Semuda Aiman
secerah senyum kecilmu
sopan dan malu
gadis bangun oleh kesedaran lipatan sejarah terbuka
wanita mulia lengkap ilmu di dada
cinta pada keluargasejarah dan bangsa.
Semoga BAHASA IBUNDAmu
juga perkasa seperti bait bahasa dunia
terjaga dipupuk kasih sayang
agar lidah tidak terpintal bersilang ilmu
kerana warisan itu adalah sejarah
kita dilahirkan dengan Penentuan-Nya
di Taman Melayu yang indah
menghirup pantai sejarah
langit aneka panca warna
bumi bercakaran ada nikmatnya
menghirup kopi pahit
juga kita segar
walau kerap ditipu oleh pedagang gula
manisnya kata-kata
kadang menggadai maruah bangsa.
Bangun puteriku Aiman
maya ini luas panca duga
bonda iringi doa restu
untuk meneraju
Bangsa dan Negara!
Bonda Siti
Kampong Bandar Dalam
Kuala Lumpur2 November 2008
*foto daripada http://www.aimanamani.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment