Tuesday, 1 September 2015

Dia Guru Kami


Dia Guru Kami
( 80 tahun Haji Ishak Surin)
 
Bismillahirrahmanirrahim...

1.

Sejak  kecil telah kami dengar namanya
Pemuda pintar di sebelah rumah nenek
Tapi rumah bertangga batu sunyi
Kemana pergi para lelaki
Ayah Haji cuma ku dengar nama
Kecuali Nenek Suyah  dan cucunya Pili
Bersama kami pergi mengaji.

Sesekali di hujung minggu
Muncul  dua orang pemuda
Pulang bercuti
Kuintai dari jendela
Berlindung dari batang rambutan tua
Kata nenek, mereka nanti jadi guru
  yang  bijak
Merubah kampung kita
Semoga cucu  biarpun  anak buruh kereta api bergaji hari
Berumah   pusaka riot tidak diperbaiki
Cucu harus belajar rajin  seperti mereka.

Kami tinggal di rumah tua
Terlalu uzur  dibina sebelum perang dunia pertama
Saya cucu generasi ketiga
Kerap dinasihati Nenek
Hanya ilmu merubah hidupmu
Seperti menanam benih kelapa
Diberi baja
Walau digoncang angin ribut
Batang bergoyang
Tetap saja berpucuk.


11.

Bertahun kutinggalkan kampung
Merantau ke tanah Sekebun Bunga bersambung ke Jawa
Hampir terlupa Waris Minang
Nenek semakin uzur
Nenek Suyah juga tinggal sendirian
Bujang sudah berdua
Konon  menjalin dua suku berbeza
Pagaruyung dan Batang Kapeh
Yang kerap bertingkah
Akhirnya mesra terjalin bila si Ujang dan Dara Serumah tangga!

Dari situ berbulan kudengar cerita
Cikgu Sahak lulusan MPSI
Pada musim-musim perjuangan rakyat
Di rumah yang membekal gerak ilmu
Juga menumbuh semangat sejarah asal
menolak penjajah, di situ  semangat bergelora
Bertahun bumi dijajah
Portugis Belanda Inggeris bermahara lela
Mana  pusaka anak bangsa
membangun kampung dan kota
Bangunlah Anak Watan kami!

111, 

Derap sepatu, tempik silat, sama riuhnya
   Pemuda   menumbang rumbia
Pemudi bersama menggeser gergaji
Oooo lompong sagu ya lompong sagu
Pemudi kampungpun  sama merendang beras baru
Berdenting lagu emping.

Dia guru kami
Mengajar bahasa di Sekolah Cina
Mengajar di kelas tambahan Sekolah Malam
Penuh semangat ini pejuang kampung
Berkumpul ghairah Bendera  Tanduk Kerbau  
Bersilat tutur api merdeka
Antara debat Pak Sako, Ahmad Bustaman, Shamsiah Fakih 
Dia di situ
Guru dan suami kakak Sepupuku
Berani memetik  mawar  Tuan Iman Haji Rauf bin Haji Husin Majolelo
Tangkas   mengelek juang dan kasih
Sabar isteri bersama pejuang
Hingga kini tidak banyak bertingkah.

14.

Di sinilah Madrsah Tarbiah kami
Sejak berdiri Surau Tinggi
Di awal 1920an
Berkumpul tempat muafakat
Bermesyuarat menjelang merdeka
Penghulu, Tok Empat, Imam dan Ustaz silih berganti memimpin kami
Direstu Sultan beristna di Jugra
Sejak diteroka
Sampai Tok Guru silat diberi gelar Datok
Bertuah Berlembing rumpai hitam putih
Inilah tanda  kampung kita dijaga
Oleh hati mesra terbuka.

80 tahun usia perkasa
Tak jenuh melangkah bersama
Yang muda di himbau
Yang Tua berunding sama
Tanpa jenuh mengutip resah gelisah
Tidak jemu bersuara
Walau tidak semua didengari
Tapi inilah tanah di celah ibu kota
Tanah Menjadi rebutan
Mari bersama dipertankan.

Tuan Iman
Kami bersama menjaga tapak leluhur
Kan kita jalurkan  bunga doa 
Dengan Kalimah  Allahu Akbar
Berantai ke dada Iman
Segarlah mentari pagi
Menjelang senja  terpercik mentari
Wangi menyusuk ke hati
Jasa mu tersulam di hati!

Kota Kinabalu
29 Ogos- 2 September 2015








(...:/2 bersambun)



.






Thursday, 12 February 2015

Setelah Empat Hari...

Ya sejak Isnin semua data untuk tulisan kajian Kearifan  Tempatan sudah diolah. Himpunan bacaan, teori dan data bandingan konsep, sedang rancak diramu. Seperti mahasiswa baru lulus ujian pertama tetap juga tidak merasa cukup waktu mengolah menganalisis . Mata  mula berair. Suara tersendad ditekak. Sarapan dua keping roti hirisan apple , teh lemon bermadu. Tengahari nasi tapow , ikan salmon goreng, salad sayur, Jus buah. 

Khamis
Hari  ke  empat , sudah 8 helai halaman 4R rapi terpapar di layar komputer. Menunggu azan zuhur , berhenti . Tekan punat Save S . Tiba-tiba mataku, berpinar  dan gelap ! salah pandang? Kosong semua abjad ayat hilang! 

Masya Allah,

Setelah Asar, merapi  meja, memilih halaman baru, membelek rengkasan nota.
Allahu Akbar petang Jumaat
Pulangkah  ke Rumah
Magrib dan sahabatmu
Menanti
Zikir Abadi
Allahu Akbar
Ampuni Hamba Mu Ya Rabbi

22;00


Tuesday, 10 February 2015

Inilah kerja , maafkanlah

Negeri Bawah Bayu
2015.1

Allah SWT yg membawaku ke sini. Sungguh berat menerima tugasan ini. setelah 6 tahun saya membawa hati tidak akan masuk ke mana-mana kampus lagi , tidak terpujuk dgn sebarang janji, kecuali bersunyi dalam dunia rantauan.

Tetapi   2014 berjaya menggamitku
Ada tugas perlu kulaku.
15 Ogos 2014 
Datanglah perantau lama kembali ke
Negeri Bawah Bayu
Ku buka secarik ilmu, kutebat   selebar alam
Mari Anak bersama kita mengumpul sejarah warisan Anak Negeri , Insya Allah

Thursday, 5 February 2015

Nota Harian Ogos 1993

ANEKDOT

-------------------------------

SEMPORNA,  SABAH
23 Ogos 1993

1.
Siang tadi telah saya susuri Kampung Air Tengah dan Hujung. Angin sepoi dan menyelinap ke celah rambut. Kususuri jalan menuju pasar di sana kusapa seorang perempuan berjualan buah-buahan : tarap, keledek , jagung dan ubi rebus. Kulit wajahnya perang lembut sedikit berminyak  lelehan peluh oleh hangat  mentari . Saya menyapanya dengan As Salam dan senyumam bersambut mesra dan dia mengenalkan diri " Saya Bajau Semporna, namaku Aminah Makmur.

Saya menyusur jalan memilih lorong celah gigi air ( kering) yang sarat dengan sampah sarap. Ya memang tidak kelihatan tong sampah. Rumah berderet melebihi 20 rumah seakan bersambung atau disambung dengan titian kayu di atad tiang yg berceracak dlm selut lumpur bila air surut. Bila air pasang jejeran rumah bagai terapung ditopang tiang kurus dan tinggi. Sungguh saya ingin sekali  bermalam di situ.

Ya rumah Orang Laut @ Bajau Laut walau ada yg  tidak suka dengan istilah ini. Kutemui juga rumah berhias bila saya susuri lebih ke arah dalam . Ada biji mata menyurut  ke arah langkah Si Minah rincing di bahu sarat beg sandang dan kamera. Biji mata terlindung di bawah topi. Di hujung kanan kedengaran anak-anak bersorak sambil berterjunan ke air. Wah saya juga mahu terjun dan berenang, oooop.

Akhirnya kupilih jalan pun  pulang  ke Rumah  Rehat. Tiada yang mencari saya. Apakah surat saya tidak  sampai ke tangan Sitti Hadiah???? 
Selepas Asar  saya memesan neskafe di kafe kecil Rumah Rehat. Saya terlihat seorang gadis kecil mencuri-curi pandang.Sesekali mata kami bertembung. Kulambai tangan mempersilakan dia duduk di sebelah. wajahnya sedikit kaku tetapi tersenyum bila saya mula bersuara:
" adik dari mana? "

Dia tersengih dan tidak menjawab soalan saya, sebaliknya dia pula bertaya
" Kakak Orang  Melayu ? Aku sangka Cina ba"
" Eh kenapa"
" Malu , mereka kaya-kaya "

Ooh, saya baru belajar Konsep malu  kepada orang kaya!!!'

Demikian bermula perkenalan saya dengan Rosminah binti Lande bekas pelajar Sekolah Menengah Abdullah. Perkenalan ini membawa saya ke rumah beliau di kawasan Kampung Air. 
Berkenalan dgn ibu Hajah Meriam. Ini juga peluang pertama saya menyapa keluarga Orang Bajau berasal dari Pulau Omadal,waris Suluk ba...!
Matahari makin menghilang langit mula kelam. Sitti Hadiah tidak muncul juga. Gunung Bohak Dulang, bagai potret dan tubuh terlentang. Enjin bot meraung - perahu  nelayan  dengan layar tunggal masih di lautan. Magrib mengembang!

Hatiku berdetak dan teringatkan Sitti Hadiah kerana esoknya dengan izin Hajah Meriam, Rosminah akan menemaniku ke Pulau Bumbum. Allahu Akbar.



2.

- " Aku sangka kakak tadi orang Bisaya ?
- " Kenapa? "
- " Wajahnya seperti  orang Cina, pasti Kristian, tadi aku malu mahu menegurnya "
- " Malu?"
-" Mereka kaya. Kaya ba!"
- " Orang Bajau? "
- " Lihat sajalah, kami masih di air "
- " Sejak  dulu?"
-" Dulu, nenek moyang kami kaya juga. Mereka berniaga balak tapi aah! Datuk-Datuk kami juga kaya dengan isteri-isteri "
Rosminah mula bebas bicara. Di langit sebelah kiri Rumah Rehat  memunculkan wajah bulan. Semalam di halaman rumah  Rahim Bakri telah muncul lengkung bulan sabit warna tembaga. Kalau selepas Maggrib Sitti Hadiah tidak tiba, esok saya akan keluar mencarinya ke Pulau Bumbum dengan ditemani Rosminah. Adik ini sudi menemani saya untuk menjari rumah dan keluarga Orang Suluk. Dari jauh terdengar suara nyanyian Albert Humperding dengan senikata lagu,
" Every winter...
   Every summer...

Di meja makan  Rumag Rehat telah terhidang sacawan milo.
" Kami juga Orang Bajau, datang lebih 50 tahun lalu, datang dari Semulu. Ya nenek moyang kami Orang Bajau tinggal di laut, jadi di sebut Bajau Laut?





Wednesday, 4 February 2015

Alam Melayu di mata hati Pengembara Asing

Mereka datang ke Tanah Melayu sama ada sebagai pengembara bebas, pengawai muda, tentera, pendakwah, para isteri dgn segala keanehan rasa, takjub, sakit menderita di rimba penuh pancaroba.
Setelah menyatu dengan alam, masyarakat , semua pengalaman kerja pun menjadi pengalaman yg berharga: kerana kajian dan tulisan dan laporan mereka dibukukan.

Memang ada pandangan yang tidak tepat , ada juga mengejek, mengusik, tetapi bila dibaca kaji , tetap berdata yg memberi kita peluang untk menambah maklumat apa yg tidak pernah dialami oleh generasi
muda dan ini salah satu cara dgn membaca akanmengenali sejarah masa lalu.

Buku-buku lama ini diulang cetak dan boleh dijadikan  bahan kajian bandingan asal usul Penduduk tempatan.
Jangan bibir sumbing mengatakan Anak Alam Melayu yg disebut bumi putera itu sebagai orang-orang pendatang yg di bawa oleh penjajah . bacalah kutipan pantun, cerita rakyat dan seni budayanyg mereka temui!

Terkagumlah Frank Swettenham ketika Terlihat Dara Melayu, " kulitnya lebih cerah drpd  lelaki Melayu, dgn tangan dan kaki lebih molek, wajah rersenyum ria, gigi yg teratur dan mata yang menakjubkan" , berlebihankah tulisan  Swettenham ketika melaporkan apa yg terlihat bukankah dia melihat puteri-puteri di Istana Selangor  dan Perak?



Tuesday, 3 February 2015

Petang Rembang

Kami terhenti di depan pintu. Dia datang dari arah depan. Saya muncul dari arah bertentangan . Saya menyisih memberi dia berjalan sambil mengheret kaki palsunya.

Apakah yg kami perlukan lagi di hari semakin senja. Kala mentari cepat mengalih waktu? Di hari semakin
memutihkan  rambut, merabunkan mata, berjalan dgn lutut bergoyang, suara mudah bertukar bunyi dan sebentar  tadi
mata kita saling menyapa tapi suara bisu suara.

Kaupun meneruskan perjalanan
Mata hati kira bersapa dalam senyap bahasa.

Maafkan saya sahabatku Nik!
Saya sendiri di ssini di petang semakin rembang. Di meja mereka menghidang minuman, teh bunga madu. Saya melihat  di meja seberang sana, di kafe yang sama kafe buku tempat 
kita  bersama mengimpikan laman kasih sayang. Sudah 50 tahun berlalu. Kita bertemu  dalam bisu.



Thursday, 29 January 2015

Lakaran Nota

Nota Sepanjang Kerja Seni

Sepanjang kerja , ada garis, ruang dan bentuk saling terlantun di bayang mata . Walaupun ia tiada di depan mata.
Mata hati sejak dulu disebut oleh guru : ayah dan guru mengaji . Secara kampung ada Ibu dan Nenek sibuk mencari air pendingin jiwa, buat buka pintu hati anak-anak mereka yg nakal, malas belajar.

1950an

Ayah lain lagi; " tulis baca! ". Itu arahannya, atau " ni pisau, raut pensel".
Sebagai si kecil , kita tidak terfikir maksud arahan itu. ibu pula melaung dari mesen jahitnya,
 " Izan, cepat tiru lakar  bunga ini,  Mak nak menyulam kerawang"

Itulah suara yg terlantun- lantun sejak  usiaku 5 tahun.

1970an

Tetapi setelah berpuluh tahun... Inilah kerja itu, mencatat dan melakar. Memang itulah sahabatku. 
Hasilnya tidak menjadi segera  . Bukan masak meggi mee .
Nota harianku comotlah dgn garis-garis bersimpang siur sebelum menjadi puisi.

Anak ikan melompat-lompat di depan mata hati. Kadang-kadang hinggap pula burung entah dari mana. Kucapai apa saja  bahan terutama kalau tercicir buku nota atau buku sketsa: kertas tiket, riset bill, katelog.... Gelora kerja tetap Anugerah-Nya
Alhamdulillah ya Allah SWT

Hanya sebatang pohon

Ya hanya sebatang pohon yg sudah merunduk dahan dan rantingnya menjulur ke arah jalan kampung. Inilah yg meresahkan jiran sekampung.
" kalau angin kuat dahan berayun dan patah menghimpap kereta atau orang lalu lalang, kau tanggung akibatnya"

Telingaku berdengung agaknya betul berasap. Tapi hati lebih tergigil.

Di hari lain, paman bungsu yg lain, datang dgn suara tergopog gapah bersuara dgn wajah tegang, dan suaranya membuat saya tergamam, " lihat pohon pinang tu dah meninggi, confong  kalau batang patah ditembak petir jatuh ke bumbung rumah ku... Siapa yg mati?"

 Ya sahabat ku si pokok mangga, si batang pinang -sudah sampai ajalmu.
Kita harus berpisah!!!

( anekdot / bersambung)

29 Januari 2015

Wednesday, 28 January 2015

Bila sarung makin dilupakan

Memakai sarung diertikan 'menyarung' anggota badan.  Menutup bahagian tubuh, melindungi  tidak terdedah terbuka sesuai adab budaya Melayu.

Dalsm adab Busana Baju Melayu lelaki , sarung disebut sampin(g) dipakai utk menutup punggung dan seluar, kerap diperikan ' menutup aib dan malu'

Apatah lagi, di kalangan wanita sarung lebih nyata makna fungsi adab, bersarung ikat ombak mengalun melengkap baju kurung, juga baju kebaya. Sarung juga digaya berkerudung. 
Hingga tahun 1970an sarung masih dipakai oleh wanita Melayu dgn penuh gaya dan terpapar dlm filem Melayu.

Perubahan makin ketara bila
Sarung sudah dijahit dengan pola ketat (kain ketat) tetapi tetap mengekal gaya Melayu moden.

Cuma perubahan sekarang pola sarung makin terpinggir. Apabila seluar menjadi ketara  hingga baju kurung dan kebaya juga dipadankan dengan seluar, jeans sebagai pakaian harian. Sarung hanya muncul sebagai pakaian basahan di rumah atau wanita yg masih setia adab budaya di kalangan kaki tangan pekerja wanita, guru dan pelajar sekolah.

Sebaliknya pakaian harian , santai berganti menjadi gaya seharian. Malah fesyen seluar ketat mengambil alih sarung atau kain ketat dulunya masih menampil identiti tahun 1960an.

Seluar @ shalawar / shawal  (Parsi )@ Chalana (Sanskrit) sudah beranak negeri di hati sebagai pakain harian .

Malah citra sarung memang tidak mendapat perhatian di kalangan pereka fesyen utk digubah sebagai identiti bangsa anak negeri. 

Namun diharap sarung masih dipakai untuk acara rasmi. Semoga begitulah hendaknya




Manuskrip Sahabat Siti 2014-2015

P
Alhamdulillah di celah tugas rasmi kucelahi kerja-kerja melakar dan menulis puisi sesuai bacaan pembaca kanak-kanak remaja.
Dua judul sudsh terbit : Bijak Si Katak Bijak (2012) / Bahasa Jepun ( 2014) dan Angsa Istana Si Jambul Desa (2014).

Seperti dijanjikan oleh CEO ITBN, terus diterbit bersiri dengan kod Siri Sahabat Siti Kecil.

Hidupku berputar ke dunia si Kecil Siti 50 tahun lalu. Melakar cerita bersama Emak, Abah, dan Nenek dgn sahabat kecil mengintan katak yg kerap muncul di bawah pangkin dapur: Awang angsaku yg kerap mengejar jiran dan saudara mara datang ke rumah. Awang adalah putera rajaku, macam sang putera yg segak harus kusediakan makana bersama ituk serati nenek. Saya turut mencintang batang pisang .Rasanya itulah makanan asas itik dan angsa.
Rindu pada Awang yangberbulu putih, leher leher jinjang mula menconcang relung batin,

Hujung Januari 2015
Siri Kucing: Si Bulu Cantik, Anak Kambing Sg Air Tawar, Cik Bunga Rantau Abang dan Laman Cicak  Mengkarung  disiap sunting oleh Editor Cik Ainunl.

Sekarang memasukkan gambar tambahan. Cik Bulan mohon pilih gamar Nnen, Abu dan Bilan ya.

Penulis tidak bekerja sendirian. Dia membawa khazanah kehidupan Alam Ciptaan Tuhan.

Selamat membaca Anakanda cucunda dan para ibunda!  

27 Januari 2015