dengar dato rena asal jambi... enggak tahu bangsa apa... Pengasuh reena sejak kecil memang melayu rawa asal perak... yang mengajar bahasa dan sastera indah ini...

Bonda sehat ya?

Skrg masih di jakarta... melawat sekolah lama dan teman2, sambil tunggu untuk ikut serta Martha Tilaar Beauty Revolution Seminar di sini start 6 juni...

Bonda,
tidak penting melayu apa kan... yang penting semangatnya... hehehe

Miss u

SITI ZAINON ISMAIL said...

Ya Reen...Melayu itu hatinya setia , jujur, dan bangga dengan bahasanya ....bonda ada teman seorang pengacara di Jakarta, suaminya orang Indo Belanda...punya dua orang anak...tapi berantakan, kerana isterinya Ambon Madura...warna gelap dan si suami selingkuh, pacaran dengan Indo - serani...lain lagi dengan sepupu bonda , lari ke Jakarta menikah dengan lelaki Indo-Minado, puterinya bernama Rena juga...tapi mereka hilang berita tak pulang ke Tanah Melayu, kerana bingung neneknya makan dengan tangan, pakai sarung, sedang ibunya sudah bergaya dengan cara moden, pakau gaun di rumah. Hingga kini setelah ibu u /nenek Rena meninggal tidak pulang-pulang sampai sekarang. Dengar berita si gadis, chop dirinya sebagai Indo...tak jelas hati budinya apakah masih Melayu? Tapi kerana bahasa dan ilmu, Reena yang ini Melayu tho hahaha.