PETANG itu mereka mula meredah batu-batu cadas. Percakapan ditandai dengan keramahan bibir masing-masing, tentu saja oleh pertembungan fikir yang hampir sealur. Angin menolak dari belakang, ini amat disadarinya - sebab hampir seluruh rambutnya jatuh ke depan, baju pendeknya berombak dan hampir tersingkap ke paras pinggang. Terasa lapang dan sejuk . Dia menarik nafas dan kemudian melepaskannya, lega. Bertepatan dengan tiupan angin dia juga merakam lepasan nafas yang panjang dari teman sebelahnya. Batu- batu cadas bercerancang. Melihat warnanya yang penuh lumut, dia dapat mengagak usia longgokan batu-batu itu, lapisan dari endapan tanah dan pasir yang sekian lama menimbulknan kesan kesat bagai batu karang laut - cuma warnanya lebih hitam dan sejuk oleh lumut. Kelihatan juga tompok-tompok rumput kering. Sesekali terdengar gemersik pasir berlaga dengan helaian rumput serta derap sepatu mereka. Ah! Ini dia Inau yang bakal memulakan langkah sukma. Dia menatap teman sebelahnya. Satu profil yang teduh dan bersahaja. Langkahnya sesekali tersendat , berlaga dengan tompokan batu-batu di jalan mengelak runcingan daun lalang.
Di langit timur telah mencelah tompokan jingga berselang-seli dengan awan kelabu. Tetapi warna jingga dan merah jambu lebih cepat menambah meriah senja menjelang malam. Kelihatan bagai kanvas impresionistik. Tak tahu kenapa, tiap kali terbentur dengan pandangan langit senja berlatarkan lapisan bukit dan gunung, terhirup pula bau pasir ditambah dengan desir kelicap petang dia kembali dibentur dengan pandangan kerja-kerja masa lalu . Dulu, mungkin lima atau lapan tahun selepas meninggalkan kuliah akhir dia telah ditempatkan di kawasan-kawasan purba, kerja mencari gali yang tidak pernah selesai. Sambil membelek nota-nota, lakaran dalam usia muda, rasanya kerja-kerja berkelompok begitu memang tidak melelahkan. Tidak sekali membosankan. Usik teman-teman sekerja, mencari gali di tapak-tapak bekas zaman silam, kagumnya kepada beberapa orang profesor tua yang tidak bosan- bosan bekerja penuh disiplin meninbulkan semangat gigihnya juga. Terkembang pula daya kebanggaan tentang keagungan sejarah bangsa dan salasilah nenek moyang. Kebanggaaan bangsa dengan kesedaran cintakan tanah air. Kesedaran pertama telah dicatatnya sejak awal sekolah menengah . Seorang guru sejarah kebudayaan menekan semangat itu, ' ...tanpa sisa-sia tinggalan masa lalu, kita bagai bangsa yang kosong, tidak beradab, apa lagi bertamaddun ...!'
Tidak silaplah dia apabila memilih kursus arkeologi. Mula mengunmpul nota-nota sejarah, membongkar serpihan-serpihan artifek, tidur di gua-gua, di pinggir dusun, mengukur, mengukur tapak bekas candi, memanjat cekah-celah gunung . Diapun mengukur membanding rekabentuk Chedi di Lembah Mekong, tapak candi di Lembah Bujang malah dihafalnya jumlah motif kepala Budha di Borobudur aau Ganesya di Prambanan. Itulah kerja nenek moyangku. Nenek moyangmu, teman di sebelahnya juga. Sudah tentu.
Justeru kerja-kerja begitu juga , menjadikan dia lebih suka merenung. Menjadi diam dan terus mencatat. tidak saja di nota, tetapi lebih lagi di otak dan benak fikiran. Ditatapnya ukiran-ukiran tembikar sisa0sia di kaasan Ban Chiang. Garis-garis geometrik berbentuk burung cenderawasih di serpihan loceng gangsa Dong-son kemudian ditemukan juga lakaran yang hanpir sama di Sungai Lang, malah terbentur dengan kepercayaan desa Batu Bulan. Metos Pulau Dewata yang baru dijengahnya, memang perlu dicatat. Dan bukankah teman di sebelahnya telah menyanpaikan mitos bulan yang jatuh di desa itu? Berdetaklah irama keroncong jauh di kolam seninya. Timbul pula tanda tanya siapa lagi kalau bukan merekalah seniman silam yang mengatukan darah persaudaraan, tak terbatas oleh peta politik dan iri. Diapun membayangkan Syihman, Raja Besar Funan itu? Atau mungkin inikah sisa tinggalan keramat sejarah! Tepat dia mendengar dentingan loceng bergema di udara. Gema yang bertingkah antara celah-celah lapisan bukit di persekitaran. Dia menghentikan langkah. Juga teman di sebelahnya, memutar badan dan kembali menghadap bukit yang telah mereka tinggalkan jauh di belakang.
Kelihatan tompokan putih, pakaian para pendeta bukit. Mengingat kesedaran langkah dan hari, dia mengalih pandang ke arah teman di sebelah. Teman itu juga menoleh ke arahnya. Senyuman saling bertukar sapa. Muka mereka kini ditampar angin. Rambut mereka terburai ke belakang. Wajah temannya kini bersih, kelihatan bundar pipih. Bola mata yang hitam bulat disembunyikan oleh lapis yang menyepetkan sedikit alur di hujung mata. Dengan rambut yang berkeriting bagai mayang mengurai itu dia melihat wajah yang dapat ditebak asal keturunannya.
" Kukira, kau juga berasal dari Funan? " Dia sendiri terkejut mendengar suaranya yang tiba-tiba meloncat dengan tebakan rambang.
" Funan? Huh mentang-mentang kau ahli kaji purba, apa kau temui serpihan kulitku seperti serpihan tembikar kajianmu?"
Memang tepat. Teman yang diajak bicara itu begitu cepat menebak otaknya. Bagai ada aliran eletrik dia tersentak dan ingin membetulkan ucapan sebentarnya itu. Tetapi apakah kata-kata atau ucapan yang tepat? Kecuali agak sedikit mereda apabila dia menangkap suara temannya mencelah.
" Tak kiralah . Sama ada Funan, Yunan atan Yunani, tapi kita punyai sejarah dan budaya awal bukan? Hem, puas dengan kerja-kerja kau sebagai ahli kaji purba!"
" Ah, itu kerja masa lalu ketika praktik selepan mengakhiri kuliah dan setelah berbakti sehagai guru lepasan ijazah!"
" Mungkin bisa juga kau ulangi lagi praktikmu yang lalu, dengan model batu-batu cadas di sini! Ha kau tebak saja, berapakah usia longgokan batu-batu berlumut ini, atau nun, berapakah tinggi sisa gunung berapi sana?"
Lentingan loceng di tangan pendeta di kaki bukit itu masih berkerining. Kelompok petani berderet menjunjung bekas sajen menuju ke arah pura. Selintas cepat dia teringatkan petang itu kira-kira pertengahan bulan kalau mengikut tahun Ashoka. Apakah Ashoka juga telah melebarkan sayapnya ke Pulau Selatan, ah, sudah pasti. Cepat akal nakalnya mengusik teman setelah dengan pertanyaan,
" Kau tak ikut upacara sembahyang pertengahan bulan?"" Kau tahu upacara petang Rabu?"
" Bila pula moyangku berkahwin dengan moyangmu?"
Soalan temannya itu sungguh mengejutkan. Tetapi selebihnya dia terbahak. Teman itu juga terbahak sama . Tetapi suaranya lunak dan melampai. Seperti juga cindai di pinggangnya ketika dia mengepak dalam langkah Dewi Candra di kolam air panas. Inikah Panji yang menyamar wajau Inau. Atau akukah Inau yang kehilangan Galuh, Huh! Gamelan bagai meraung-raung dengan tingkah penari yang bergerak dan meloncat tetapi kesan lincah itu tidak pula meninggalkan kesan gaduh dan bising. Ketukan saron bertepatan dengan kerincing juga tabuhan gendang diikuti dengan dengan panahan mata sang penari. Siapa lagi kalau bukan dia yang mengkalungkan untaian kemboja selepas upacara pelancuran!
" Inau Suvharna!" Dia menghulur tangannya gagah dan hormat. Dibukanya cuping supaya nama yang bakal didengarnya tidak disalah ucap.
" Nyi RatnaSuwarni , dari jurusna penata tari juga kuliah di ABA "
"ABA?"
"ABA?"
" Akademi Bahasa Asing, jurusan bahasa Inggeris dan Sanskrit"
" Oh! Patutlah bahasa Inggerismu cantik !"
" Tidak, ah, biasa saja , kebetulan bakat praktik !"
" Praktik?"
" Hem, sebagai part time guide , sekadar untuk tambah wang kuliah "
Itu pertemuan di hari pertama sempena rombongan para Menteri Asia di Pulau Dewata. Hari kedua, hari ketiga dia tidak melihat kelibat Nyi Ratna Suwarni. Wajah dengan tiga untai nama yang dijejerkan manis. Dua untaian terakhir - Ratna dan Suwarni cepat ditangkap maknanya. Dengan rasa bangga yang tersendiri, dia bagai menakluk kedua-dua nama itu. Yang terakhir dia menemukan namanya di situ, hanya berbeza ejaan, mungkin membawa makna yang sama. Wah! Kebetulan atau ada misterinya? Tidak kira Ratna atau di tanahairnya disebut Rattana bukankah sesuai pula dengan kemilau wajah penari yang ramah. Memikir nama saja, telah turut mengembang naluri kelakiannya. Dadanya tiba-tiba bergemuruh. Dia ingin cepat bertemu dengan penari itu. Tetapi di mana? Apakah perlu dia menjadi Phra Ram untuk menakluk Nada Sida jauh di Pulau Selatan yang didatanginya.
***
TUGASNYA hampir selesai. Persidangan menteri-menteri Asia tepat seperti dalam jadual. Upacara liputan tv, menemuramah telah diselesaikan dengan selesa. Kerja-kerja terjemahan tidak banyak mengganggu keinginannya yang terdesak. Menteri telah memulakan lawatan ke kawasan pelancongan. Dia sendiri menyisih dan ingin bersendirian. Atau lebih tepat, mana Nyi Ratna Suwarni? Dia menjabat tangan menteri tetapi di matanya tumbuh senyuman Nyi Ratna Suwarni. Dia melepaskan salaman menteri cepat-cepat, apabila sedar di depannya ialah tokoh wiran bukan dewi. Menteri juga tidak perlu pengiring buat ucapan terjemahan. Menteri cuma perlukan terjemahan untuk acara rasmi. Untuk dialong informal, menteri fasih berbahasa antarabanga. Cuma kebanggaan kepada budaya kebangsaan, baik melalui bahasa atau pakaian , mereka digalakkan berwajah pribadi negara.
Kini tugas untuk peribadi negara telah usai. Tugas pribadi diri lebih mengusik. Pintu mana harus diketuk? Dia tidak mahu menjadi Phra Ram kehilangan Nang Sida di Pulau Selatan ini!.
" Anda fasih berbahasa Nusantara?". Itulah teguran setelah Nyi Ratna Suwarni mengkalung kemboja di lehernya. Dia menatap mata sang penari. Bersinar dan mantap. Orangnya tidaklah berapa cantik mungkin kerana dia membandingkan kulit penari itu. Putih melepak di muka hingga ke tengkuk dan leher. Tetapi makin mengelap di celah bahu hingga ke lengan. Atau kenapa harus membandingkan warna kulit? Mungkin kerana dia sendiri seorang lelaki yang dilahirkan di tanah Ligor, berdarah campuran dari keturuan Tanah Besar China bergabung pula dengan titisan darah moyang dari benua Barat, menjadikan wajah cerah cepat kemerahan dalam sinar mentari sedang memuncak. Tetapi ada gerak lain menjadikan dia tiba-tiba terpukau.Ada satu kesan yang membuatkan dia begitu dekat dengan Nyi Ratna Suwarni. Mungkin bahagia mata atau mungkin senyum yang muncul di balik bibir yang tipis. Apakah kerana jelingan tajam memancar dari langkah gerat tari Arjuna? Wajah yang memanah terus ke jantung! Di situlah ada riak yang meronta dari dalam. Nah ! Akulah juga Arjuna yang menunggu leluhur dijelmakan semula jauh di puncak Semeru!
No comments:
Post a Comment