Monday, 24 March 2008

RIBUT HUJAN KOTA

SELASA , 25 Mac 2008

IBARAT bidalan Melayu, " menanam tebu di bibir" - ya inilah bidalan yang sesuai diungkapkan dalam keadaan kalut cuaca di tanah air kita. Entah di mana silapnya (kononnya ini kacau iklim dunia) , banjir, ribut salji, angin puting beliung boleh saja melanda tiba-tiba. Maka jangan aneh, janji untuk bertemu minum petang di Chawan Cafe, atau di Kota Tua di Pasar Budaya, batal tiba-tiba. Kau pun tersangkut oyong di dalam tren Sentul-KLCC dalam suasana penuh padat dan merimaskan dengan sikap anak muda. dengan santai duduk dikerusi yang dikhaskan untuk si usia mas. Lebih malang, tren tersangkut pula di stesen hujung, tergantung tanpa sebarang amaran. Tambah kalut i lagi kalau kau harus tiba di bilik temu duga, jam 9 pagi. Tiba-tiba kerana hujan lebat, banjir di Pudu Raya, trowong bijak yang merentas bawah tanah Sungai Besi tembus ke Jalan Tun Razak, di depan KBRI, ditutup. Nah semua janji jalan akan selesa kalau trowong dibuka, hancur berkecai. Dia berlelehan air mata, waktu temu duga lupus. Itulah nasib seorang mahasiswa lulusan Sains Politik pernah berangan untuk berkerja di departemen Luar Negeri - mana tahu akan jadi duta , akan mengepit wanita cantik (mungkin boleh jadi isteri bergelar datin nanti). Kalau lebih beruntung mengambil tempat menteri Syed Hamid kini diganti oleh anak Pak Yassin.
Seorang puteri allahyarham Sasterawan Negara dengan kesedaran menjaga hak milik harta ayahanda, menerbitkan kembali karya-karya sastera sebagai harta warisan negara, mencari orang baik hati untuk memberi dana, berhasil menerbitkan versi baru tapi bila dibawa ke kedai buku mewah di mall terkenal , diminta potongan komesyen sebanyak 60%. Nasib duka kah ini. Kalau harga buku RM 50.00 - dia hanya dapat RM 20.00. Ya inilah janji manis menanam tebu di bibir. Kerana sehari sebelum PR, ada ayat yang terloncat dari bibir pemimpin: " Kita akan sokong kerja seniman (penulis -pelukis), mereka penyumbang idea, semangat dan cita-cita " . Inilah Khazanah bangsa! Tapi mampukah penulis - menulis, terbit buku sendiri? Jadi perlukan penerbit. Penerbit pula pasang strategi sendiri. Penulis dibayar royalti 12% . Kalau penerbit universiti dan swasta (lain lagi) hanya di bayar 10 %. Kalau kumpulan esei, hanya editor yang dapat royalti. Penulis hanya dihadiahkan sebuah buku dan kalau beli diberilah potongan harga 25 %. Tebu oh tebu... seniman pun gigit jari. Kalau anda cukup kuat, ya kumpullah wang royalti, bertahun-tahun, jadikan modal terbit sendiri, jual sendiri, yang lain-lain bukupun bertumpuk di galeri, di rumah, bukupun mencecah ke siling, tamupun bigung, nak duduk di kerusipun berkongsi buku....marilah tanam tebu lagi, temu manis rasa. temu bikin semut sengsara.

Sunday, 16 March 2008

PAMERAN FROM THE STREET TO THE PEAK

Isnin

17 Mac 2008



Suasana kelabu sisa pilihanraya (PR) masih menyelubungi kelongsong jiwa rakyat Malaysia. Ada yang tersengeh gembira, ada yang berwajah bingung tidak percaya.Cuma kelompok seniman harus terus dengan agenda melukis dan berpameran. Kebetulan acara pameran ini setelah seminggu keputusan diumumkan. Di jalan masih bersisa bendera, poster yang bergantungan belum diturunkan. Bagi kami yang menerima undangan pameran oleh RA Art Gallery juga tidak ada pilihan, pameran harus terus dijalankan. Direktor galeri masih tersenyum walaupun menyampaikan gelisahnya, " Susah nak dapat perasmi, bahang PL masih kacau. Parlimen dan kabinet belum dibentuk, senarai menteri banyak yang digugurkan". Kami tahu, bererti ahli korporat yang banyak menyokong (membeli lukisan kerana ....) juga susah untuk datang. Hingga akhir diberi tahu " Mujur Tan Seri Kamarul Ariffin sudi datang"



Petang itu, kunjungan tamu juga tidak seperti biasa , kebetulan ada 3 pameran lain sedang berlansung di PETRONAS, DI PASAR BUDAYA, di Art Space dll. Seorang dua teman sudah menyampai pesan. Tulis Latt, " Lepas PR saya bercuti ke Bali". Tambah Zoy, " Maaf, hari tu saya ke luar negeri ". Cut Elly orang kaya ACeh menambah pesat, "Maaf anak saya baru tiba dari Jakarta". Mr Martin , Duta Timur Leste , teriakhir sibuk dengan duka penembakan Presiden di Deli.



Pameran ini menggabung tiga pelukis senior dan junior. Aliran juga berbagai. Zakaria dengan medium cat minyak. Gaya realis-sosialis Mexico masih terasa. Dengan tema 'mencari makan' dia mengajak kita mengingatkan kepada kehidupan marhaen, rakyat biasa yang setia dengan gaya hidup untuk meneruskan kehidupan. Seorang lelaki India tua tertidur di atas peti ayan, burung penelek nasib turut menemaninya bertenggek di bahu. Si tua yang selalu melihat nasib orang lain, tahukah dia nasibnya atau dia sedang bermimpi dengan melihat pandangan manis, tiga arang kanak-kanak bergembira bermain. Begitu juga pekerja 'memotong air batu' bersaiz kiub besar masihkah ada pekerja begitu di Pulau Pinang sekarang?. Patrick Lazak mengajak kita membebas pandangan jauh ke lautan senja merah, atau kehijauan dingin di puncak gunung. Sesuai dengan gayanya yang santai, humur itulah Lasak yang menggaris warna hijau, tasik terbentang luas dengan kanvasnya memanjang melebihi sepuluh depa. Aku masih meneruskan kembara jalanan. Pameran menampil 4o keping sketsa yang bagi rakayt Malaysia selalu mengganggap sketsa ialah lakaran ringkas, belun siap, atau lakaran awal sebelum memberi warna menjadi lukisan. Tapi kali lulusan ASRI Jogja tetap mempertahankan sketsa ialah kerja seni yang selalu siap berhadapan dengan khalayak. Kami melukis di jalan, di gunung, di sungai, di atas jembatan, di puncak Borobudur atau melakar hujung chapel, kafe. Inilah adalah diari perjalanan. Maka agak bingunya Director galeri untuk meletak harga...ucapnya "Orang Malaysia belum terlatih menghayati sketsa yang rengkas begini". Tan pelukis kucing, arnab. Agak malu dan manja. Tapi dia juga berani menampilkan tubuh setelah telanjang. Wah, wajah perempuan pucat dan setengah malu dan berani berdiri di dalam kanvasnya yang menegak di pintu dalam galeri. Cekgu Mansur, lulusan guru dari UK zaman 60an begitu setia menjagi guru, melukis bersama kumpulan muda, melukis melukis pandangan dengan warna cat air, masih merakam rumah pondok, mungkin rumah nelayan (masih adakah lagi begitu). Jadi enam pelukis yang bergabung dalam pameran ini menampilkan gaya kesenian masing-masing. Ada realis-sosialis, romantis, semi surealis dan figuratif naif.

Saturday, 8 March 2008

Simpang Siur Jejambat


Ahad - 09 Mac 2008

JADILAH kotaku seperti diungkap oleh Dhiknong,
- " K.Lumpur tidak banyak sungai, tapi jambatannya simpang siur, atas bawah - bertingkat-tingkat. Takjub. Aceh banyak sungai tapi tak banyak jambatan"

Di situlah simpang kepala jambatan amat gagah akan melintas memisahkan kampung Chubadak ke Kampung Bandar Dalam. Tembuk-tembuk gagah didirikan. Batu besar, tiang tinggi besar 3 pemeluk Badang dihentak ke tanah. Gedegam gedegum. Rumah kampung kamipun bergegar. Jalanpun sarat kiri kanan. Taman Pelangi banjir, anak sungai Gombak mengeruh. Pohon durian sebatang hanya kelihatan dahannya sepotong mengepak. Bumbung rumah bertingkat hanya lihat puncak rabung mendatar setara dengan gelegar jambaran bertingkat.

Semalam sekembali dari mengundi di Bandar Baru Bangi, Kuala Lumpur sudah mula sunyi. Kecuali ketika melewati Pasar Sentul kelihatan brothers kulit gelap melambaikan kain bendera warna biru, dengan lukisan dua bulan sabit, melengkung berapit, bertambah dengan bulan dengan latar hijau - bingung juga kerana dia bukan dilambai oleh belia berserban. Apa dah jadi. Aku makin menghulu hingga tiba di simpang Karak- Gombak. Tiba-tiba terkejut juga, nama simpang jalan ke Kampung Bandar Dalam sudah lenyap dibongkar. Tepat agakku, sebentar lagi akan hilanglah nama arah ke kampung kami. Aku tenang dan bersabar. Hinggalah tengah malam, berita mengejutkan...calon BN di Sungai Siput gugur dari papan tanda pilihan. Tidak ada wajah dan suara tokoh itu hingga dinihari - tidak juga muncul di kaca tv. Jadi bererti jejambat yang akan dibina merentas memanjang dari Pasar Besar Batu 4 3/4 merentas ke pinggir sungai di kampung kami tidak akan dilanjutkan. Amin Ya Rabbilalamin. Diharap menteri baru yang mengambil alih tugasnya tidak meneruskan rancangan pembangunan @ penghapusan kampung di Tanah Simpanan Melayu. Amin, doa kami dimakbul-Nya.Allahuakbar.


Sunday, 2 March 2008

SITA DEWI @ CIK SITI WAN KEMBANG

Sita Dewi
Cik Siti Wan Kembang

ISNIN 3 MAC 2003


ANTARA dunia metos, legenda dan sejarah...inilah sumber untuk mencari, menyediliki dan menyusun teks sastera seni budaya. Watak Sita Dewi diperkenalkan melalui teks Ramayana dan berkembang dalam seni persembahan wayang kulit. Watak Sita Dewi diperikan sebagai wanita jelita berkulit kuning gading, berhias sanggul bergelung, dengan susunan bunga melor, leher - dada berdokoh, ulu lengan berpontoh. Watak penting ialah sikap wanita yang setia jujur kepada suami Seri Rama. Betapa pula kesetiaannya dicurigai teruatama ketika dia dapat dilarikan oleh Rahwana yang berjaya melarikannya dari lingkaran sakti. Siapakah yang sanggup penyebelahinya? Laksamana yang ditugas menjadi lingkaran sakti, ketika Rama harus keluar memburu kijang emas yang diingini puteri. Setelah dirampas Rahwana, siapa yang datang membantunya? Jentayu, ya jentayu harus bertempur dengan garoda, unggas raksaksa jelmaan Rahwana.

Cik Siti Wan Kembang juga kerap dikaitkan dengan mitos. Sumber lisan konon puteri ini dijumpai oleh Awang Selamat dengan isterinya Mak Kelembai. Hal ini cerita lisan yang sudah menjadi cerita asas dalam teks sastera klasik lainnya. Termasuk teks Hikayat Pasai, Sejarah Melayu juga Inderaputera dan Hikayat Merong Mahawangsa. Kita kembali dipaparkan dengan kenyataan yang hampir dengan sejarah, kerana Cik Siti pernah wujud, lahir dan menjadi Ratu penting di wilayah kerajaan Kelantan Lama. Maka kitapun hampir percaya konon cerita,
Cik Siti puteri Raja Ahmad,
bondanya Cik Banun anak Seri Nara Diraja
ayahanda Raja Ahmad putera Raja Dewi
(puteri Sultan Mahmud dengan Onang Kening)
dengan Raja Mansur
Sempurnalah asal usul seperti yang dipercayai, hingga Cik Siti berkuasa di wilayah Kelantan Lama , kerajaaan Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayung.
Konon di zamannya telah digunakan duit siling emas (kupang) dengan logonya terkenal hingga sekarang, kijang lambang mata wang terbitan Bank Negara Malaysia.
...bersambung
(lih.Abdullah Zakarian dan Zahir Ahmad, 2007)