Thursday, 5 May 2011

Detik Perpisahan, jurai palma masih melambai (23)

Bukit pasir merah sepanjang Ariha- Jericho menuju ke lembah Laut Mati ke perbatasn Jordan

BAGAI melakukan tawaf widak, buat terakhir, kami dibawa masuk lagi ke masjid Al-Aqsa melewati Tembok Ratapan. Hujan sudah merimbas, garis gerimis makin tajam. Peluang untuk lebih lama melihat gelagat pengunjung Yahudi berdoa dan meratap tidak dapat dilakukan. Pengawal di pintu pagar sudah mula membebel dengan pengunjung Yahudi dan Kristian yang tidak sabar untuk masuk ke dalam tembok. Hisham meminta kami agar segera mengambil wudhuk untuk solat sunat masjid, jamaq qasar zuhur-asar. Pesannya lagi " Panjangkan doa, agar selamat perjalanan ke Makkah -Madinah dan kembali ke tanah air " .

Bilik air penuh dengan jemaah Muslimah, ada yang terjerit berebutan paip air. Polis Israil segera meninjau dengan rungutan menghalau kami untuk cepat keluar, dan terus masuk ke dalam tembok untuk memasuki kawasan masjid.

Apakah doa kami masih dikabulkan. Adakah hari lagi untuk kami kunjungimu wahai masjid jauh Al -Aqsa. Hisham masih tidak selesai menjunjukkan kawasan berdarah, bekas tembok tempat anak-anak perempuan mengaji , juga turut dilimpahi darah berulang kali. Kutinjau lagi pagar yang memisahkan ruang mengaji dengan pustaka kecil, kelihatan suram dan seorang gadis sedang merapikan cataan di meja. Memang tidak ada peluang untuk meninjau kitab-kitab sejarah, agama dan falsafah Arab. Kami hanya berdoa, menatap mimbar dan mihrab, tetapi pandangan batin masih terpapar, serangan tentera Israil sejak mereka berkuasa, mencuba merampas masjid ini berkali, percubaan membakar, serangan, amukan masih saja berlaku.

Detik zuhur sudah berlalu, hujan makin menderas. Tetapi kami melangkah gagah, merayap di bawah jejeran pohonan zaitun menuju ke gerbang Kubah Emas. Hisham bagai segaja tidak membawa kami menjenguk ke bangunan kubah kecil di situ telah berdiri arca Manorah. saya tahu, manorah itu ada di situ. Biarlah.

Kami tinggalkan lapangan al -Aqsa, qubah Sakhrah dengan rasa berdarah, bilakah Fatah dan HAMAZ dapat menyatu untuk bangsa yang dahagakan kasih sayang umah. Gelora politik yang tidak sehaluan, hanya menguntungkan musuh. Detik perpisahan pun tiba, bas bergerak perlahan, kami tinggalkan al Aqsa dalam tembok tinggi, agam - entah siapa pula yang akan menguasai Kota Lama ini. Kecuali Kau yang Maha Tahu, Rahsia Hari Akhir, ketika umat durhaka akan dihancurkan bersama mala petaka?

Perjalanan makin merendah ke kawasan lembah, Laut Mati kelihatan melandai, dalam hujan dan awan makin gelap. Ya kami tidak singgah ke sisa negeri Sodom itu. Perjalanan 50 km menuju ke jambatan Allernby - King Hussein, langit sudah kelabu. Setengah berjenaka Hisham berpesan,

"Kawan-kawanku, anda tidak pulang...di sini tanah airmu juga, datanglah lagi dengan kasih dan cinta. Saya akan menunggu di sini , selalu. InsyaAllah "

Sebelum berpisah di perbatasan, soalan lain tanpa terduga, " Anda mahu bawa Hamzah pulang bukan? "

Ketika kami berpindah ke bas yang baru tiba dari Jordan, dalam kelam petang, Hisham sudah menghilang, setelah mengucapkan salam " Saya tunggu tulisan ziarahmu ! " Jauh di Lembah jurai palma disaluti deraian gerimis.


5 Mei 2011
(ketika catatan ini selesai, terkabar Fatah dan HAMAZ sudah menandatangi kesefahaman di Mesir. Masyaallah, satukan kasih antara perjuangan politik dan agama demi bangsa dan tanah Kota Suci Mu. Amin)

2 comments:

IBH Blog Harian said...

ya Terima kasih Dr

menarik

SITI ZAINON ISMAIL said...

tks.IBH. harap buku ini dapat terbit dengan selamat.InsyaAllah