Sunday, 28 March 2010

Di Sebalik 100 Pepatah Petitih Melayu

SEJAK kehidupan seharian yang calar balar dengan isu semasa, perang politik di parlimen, bom tercanggih meledak di semak bukit, isu dagang, bangunan dan tanah runtuh, peniaga tertipu, pencuri ayam di penjara, penggelap harta berjuta bebas berjenaka....saya membawa hati, berbisik dan mengadu sambil mendengar nasihat nenekku: 45 tahun lalu nenek berbidal, : macam menjirus air di daun keladi, bijak cucu nenek macam Puti Mancik. Saya juga kerap menghalau itik ke reban dengan deretan anak-anak mengikuti ibu, hingga nenek bersuara lagi " itik pulang petang" pun tahu pulang ke rebab.


Prof Madya Dr Rosnah dan Prof Madya Asmah Bee
dua orang sahabat yang menyokong kerja seni lukisku

Saya tinggalkan kampus walau kawan-kawan seusia masih menyambung kontrak kerja. Dunia profesor di kampus sudah selesai. Terasa letih mengajar pelajar yang sudah dewasa, bijak dan degil, mengeluh bila diminta menganalis bahan bacaan. Sedang di tadika apakah yang dibaca si kecil kita? Tidak ada bacaaan Melayu yang cantik seperti ungkapan bidalan nenekku dulu. Saya sudah bersedia untuk melakar semua bidalan yang masih terngiang . Kembali menyimak tulisan Pak Zaaba, Pak Sako, juga tulisan Winstedt, Issabell L Bird juga Gullick.Ada jenaka dan lucu mereka mempelajari pantun orang muda dan jenaka mak bidan dengan berbagai macam bidalan. Ya saya melakukan untuk genenasi muda bangsa ku

Melakar boleh di mana-mana saja
Pelukis itu melakar dengan tinta dan warna. Tetapi saya pilih hitam di atas putih. Di mana-mana ketika dalam bilik seminar, sambil menunggu pesanan makanan, di stesyen kereta api di lapangan terbang, malah di depan pasar juga terus melakar. Kerap juga saya tersentak bila ada yang bersuara " Eh awak macam Lat - buat katun ke". Saya tersengeh dan terus melakar sejak tahun 2008-2009. Akhir November 2009 saya bawa ke meja mesyuarat ITNM. Semua staf yang datang turut bersetuju dengan cadangan Tuan Khir Ngadiron.." Ya kami akan terbitkan. InsyaAllah dapat disiapkan sempena Pesta Buku Antarabangsa KL 2010". Ya hanya ucapan terimakasih yang termampu dilafazakan kepada semua staf ITNM juga penterjemah buku ini Puan Shahnaz Mohd Said. Walaupun kita tidak berpeluang berbincang bersama , semoga di lain waktu kita bersua untuk lebih sama selera puisi kita. Begitu juga ketika menyusun judul
pepatah ini saya mengaturkanya mengikut abjad bahasa Melayu. Tetapi kerana bahasa Inggerisnya didahulukan, maka judul berdasar susunan abjad tidak ketara lagi.

Sekarang buku ini sudah di tangan anda. Sudi kirannya memberi pandangan dan kritikan untuk saya perkemaskan lagi di masa depan. InsyaAllah.


*****
Anjung Kasih Bonda
Bandar Baru Bangi
29032010

Friday, 12 March 2010

Penghulu Bendahari

INI bukan pelakon bangsawan atau teater klasik Melayu. Tetapi inilah tokoh yang membuktikan betapa kayanya khazanah budaya Melayu. Penghulu Bendahari Perbendaharaan Khazanah Warisan Melayu, Negeri Sembilan.....di mana saja beliau pergi, ke mesyuarat ke acara adat Negeri, malah jangan terkejut kalau anda bertemunya di Oxford Bookcafe. Apalagi kalau berjalan di mall, santai minum di kedai kopi, busananya tetap bergaya warisan silam.


Berbaju sikap pahlawan Melayu, kepala berdestar, dada baju disemat rantai dan leher bulan bunga berkelopak lapan. Berhias bukan berlagak, tetapi tampil buat mengingatkan, kita pernah dilingkungi budaya tinggi yang kini hanya ditayang menjadi filem jenaka....
Kaki pula bergelang keroncong. Diajak bersilat pantang dicabar. Keris di tangan selalu di genggam tatang (petang ini beliau tertinggal keris). Terima kasih Penghulu Bendahari Zain Al JOhan yang menyokong menyusun gerak silat pahlawan untuk acara perasmian PAMWNS.
Insyaallah!
******

Rumah kasih Bonda
bandar baru bangi
12032010

Tuesday, 9 March 2010

Antara perabung dan siku keluang

Lakaran untuk binaan bumbung setengah
(pe)rabung, diharap boleh dibaca oleh tukang
*****
SEJAK mengkaji ragam hias seni Melayu di pertengahan 197oan menyiap tesis sarjana di UKM, inilah ujian dasar, betapa nama-nama ragam hias belum banyak dapat dirujuk daripada buku karya anak tempatan. Mujur para pandai seni masih terus bekerja menghasilkan bentuk rabung bumbung, pucuk rebung kepala kain batikk dan songket, patah daun dan puncak destar, sembah mengadap seni tari, terus saja mengkilaukan mata dan gerak dalamanku. Kedua pembimbing Prof Mohd Taib Osman dan Prof Dr Muhammad Haji Saleh merupakan penguji yang cekap, teliti menemukan kesilapan kajian saya. Saya masih merujuk kamus dan teori seni lukis Barat sebaliknhya kedua pembimbing menyaran saya merujuk pantun, syair dan gurindam juga wajib membuat perbandingan teks lisan dan teks tradisi Melayu Klasik.


Pandai seni tukang Sudarmaji asal Surabaya dengan tekun
menggergaji papan cengal berusia hampir 100 tahun,
sempat kuselamatkan dari hancur setelah rumah
Pak Long Pangkat (pesilat asal Kuantan, Inderaguri Hulu)
telah dirobohkan oleh Majlis DBKL demi melebarkan
jalan untuk laluan 4 jalur di Batu 4 Jalan Gombak)
*****
Mujur saja Allahyarham Pak Hamzah Awang, Seniman Negara pakar wayang kulit kerap bertempek melakonkan suara Raja Wana (Rahwana), lembut merayu Laksamana, gemulai manja Siti Dewi. Di situ Pak Hamzah menunjukan aneka motif seni hias di kecopong, di hujung panah dan pedang, serta mahkota dan kasut Siti Dewi.....pucuk rebung amat mengganggu dengan kata Melayu lama R A B U N G menjadi R E B U N G .." Lha lihatlah bumbung rumah Melayu ". Sergah Pak Hamzah , " atau boleh saja disebut tumpeng, puncak merapi ", tambahnya lagi.


Papan cengal sisa tangga rumah Pak Long Pangkat,
sudah berpindah wajah. Terimakasih
Kak Kam dan Linda mengizikan bahan
ini pindah dan ku bangun kembali
menjadi siku keluang! (eh belum siap lagi ni)
*****
" Keluang itu jenis unggas pintar. Setelah penat terbang berlegar, ia senyap mematikan diri tergantung di gua batu ". Terang Alllahyarham Pak Nakula. Pandangan tokoh ini lebih memeningkan dengan sikap beliau yang Islamis tetapi masih saja mememetik contoh ragam hias Hindu dan Budha. Saya bertanya bunga telepuk, jawabnya. " Lihatlah kelopak teratai, tempat Budha menghening jiwa bersila di atas kelopaknya. Dan siku keluang yang menari - nari di awangan sebelum melekat di dinding " .
Ketika itu mata hati ku masih kabur. Bertemu pula dengan Pak Mat Gamelan di Trengganu, sambil menunjukkan gaya kepak burung menari. " Ini burung bul-bul Ratu Balqis " . Tetapi cepat ditingkah oleh Mak Nang, penari gamelan istana, " Bukan itu gerak sayap keluang, bersiku dan tajam di pertemuan sayapnya " . Wah wah...Saya harus masuk ke falsafah seniman tradisi yang kaya dengan metafora dan citra. Citra alam, " Bukalah pintu langit hatimu. Pintu langit yang bercahaya !" , nasihat Pak Nakula!



Demikian dengan ingatan kerja lampau yang berlapis-lapis, bersama kerja para seniman lampau saya himpun bersama bunyi syretsyreet gergaji, ketam kayu, beluti, papan pemanis, gigi beliung, di situ dulu reban ayam dan pondok tukang Abah. Semuanya berbumbung perabung, dan saya hanya membina sebelah rabung di anjung. Kupersembah ka sahabat alam kita bersama! InsyaAllah.
*****
19032010



Wednesday, 3 March 2010

Ratu Kota Serendah Sekebun Bunga

Ratu bergelar Puteri Wijaya Mala
dialah bunga kerajaan gemala
dihormati dagang dan santeri
arifnya dengan suluhan cahaya
tuturnya lembut beralun
hafaz surah nan suci
hingga digelar Cik Siti.



Ratu bertahta di singgasana
turun ke kampung ke lembah ke pantai
disenangi rakyat oleh akal bijak
memerintah negeri
Kota Serendah Sekebun Bunga
berbusana tiga potong kain berjurai
songket lepas ikat meribu
selendang panjang melambari di bahu
dada terlilit limar jantan
di kejab pending permata delima
tergenggam keris panjang di kanan
kiri melambai punca tebar layar



Adilnya memerintah Ratu Melayu
tercatat sejarah negeri makmur
indah damai di Pantai Timur!




Rumah Nilam-Kasih Bonda
18 Mei 2009 -Mac 2010

Tuesday, 2 March 2010

Sulaman Kelingkan Warisan Selangor - dilestarikan

Kurator Balai Seni Lukis Negara,
mula menyimbat pinggiran kain net

02 Mac 2010

SALAH satu kerja kurator muzium dan galeri seni budaya ialah membaik pulih dan melestarikan bahan budaya yang semakin langka kewujudannya. Inilah yang dilakukan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Seramai 22 orang tenaga kerja dari PAMWNS, Balai seni Lukis Negara, Jabatan Muzium Negara, dan kolektor budaya turut mengikuti bengkel yang dikendalikan oleh ibunda Raja Akmal Raja Bahari dari kerabat istana Selangor.

Kurator Muzium Tekstil Malaysia dan jurufoto PAMWNS,
serius mengikut arahan guru

Sulaman kelingkan menggunakan bahan pita logam perak dan emas yang berasal dari India tetapi di jual di pelabuhan Nusantara sejak abad ke 10 M. Pelabuhan Meulaboh, Airbangeh, Teluk Bayur di pesisir Sumatera Barat, turut disinggahi benang emas, kain sutera jaring, sutera saring. Dari Laut Cina selatan bahtera juga memunggah bahan yang sama hingga masuk ke perairan Borneo, ke Sulawesi, mencelah ke tanjung dan teluk kepulauan Riau, hingga sulaman ini terkenal di istana Penyengat, Lingga. Perempuan Melayu tidak melepaskan peluang untuk mencipta sulaman untuk selendang, selayah dan manto.


Ibunda YM Raja Akmal Raja Bahari terlibat menyulam
selindang kelingkan di istana Selangor sejak Al-marhumah
Permaisuri Tengku Ampuan Rahimah, membawa
guru dari Istana Langkat sempena perkahwinan dengan
Al marhum Sultan Salehudin , pada awal 1960an

Inilah selendang kelingkan hasil ibunda YM Raja Akmal
Di negeri Selangor, sulaman kelingkan bermula dari hubungan Kerajaan Melayu Johor Riau, sejak akhir abad ke 17M. Merupakan kelengkapan busana, dipakai sebagai selendang panjang, diletak di atas bahu atau melindungan sanggul di kepala.
Sulaman ini memberi tanda perempuan yang berhati-hati, jujur dan sabar sesuai dengan kerja sulaman dengan cara menikam jarum bermata dua, pita logam menembusi celahan kain tembus ke belakang, dicucuk dikelaurkan dari lubang kain, dililit, ditekat, membentuk motif bunga cengkeh, susun pucuk rebung, jalur mata air, sisik kelah dan sebagainya. Kilauan pita logam menambah indah dipakai dengan baju yang berbeza warna. Selendang dengan natar hitam, putihm merah jambu, hijau lembut menampakkan sopan si pemakainya di ruang acara adat, dan perayaan. Apalagi hasil sulaman itu dihasil sendiri oleh pengantin perempuan ketika berijab kabul dan bersanding di pelaminan. Sulaman kelingkan telah diangkat kembali sebagai hasil seni warisan yang akan dipakai semula bagi melengkap busana adat perempuan Negeri 'Selangor. terutama dalam acara rasmi adat di PAMWNS. InsyaAllah!



1910 Gelombang Biru
Shah Alam
02022010