Sunday 10 February 2008

BAJU MELAYU BUTANG LIMA


11 Februari 2008


ISTILAH BAJU MELAYU sudah berusia hampir 700 tahun. Ini dikira sejak Sultan Muhammad Syah (1424-1444) , memberi titah, ' di larang memakai cara Atas Angin (Arab termasuk China) , cara Keling(ga/gi)....' (Sejarah Melayu). Sebaliknya apabila baginda menunaikan fardu solat Hari Raya, baginda menyarung baju Melayu (dipakai cara sarung, lengkap destar. Tiba di masjid barulah baginda mengena jubah (pakaian Atas Angin). Dalam teks Hikayat Hang Tuah pula diperikan memakai Cara Melayu = termasuk segala peralatan pakaian kebesaran diraja + tingkah laku sopan yang selaras dengan pegangan Agama Islam. Kenapa baju kurung Cekak Musang berhias lima butir kancing atau butang? Dua butir bertindih di cekak leher, dan diikuti dengan tiga butir di bahgian bawah (belahan).


Dari sisi entnografi sosiobudaya kerapkali saya menjelaskan di bilik kuliah (Kursus Seni Tekstil dan Busana Melayu di UKM, 1980-2005) - itulah lambang keharmonian rumah tangga. Dua butir bertindih di bahagian atas ibarat kerukunan - damai pasangan suami isteri = ayah ibu. Tiga butir di bawahnya melambangkan tiga orang anak mereka = sulung, tengah dan bungsu. Ini sekadar pandangan umum. Mahasiswa-siswi ku tercongak-congak dan ada yang bersuara,

- " Kalau anak mereka hanya satu atau lebih lima orang = tujuh butir lah butangnya, atau sebutir seperti baju Melayu Teluk Belanga? "

Saya teringat pesan Kak Azah Aziz (Mak Engku),

- " Tujuh butir untuk kalangan bangsawan - raja di istana! "

Mahu tidak mahu aku hurus merujuk kepada sistem nombor, yang juga wujud dalam rekabentuk keris = berlok 3 - 11. Lok 11 ialah milik Sultan = pemerintah termasuk Ratu, lok 9 (Cik Siti Wan Kembang), lok 5 untuk bendahara dan anak-anak raja. Begitu juga tangga rumah Melayu dikira berurutan 3-9 mata. Bumbung perabung Masjid Kampung Laut 3-5 tinggat. Kajian seni rupa Melayu harus lagi merujuk kepada filsafat Nakula....akhirnya dua minggu lalu ketika bertemu Molim Ghazali dengan lapang dada saya kutip kuliahnya di Bangunan Wisma Sejarah, Jalan Tun Abd.Razak,

- " Dalam Islam semua nombor hanya di kira dari 1- 9. Dalam kiraan ilmu keislamanan kita boleh merujuk langsung kepada 5 = rukun Islam, atau 6 Rukun Iman".

Jadi setujukah anda dengan jumlah butir baju Melayu Cekak Musang mengira jumlah 5 sesuai dengan pegangan kita, Rukun Islam. Insya Allah sesuai dengan fahaman kita terutama dalam konsep Dawah yang paling sederhana, " Salah satu pokok da'wah itu ialah 'HUSNUL JIWARI - iaitu pergaulan yang baik dengan tetangga dekat . Inilah yang dihurai oleh Prof Dr HAMKA (lih.Prinsip Kebijaksanaan
Da'wah Islam, Pustaka Melayu Baru, K.L.1981,hal.13).

Inilah da'wah dalam cara berbusana, dengan susunan butir butang, mengemaskan lagi hiasan baju, menutup seluruh anggota tubuh, seperti yang telah dicipta oleh Temenggung Hassan yang pertama kali memanjang lengan melabuhkan baju Melayu hampir 700 tahun lalu. Jika diteliti reka bentuk busana ini telah memperlihat watak pemakainya yang harus menjadi bijaksana melambangkan budi pekerti mulia kerana baju ini memperagakan kesopanan yang tinggi (memutup aurat).
Insya Allah. Amin Ya Rabb.


No comments: