Monday, 25 February 2008

SEJARAH HIMPUNAN 1946



ISNIN 25 FEBRUARI



KAU ingat tarikh keramat - himpunan Orang Melayu di Kampung Bharu pada 1-3 Mac tahun 1946 ? Itulah tarikh keramat hingga tertubuhnya Persatuan Melayu Kebangsaan tatkala masyarakat Melayu dengan berani menolak cadangan penjajah dengan penubuhan Malayan Union. Himpunan diberi nama Kongres Melayu 1 kerana menyedari betapa Raja-raja Melayu telah diperdaya oleh Harold Mac Michael yang diutus oleh Kerajaan Bristih untuk menghapus kuasa Raja-raja Melayu serta menyamaratakan taraf asal Orang Melayu dengan masyarakat lain (China dan India) atas alasan mereka - bersama membangun Tanah Melayu serta menghapuskan dasar peruntukan tanah simpanan Melayu ( Malay Reserved Land).Dengan tipu helah, ugutan (akan melucutkan raja yang tidak menyokong) , dan janji kepada Raja-raja Melayu (memberi pampasan kewangan dan harta kepada generasi istana) , maka yang pertama kali sanggup menanda tangani perjanjian ialah Sultan Ibrahim Johor diikuti oleh Yang DiPertuan Negeri Sembilan sehingga berlakulah kuasa Malayan Union dengan laporan Kertas Putih dan akan disahkan terbentuk pada 1 April 1946. Protes sikap British untuk membentuk Malayan Onion telah menyebabkan pejuang Melayu bangun. Raja-raja Melayu juga sudah membuat pengakuan mereka tidak diberi kesempatan menyemak perjanjian, tidak diberi peluang untuk berbincang dengan pemimpin pembesar dan rakyat atas nama Pertubuhan Melayu Bersatu (UMO) yang diwakili Persatuan Melayu Negeri. Maka dengan sokongan dan bantuan DYMM Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah dan merasmikan himpunan keramat ini. Himpunan ini telah didatangi oleh semua kerabat Persatuan Melayu Bersatu dari seluruh negeri (nama cadangan Datok Onn Jaafar) kemudian ditambah cadang oleh Zaaba memasukkan perkataan Kebangsaan (PEKEMBAR = UMNO). Berapa keratlah yang mampu tidur di hotel, bermalam-malam hanya untuk melakukan kegiataan persatuan. Berapa pula jumlah hotel di sekitar Kuala Lumpur ketika itu. Maka melaunglah mereka berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman di padang tidak jauh dari sekolah kebangsaan Kampung Bharu, di sekitar Princes Road (sekarang Jalan Raja Muda). Maka penuhlah rumah-rumah Melayu, beratap limas, bertangga dan tiang batu yang sudah dibena sejak awal tahun 1920an.

Sisa-sisa kenangan itulah yang kususuri setelah selesai pertemuan PAPTI (Persatuan Alumni Pendidikan Indonesia-Malaysia, Nov 2007). Hanya tinggal beberapa buah rumah saja yang masih bertahan, bersebelahan Sekolah Kampung Bharu, menghala ke Kampung Limau yang tembus ke rumah UMNO asal.Tidak jauh dari Pasar Minggu dengan ikon sejarah jembatan sempit (dah hilang le) lama dapat pula untuk tembus ke Chawkit Road. Di belakang rumah ini juga tempat aku lalu lalang di tahun 1960ahan kalau bermalam di rumah Yasmin adik Datok Firdaus Abdullah di Kampung Limau untuk kegiatan GPMS (Gabongan Pelajar Melayu Semenanjung) dan KPMS (Kesatuan Pelajar Melayu Selangor). Kampung Bharu, Kampung Limau, siapakah yang peduli dengan sisa-sisa rumah lama yang konon menjadi panau menjijikkan pemandangan ibu kota. Rumah semakin goyang, papan dinding patah, kini ditempati pendatang sementara yang berjaja di sekitar Chawkit. Di manakah waris keluarga pemilik rumah-rumah yang dulu menjadi RUMAH SEJARAH yang pernah disinggahi Datok Onn Jaafar, Tunku, Shamsiah Fakih, Boestamam , malah Sultan Selangor juga melambaikan tangan kerana gembira terharu rakyat Melayu menolak Malayan Union yang akan meranap institusi diraja.

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum Puan,

Teruja untuk turut bertanya di manakah bermukimnya agama rasmi yang dilindungi bagai menatang minyak yang penuh di dada-dada jiwa raga yang tidak rela lembing Dayang pulang ke Awang juga di manakah rasminya bahasa yang mendung mega diarak tawa saat pernah disurat perihal Perdana Menteri Seri Maharaja tatkala ashik dengan canda mesra duduk keliling bersama anak buahnya, disua tanya,'apakah mahu kelian melihat emas?'
Emas ditebar di tikar duduk keliling dengan sukat segantang setiap anak buah Perdana Menteri Seri Maharaja dibenar bermain dengan segenggam seorang emas?'

Apa yang sukar diabai bertradisi selama manakah megah Perdana Seri Maharaja yang mengungkap kata 'kekayaan ku datang kepada anak cucu ku makan dia tiada akan habis,' terpendam hanya di sukma rasa?

Maaf andai budi tidak tersusun bahasanya.