Monday, 28 June 2010

CERITA LISAN TIOMAN DAN KG MUKUT


KEMBALI ke Pulau Tioman, seperti kembali ke halaman lama yang ditinggalkan. Ada rasa mengigit, terlayangkan kawan-kawan seniman yang sudah berangkat jauh. Aku sampai pertama kali ke Pulau Tioman , tahun 1988, bersama rombongan pelukis (Persatuan Pelukis Malaysia, PPM) di pengerusi oleh Allahyarham Ahmad Yusuf. Kami melukis kampung nelayan, masuk ke kawasan air terjun dan cuba menyatu dengan cerita asal tempatan. Aku bertemu Pak Lugam, bekas nelayan yang menghabisi hari tuanya dengan menganyam bakul, tikar untuk kegunaan seharian.



Tahun 2010 bulan Jun ini aku mendapat jemputan untuk mengendalikan program pemurnian karya kreatif dari kumpulan staf (pensyarah) UiTM Segamat. Bersama Nisah Haron kami bergabung sejak dari Bangi-Seremban-Segamat-Mersing sebelum belayar lebih 3 jam dengan feri menuju Kampung Mukut. Feri berenang laju tenang di Laut Mersing mencelah-celah pulau kecil yang bertaburan. Betapa indah dan sempurna ciptaan Ilahi.
Pemilihan AJK program ini memang menarik, kerana memilih Kampung Mukut di kaki Gunung Nenek Si Mukut, pasangan bukit berapit sepasang, menujung ke atas.
Sebelum tiba di jeti, kelihatan sayup Pulau Pemanggil yang kaya dengan cerita metos yang menggelorakan pelaut. Kerap kapal-kapal yang menghampiri pulau akan disambut gelombang tinggi, langit tiba-tiba gelap gelita. Kapal asing kerap karam dan hilang. Sebaliknya kalau Nakhoda Muslim akan cepat melaungi azan dan laut tiba-tiba kembali tenang dan kapal dapat berlabuh...(mengutip cerita Pak Taufiq Ismail, pengalaman orang tua beliau yang pernah membawa senjata dari Surabaya dengan pinisi Bugis di zaman perang Belanda).
Kami sampai ke jeti Kampung Mukut disambut ombak besar sehingga feri terus beroleng dipukul gelombang. Kebetulan kampung ini memang menghadap laut Cina Selatan, dan angin petang bertiup menggelombang laut, yang mula membawa ombak besar selepas bulan Jun. Inilah kampung asal yang masih belum diterokai pembangunan. Belum muncul gedung perniagaan seperti di Kampung Genting dan Kampung Tekek.

Orang kampung memanggil gunung sebagai Nenek Mukut.
Nenek berganding dengan 'datuk' tegak berdiri agam sudah dilitupi kabus. Di hari ke dua kutemui Nenek (Tuk) Nabiah, datang singgah di pondok kami. Peluang mendengar cerita pulau dan kampung ini terbuka. Tuk Nabiah mula bercerita tentang Pak Lugam yang pernah kutemui pada tahun 1988.

" Oooh Pak Lugam sudah nmeninggal dunia , di Kampung Batang Air. Anak-anaknya ada di Kampung Tekek dan yang lain sudah ke Tanah Besar.


Kenapa di sebut pulau Tioman ? Ah soalan bodohku tiba-tiba terkeluar begitu saja. Pada hal sudah mengutipnya hingga melahirkan cerpen " Taman -taman Laut".
" Oooi banyak cerita lah, Tuk tahu sikit aja, tapi selalu dengar cerita dari Tuk Wan...ini pulau tempat laluan dua ' orang' naga, lelaki dan perempuan - suami isterilah naga itu. Mereka datang dari Tasik Chini, keluar ke laut berjalan-jalan, makan angin. Zaman dulu, suami atau lelaki harus jalan di depan, sebagai pengawal, tunjuk jalan. Perempuan di belakang....jalan terus berjalan lelaki naga terlupa, kira-kira isterinya ada mengikut di belakang. Sampai di pulau ini, isteri naga tersangkut ke busut pasir tak dapat berjalan lagi....ini pulau yang kita duduk ni badan naga lah..si naga lelaki terus berjalan sampai ke Daik...nun jauh di sana itulah badan naga dah jadi pulau? "
Ha? kenapa di sebut Tioman?
Tuk Nabiah tersenyum. Pasti berbisik di hati ....bodoh sungguh orang ni, nak datang ke pulau tak cari cerita dari buku.....heeehuuuuong.
" Ooooh sejak lama, pulau ini kosong, cuma jadi batu, bukit...tu Nenek Si Mukut...tumbuh begitu saja....tak tahu semua panggil Nenek Mukut...ada "nenek" - penunggu di puncak gunung...dan datanglah pelaut singgah kerana tiupan angin kencang, berteduh lindung di pualu ini. Belum ada manusia, hanya se ekor burung tiong bertenggek di dahan kecil...."
Dialog terjadi,
- Pelaut > hei burung apa nama pulau ini?
- Burung Tiong dengan bangga bersuara > Tiong, tiong man (saya tiong, saya tiong)
- Pelaut > Oh cantik nama pulau ini Tio, Tioman.....
Burung tiong tertawa terbahak-bahak sambil bernyanyi dan terbang ke arah Nenek Semukut, ' tiong man , tiong man ' . bahasa asal pulau ini, man = saya...

Kutatap dua wajah yang makin bersinar kasih, Tuk Nabiah perempuan tertua yang masih mengingati cerita lisan dari moyangnya tersenyum manis. Kami serentak menoleh ke arah puncak Gunung Semukut dan tiba-tiba Tuk Nabiah bertanya, " Bila nak datang lagi.....lama-lamalah di pulau Tiong ini" - InsyaAllah.....
*******
Sanggar Nilam
Bukit Kanching, Rawang Selangor
29 Jun 2010

Sekolah Kecil Pelajar di Kg Mukut Tioman

ANTRA program kami di Pulau Tioman ialah meninjau ke Sekolah Kebangsaan Kampung Mukut. Tujuan asal ialah untuk menyampai sumbangan buku. Alhamdulillah umumnya membawa buku masing-masing. Terutamanya UPENA sebagai penerbit UiTM Segamat. Setengah terkejut dan terharu, bila mengetahui jumlah murid hanya 25 orang. Mengikut keterangan guru yang menyambut kami di pagi Khamis (24 jun 2010), kebanyakan penduduk sudah berhijrah ke tanah besar, sama ada ke Mersing (Johor) atau Rompin, Pekan (Pahang) antaranya mengikuti rancangan tanah FELDA.
Penduduk kampung pula hanya terdiri daripada 32 keluarga. Seorang pelajar Phakarul, bila kutanya, " - " Anak suka belajar di sekolah? "
sungguh terkejut bila murid ini menggeleng kepala.
- "Kenapa ?"
- " Guru selalu suruh belajar, bosanlah "
- " ha?"
Cikgu Redhuan berbelanja keperluan sekolah dengan
motor begini. Inilah kenderaaan (tepian kereta) untuk mengangkat
barang kepeluan sekolah dari dan ke jeti. Sang
guru tetap tersenyum dengan tugas jauh di pulau

Cikgu Redhuan mendengar perbualan itu.
- " Phakarul sedih, kerana ibunya di Tekek, kerana jauh, kami jadikan dia sebagai anak angkat, jadi ketat di rumah, selalu disuruh buat ulang kaji , tapi Inyallah dia akan dapat menyesuaikan dengan bahan bacaan..."
Antara pelajar Sekolah Rendah dan Tadika seramai 25 orang
Murid-murid ini setelah selesai kelas 6 akan dipidahkan ke asrama di Tekek...sebelum mereka tamat di sana dan berpeluang menyambung pendidikan di tanah besar. Insyaallah. Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Mukut ini lengkap dengan bilik darjah, guru, bilik guru, bilik pandang dengar, perpustakaan mini, halamanan yang bersih dengan deruan ombak mendesah memberikan kesegaran. Guru juga berwajah ceria dan sehat dengan cuaca dan angin laut China Selatan. Walaupun mereka dihantar selama 4 tahun namun bagai tidak kelihatan wajah kesal. Ketika kami sampai, murid-murid sedang menyiapkan acara perpisahan Chikgu Sham yang akan meninggalkan pulau dan bertugas di Cheras, Kuala Lumpur.
Antara 4 wajah guru (di belakang kami) semua berjumlah 8 orang

Buku-buku kami sudah bertukar tangan. Kumpulan pensyarah UiTM Segamat dan Melaka sungguh gembira dan berfoto buat kenangan, terharu juga menatap wajan senyuman ceria guru-guru di pulau .
Bersama murid lelaki di SMK Mukut
Bakal pemimpin masa depan. Insyaallah hanya ilmu yang memberi kehidupan lebih kuat untuk berjuang demi ummah - dari pulau, pulanglah ke pulau....membangun pulaumu wahai anak-anakku.
******
Sanggar Nilam
Bukit Kanching, Rawang
28 Jun 2010



Sunday, 20 June 2010

Mengenang Yang Datang Yang Pergi

Wajah si kecil Jingga ketika pertama kali masuk
ke rumah, usia 4 bulan, takut melihat Bucuk
KETIKA Jingga datang ke rumah, baru berusia 4 bulan, hadiah daripada Sya kawan Melor. Masih takut melihat Bucuk yang sudah segak perkasa, menjeling aneh. Marah? Cemburu

Sejak Jingga masuk ke rumah, Bucuk bersifat tidak peduli. Akhirnya keluar tidak mahu tidur di rumah. Sebaliknya menumpang di rumah Busu kami di sebelah, tidur dalam stor, dan pasti kehujanan kerana stor itu tidak berdinding...sudah ada kawan muda, bersama. Hanya pulang ke rumah ketika bau Melor mudah dirasanya. Dia melenggang, dengan getaran loceng menyambut Melor. Itu lebih 3 bulan lalu. Sekarang Bucuk tidak kelihatan bayang. Apakah kau merasa dirimu mula sakitan. Tidak, umurmu baru setahun segak dengan bulu menggebu...atau kau sudah dibawa oleh penyayang lain? Buccccuuuuk kami menunggumu....selalu memanggil dan menyebut namamu....sekarang Si Kecak telah melahirkan 6 ekor anak...dua berwarna seperpti mu...anakmu barangkali. Pulang ya, lihat si Bulu Kembang dan si Bulu Kuncup , belang abu baka mu !!
*****
21 Jun 2010

Thursday, 17 June 2010

Demi adik-adik baru, harus kumpul kembali dengan nenek di Gombak


Adik seibuku Khairil Salleh , dalam gendongan Mak (l 1960),
MerdeWati (l 1957), no 2 dari kanan depan
rumah kami di Jalan Temenggong
Johor Bharu, tahun 1962.
Semoga kita dapat bersua -
di mana anda semua????
1958 - Kota Bharu

KENANGAN Si Siti Kecil > terkejut tidak percaya setelah setahun bersekolah di Langgar, Makpun melahirkan adikku MerdeWati. Tiba-tiba enam orang anak-anak kecil berderet menaiki tangga rumah kami di Teliput.Mereka cantik-cantik dan pintar bersuara . Entah siapa yang bersuara, " Mana Cik Bainah, ibu baru kami? ,kami semua anak-anak Dei....hei awak ni Izan ke? "
Aku selama ini, sebagai anak tunggal Abah Ismail dan Mak Bainah, terkejut, tidak percaya....hingga nenek tiba dari KL ,
" Oh kesian cucuku, ayuh kita balik ke Gombak ye"

Terjadilah perpisahan itu aku harus bersekolah di Setapak, kembali menatap Abah naik basikal ke sekolah, mengaji di surau tinggi...menjadi anak kampung di tengah kota Kuala Lumpur yang sedang rancak membangun. Abah berkeringat di bengkel keretapi Sentul. Ya aku anak buruh keretapi....

Namun Ayah Dei, ayah baru amat baik mendidik kami. Setiap cuti sekolah aku naik keretapi sendiri menuju ke Palikbang menyeberang sungai dengan feri ke Kota Bahru. Ayah Dei sudah menunggu...dengan ayah Dei kami diwajibkan membaca buku-buku, belajar bahasa Inggeris...rumah kamipun turun naik dengan wajah-wajah Mem orang putih. Anehkah? Inilah kehidupan negara baru merdeka. Gaya hidup cara barat masih tersisa...ayah Dei lulusan Junior Cambridge dari Penang Free School memang bergaya sebagai staf di CEB (Cetral Eletrict Board, sekarang TNM ). Kerap bergaya makan malam, tari menari - satu hari Mak juga dijemput Sang Direktor CEB , untuk acara makan malam, wah ayah Dei terkejut juga melihat isteri cantiknya menari di malam perpisahan Mr & Mrs Stockwell yang akan pulang keLondon.
Ah masa lalu negara pra dan awal pasca merdeka ada perit luka dan bahagia. Al-Fateha buat ayah Dei yang membawa dan mengenal pembacaan buku di rumah. Juga Mak yang mengajar kami lebih tabah melalui ujian kasih sayang. Al Fateha. Eh mana semua adik-adiku saudara tiriku ini ?
*****
Bangi
18 Jun 2010



Wednesday, 16 June 2010

RAKAMAN SECAWAN KOPI, SELAKAR PUISI

Program Secawan Kopi Selakar Puisi Sebuah Lukisan memang sudah lama bermain di fikiran Penerbit SSE Sdn Bhd. Sebelum ini memang sebagai pelukis dan penyair sudah kerap di wawancarai secara eceran. Kadang penerbit hanya memberi tahu program akan disiarkan di rancangan A atau B. Sehingga kita sendiri pun ketinggalan tidak melihatnya di TV. Kita juga kerap dipanggil dan bersiap waktu pagi untuk ke studio akhirnya diri terasa letih dan pedih sehingga memujuk diri " Kau jangan lagi melibatkan diri dengan dunia rakaman TV yang kerap lebih menguntung kelompok penerbit - menjual hasil terbitannya tanpa berbaloi dengan kerja seniman, waktu dan acara rakaman yang melelahkan. " Tetapi tiba-tiba muncul sahabat kami yang terkenal dengan suara jenaka dan ketawa nakalnya. Kali ini memang tidak dapat mengelak lagi. Dia datang dengan lengkap surat perjanjian dengan skrip yang rapi dan kumpulan kerja yang tahu mengatur ruang, tanpa menyusahkan kami di rumah. Pilihan mereka memang lucu juga tapi aku faham...
" Kami mahu latar rumah ibumu! ok? Rumah ibu ya paling tidak di situ ada semangat mu waktu kecil "
Raja Azhar sebagai penerbit juga seorang pelukis dan pengarca gelas.....dia tertarik dengan citra rumah lama yang kubangun di anjung rumah Ibu...9 mata anak tangga menjulang ke ruang atas, bertiang tinggi.


Raja Azhar Raja Idris - Penerbit Secawan Kopi Selakar Puisi Sebuah Lukisan


Watak si Siti Kecil, bermula dengan mesen taip




Nanee Surya sebagai pengacara progam....
Suaranya mengulangi skrip :
Kesemua hasil lukisan dari pameran solo pertama Siti Zainon, kira-kira 2 ribu ringgit, satu nilai
yang besar pada tahun tahun 1969, Siti Zainon jadikannya bekalan untuk melanjutkan ilmu seni catanya di Akademi Seni Rupa Indonesia atau ASRI -
*****

CUT lampu dimatikan pengarahnya lega.....
( Jingga ulang alik ke depan ke belakang aneh orang sibuk di rumahnya haaaa)


*****
Bangi
17 jun 2010

Friday, 11 June 2010

Dari PARLIMEN ke RUMAH SENI

Dinding pameran di ruang bawahRumah Seni
SEJAK perjanjian 1824 Inggeris -Belanda sudah memasang helah. Riau-Lingga-Penyengat Johor sudah dibelah. Riau-Lingga jatuh ke Belanda. Singapura menjadi hak milik Inggeris . Sebagai negeri Selat, baik Crawford, atau Raffles sama-sama bijak menipu Kesultanaan Melayu. Janji manis, sagu hati wang, tanah beralih kuasa. Sultan Husin membawa lara ke Melaka, mujur waris Bugis Melayu tidak henti berusaha hingga Teluk Belanga menjadi tanah pegangan. Kini tanah waris akhir istana Kampong Gelam sudah di jadi Rumah Budaya Melayu...bukan istana lagi. Gedung Kuning juga menjadi restoran saja.
Menemui bukuku The Traditional Malay Handicraft Design, DBP 1997
Tapi pemerintah kini memang bijak memasang jaring antarabangsa. Kota ini sudah dibangun dengan tidak menyisih akar seni budaya melalui ILMU yang bijaksana. Majlis Kesenian tidak mengira suku bangsa. Rumah Parlimen Lama sudah ditata menjadi Rumah Seni, untuk ruang teater, pameran, jualan buku sambil seniman atau siapa saja boleh bertegur sapa....buku-buku ya buku di mana-mana....pamer, baca , jual - beli bawa pulang . Bayangkan siapakah yang akan menata Parlimen kita kelak....sebagai rumah warisan tanpa sebarang kegiatan kasih ilmu warisan di situ???


Kamipun mereguk teh lemon madu, suara rindu ilmu saling berpadu, rindu sedih, mengenang diri jauh di Tanah Melayu....di sini Melayu jadi pinggiran, di sana Melayu jadi SINDIRAN.


Kawan, kudengar resah Allahyarham Mochtar Lubis, " bangun, bangun anak bangsa....ilmu harus dipacu dengan kesedaran menjaga maruah jiwa. Untuk berjuang demi kebenaran jangan takut masuk penjara ". Ku tambah sambil melangkah, " kawan masuklah ke rumah ilmu dengan batinmu yang terus berkerja untuk maruah bangsa kita Melayu dan kasih setia Agama! Allahuakbar.



Di bangunan Parlimen Lama inilah, tergantung janji dan akuan Lee Kuan Yu...".Singapura tidak akan berpisah keluar dari Malaysia. " Piagam janji palsu masih tergantung di sini kawanku....


******
Bukit Takun Taman Kanching
11 Jun 2020


Thursday, 10 June 2010

Gerincing Akhir Gaza Luka!


1.

Kusarung
kubuka,
berkali gelangmu bergerincing
angin basah sudah lama mengering
kelopak mawar berderai di hujung purnama
tepat surat itu tiba
dikirim kembali tanpa nama
kau sudah jauh di laut luka
ketika peluit perang mendesing
sayap-sayap cinta berderai
duri kejam menyiat kasih
kau pergi di malam berkabut
tidak kau dengar lagi
gerincing gelang di lengan janji
gaun malam berganti kafan
selimuti aku
dalam dakapan
sedihmu
aku tahu
kau sudah jauh
Gaza mengubur
siatan cinta !


2.

Cuma kemaunusiaanmu
kumaafi segala yang pergi
gelang ini adalah saksi
masih bergerincing
angin masih mendesah
tidakkan kututupi jendela
kerana kau masih di situ

Secangkir kopi semakin dingin
surat wasiat tergeletak
tidak pernah ku buka !


3.

Masih kau dengari gerincing
gelang di malam kelam
gerincing tasbih cintaku
mabuk memendam
memanggil namamu
Kekasihku !

*****

Sungai Musi
2-5 Jun 2010

Tuesday, 8 June 2010

Sisa Silam di Kampung BUANGKOK SingaPura

7 Jun 2010
(Catatan buat Mei Young)
NAMA Kampung Buangkok kukutip di sebuah jurnal kembara yang dihadiahkan oleh seorang penulis dan wartawan. Pesannya, " Jangan kira SingaPura sudah lupus dengan kampung. Pergilah ke Kampung Buangkok." Wah namanya apakah tidak keliru? BANGKOK? Bukan! B U A N G K O K arah ke Woodland menghadap ke Selat Johor? Beberapa kali untuk meredah kampung ini tergendala hanya kerana berpanjang di Rumah Seni (The Arts House) atau Muzium Tamadun Asia (Asian Civilisation Museum). Kali ini aku tidak akan melepaskan kunjungan ke kampung impian sisa sejarah budaya di kota metro SingaPura.
Rumah Nenek Esah , berbumbung limas, ditata rapi,
dengan halaman berpasir, kerusi batu, buai
untuk anak cucu bermain kalau datang
di hari cuti terutama di hari raya..

Matahari bersinar dengan lembut tidak menyebak keluar awan. Suasana menjadi lebih sejuk seakan baru munculnya musim bunga. Kami bersarapan di bangunan Pasar Geylang Serai terus memilih Warong Solo (dibuka sejak 1965), memesan soto dan Melor memilih laksa Siglap dan segelas teh tarik di gerai Sang Nila. Lengkaplah pandangan sejarah diangkat oleh para peniaga, dari kelompok asal orang Jawa Solo atau kelompok waris Sang Nila Utama. Dengan teksi kami meminta dihantar ke Kampong Buangkok. Tanpa soal teksi meluncur menuju arah ke jalan Yio Ciu Kang. Dalam benak terfikir pula apakah masih tersisa kelompok Selitar? Teksi berhenti di celah lorong Gerald Drive ($S 10.00). Kiri kanan lorong sudah penuh dengan jentolak, si leher jenjang, truk dan ceracak besi sudah ditancap ke bumi. Sungai yang sudah terkepung tindihan batu....hinggga sungai melenggok tegang untuk mengalir ke arah lembah Seletar. Kami menyusur hingga ke hujung lorong hingga bertemu papan tanda bertulis tangan, kasar dan miskin rupa : Surau Lorong Kampong Buangkok!!!

Kampung terbuka tanpa pagar. Bumbung rumah limas beratap zink setengah berkarat, pagar berkunci terkiut. Tiada suara. Siapa yang kami cari? Nama pemilik tanah ini Mei Young sudah lama tercatat di benak. Konon tanah kampung ini 5 ekar milik keturunan datuk dari Emoy suku Hokian. Tapi mana Nonya Mei Young? tuan milik tanah ini. Tanpa izinnya kami menyusur ke halaman rumah yang terbuka itu, hanya dibatasi kebun kecil yang cantik rapi, tembus ke rumah Tuan Jamil (maaf ya Sahabat), tanpa izinmu kurakam, koleksi barang-barang purba, pintu berukiran dari Jawa- Bali, kerusi seakan koleksi dinasti akhir Chin, vas bunga gaya Yunani, pohon berjurai dauan segar mangga, keluk kubah jalinan sirih rimbun menghala ke kebun belakang. Terdengung juga suara radio tetapi perlahan dan kemudian senyap. Seakan penguhinya tahu ada oranng asing sedang berkeliaran di halaman kebun mereka. Dengan langkah bismillahhirrahmaniirahim dan doa kecil kulimpah lewat bibir jatuh kembali di nurani...bagaimana kebun dan tanah ini masih bersisa belum terusik oleh rakusnya pembangunan...?


Taman dan halaman rumah semakin sejuk dan damai. Akhirnya terjawab bila halaman rumah paling barat, terdengar suara kanak-kanak riuh gembira. Terdengar suara ibu sedang bernyanyi. Kami singgah dan menyapa dengan salam. Alhamdulliah salam kami bersambut, di situ Puan Sharifah Ruziah binti Ahmad (l 1968) sudi menyambut kami. Malah dengan jelas bertanya...
-" Wartawan ke...kami tidak terima kunjungan wartawan lagi, mereka menulis lain tidak seperti kami ceritakan...? "
-" Ha bukan, saya seperti puan juga, orang biasa suka meninjau tempat-tempat sejarah lama ingin tahu kehidupan budaya bangsa kita? ingin berjumpa tuan milik tanah kampung ini "
_ " oh dia Mei Young , tapi tidak suka dengan penulis yang mengabur cerita, kononnya ada laporan, kerajaan akan ambil tanah dan bayar berpuluh juta, orang-orang luar sudah berkeliaran waktu malam ke sini !"
_ " haaa ? "
Atas Kuasa Ilahi juga, setelah setengah jam ngalur ngilir dengan asal usul keluarga Puan Sharifah berayahkan Ahmad asal dari Picitan Jawa, lahir di kampung Buangkok. Dan suaminya yang berpendirian lama, tidak membenarkan anak-anak perempuan berkerja campur gaul dengan lelaki ..tiba-tiba muncul perempuan Cina dengan bahasa Melayu yang sempurna, Mei Young (l 1958)...menjelaskan,
_ " Datuk saya kawin dengan nenekku, Ngo Teng, nyonya Melaka, pakai kain batik, baju kebaya, makan cara Melayu, masak asam pedas....dan tanah ini sisa harta ayah dan ibu, hanya untuk kami hidup damai Melayu dan Cina...sejak tahun 1950an...tapi mereka nak ambil juga .....satu hari nanti...susah hati saya - di mana mereka nak pindah nanti? "

Semua penghuni tinggal warisan ayah ibu atau nenek, (Nenek Esah paling tua tinggal sendiri berusia 75 th)...sejak awal ibu Mei Young menyewakan tanahy untuk tapak rumah, $S 3.oo-7.oo sebulan. Penyewa bebas mendirikan rumah atap kayu dengan bumbung limas. Umumnya rumah ini tinggal warisan. Sekarang mereka turut membeli flat tetapi kerap pulang di hujung minggu. malah lebih meriah kalau menjelang bulan puasa dan hari raya. Inilah kampung kami. Jelas Mei Young. Sekarang dengan sewa $S 30, mereka masih damai hidup bersama. Tambah Me Young lagi,
_ " Kami hidup SATU HATI - kawan-kawan meskin , kenapa kami harus diPISAHKAN? Di luar sana Melayu , China tidakpun bersatu ? Kerajaan sudah ambil 2 ekar untuk merapikan anak sungai. ya dulu memang pernah banjir, air masuk melalui laut di seberang Punggol... di sinilah ayahku Seng Teong Kin menanam semua herba terutama sayuran, serai, kunyit, ekor kucing, bunga raya, menjual daunan kering rumput rampai dari tasik belakang sana, untuk ( tahun 1956), dijual ke kedai sensei "
Sebelum pulang kususuri ke rumah paling hujung milik Nenek Esah. Kelihatan jejeran kain di tali jemuran. Bererti rumah berpenghuni tapi kenapa sunyi? Di bawah pohon mangga yang tinggi dan berdaun rendang, tergantung buai ditolak angin. Halaman berpasir bersih, terhimbau bauan wangi dari kelopak bunga cina, jantung pisang terjujur sudah berputik, buah kelapa tua tergeletak sudah menghulur pucuk. Kalau dibiar 5 tahun lagi pasti dan menjurai mayang. Tapi masihkan sempat kelapa berbuah lagi, mangga berbunga lebat, pisang berjantung...kalau kebun lama dengan rumah limas, berdinding papan kelak akan dipugar, demi pembangunan demi keangungan kerajaan mewah dengan rezeki melimpah oleh kesan ekonomi yang membuak?


*****
Hujung Tanah
8 Jun 2010