Monday, 16 May 2011

Sudut Penulis, Dewan Sastera > Studio terbuka Anak Alam

Lakaran/sketsa oleh Mustafa Haji Ibrahim, DS, Ogos 1973

Jarak Waktu : 1975

ANAK ALAM tidak akan melupakan jasa seluruh kerabat DBP sepanjang tahun 1970-1980an. Dengan usaha Usman Awang (Allahyarham SN Dato) , kami diberi ruang akrab untuk penyair dan pelukis. Ide memasukkan lakaran seni lukis sudah melantun di kepala Oom Latif sejak menemani perjalanan UA di Amerika. Oom memberi ide, lakaran bukan sebagai tempelan, menghiasi tulisan, semacam illustrasi, kecil di pojok ruang Dewan Sastera (DS) . Tetapi ia harus berdiri sebagai karya seni, kalau bagus, di ruang sehalaman. Terjadilah. Kemala ( sekarang SN Dato' Dr) juga berkirim kabar ketika saya masih di Jogja,  " Kirim puisi juga sketsamu". Muncullah lakaran hitam putih hampir setiap bulan. Ada yang mendapat ruang sehalaman, setengah atau secercah wajah. Tetapi kami tetap gembira. Wah DS sudah menjadi dinding galeri seni cetakan.

Acara lelong lukisan, di Sudut Penulis DBP 1974


Sudut Penulis pula, memang kecil, namun menjadi meriah dengan berbagai acara Anak Alam. Tahun 1974, Jo (Zulkifli Dahlan) dan Ali Mabuha akan memulakan kembara. Kami mengadakan acara lelongan lukisan. Ramai kolektor seni datang, tokoh seniman menyokong antaranya Pak Mail (Alhahyarham Ismail Zain, Pengarah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan,  KKBS), Senator Kamarul Ariffin (sekarang Tan Seri, kolektor seni), Datuk Baharudin Musa (KSU KKBS). Juru tukang lelong, Norma Nordin riuh rendah. Ramai kelihatan wajah seniman menyokong, baik dari kalangan teater ( mendiang Krishan Jit), pemuzik ( Allahyarham Ibrahim Bachik), pelukis muda, penari, penyanyi. Menariknya para hadirin datang dengan rasa kesenian yang akrab , dengan kesedaran menghargai kerja seniman.

Ketika itu, hanya Latiff Mohidin dan A Ghafar Ibrahim ( AGI pelukis-penyair) saja yang sudah 'punya nama', sedang kami baru berputik. Tetapi pohon teguh begitu menaungi pucuk baru. Sungguh besar Jasa Allahyarham Usman Awang, Ismail Zain, Tan Seri Kamarul, Tan Seri Baharudin Musa, anda adalah 'Penaung seni Anak Alam'. Manakala Baha Zain (Datuk Baharudin Zainal), Kemala (Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullaha), AF Yassin (Ahmad Fadhil Yassin), Suhaimi Haji Muhmmad, Shamsudin Jaafar, Dinsman, Sotong Ar, Ajikik, Syed Jaafar, Ayub Yamin dll, serta semua pelukis grafik DBP adalah penyokong yang menggerak kerja seni Anak Alam. Anda semua (walau ada nama tercicir ) adalah tempat tumpahan kasih kami. Allahuakbar!

Di manakah denyut kasih seni Sudut Penulis DBP sekarang?

Siti Zainon Ismail (warga Anak Alam ), 17 Mei 2011

No comments: