Monday, 25 February 2008

CAHAYA DARI JEJENANG




SELASA 26 fEBRUARI

KOTA kita terasa sekali garingnya minggu ini. Setelah berbulan-bulan bumi dilanda hujan, basah dan banjir, kini sepanjang awal Februari, angin bertiup malas, langit kadang-kadang masih kelabu walau kekeringan semakin cepat menyengat tubuh. Embun pagi pula tidak semeriah bulan Desimber memercik airmatanya. Kelopak keladi di halaman pinggiran rumah kelihatan kaku, jejuang meninggi walaupun embun seperti mahu melupakan mereka. Beberapa lubang yang kugali menyimpan butiran benih kacang sepat lebih tiga minggu masih mendiam kaku di tanah - tidak muncul juga kelopak daunnya. Aku mengintai dari jejenang tingkap, julai daunan buluh berdesir - terperanjat mungkin kerana aku menguaknya di pagi hari. Jejenang pun mula diselusuri cahaya matahari. Angin tiba-tiba mendesah. Masihkah jejenang di atas tingkap rumahmu membawa cahaya indah anugerah-Nya?



Dulu sejak kecil di ruang inilah aku kerap duduk menanti. Bilakah Mak pulang dari Kota Bharu.Musim sedih, tertanya terlalu memuncak kalau tiba bulan puasa, menjelang hari raya. Bertahun-tahun aku menunggu Mak, menunggu adik Wati, tapi anehnya, ketika Mak sampai aku lari bersembunyi di balik pintu. Aku malu melihat Mak pulang, kenapa? Bertahun-tahun aku memendam kenangan perasaaan itu, gembira Mak pulang tapi kenapa tidak berani mengejar dan mendakapnya?



Setelah rumah agam nenek diruntuhkan (1971), diganti dengan rumah rendah tanpa tiang untuk diduduki keluarga Mamak Deris, benar aku kehilangan jejenang jendela. Rumah kayu nenek dengan jendela tinggi, daun berkelopak dua kerap kubuka setiap pagi. Menjelang senja jendela kurapatkan semula. Bertahun-tahun aku kehilangan daunan jendela yang kerap ditembusi cahaya, ditiup angin bebas masuk ke ruang anjung. Kehilangan rumah asal nenek sungguh menyakit rasa dan ini harus kuubati. Maka kucari tukang, Win yang begitu baik hati, sabar, malah pengalamannya membina rumah di kampung asalnya di Ranah Minang, memang mengkagumkan. Kami dirikan anjung meninggi di bahagian depan rumah Mak. Meniru kembali jendela rumah nenek lama yang sudah hilang. Kukumpulan ukiran yang digugurkan oleh Pak Usu di rumah lamanya di Sungai Besar. Peluang itu datang tanpa sengaja, kerana aku menemukan ukiran untuk hiasan jejenang yang telah berusia lebih 50 tahun. Dari Kota Bharu kudapat ukiran yang dihasilkan oleh Latif Long, ku hiasi di atas pintu menunju tangga. Paling sedikit hatiku terubat, kerana jejenang pintu tiba-tiba tumbuh di rumah hutan kami di Kampung Bandar Dalam (2003). Sebutan rumah hutan ini berkali-kali diulangi oleh pelukis Asam Gelugur yang tiba-tiba mengetuk pintu dan menghulur benih pohon asam gelugur khusus dibawa dari Kedah. Benih pohon asam gelugur ini kelak akan menambah rimbun kebun warisan datukku Husin Maharajolelo berasal dari Turawan Tigokota Batusangkar yang tiba meredah bumi Tanah Melayu sejak tahun 1896 dulu !

YANG BERTAHAN - LOW YAT





ISNIN 25 FEBRUARI

HANYA tinggallah sekeping papan tanda nama jalan, yang masih terpacak di simpang ke Jalan Sentul-Karak-Gombak. Di sebelah kanan dan kiri telah berdiri tembok tinggi, tiang besi bercerancang. Di kanan ialah bekas pinggir Kampung Chubadak yang sudah 'dihilangkan'- kecuali di bahagian menghala ke sungai Gombak. Kenapa aku masih saja mencari jejak yang MEMANG SENGAJA AKAN DIHILANGKAN. Jawaban mudah yang kerap dipropagandakan : demi pembangunan!

Di Sungai hanya tinggal batu hampar yang tidak dapat dihancurkan, sehingga kontraktor Korea angkat tangan, mengaku kalah - batu itu sudah menunjang jauh ke dasar bumi. Kini tinggallah hamparan batu di sebelah utara dan selatan jembatan yang menuju ke Karak Highway. Di sungai inilah dulu kami bersama cucu-cucu apek Low Yat mandi manda , membasuh pakaian dan berarak mengutip buah letub-letup di celah semak lalang di sisi surau tinggi kami. Melor terkejut dan bertanya,

- " Siapa cucu-cucu Low Yat - itu nama cukup terkenal, bangunan mewah di Bukit Bintang? "

- " Ialah dulu Low Yat tu berdagang kicap di Batu 4 3/4 depan Pasar Besar "

- "Jadi masih ada cucu Low Yat tu"

- " Juga cicit-cicit yang mengalirkan wang moyang mereka dengan IT bisnes tu
lah"

Low Yat hampir sama terkenal dengan Mat JP (Junus Putih) datuk penggawa kaki tangan kerajaan yang mampu mendirikan rumah limas, besar di Batu 5. Rumah itu masih berdiri agam sampai sekarang, walaupun Jalan Gombak sudah melandai di depan tangga hanya berjarak tiga langkah. Gudang kicap Low Yat masih ada disitu, dikawal dengan palang besi, walaupun mereka sudah mendiri industri mewah di Bukit Bintang dan mengeluarkan biasiswa untuk pelajar sekolah Chong Hwa Gombak - Setapak hingga pelajar univerisiti. Kemana pula harus kita usung rumah lama Abdullah Haji Hukum, Rumah tempat tidur pejuang Kesatuan Melayu Kebangsaan di Kampung Bharu?











si

SEJARAH HIMPUNAN 1946



ISNIN 25 FEBRUARI



KAU ingat tarikh keramat - himpunan Orang Melayu di Kampung Bharu pada 1-3 Mac tahun 1946 ? Itulah tarikh keramat hingga tertubuhnya Persatuan Melayu Kebangsaan tatkala masyarakat Melayu dengan berani menolak cadangan penjajah dengan penubuhan Malayan Union. Himpunan diberi nama Kongres Melayu 1 kerana menyedari betapa Raja-raja Melayu telah diperdaya oleh Harold Mac Michael yang diutus oleh Kerajaan Bristih untuk menghapus kuasa Raja-raja Melayu serta menyamaratakan taraf asal Orang Melayu dengan masyarakat lain (China dan India) atas alasan mereka - bersama membangun Tanah Melayu serta menghapuskan dasar peruntukan tanah simpanan Melayu ( Malay Reserved Land).Dengan tipu helah, ugutan (akan melucutkan raja yang tidak menyokong) , dan janji kepada Raja-raja Melayu (memberi pampasan kewangan dan harta kepada generasi istana) , maka yang pertama kali sanggup menanda tangani perjanjian ialah Sultan Ibrahim Johor diikuti oleh Yang DiPertuan Negeri Sembilan sehingga berlakulah kuasa Malayan Union dengan laporan Kertas Putih dan akan disahkan terbentuk pada 1 April 1946. Protes sikap British untuk membentuk Malayan Onion telah menyebabkan pejuang Melayu bangun. Raja-raja Melayu juga sudah membuat pengakuan mereka tidak diberi kesempatan menyemak perjanjian, tidak diberi peluang untuk berbincang dengan pemimpin pembesar dan rakyat atas nama Pertubuhan Melayu Bersatu (UMO) yang diwakili Persatuan Melayu Negeri. Maka dengan sokongan dan bantuan DYMM Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah dan merasmikan himpunan keramat ini. Himpunan ini telah didatangi oleh semua kerabat Persatuan Melayu Bersatu dari seluruh negeri (nama cadangan Datok Onn Jaafar) kemudian ditambah cadang oleh Zaaba memasukkan perkataan Kebangsaan (PEKEMBAR = UMNO). Berapa keratlah yang mampu tidur di hotel, bermalam-malam hanya untuk melakukan kegiataan persatuan. Berapa pula jumlah hotel di sekitar Kuala Lumpur ketika itu. Maka melaunglah mereka berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman di padang tidak jauh dari sekolah kebangsaan Kampung Bharu, di sekitar Princes Road (sekarang Jalan Raja Muda). Maka penuhlah rumah-rumah Melayu, beratap limas, bertangga dan tiang batu yang sudah dibena sejak awal tahun 1920an.

Sisa-sisa kenangan itulah yang kususuri setelah selesai pertemuan PAPTI (Persatuan Alumni Pendidikan Indonesia-Malaysia, Nov 2007). Hanya tinggal beberapa buah rumah saja yang masih bertahan, bersebelahan Sekolah Kampung Bharu, menghala ke Kampung Limau yang tembus ke rumah UMNO asal.Tidak jauh dari Pasar Minggu dengan ikon sejarah jembatan sempit (dah hilang le) lama dapat pula untuk tembus ke Chawkit Road. Di belakang rumah ini juga tempat aku lalu lalang di tahun 1960ahan kalau bermalam di rumah Yasmin adik Datok Firdaus Abdullah di Kampung Limau untuk kegiatan GPMS (Gabongan Pelajar Melayu Semenanjung) dan KPMS (Kesatuan Pelajar Melayu Selangor). Kampung Bharu, Kampung Limau, siapakah yang peduli dengan sisa-sisa rumah lama yang konon menjadi panau menjijikkan pemandangan ibu kota. Rumah semakin goyang, papan dinding patah, kini ditempati pendatang sementara yang berjaja di sekitar Chawkit. Di manakah waris keluarga pemilik rumah-rumah yang dulu menjadi RUMAH SEJARAH yang pernah disinggahi Datok Onn Jaafar, Tunku, Shamsiah Fakih, Boestamam , malah Sultan Selangor juga melambaikan tangan kerana gembira terharu rakyat Melayu menolak Malayan Union yang akan meranap institusi diraja.

DI BAWAH RIMBUN BULUH

ISNIN - 25 FEBRUARI 2008




RUMAH di bawah rimbun buluh - disebut oleh tamu yang datang bermalam baru pulang dari Amsteram katanya - " Wah aku bermalam di bawah rumpun bambu". Di lorong sempit kereta masih saja lalu lalang. Dengan gaya masing-masing, memandu dengan santai, berhati-hati kerana dia tahu, lorong di Kampung Bonda Dalam, menuju ke Kampung Padang Balang terus ke Taman Melewar atau ke Kampung Changkat - memang sempit. Tapi ada juga pemandu kereta yang pongah sombong, kerana dia bukan orang kampung asal, bergaya dan merungut-rungut kenapa daunan pokok berjuntaian, mengganggu lalu lalang. Aku kerap mendengar rungutan itu ketika mencantas dahan pohon mambu yang meneduhkan halaman dan bumbung rumah, atau ketika menyembur air menyiram pohon kemboja, rumpun pandan wangi - rungutan itu menambah aku taksub, membiarkan julai dahan semahu mana pokok itu subur berkembang.

Alkisah dapatlah kudengar juga ketika kuhubungi tukang bengkel kereta untuk membawa bateri baru mengganti bateri keretaku mogok . Tanyanya -
- " Di Rumah mana? "
- " Rumah setelah 'bumper' ketiga di bawah rimbun buluh "
- " Oh rimba ledang - rumah hutan itu ke "

Kerana rimbun buluh melandai keluar di celah pagar, menjulang pucuknya menyentuh rentangan letrik dan tiang telepon, maka disebut mereka rumah kami itu sudah memasuki realisme hutan!

Sunday, 24 February 2008

PUTERI ROKAN


ISNIN

25 FEBRUARI 2008


PUTERI ROKAN nama yang cukup dikenali dalam Sejarah Melayu disebut Puteri Rekan.Hubungan Kerajaan Melayu-Melaka dengan Rokan di Sumatera itu ibarat perjanjian persahabatan yang harus 'dipatahui' oleh Sultan Muhammad Syah (1424-1444). Apabila datang mengadap ke Melaka, maka ditabuhlah gendang raya lalu dipantunkan orang Melaka seperti ini,

Gendang raya dapat dibunyi

Raja Rekan masuk mengadap

Orang kaya apa dibunyi

Dendam saya berdapat-dapat

Bagai cincin kena permata (lih. Shellabear, 63).


Berkahwinlah Sultan Muhammad dengan Puteri Rekan hingga beputerakan Raja Ibrahim. Dengan isteri pertama baginda Tun Wati ( bondanya Rana Sandari berayahkan Mani Purindam), berputerakan Raja Kassim. Inilah yang dijadikan helah dan alasan maka Puteri Rekan menyuguhkan puteranya mengambil kuasa setelah mangkatnya Sultan Muhammad. Raja Kasim yang baik budi di sayangi rakyat Melaka tersingkir dengan alasan anak kacukan. Yang Melayu tulin ialah Raja Ibrahim diberi gelar Sultan Abu Syaid. Setelah Sultan Melaka mangkat berkuasalah Raja dan Puteri Rekan. Raja Rekanlah memangku cucunda saudara yang masih kecil, juga nakal. Maka meratap tiada guna lalu berkeluhlah pembesar dan rakyat Melaka, Seri Nara Dijara dan Bendarapun tiada kuasa. Raja Kassimpun tersingkir menyamar diri menjadi nelayan dan berniaga ikan di pantai Melaka.


Takdir juga menyebelahi nasib Raja Kassim kerana dialah putera sulung yang disayangi marhum ayahanda, apabila bertemu dengan Maulana Jalaludin yang berlabuh di kuala. Kabut mendung yang menyelubungi langit Melaka mula tersebak, kerana Maulana dapat merasakan, pemuda penjual ikan ini adalah titih dan bakal berkuasa di Melaka.

Perang saudara terjadilah di Melaka . Setelah berjanji dengan Maulana yang mahukan Puteri Rekan, maka bersemangatlah putera raja, bertemu di malam gelap gelita dengan Seri Nara Diraja, menemui Bendahara maka menderamlah gajah bernama Juara Demang.Ributlah kota Melaka , Raja Kassim menuntut tahtah diraja.


Raja Rekan tidak ada pilihan Sultan Syahid ditikam sebelum dirinya sendiri ditikam orang. Tamatlah riwayat pemerintah Sultan Syahid yang hanya berusia lima bulan. Maka ditaballah Raja Kasim bergelar Sultan Muzaffir Syah (1445-1459). Seperti yang dijanjikan, ' maka disuruh baginda hiasi orang dayang-dayang yang baik rupanya dengan selengkap pakaian, diberi kepada Maulana, dikatakan Puteri Rekan'(ibid,65). Maka Puteri Rekan menjadi isteri Maulana lalu di bawa pulang ke atas angin.


Inilah takdir wanita dimana yang menentukan adalah keris dan kuasa. Puteri Rekan meninggalkan tanah air dan istana, dari Rokan ke Melaka lalu dibawa semakin jauh ke Tanah Arab sana. Berzuriatkah mereka. Masih adakah zuriat mantan permasirui Melaka di benua jauh sana?

Friday, 22 February 2008

SECANGKIR MINUMAN




SABTU

23 FEBRUARI


MINGGU ini terasa pula diri dimanjai oleh para sahabat. Ketika datang mengurus kesihatan di klinik harian HUKM tingkat 2, bertemu dengan DR Nazri diajak bicara ramah - keluar saja di ruang tuggu di meja panjang sudah disediakan secangkir coklat panas. Aku ragu-ragu menerima pelawaan perawat yang bertugas sehingga dia mengulang lagi bicaranya, - " Prof minuman di meja sana"



Aku menoleh ke kiri ke kanan ke depan ke belakang. Ada yang menjeling aneh dan tertanya, kenapa pesakit tu dihidang minuman. Tetapi kerana belum sarapan sejak pukul 8 pagi, ketika itu sudah pukul 10.30, hidangan itu tidak dapat ku tolak. Minuman coklat panas dengan empat keping biskut kering. Sambil mengangguk ke arah pesakit lain, aku memberi tanda ajakan untuk minum bersama, maka seorang wanita Cina berusia lebih 60 tahun pun mengangguk kepala berkaca mata hitam yang jatuh di tengah hidungnya -tersenyum ramah. Pandangan itu berlaku di hari isnin 18 Februari.

Semalam, Jumaat ketika menghantar tulisan tentang Latiff Mohidin, Ina editor DS tiba-tiba membancuh nescafe dengan hidangan biskut kering masih berbalut. Wah, datang pula ketua editornya Ilah, juga diajak minum oleh Ina. Aku mengusik Ina,

- " Wah pertama kali sejak bangunan baru DBP di tingkat 20 ini aku disuguhkan minuman. Sungguh malaikat berbaik hati dengan memberi minuman ini ya"

Mestinya ruang majalah DS/DB wajar menyediakan ruang kopi untuk para penulis yang datang berkunjung. Sediakan saja teko letrik, kami boleh letak duit di kotak yang disediakan . Kopi atau teh boleh bancuh sendiri. Tidaklah kami tercari-cari meja dan kerusi kosong untuk duduk menanti editor atau pembantunya belum tiba. Sudah berkali-kali aku keluar begitu saja setelah mencari editor tiba-tiba harus keluar, sedang pembantunya yang muda-muda ragu pula menegur kami. Tepat kiraanku bila Ina menunjuk ke arah pembantunya, masih baru di situ, mengatakan dia mahasiswaku lulusan 2002. Tetapi kenapa dia tidak mengenalkan dirinya.

" Malu untuk tegur Prof? "

" Malu? dapat markah berapa dalam kelas saya dulu, anda buat esei tentang...? "

" Saya dapat A, kita buat kajian di Tengkera, kaji masjid - seronok ikut kelas Prof ? "

Tetapi otakku masih tertanya, kenapa banyak mantan mahasiswa ku masih berat mulut untuk bertegur sapa? Mujur juga beberapa sudah menjadi sahabatku , rajin menghantar suara - atau kerana mereka lebih percaya diri kerana berpeluang ke peringkat lebih maju buat MA atau Ph.D? Aku terlayang wajah mantan mahasiswa yang telah berjaya - terhimbau keluh Awang di UMS, Mahzan di UUM. Masih ada keluh, kecewa. Kata mereka, " Ada iri dan cemburu di dunia akademik kampus ya Prof?


GEMPA LAGI

Sabtu
23 Februari 2008


"YA GEMPA kemaren di Seumeulu terdapat kandungan minyak dan natural gas melebihi
Emirate Arab, masa eksplorasi 300 tahun lebih pemakaiannya" . Ini SMS kedua masuk dari Banda Aceh ( 21-02-2008: 10:15:46 am, AT). Si pengirim lebih awal beritahu,

"Aku trauma lagi, gempa kuat di Banda Aceh"(20-02-2008:03:22:27pm)
Berita pukul 1 tenghari memberi khabar gempa di Seumeulu. Turut mengoncang Lembah Kelang dan Pulau Pinang. Berita jam 8 malam mengkhabar lagi, 'gempa 7.2 ritche' 40 orang meninggal ! Tiga tahun lalu gempa mencapai 8.3 ritche. Rumahnya diamuk badai walau masih utuh tetapi keluarganya musnah sehingga ia trauma tidak mampu lagi bertapak di sana.

Apakah dunia semakin parah. Hingga dasar laut membuak panas meledak, dan seperti pesan dari SMS minyak dan gas juga melambung mencuat. Siapakah yang kaya selepas ini. Apakah tanda-tanda itu semua surat tersurat sejak lama. Sejak dulu kita telah dikhabarkan - mengutip dari Al Quran, bumi dihancur banjir, laut bergelora, terbelah dua bumi ditelan sejak berzaman. Tapi manusia adalah subjek putaran alam dan kehidupan. Menangis ketawa, menerima seadanya dan juga cepat melupakan. Sungguhkan?
-"Bila mahu pulang ke Aceh kak" - SMS Dheknong masuk lagi.
-"Yok kita atur acara melukis lagi, boleh dapat sponsor Balai Seni Lukis KL, kak? "- ulang Mahadi lagi.
Tapi aku cukup lelah juga. Setelah tsunami dua kali pulang ke sana. Duniaku pun oleng juga. Pondokku lebur, hilang tidak berjejak di Gampong Baro, Hujung Batee. Si kecil Mardhiahku hilang di telan laut. Tinggal jejeran pohon kelapa masih melambai. Laut Hindi terbuka luas sekali. Akupun mengutip sisa-sisa buku di sekitar perumahan di IAIN pula. Mereka sudah capek, buku bertaburan. Dengan drawing block dari Mansur Chowkit kami melukis dengan kanak-kanak di penampungan. Selepas itu dalam sendu aku pulang dengan kesan Nol, anak angkatku lebur, beberapa sahabat seniman dan sarjanaku juga ditelan ombak besar . Datang lagi setahun lepas itu, aku tersentak, tergamam, Acehku berubah wajah. Kelompok NGO hilir mudik - rumah-rumah sisa tsunami dibangun - di mana-mana aneka bendera tercacak dengan megah - negara itulah yang membina bangunan. Kafe tumbuh di mana-mana. Azan pun berbaur dengan muzik di Kafe Ketapang. Perempuan juga di mana-mana walaupun sudah remang senja. Wanita Aceh? Atau pendatang- para pembantu NGO.
Di meja kafe, hp bergetar, hp 1, dua 2, hp 3 - milik orang yang sama. Aku sendiri yang tergelepar. Dengan riuh rendah kereta lalu lalang - aku kehilangan ketenangan Banda Aceh sebelum tsunami , atau gelap murung zaman DOM. Sebuah kereta jeep berkilat berhenti di depan kafe Ketapang. Wanita genit, dengan ujung jari menyepit rokok, baju ketat dan skirt pendek, wah dari mana? (esoknya kembali ke Medan dalam penerbangan wanita itulah menyuguh gula-gula - pramugari dia). Datang kali kedua setahun kemudian itu rasaku semakin gencar. Bahagia tentunya melihat Fozan sudah mempunyai sekolah sastera, kedai buku dan pustaka ilmu. Dheknong sudah menerbitkan buku-buku puisi. Dan anak angkatku yang masih bersisa ? Ketika mencarinya hingga ke Saree - Si Rahmah sudah bersalut rantai dan gelang besi, bersuara dengan canda mesra dan menantang dengan pintaannya, "beli in aku hp cantik ya?"

RUMAH NO 6 JERMYN STREET, TOXTETH




JUMAAT

22 FEBRUARI 2008






Hari Selalu lalu seperti biasa ATMA mengadakan wacana bulanan. Kali ini tiba giliran Dr Tim Bunnell dari Department of Geography, Faculty of Arts and Social Sciences NUS - tajuk bicaraannnya memang sudah kutunggu sejak lama ingin mendengar berita tentang masyarakat Melayu yang telah menempati rantau jauh di tanah Inggeris. Begitulah cerita Tim tentang Pakcik-pakcik Melayu di rumah no 6 Jermyn, Toxteth Liverpool. Kenapa mereka merantau atau membawa diri jauh-jauh merentas lautan sejak awal tahun 1950an. Sejauh manakah identiti Melayu setelah merentas perbatasan jarak dunia atau jarak tahun sekian lama. Ya demikianlah terjadi sejak di zaman kolonial, yang membawa perubahan nilai, gaya hidup. Lelaki muda terpancing keluar dari kampung menuju ke wilayah 'kerajaan British di negeri-negeri Selat - Melaka- Singapura dan Pulau Pinang'. Aku kerap teringat cerita Busu Kadir sepupu Mak di Kajang -




" Abangku dah lama bawa diri, tahu tiba-tiba sudah lari ke Singapura , bertahun-tahun hilang tiba-tiba dapat surat dah di tanah Orang Putih? "




"Tak pernah balik? "


Aku kembali teringat pula cerita Kak Norma sepupuku, katanya,

" Adik Mak, dua orang lelaki. Dua-dua pergi Singapura, seorang bekerja dengan Rahim Kajai di penerbitan. Seorang lagi hilang tanpa berita. kononnya sudah belayar ke laut - itu terjadi sebelum merdeka lagi"

Pelaut? Mak ku sendiri juga bercerita, "- Adik Nenek dua orang hanyut di Singapura - tak pulang-pulang, entah-entah dan jadi pelaut ". Peristiwa ini lebih jauh dari tahun merdeka.
Kemudian entah tahun 1970 ke 1980an terdengar dia pulang bawa 2 orang anak, aku pula entah di mana. Bila ku cari alamatnya , Busu Kadir dah tak punya. Ketika ke London tahun 1986, 1992, 2003, semua cadangan mencarinya tertangguh. Urusan kajian di perpustakaan-muzium Cambrigde, Oxford dan Kent membuatkan aku terlupa mencarinya di Liverpool. Hingga tiba Dr Bunnell aku tergugah kembali bila melihat rumah tempat masyarakat pelaut Melayu berhimpun - rumah berjendela cat kuning, no 6 di Jermyn Street. Tambah Tim, mereka adalah pelaut, belayar jauh-jauh dan menubuhkan Klub Melayu (tidak kira mereka dari Tanah Melayu , dari Singapura, Makasar, Minang, Jawa). Liverspool adalah pusat pertemuan pelaut - pelayaran. Itulah jalur pertemuan untuk mereka mendarat - The Malay Seafares! Apakah pakcik ku juga bersama Pakcik Mokhtar bersama dalam pelayaran dengan kapal The Caron ? Ada sendu menusuk bila ku hubungi Samsul, cucu Busu Kadir, pesannya,


- " Memang kata datuk, masih ada gambar-gambar abangnya dengan dua orang anaknya. kalau Dr Tim nak jumpa datuk dengan Pakcik Mokhtar yang akan pulang ke Serkam tu, datuk gembira sekali - rumah datuk di Kampung Sungai Raya!"

Isnin depan akan kusampaikan berita ini kepada Tim, harap anda masih di bilik sebelah di ATMA ya!


Monday, 18 February 2008

BUSANA RIAU PAHANG


PUTERI RIAU-PAHANG

SIAPAKAH tokoh ini? Padahal pola baju Riau Pahang sudah begitu dikenali.Walaupun kadang-kadang, penjahitnya atau pereka fesyen masih galur dengan reka bentuk asas baju ini.

Pada tahun 1992, saya mencari ayahanda Raja Razak di Penyengat. Daripada beliaulah saya ditunjukan baju Raja Hamidah = Engku Puteri permaisuri Sultan Mahmud Syah 111 (1761-1812). Sebelum ini kudapatkan rekabentuk asasnya seperti yang dituturkan oleh Mak Engku = Puan Azah Aziz. Namun rekabentuk daripada Raja Razak makin menjelaskan lagi makna pemilik asal busana tersebut. Antara pola asas dapat dikesani:


PUTERI RIAU- PAHANG
SIAPAKAH TOKOH INI?
Pada tahun 1992, saya mencari ayahanda Raja Razak di Pulau Penyengat. Daripada beliaulah saya ditunjukkan baju kepunyaan Raja Hamidah = Engku Puteri, permasuri Sultan Mahmud 111 (1761-1812). Sebelum itu telah kudapatkan bentuk asasnya seperti yang dituturkan oleh Puan Azah Aziz . Namun rekabentuk daripada Raja Razak makin menjelaskan lagi makna pemilik asal busana tersebut.
Raja Hamidah - Engku Puteri ialah permaisuri Sultan Mahmud 111 di Riau Pengyengat. Segala khazanah budaya Melayu Riau telah diamanahkan penjagaannya kepada Baginda Ratu. Termasuk segala alatan gamelan, alat nobat. Tradisi ini dapat dibuktikan terutama beliau amat mengasihi anakanda Raja Sulung = Sultan Hussin yang diiktiraf oleh Raffles di Singapura. Malah ketika Raja Husin berkahwin dengan Tun Esah, 1811 (adinda Bendahra Tun Ali, Pahang 1761-1806) turut dibawa set gamelan istana Riau-Penyengat. Dipercayai di sinilah bermulanya hingga gamelan berpindah ke Pahang melalui Johor - dan dipersembahkan sepanjang hari perkahwinan tersebut.
Apakah tidak mungkin pola baju Raja Hamidah turut dicipta untuk dipakai oleh Tun Esah sehingga di sebut sebagai baju Riau Pahang.
Antara pola yang penting ialah:
1) belah dada kancing 5-7 butir
2) leher cekak musang Melayu
3) pesak gantung antara ketiak ke pinggang kembang ke sisi belakang
4) pesak belakang runcing ke bawah

Untuk kajian selanjutnya Hikayat Busana Wanita Ratu akan kupastikan Raja Hamidah sebagai pengembang busana Riau - Pahang. Dengan data yang lebih lengkap. Insya Allah.

(lih. Harun Mat Piah & Siti Zainon, 1986. Lambang Sari Tari Gamelan Trengganu)

TANGGAL 18

ISNIN
18 Februari

SEJAK akhir tahun lalu seorang doktor seseolah memastikan tanggal 18 untuk pertemuan lanjutan di klinik Urologi . Rasanya tanggal itu mudah kuingati. Kerana itu adalah tanggal hari lahirku - dan beberapa temu janji dicatat oleh tiga orang dokter yang berbeza tapi berturut-turut - menentukan pertemuan pada tarikh yang sama walaupun pada bulan yang berbeda .Mungkin kebetulan. Tetapi begitulah setelah terdapat perubahan warna air seniku, aku yang mula gelabah. Kutanya lagi bila dicatat dalam laporan perubatan dengan perubahan kadang warna amber, claudy, yellow gent - sungguh mengelirukan istilah-istilah warna. Aku mula terbayangkan sahabatku yang bermasalah pundi-pundi, ataupun kidney. Catatan laporan Abah yang kuterima dari pejabat KTM, "Federation of Malaya Certificate of Death"(aduh abah meninggal dunia pada 28-9-71) tapi masih dicatat dalam borang The Births and Deaths Registration Ordinance 1957 - Register no: A229094).Kutemui catatan , nama dokter yang merawat Abah DR Zainal - juga menyebut punca kesihatannya menurun kerana infeksi cardiac. Emak pula ketumbuhan dalam perut. Aku pula disebut oleh Dr Sulaiman, biasalah , " anda malas minum air putih, ni lihat saya harus bawa botol minuman air putih ke mana-mana."

Air-air, jadi air senimu sudah kelabu? Ha? Maka Dr Zamri pula memberi nota yang dicetak dari komputer " Sila terima pesakit ini MRN: M386994 pada 18/02/2008. Jenis penyakit /Diagnosa MICROSCOPIC HAEMATURIA untuk pembedahan pada 18/02/2000.

Pagi tadi, Lur terkejut ,- " Buat pembedahan, kenapa tak beri tahu semalam, Adik boleh hantar dan tunggu bonda di HUKM"

"Hantar? siapa? Wira sibuk esok masih ada kuliah - kalau Lur, ? "

" Ooh, esok ada mesyuarat penting "

"Ok tak pe, dah biasa jumpa dokter"

Memang beberapa kali aku sudah berurusan dengan dokter. Pernah sekali gara-gara pelajar Ph.d bersuara aneh, marah-marah menyerahkan tesisnya aku tersentak dan tercungap. Berlari ke klinik di kampus dan darah naik mendadak. Dokter Nur mengarahku cepat ke HUKM , " Darahmu meninggi". Dari Bangi ku pandu kereta perlahan - mujur otakku cepat menggambarkan pandangan yang cantik - tibaiba melihat awan beralun-alun, warna biru laut bergelombang. 45 minit tidak terasa jauh perjalanan Bangi- Cheras. Kupilih jalur masuk lansung ke ruang kecemasan, setelah dipapah pengawal ku minta mereka menyediakan kerusi roda (ini saja caranya kalau mahu dilayan segera - kalau tidak maaf, kau kena tunggulah dokter baik hati menemuimu). Pengawal mendorong ku, jururawat menyambut di meja pendaftaran - aku mendiamkan diri kemudian perlahan-lahan menunjuk dada ke arah jantung, kepala dan pergelangan tangan. Aksi ini berhasil membujuk juruwat mencepatkan pertemuan dengan doktor.) Nah semalamanlah aku diwajibkan bermalam di ICU. Menerima kunjungan dokter silih berganti , dengan soalan yang sama untuk dicatat di buku laporan. Lur dan Wira terkejut , tapi tak mampu datang - dia di Skudai.

Di lain ketika aku pernah di dorong di bilik bedah. Mereka pun tak tahu. Diam bermalam tanpa siapapun ku hubungi. Masuk hospital - bererti aku rehat daripada bertemu sesiapa kecuali dokter dan perawat. Dan pagi ini setelah menyarung baju labuh putih diikat di belakang dengan selimut hijau, kepala bertopi plastik aku melangkah ke dewan bedah, dan dilayan dengan baik oleh Dr. Naz yang mengenalkan dirinya sebagai Mr Naz. Aku bertanya, kenapa Mr bukan Dr. Setengah jenaka dia menyambut suara, "Hhaha, yang lain-lain ada gelar Dato', Prof, saya ada Mr. Hahha konsultan di dewan bedah ini..".

- " Prof, alat ni cystocopy yang masuk ni, barang baru sampai , berharga seratus tiga puluh ribu. Wang rakyat prof. "

- "Saya kan rakyat, terimakasihlah rakyat tanahairku, "

" Gurau saja, tapi saya di luar depan tv ini, prof diuruskan Dr Liza yang rasminya dari UISM." Riuh juga kudengar deraian suara petugas pembantu mister !

- " Kalau perempuan tak sakit masuk alat cytoscopy ini maklumlah - lelaki sakit prof faham maksud sayakan...

Aku hanya berdehem dan melihat alat yang halus, seperti kepala ular diri - bercahaya (kamera) menembusi ke arah cik suri. Mataku sudah menatap layar tv, melihat gelembung air, menerawang, garis-garis seperti ranting melakar di dinding pundi-pundi. Seperti kolam rahsia, buih-buih kecil berenang bebas, dan setitik lubang halus terus mengembang menguncup menunggu ia (air seni) dikeluarkan.

- " Ok, lihat pandangan itu kan , dinding pundi cantik , tidak ada kesan anak gumpalan (batu membeku) yang pasti aliran pundi juga bersih ..."

Diam-diam pandangan seni lukisku menerawang - cantiknya alam rahsia sana. bersyukur aku menikmati hari-hari cemas oleh kerana air seni berwarna pecahan butih kelabu dan hangat amber beberapa bulan lalu . Itulah kehidupan yang mengikuti langkah harian kita. Allahuakbar. Buku rawatan dicatat temu janji empat bulan lagi - kesan urine microscopy! Insya Allah.

Sunday, 17 February 2008

SURAU KAMI


Ahad
17 Februari 2008

SURAU kami, di Batu 4 1/4 Jalan Gombak. Mujur letaknya agak ke dalam daripada jalan yang semakin membesar di bahagian depan. Dan bahagian mimbar menghala ke Sungai Gombak. Sungai inilah yang mula menjadi tandatanya. Ada berita terbaru, di depan kampung kami ini akan didirikan jalau baru, konon di buat di atas sungai. Dari Pasar Besar itulah jalur baru akan dibuat merentas di atas sungai untuk menembusi jejambat yang sibuk bena bersebelah Taman Pelangi setelah melenyapkan Kampung Chubadak. Jadi, kerana berita itu, aku sudah mula mengumpulkan berita - data untuk mendapatkan berita dari peguam kampung kami Naza yang sudahpun mencacak papan tanda di rumah ibunya " Kampung Tanah Simpanan Melayu". Lima tahun lalu kami sudah turun naik ke pejabat DBKL - mengadap Datuk Bandar, untuk menolak cadangan DBKL akan merentas jalan di lorong kampung Bonda Dalam yang semakin sempit. Nah, sekarang, merancang pula jalan di atas sungai menjalur untuk tembus ke pusat kota setelah melalui Sentul Selatan. Jadi cadanganku hanya dengan menambah badan surau, mendekatkan dengan sungai yang boleh dilihat dari jembatan besar jalan ke arah Sentul Karak Highway itu saja dapat menyanggah pembangunan di kampung pusaka Tanah Melayu.

Teman-teman pelukis di laman Santai Seni KeKKWa, Sani Sudin, Aris dan Ade Putra sudah setuju untuk melukis suasana di sepanjang Sungai Gombak mungkin bermula di batu 12- di Kampung Orang Asli, menurun ke Sungai Chincin ke Sungai Pusu, menurun lagi hingga melalui Kampung Changkat, Kampung Padang Balang dan sampai ke Kampung Bonda Dalam. Sanggupkah pelukis-penyair Gombak mempertahankan sungai kita ini. Tanpa Sungai Gombak tidak akan ada Pengkalan Batu yang menjadi pengkalan pertama Raja Jaafar putera Raja Haji yang telah membuka lombong biji di Lukut, mendarat dan membersih rawa-rawa berlumpur hingga dikenali sebagai Kuala berLumpur. Kemudian dengan kebenaran Raja Jaafar dan Raja Pusu barulah Yap Ah Loy diberi kuasa membena kedai di sepanjang dan pinggiran Pengkalan Batu @ Kuala Berlumpur --> Kuala Lumpur.

- " Jadi ? " Soal Sani
- "kita lelong lukisanlah , untuk dana memanjangkan anjung surau mengarah ke tebing sungai ".

Apakah ide di senangi DBKL

Beberapa penyair yang pernah belajar silat di kampug kami, seperti Kemala, Firdaus Abdullah - sudikah bergabung? sebagaimana sudinya tenaga pengajar di IKN untuk turut membantu membena wakaf di tangga surau dan satu dua boleh di dirikan di tepi sungai?

Kutunggu berita terbaru dari DBKL - apakah benar Vellu itu akan mereruskan projek meluruskan Sungai Gombak, kalau masih memegang kursi bulan Mac nanti?

Saturday, 16 February 2008

CERITA NENEK


Ahad
17 Februari 2002
CERITA NENEK
ENTAH kenapa setiap kali dia membatalkan temu janji - alasan yang diberi selalu sama,
" Maaf, saya harus pulang kampung jumpa nenek - nenek sakit ".
Seminggu kemudian, bila berjumpa matanya berbinar-binar menceritakan orang yang dikasihi, sakit dan harus ditemani di rumah.
- " Tidak hantar jumpa dokter?" - aku berbalas tanya. Dia kusebut akhirnya,
- "Kau cucu nenek tersayang".
- " Bukan, eh ya, saya yang harus sayang nenek. Neneklah menjagaku sejak kecil! "
- "Ibu, di mana? kenapa dengan nenek? "
Apakah itu soalanku untuk dia atau memang akulah yang tertanya kepada diriku dan tahu jawabanya juga
- " Mak? ibuku.....oh " . Tiba-tiba aku hanya menatap matanya yang semakin berbinar, berkilauan dan kemudian bersambut dengan goncangan bahu - dia menangis tersedu. Kedengan separuh berbisik...
- " Dulu ketika kecil , kami adik beradik gembira kalau Mak membawa kami keluar makan - masuk ke restoren kecil di pekan J. Tapi sambil menunggu makanan tiba , Mak dah pindah meja, dia duduk dengan lelaki..."
- "Ayahmu?"
Dia menggeleng kepala, lalu tambahnya,
_ "Ayah dah tak pulang ke rumah"
- " jadi siapa lelaki itu? "
- "Bertahun, bertahun setelah masuk ke sekolah menengah baru saya sedar , bila kawan sekolah kerap menjeling dan berbisik - sehingga tiba hari yang amat gelap, sejuk, pedih menyakitkan hati, bila ada suara setengah berbisisk setengak mengejek...kudengar...suara ,
- " Tu anak pelacur dah datang"
Aku setengah terkejut
- " Jadi ibumu? "
- " Ya Mak saya senang dengan lelaki lain - kerana Abah dah lama tinggalkan Mak"
Ku tatap wajah sahabat mudaku. Badannya kurus kecil, jalan kerap merunduk. Setiap kali ketemu di ruang kuliah, dia begitu tekun mencatat, kerap mengepit fail begitu kemas di dada, seakan menyembunyikan ruang dadanya - yang memang mongel, baju kurung dengan pilihan warna tidak menjolok...tiba entah dari mana datang suaranya yang ranggi aku terkejut tapi turut bergembira mendengar suaranya yang optimis,
- " Nanti kalau saya dapat kerja baru tu, saya akan ubah gaya berbusana, saya akan pakai tudung lebih meriah, tidak mahu berkerudung gelap ini - "
" Oh ya, menarik juga, atau kau berani juga dengan fesyennya..."
" Ya tak semestinya dengan baju kurung dan sarung, boleh dipadankan dengan seluar juga bukan? "
"Aduh dasar anak muda - sakit mataku kalau kau pakai jean dengan kebaya..."
Sambil menunggu pos rasmi yang dilamarnya setelah lulus Master dia mendengus,
" Saya kerja sementara di farmasi, semalam datang wanita dah tak muda pun, nak beli ubat biru saya tak tahu tanya bos, rupanya dia nak kondom "
Aku melopong juga. Teringatkan Kartika juga membuat arca dengan potret patung Linggam - berwarna warni tapi tidak ada penganjur yang mahu mempamerkan karya begitu. Kecuali lah pemandangan di Bali, ukiran kemaluan lelaki dipamer dan dijual di Ubud dan Kuta. Dan si gadis muda yang bersedih itu ini kelihatan cerah mula percaya diri, kerana dia sudah dapat menebus hinaan dan mencipta nama sendiri seorang sarjana bakal mendidik generasi muda di IPT pada bulan Jun depan. Tanniah Sya! Cerita Neneknya itulah yang kerap mengganggu jiwanya...
" Ingat, hati-hati, jangan jadi seperti ibumu"

PASAR SENI SANTAI?


Ahad
17 Februari 2008

DARI RA GALLERY di Jalan Aman, kami berpatah balik, menyusur Jalan Tun Razak ke arah HKL. Di hujung bulatan kami mengambil lorong kanan dan berputar memasuki arah ke Istana Budaya yang telah membuka ruang malam minggu santai seni untuk warga ibu kota. Dua tahun lalu sudahpun di adakan Pasar Seni di persekitaran BSLN. Entah apa silapnya,
Sinaran malam di depan RA Gallery
tempat pertemuan para seniman seni rupa lenyap begitu saja. Konon tidak sesuai menghabis wang dengan binaan gerai setiap bulan. Pasar Seni oh Pasar Seni. Setiap projek Kementerian selalu juga diduga dengan aneka pertanyaan...keluh ini dijawab oleh Midin ",

- " Ya setiap kepala bertukar, ide juga harus diganti. Kalau dulu ada galeri seni di sebuah negeri aktif, bila pucuk pimpinan diganti, dia tak suka, boleh sajalah dihilangkan projek itu"

Dan Pasar Seni berganti Santai Seni ini pula gimana? Pasar Seni saja sudah dicurigai oleh seniman tenar,

- "Lukisan saya bukan untuk digantung di tepi jalah " . Ada pula yang bersuara,
- " Kerja seni saya bukan untuk dibeli oleh kebanyakan orang "

Itu lebih 30 tahun lalu bila KKBS mula mengadakan Pasar Seni di Jalan Belanda. Jadi yang aktif hanya Anak Alam dengan teater jalanan, Dengan pelukis kawan-kawan APS yang menggantung lukisian di batang pokok, di celah bangunan - atau sesekali kami bawa kumpulan Orang Asli dengan pameran topeng, dan merekapun mengetuk muzik bambunya. Sesekali muncul juga kumpulan kraf cacat mata dari Breickfields. Sehinggalah Pasar Budaya wujud mengambil aleh bangunan Pasar Besar.

Kini di acara Santai Seni di halaman IB bergabung juga dengan wakaf seni lukis sokongan BSLN. Ya seperti masa lalu juga, masih ada tanggapan gaya ini hanya sesuai untuk pelukis jalanan. Tapi tak mengapa, beberapa kelompok pelukis realis , cat air dan grafik masih sudi berkongsi sambil menjual karya mereka, kalau ada yang sudi menempah potret mereka untuk di lukis. Sani Sudin dengan lukisan kecilnya dengan tulisan puisi termasuk menjual buku puisinya. Aziz masih membuka kanvas, dan kertas, sapa tahu ada datin datang untuk merakam wajah cantik mereka. Ade Putera pula mencetak lakaran hitam putih ke atas kanvas, memang sesuailah karya mereka untuk tatapan pelancong yan singgah sebentar di ibu kota. Pesannya,

- " datanglah ke Stesyen KL, saya ada di situ".

Kamipun melihat kumpulan penari IB menari-menari melompat-lompat yang tidak ada bezannya gerak lelaki dan perempuan. Kadang, uali tangan leleki lebih lembut daripada iulai jari wanitanya. Gelekan punggung juga tidak ada bezanya. Merekapun mengajak para tamu yang santai makan-makan ala pasar makan dan tari. Begitulah malam seni santai di IB. Sudakah anda ke sana?

Dalam ruang seni rupa pula bolehkah kukatan , Seni oh seni, sudah ada kotak-kotak persembahan dan penghayatan. Maka tidak heran tidak akan mungkin pelajar UiTM atau UPSI kuat datang ke acara malam minggu hanya untuk membawa peralatan lukisan seperti ungkap Sani,

"Ha mereka datang hanya untuk brjalan-jalan di KL, hahaha"

AWAN BERARAK - BONEKA AISYAH

Ahad
17 Feberuari 2008

Undangan perasmian lukisan 'The Unknown' kumpulan 8 orang pelukis muda, Aisyah Baharuddin, Avroco, Farhana Tajali, Haslin Ismail, Khairul Azmir Shoib, Melissa Lin, Rahmat Haron dan Tan Sei Hon' sudahpun dirasmikan oleh Hasnol Jamal Saidon pengarah Galeri Seni USM. Sabtu semalam terasa panas semarak di mana-mana. RA Gallery juga panas dan semarak. Ketika tiba di ruang depan, galeri penuh dengan para tamu, keluarga dan para sahabat pelukis muda. Kenapa judul pameran The Unkonwn . Mungkinkah kerana mereka belum dikenali. Judul ini mungkin sesuai dengan tulisan semalam - pelukis muda lulusan dalam negeri atau mereka yang belajar secara sendiri - seperti yang dialami oleh Rahmat kerana dia yan g berambat berpintal ini memang datang dari jurusan lain.

Dapat kuagak , tamu yang datang - juga memang mereka yang selalu (wajib) tiba, entah apa alasannya. Tepi kita akan melihat A.SAMAD Said, memang kerap hadhir. Malah pernah beliau memberi tahu,

- " Saya kerap menyokong pelukis-pelukis muda, membeli karya mereka dengan kesedaran untuk membantu agar mereka terus berusaha memajukan kerja seni"-
Berapa keratkah insan seperti ini? Jadi tidak hairan ASS menjadi sahabat para seniman muda.

Kujengok ke arah lukisan karya Aisyah. Jelas, beliau berkongsi cerita pengalaman seorang ibu muda - Arjunanya meriuh, kerap pindah didukung berganti dalam dakapan para sahabat ibunya. Begitu juga lukisan Aisyah. Di kanvas besarnya, dia membandingkan dirinya yang hamil dengan ibu kucing yang bunting. Tubuh ibu bogel dengan perut hamil 9 bulan, berhadapan dengan ibu kucing seakan mengaduh di kakinya. Warna sang ibu, kelabu biru kusam, kucing warna gelap. Di lain lukisan muncul awan berarak bergumpal, sebatang pohon dengan akar menerawang di dalam air. Tapi sayang wajah awan yang bergumpal indah terasa surrealisnya tidak semesra kocak air yang datar. Aisyah seakan mencari susunan warna dan unsur alamnya tidak sebati. Dia lebih jujur memperlihatkan wajahnya dengan harapan mata yang berkilau atau boneka telanjang yang berbaju merah jambu cair cepat mengesan berbanding tubuh perempuan terbalik, kepala di bawah. Aisyah si ibu muda ini memang lincah dengan kerja seninya. Dia berkongsi persembahan dengan teman-teman seangkatannya - dengan koleksi buku dan bahan bacaan di studi0nya di Shah Alam. Seperti cerita ASS,

"Si Aisyah anak Riau ni, jentik jari saja - teman-teman akan datang berkumpul dan dengan santai, jadilah persembahan seni mereka. "

Beberapa orangkah yang mampu mengerjakan kerja seni yang kerap dianggap kerja gila oleh mereka yang tidak mampu menghayati kerja seni?

Ketika melangkah pulang, ku toleh ke ruang minum - Hanim sedang memotret tattoo di tubuh Rahmad. Terdengar pula suara Zek, " Siti nak gunting rambut awak?" - bila pula aku pernah mengatakan begitu? Cuma otakku selalu bertanya, " Hei syampu apa kau pakai?"

Friday, 15 February 2008

Nasib Pelukis


Sabtu
16 Februari 2008


SEORANG hamba Allah, yang amat menghargai kegiatan seni lukis tanahair, begitu kecewa. Baik kita kongsi SMS beliau untuk kita fikirkan bersama...

Raja Ahmad pemilik RA Gallery, meraikan teman-teman penghayat seni lukis, Dis 2007
"Cuba tengok kolum Joelyn Tan dalam The Star ai ni (hari ini)..lihat & tenung gambar hiasannya. Ia gambar ----- (tokoh negara) & anggota Kabinet beliau drakamkan baru2 ni. Mereka bgambar megah dbawah naungan 2 keping lukisan besar karya pelukis realis Cina- Li Zian - yang kurang mendapat tempat dnegerinya sendiri. Apakah kesimpulan simbolik yg bleh kita tarik dari gambar ini? Bahwa karyawan Msia sendiri menurut pemimpin2 tertinggi kita tidak layak utk dijadikan latar kepada gambar bsejarahmereka! ! Alangkah daif & hinanya karyawan anakbangsa! Menjadi bangsat dinegeri sendiri! Inilah dia tragedi dunia seni kita: ibarat kerana dhutan disusukan, anak drumah dibiar kebuluran! (14-02-2008) (KITA PUN DISOGOKKAN DENGAN IKLAN KUMPULAN PENYANYI JIRAN OLEH BADAN KOPORAT TANAHAIR)

Sahabat yang mengirim SMS ini memang sudah lama berjinak mengumpul karya pelukis-pelukis tanahair , mempunyai koleksi yang mesra di studionya di Jalan Ampang. Dia juga pengumpul buku yang aduhai banyaknya. Dengan keluhan dan marahnya seperti kirman di atas bukanlah perkara baru dalam kegiataan seni lukis tanahair. Betapa sukarnya mendapat tempat (maksudnya orang Malaysia sanggup beli lukisan pelukis tempatan) sebelum anda membina nama dari luar negara. Mengambil contoh beberapa pelukis angkatan 60an, mencipta nama jauh di luar negara - kebetulan tahun itu memang belum banyak senarai pelukis . Konon dengan mengadakan pameran lukisan di luar negara mereka sesaolah telah diIKTIRAF walaupun karya yang dipamerkan itu masih bertaraf eksprimen atau karya projek kerja memenuhi tugasan atau kerja studio waktu belajar di sana. Lebih kebetulan temang-teman sezaman turut mengkagumi mereka apalagi bila mereka pulang ke tanahair, teman-teman mereka menjadi ahli birokrasi atau sekarang menjulang sebagai korporat terkemuka. Maka lahirlah kenetaran Ibrahim Hussein, Latif Mohidin, Syed Ahmad Jamal, Ismail, Piyadasa, Zakaria Ali dll.

Tetapi setelah pendidikan seni kita berkembang- sejak UTM menjadi UiTM, USM menyediakan jabatan seni lukis ya kita mengeluarkan senarai lulusan seni lukis sendiri.Tapi kita harus merangkak untuk mencipta nama. Paling tidak lulusan BFa harus menyambung lagi ke luar di eropah sana untuk mendapat MA atau Ph.D. Jadi si bilis yang baru lulus atau tidak pernah memasuki institusi ini pandai-pandailah membena persahabatan seni. Maka laku juga lukisan Pemandangan indah gaya hoesinde seperti di Indonesia, pokok kelapa melambai atau lukisan potret ditiru dari foto. Itulah estetika yang mereka faham untuk menghayati seni. Berapa keratlah pemimpin tanahair yang peka atau tahu menilai sejarah seni lukis? Setelah Almarhum Tunku Abd Rahman bersungguh menyokong hingga tertubuhnya Balai Seni Lukis Negara, berapa kerat pula pengarahnya yang benar-benar berhasil menghidupkan kegiataan seni tanahair dan BERANI mengeluarkan idea ...: Setiap jabatan Kerjaan harus menyediakan peruntukan membeli lukisan pelukis tanah air - untuk dijadikan hiasan 'sejarah' di pejabat masing-masing. Lebih malang pula kawan-kawan se fakulti tapi di bidang hiasan dalaman - mengupah pelukis muda untuk MENCIPLAK lukisan Jai atau Ghani atau menggelek (cetak) lukisan untuk hiasan projek yang mereka dapati baik untuk hotel atau rumah usahawan baru kaya. Malah BSLN juga pusing kepala kerana pejabat kerajaan meminjam koleksi negara untuk hiasan bilik Menteri. Tidak heran juga apabila menteri datang merasmikan- maka ada pegawai di kementerian berkenaan bertanya ,
- " Sudah sedia hadiah lukisan untuk menteri? " Atau jangan bersedih, bila menteri sudah sudi merasmikan pameran, tapi di hari yang ditentukan diberitahulah oleh setiausaha sulitnya ada acara rasmi yang lebih BESAR. Tapi jangan terkejut juga, entah pelukis mana yang datang dari negeri asing - maka dengan bangga setiausaha sulit ke, politik ke akan dengan bangga mengatakan,
- " Ya menteri setuju akan merasmikan pameran itu". Sudah pastikah mereka siapakan pelukis luar yang datang itu? Jangan bersedih pelukis muda - masih ada galeri yang berbaik hati mengatur pameran anda. Datanglah ke RA Galeri, Pelita Hati atau bergabunglah sesama sendiri seperti Matahati kita kena berjuang bersama .Hanim dengan SENTAP - salut . Sudah ditakdirkankKita pun tidak mungkin dapat bertemu dengan bebas masuk ke studio Oom Latiff (di Pulau Pinang) , Ibrahim (di Langkawi) ---eh studio Syed Ahmad Jamal (di Gombak boleh masuk ke?). Mujur juga Rimbun Dahan berbaik hati dengan programnya menggabungkan pelukis Australia-Malaysia. Pandai-pandailah menjaring perhubungan atau harus mengembaralah - tak kira melompat-lompatke , berenang, terbang ya....bumi Tuhan Indah. Luka itu juga Indah.

Nah hari ini SABTU
di RA GALLERY Jalan Aman, no 6
PAMERAN PELUKIS MUDA
diresmikan oleh Pengarah Galeri Seni USM
pukul 3 petang.
pukul 5 petang - acara KATA-SUARA

Jumpa di sana!

KERABAT KTMB

sisa kayu di rel keretapi sudah menjadi hiasan taman IKN
@ Siti Zainon Ismail - 2008
Buat Hesmel di KTMB- KL dan Naz yang merindukan keretapi di Meureudu di tahun 1950an!

KERETAPI TANAH MELAYU nama yang cukup gah sejak ia dibina sekitar awal tahun 1920an. Itu cerita Abah bila aku bertanya,

- " kenapa Abah bekerja di bengkel keretapi Sentul? "
- " Izan malu Abah bekerja sebagai buruh keretapi? "
- " Eh eh tidak tapi bangga kerana dapat tiket percuma naik keretapi"


Ingatan ini saling berpintal setiap aku mendengar desah kereteapi - di mana-mana sama saja. Baik anda berdiri di depan stesyen keretapi di Kuala Lumpur, ataupun keretapi di Gemas, bersalin jalur menuju Palikbang di Kelantan. Ketika terlempar di Stesyen Oxford (1986), desah keretapi juga berbunyi sama. Kadang lembut ketika memulakan perjalanan, makin deras sayup, melihat lambaian tangan kanak-kanak kepada penumpang yang melewati kampung atau country nun jauh di Canterburry. Kadang sambil menunggu keretapi di News Southwales menuju Victoria di Pulau Selatan atau kala tiba di stesyen Seremban disambut senyum simpul Nisah Haron.

Kenapa rasanya mendengar desah keretapi yang baru tiba di Sentul. Melor mendengus bila kukatakan,

- " Bunyi keretapi selalu memanggil rindu"
- "Alaa jiwang tu, mana rindu-rindu dengan bunyi desah keretapi? "


Aku terkejut, gadisku memang tidak romantis juga rupanya.


- " Tunggu aku di stesyen Amsterdam ! " pesan emelku kepada Mawi jauh di Straat
- "Hei itu kau yang pakai tengkolok besar di sana, Zain? "
- "Ya di Moon Flower"

Amsterdam bergerimis ketika kami memilih keretapi untuk menghilir hingga ke pelabuhan pada bulan Mei 2003. Kemudian ketika melanjutkan perjalanan dari Manchester ku heret beg sketsa ku mencari jalur ke Victoria. Di sana kami saling menunggu - dua orang sahabat yang belum pernah tatap mata : Selma-Siti. Hampir satu jam kami mundar mandir, mana Selma, mana Siti ?
- " Eh, anda menunggu di stesyen keretapi ke? Atau stesyen bas? "


Keretapi menjadi citra pertemuan juga menjaba atau berpelukan sebelum berangkat
. Ia bergelombang dalam puisi cerpenku. Kadang menyambut teman yang baru sampai dari Paris, juga pesanku,


- " Dari KLIA, pergi ke kaunter keretapi express beli tiket RM 35 sehala - - langsung ke KLSentral - sampai jumpa "


Terbayang pula bayang Dr Willie, meningguku dengan dua buah basikal di stesyen keretapi Leiden pada bulan Ogos 1986 ,


- "Untuk siapa dua buah basikal ini ? "
- "Untuk saya untuk anda juga - keliling kota Leiden!


Tetapi tentu saja berbeza antara tren laju di KL yang bermacam-mana nama 1) Komuter, 2) Star 3) LRT. Kenapa bunyinya tak sama? Hah. Otak dalamanku menyatakan begitu. Tambah Melor,


- " Katanya bunyi keretapi sama saja "
- "Tidak sama lah ? "
- "Haa aneh saja Mem tua ni"


Mem tua? Ya aku sudahpun masuk ke angka 50 beberapa tahun lagi masuklah ke angka 60 tahun. Sudah menjadi Mem Tua. Uban sudah tumbuh di sana sini. Tapi aneh juga bulu dan alis mata masih hitam berkilat, jambul depan juga berkilat. Tetapi keretapi yang kunanti setiap hujung minggu tidak datang juga. Bunyi paluan besi yang dilakukan oleh tukang keretapi juga tidak pernah terdengar - keluar dari bengkel. Masihkah Abah bertukang di bengkel Keretapi? *(lih. Puisi Di Bengkel Keretapi, Hadiah Sastera Malaysia 1984)


Sedang di bengkel itu sudahpun menjadi taman baru, sebuah bangunan berkaca telah dijadikan pusat seni, kolam ikan penuh dengan jumlah koi yang besar-besar dan restoran Jepun, padang golf mengambil aleh semua jejak bengkel keretapi Sentul. Sebuah papan tanda yang besar sudah di beri nama SENTUL EAST - SENTUL WEST (bahasa kolonial) itu muncul di sana sini --- juga SENTUL BOULEVARD dengan bangganya merampas apa saja milik KTM. Aku dengan luka terhiris melihat robohan rumah deret yang dulu didiami seluruh kaki tangan buruh keretapi, atap genting diruntuhkan, dinding kayu yang tebal itu sudah dicuri dijual di pondok-pondok barang sisa - disitulah kutemui tiang-tiang lama, jendela, papan, anak tangga...sisa milik Keretapi Tanah Melayu ---sekarang sudah dikorporatkan menjadi KTMB. Hampir sama saja dengan kehilangan rel keretapi di Meuredu ke Kota Banda Aceh?
* KTM = Keretapi Tanah Melayu, KTMB = Keretapi Tanah Melayu Berhad, IKN= Institut Kraftangan Negara.

MAHKOTA KEINDAHAN KEPALA


KENAPA Mahkota di kepala? Benarkah ia lambang kuasa - yang memerintah. Secara sederhana dapat difahami mahkota hanya dipakai untuk upacara rasmi, pertabalan diraja, 'disarungkan mahkota ke atas destar, atau destar bersalut mahkota dalam kebisasaan raja Melayu. Sejak zaman Sultan Muhammad (1414-1444) di Melaka mengenakan mahkota berasal dari kerabat berasal dari Bukit Seguntang. Tetapi lebih jauh meneliti makna seni, keindahan mahkota wanita lebih rumit pengertiannya. Memang ia dipakaikan di kepala, bukan saja memakai yang sudah siap ditata (gaya Barat) tetapi gaya Melayu mahkota kepala adalah gubahan seni melibatkan petam , gendek, sebelum dihias susunan bertingkat bunga sunting. Sususnan bunga sunting berlapis bertingkat 3 -5 merujuk kepada mahkota ratu di Sumatera khususnya Riau, Minangkabau, Palembang, Jambi dan Aceh . Di Melaka konon bermula dengan kedatang puteri China Hang Lipo, hingga terjelmalah hiasan suntin berlapis bagai susunan kepak ekor merak. Beberapa wilayah Melayu yang dibauri (atau didatangai unsur China ) itulah yang muncul sama di Palembang dan Minangkabau.

Lebih halus makna susunan mahkota ialah 'kerja menghasilkan yang indah'- dapatlah dirujuk kepada keindahan seperti yang harus dipatuh oleh tangan para muslimah yang mengerjakan bahan yang melengkapkan keindahan Ratu (pengantin = raja sehari ini). Inilah yang patut menjadi patukan melakukan dengan kesabaran,
kerana yang melakukan kerja memakaikan mahkota ini juga haruslah yang berilmu - yang berilmu itu pula 'hendaklah dituruti dengan jiwa yang mempunyai sifat yang sabar ...'Seorang manusia hanya boleh bersikap sabar setelah memahami betul-betul tentang suruhan dan larangan agama Islam yang ditentukan oleh ilmu-ilmu fekah dan tauhid " (lih Abdul Raof ,1990,3). Kerja yang dilakukan dengan keseabaran (menyusun bunga sunting) termasuk kesabaran sipemakai mahkota tersebut juga harus diimbangi dengan niat ikhlas disusun berhati-hati, sopan dan tenang --> seperti dibidalkan biar lambat asal selamat.

Inilah antara konsep dasar yang patut dibina dalam mengenali, mengekal dan mencipta kembali (kerja kreatif -variasi) mungkin sekadar meniru dengan kerja spontan dan improviasi. Atau banyak jua bila ditanya kenapa bunga sunting hiasan
kepala sedemikian rupa, mereka selalu menjawab,
"- oh tak ada yang tahu lagi makna hiasan kepala tersebut "

Inilah jawaban bagi mereka yang menolak dan proses kerja ilmu. Ilmu harus dihubung disusun semula untuk kita baca dengan rasa gembira dan bersyukur bahawa warisan budaya yang telah digubahcipta sejak lama masih dapat dikesan dan disusun semula untuk sebagai ikon budaya.

Rujukan: Abdul Raof Dalip, 1990. Kemurnian Jiwa dalam Islam. Al Mizan

Thursday, 14 February 2008

DR JAY DI JALAN GOMBAK




15 Februari 2008
Jumaat

SETELAH berbincang dengan Prof Husna, memang dia sungguh bersenang hati, ucapnya " kerana anda sudi bergabung dengan keluarga lama". Haha ATMA! Kenapa aku harus rujuk kembali? Setelah Prof Sam tidak memberi alasan tentang lanjutan tugas di ATMA, akupun meninggalkan kampus UKM lebih setahun. Mendamaikan dirihati di Tanjung Karang lebih 90 km ke pinggir laut menghala ke Ulu Bernam di pinggir Selat Melaka. Bebas muncul di mana ku suka terutama di RA Galeri . Kuharus memilih, sudah tiba waktunya aku mengeluti rumah seniman sepenuh masa. Tapi canggung juga dunia sarjana masih memanggil - kerja penyelidikan Hikayat Busana Ratu menggugah semula. Kenapa ? Lebih dua jam otakku pun puntang panting, melayang ke lukisan harus diteruskan juga untuk pameran (14 Sept) - dan buku Kampung Paya Kami? Tenggelam timbul setelah penyuntingnya menjanjikan boleh siap menjelang hari lahirku Disember 2007. Aneh dan takjub, percetakannya diundurkan gara-gara buku puisi seorang menteri memotong giliran bukuku. Aku bungkem jengkel bahagia dan pagi ini otak kenangan itulah juga menyelurusi hatiku - di depanku ialah jari-jari bersarung tangan getah, menggerudi mesen berjarum halus - menipiskan gigi taringku, membuang himpunan plug yang menebal. Dr Jay sudah menyarankan, gigi warna tulang baik dilapisi mahkota, lebih kukuh dan berkilau. Mahkota gigi. Hahaha aku tertoleh ke atas ke bawah, melihat cermin di atas kepalaku .

Dr Jay, memang dokter gigi keluarga kami. Sejak Mak mengheret kakiku ke sana sejak Melor dan Wira mula tumbuh gugur gigi muda, Dr Jay lah yang merawatnya. Tapi dulu dia begitu serius menggerudi, menampal bahan porselin, atau logam + getah damar - senyap di lab yang memang sunyi kecuali bunyi mesen halus yang mengusik ngilu sang gagi. Di luar kliniknya makin hingar bingar dengan kenderaan bebas meluncur. Jalan raya semakin luas melebar, hingga beberapa rumah warisan lama kehilangan tangga. Di seberang jalan...rumah Almarhum Dato'Dr Mohd Noh Marahakim, dokter Melayu pertama pakar mata sudah kehilangan anjung, dan bumbung perabungnya. Rumah itu sudah ditinggal lama, dan tergantung papan tanda dengan nama bukan Melayu lagi. Di sebelah kanannya bekas rumah seorang ahli muzik terkenal dengan jolokan Mat Trompet, juga sudah sepi dihuni penjual barang besi. Salah seorang anaknya masih muncul bermain piano dalam orkestra RTM. Otakku terus ligat memutar pandangan sepanjang jalan Gombak dari Batu 4 1/4 hingga ke batu 12 - Kampung Orang Asli. Dua jam Dr Jay membega gigiku, aku bebas menerawang.


Ketika berehat sebentar, setelah dia menampal plaster ke gigi contoh Dr Jay bersuara,
- " Masih tinggal di Kamgpung Padang Balang"

- " Kampung Bonda Dalam dok "

- " Ya tahu, kerana saya tinggal di Taman Melewar..jadi datuk mu juga berumah di situ - sebelum tu?"

- "Dulu datuk meneroka kampung di Ulu Klang (Klang Gate). Bila British buat dem - takungan air, warga di sana dipindahkan di Changkat. Kemudian datuk membeli tanah di bahagian depan sekarang dekat jembatan besar jalan ke Sentul- Karak"

- " Kampung tu nak dibesarkan lagi jalannya..."

- " Maaf! tidak boleh , kami akan pertahankan kampung tu...."

Bukankah datuklah membina rumah tunggal kami, memindahkan dari daerah darat ke paya di tepi sungai Gombak tempat kalian lalu lalang untuk ke Pantai Timur?

Ku kira lagi beberapa rumah lama yang masih teguh berdiri. Rumah perabung lima waris Datuk Empat di depan masjid Batu 5 masih berdiri agam. Cuma tangga sudah hampir di jalan yang diperbesarkan. Dua buah rumah makin ke hilir sudah kehilangan tangga, sudah disewakan menjadi warong makan Minang "Sikoma"- bunyinya seperti bahasa Jepun saja tapi bagi kami keturunan Minang tahulah makna loghat itu Siko = sini, sikoma = ke sinalah. Lalu apa lagi yang ada di Jalan Gombak kami. Ya tokkong Cina tempat aku nonton opera masih ada malah sudah dibangun dengan pintu gerbang - semakin cantik dan surau tinggi kami mujur agak ke dalam, terlindung siapakah yang mampu berderma untuk menambah agam surau kami?