MALAYSIA, inilah tanah air yang bebas menerima siapa saja datang untuk berkarya dan mengadakan pameran. Maka para kolektorpun dengan asyiknya membeli dan mengumpul karya-karya luar negera itu. Bergantunganlah lukisan mereka di sini, di bangunan badan korporat malah di bangunan milik negara juga. Di mana pula ruang untuk menggantung karya pelukis tempatan? Seperti pagi semalam (28 September 2008) ketika Galeri Melora diajak berbincang untuk pameran solo ke 15 ku pada bulan Oktober kelak sekali lagi aku berkenalan dengan sekelompok pelukis-pelukis dari Taiwan, berbahasa totok Mandarin dan bersambung percakapan kami dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Ya ini berlaku di rumah SOKA GAKKAI, berhaklah mereka menggunakan bahasa dan tulisan kaligrafi yang sudah berusia ribuan tahun itu. Setengah gembira setengah pilu juga, betapa senangnya pelukis asing mendapat tempat di rumah kita. Begitu juga dengan asyiknya pelukis Wang Jia Chen selaku General Manager & Calligrapher bercerita, sudah 6 tahun bergerak bebas di sini melalui Sino-Malaysian International Culture & Art Associaton, sibuk mengambil gambar, melambai sana sini agar pelukis lain datang menggelilingi kami (rupanya, setelah seminggu, kamilah wajah M E L A Y U yang datang ke galeri itu). Ya seni memang dapat mengeratkan persahabatan, menimbulkan kasih sayang. Pelukis asing bermata lancip itu memang mudah mendapat tajaan, mendapat pembeli dan sokongan daripada suku sakat mereka yang sudah lebih dulu datang ke sini, sudah kaya raya dan tidak hairan sanggup membeli lukisan gambaran realis kuncing, merak, ikan-ikan tanpa berfikir susahnya menikmati seni, dengan harga RM 50,ooo. Siapakah pula yang sanggup meletakkan karya kita kalau di bawa berpameran di Beijing, atau Kawloon, ada ke warga Melayu sanggup datang ke sana membeli lukisan pelukis tempatan di luar sana?
Rumah sejarah seni dan warisan bonda. Sila jejaki tangga ke rumah kita.Kelopakpun kembang ke jejenang diri
Sunday, 28 September 2008
CAHAYA ITU
INIKAH saksi
antara suara tangisan malam
antara suara tangisan malam
jauh di rumahMu
deruan dan esakan
pernah memaut rindu
sepercik bulan tergantung di hujung sanggulmu
dalam gelita dan resah Ramadhan
cahaya itu muncul di rumah jiwa
ranting sepi mendesis
pulanglah ke sana
cahaya itu setia menyentuh cinta
dunia abadi penentuan Sang Pencipta!
(Al Fatiha buat Allahyarham sahabat kami,
Lokman M Zen telah pulang ke Rahmatullah di Padang
25 September 2008, 25 Ramadhan 1429 - waktu
magrib)
Akhirnya Mereka Pasang Pelita Juga
ENTAH berapa tahunlah kurindukan puteri-puteriku memasang pelita dan bermain bunga api. R I N D U seorang ibu barangkali. Sedangkan mereka bukan sikecil yang memaksa bondanya membeli bunga api dan mercun lagi. Kupendam rindu itu, lalu harus melakar sendiri sketsa si Siti Kecil memasang pelita yang muncul dalam Kasih Bonda. Akhirnya malam ini, Wira dan kakaknya pun bagai si kecil, mengisi minyak, menyumbat kain kapas menjadi sumbu. Kudengar mereka riuh di halaman, memacak batang buluh, mengetuk paku di tiang anjung dan ketika aku keluar di halaman Rumah Waris Uwan, wou lampu-lampu minyak tanah bergantungan di tiang, di batang palma, di celah dinding, menyilau ke atas daunan keladi. Tiba-tiba air mataku mengalir, membayangkan kelak, mereka akan mengajar anak-anak mereka dan bercerita , bahawa dalam tahun 2008, sempena Ramadhan-Syawal 1429 mereka telah menghidupkan semula tradisi memasang pelita, mengganti lampu laplip-laplip letrik yang menyilau mataku yang semakin mudah perih oleh kilauan letrik. Terima kasih Sayang, kerana membawa bonda ke Rumah Waris Uwan dengan pemandangan yang sama seperti yang pernah Si Siti Kecil lakukan 50 tahun dulu atau ketika bonda riuh rendah melayanimu bermain mercun ketika usia muda kalian 20 tahun lalu. Diam-diam dalam kedinginan dinihari, ketika laungan azan bergema dari masjidil Haram Makkah, sepercik cahaya menyerap sejuk ke jiwa senjaku.
Ya betapa besar KeagunganMu Ya Rabb.
29 Ramadhan 1429, 29 September 2008 : 0:26 am
Hujung Ramadhan 1429
ENTAH kenapa manusia semakin sibuk? Sejak awal Ramadhan sudah sarat sendat di pasar Ramadhan. Majlis tempatan pun sibuk menyediakan tapak jualan. Konon untuk membantu rakyat kelas rendah menambah rezeki. Sunguhkah? Berapa harga sewa setapak? ada RM 200.00 ada RM 150.00 tergantung di mana tapak itu didirikan. Tapi aneh juga ada pasar besar yang didirikan agam gagah di Batu 4 3/4 Jalan Gombak sunyi sepi. Sehingga minggu ketiga hanya tiga meja yang setia membuka gerai. Yang lain penuh di pasar terbuka yang menjelma tiba-tiba di bulan Ramadhan. Kerana sibuk satu macam aku tidak sanggup bersesak ke situ, tidak sekalipun berbelanja ke Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak mampu masuk ke Jalan Masjid India. Tapi memilih saja meja jualan di pasar Gombak. Tentu saja tidak ada pilihan. Penjual berwajah sedih kerana tiada pengunjung. Kemudian kita tahu hingga hujung Ramadhan pesta berpindah ke restoran, berkunjung ramai-ramai sekeluarga. 'apalagi kalau malam minggu, kalau tidak menempah dulu di restoran tanda kelaparanlah kamu. Tapi mataku tidak pada makanan sebaliknya terpukau tertanya, tergugah melihat gaya sudah seakan berhari raya. Wanita entah gadis entah remaja sudah bergaya dengan santai menarik dan seakan menggoda. Cik Abang jangan cepat terpukau, batal puasa, kalau matamu bulat melotot melihat perempuan muda atau setengah baya, yang ramping pinggang, atau perut sudah menggedut, kaki padi bunting atau paha taya kereta tidak ada masalah bergaya. Pada petang minggu ketika aku diheret Melor, ke KLCC kebetulan untuk melihat pameran yang sudah mengusik rasaku, kerana melihat Burung Petalawati terbang membawa diri, setelah digambarkan banyangan runtuhan Kota Melaka, berakhir dengan hujung kanan kepala nnaga ketawa perkasa seakan berjaya menakluki bumi baru mereka. Wajah-wajah popular yang konon menghidupkan erti merdeka tanah air...jangan harap kau berjumpa wajah Mat Kilau, atauTuk Kenali, kerana sudah berganti dengan ciptaan angan....setengah pening matapun hampir terjuih, melihat muda mudi Muslim, ketawa berderai, berpelukan, di pentas jambatan monorel Chowkit, setelah berlaga dengan perempuan berkebaya, dengan jeans ketat pinggul bulat bergoyang..... suara azan sebentar kedengaran . Sabtu petang semalam kerana harus ke galeri Art Case untuk mengambil lukisan, aku terhantar lagi di arena pesta malam Ramaddan hujung - malam Lailaturqadar aku berdoa memohon ampun kepada Mu kerana membiarkan mataku ke arah kemungkaran (gara-gara Melor lagi nak berbuka di pusat belih belah). Nah lagu happy birthday pun bersahutan di senja buka puasa. Tapi sebelum itu mataku terbeliak lagi, berpapasan dengan wanita bukan remaja berbetis ubi keledek dengan berat badan kukira hampir 69 kg dengan santai duduk bersilang kaki, berseluar hot pants., mendedehak paha bulat tayar...berjeket, menunggu waktu berbuka puasa. Dimanakah daku berada, di tepi lautkah di kaki gunung untuk mendaki atau ke pesta muda mudi? Tidak ada yang peduli, kerana JAKIM atau JAIS tidak naik ke mall untuk menegur cara berbuka puasa, atau kereta mayat pun tidak singgah di depan Kentucky Chicken atau Burger King, atau kedai Mamak perkopiah putih terus saja berjualan di siang bolong walau di atas papan tanda lengkap dengan kaligafi Bismillah.... dengan pelanggan mereka wanita lelaki Melayu memesan makanan. MasyaAllah batalkah puasaku membebel sepanjang hari melihat telatah menjelang siang ke senja hari.
Mujurlah hati kembali di damaikan ketika sempat menjengah ke Rumah Kasih Sayang di Tasik Puteri. Melihat kegigihan ustazah Habidah melayan anak-anak yatim yang berwajah ceria melangkah pulang dari TADIKA. Dan senja ini, MUAFAKAT Kampung Paya juga membawa anak-anak yatim berwajah sendu bersama santap berbuka puasa di kedai makan Ipah Tomyam. Alhamdulillah agar semuanya beroleh berkah. Amin. Selamat hari raya maaf zahir batin ya sahabat habibi habibullah....
Mujurlah hati kembali di damaikan ketika sempat menjengah ke Rumah Kasih Sayang di Tasik Puteri. Melihat kegigihan ustazah Habidah melayan anak-anak yatim yang berwajah ceria melangkah pulang dari TADIKA. Dan senja ini, MUAFAKAT Kampung Paya juga membawa anak-anak yatim berwajah sendu bersama santap berbuka puasa di kedai makan Ipah Tomyam. Alhamdulillah agar semuanya beroleh berkah. Amin. Selamat hari raya maaf zahir batin ya sahabat habibi habibullah....
Wednesday, 24 September 2008
Jejaka Serius
INI jejaka beliaku. Orangnya serius, agak menutup diri, selalu mendengar, dan seseolah mudah menerima pandangan orang. Maaf, tidak demikian kerana dia harus memikirkan tutur atau suara yang didengarnya. Tidak cepat memprotes, tapi awas kalau dah bertumpuk bosannya, dia boleh menempek! Kawan-kawan selalu terkejut tapi tahu demikian watak seorang WIRA. Si kakak lebih tahu tapi tetap mengajak bercanda dan bertengkar- namun mereka demikian akrab, dan si ibu kerap juga tertinggal sendirian bila mereka keluar makan malam- itu hobinya mengambil dan menjemput kawang-kawan di KLCentral. Kerjanya memang di bidang masakan - lulus bidang pengurusan kulinari.
Galeri Seni Muzium Negara
Weh, si dia ni dulu waktu masih kuliah tidak terfikir nak kerja dengan mendampingi lukisan. Maklumlah dia belajar ekaun dan perbankan. Tapi kerana sejak kecil diheret ke galeri ke muzium, ke perpustakaan, menyelongkar dan menyusun himpunan katelog yang bersepah-sepah di rumah, di minta menaip artikel seni lukis (waktu belum ada komputer le)---rupanya terkesan juga. Setahun dia bertugas di bidang insurani tiba-tiba mula resah, lalu ikut kelas gamelan di ASK, tiba-tiba masuk kelas jahit, mula pula menjahit. Sibuklah makcik-pakcik seniman, bertanya kesian melihat dia menyusun buku, mempamer dan menjual di ruang-ruang kegiataan sastera...hehehe kesian dia. Tiba-tiba dia nak bekerja di galeri seni . Mana galeri seni nak terima seorang yang bukan lulusan seni reka atau seni lukis. Tiba-tiba ada suara menyampaikan, hei di ruang bank itu nak orang yang suka seni le? Ha, akulah si ibu yang sibuk melihat borang yang diisi untuk melamar kerja tu. Minta dia menyediakan proposal cadangan tugas, memastikan gambar-gambar dan projek Galeri Melora diikut sertakan dalam borang untuk kerja di bank itu. Siapa sangka....rupanya banyak yang lulusan lain bidang bekerja di bidang yang lain. Kini masuk 2 tahun dia di rumah batu kelabu kewangan itu. Kerja tak tentu masa, pulang selalu selepas mahgrib, kawan-kawan yang baik, bos yang berceloteh. Dan gembira juga dia dalam bising dan riuh kerja menghubungi pelukis, menyusun senarai lukisan, bingung dengn kumpulan vendor, yang pintar mendapat kontrak pemuziuman. Mampukah dia kelak menjadi kurator yang serius, jujur tidak pilih kasih, menyenarai nama pelukis, cadangan membeli koleksi baru untuk sebuah galeri seni yang akan dibuka tidak lama lagi? Tahniah, selamat menyambut hari lahir yang ke tiga angka. Teringat celoteh DJ " perempuan rajin pintar bekerja, susah mendapap jodoh? (bertuah adindaku Haneem Kaydeen - eh cicit Mydeen ke - dapat abang suami yang faham kerja seorang pelukis, penulis editor majalah seni, kurator). Tak mengapa bonda berdoa . ada jejaka tu tengah mengintai Cik Melor, hahaah. MasyaAllah.
Labels:
2007,
Cik Melor dengan secambak Lili Putih
Kota Basikal Tua
BAYANGKAN KOTA kita
tiada kereta
jalan senyap dan suara melantun
bergema
masuk dan keluar dari jendela
kota pun bersabda
terima kasih menjaga kami
dari debu dan amarah
manusia mabuk hilang dalam gelap gelita
dan siang berdesir
mengenyam cinta !
Amsterdam 2003
tiada kereta
jalan senyap dan suara melantun
bergema
masuk dan keluar dari jendela
kota pun bersabda
terima kasih menjaga kami
dari debu dan amarah
manusia mabuk hilang dalam gelap gelita
dan siang berdesir
mengenyam cinta !
Amsterdam 2003
Labels:
Amsterdam,
arca dan basikal tua,
Mei 2003
Tuesday, 23 September 2008
ISTILAH SENI
Haneem, jangan bingung atau menyusahkan dengan istilah mana kita nak pakai. Istilah seni rupa sudah lama saya guna dan kekalkan sampai sekarang. Kami pernah berbincang dengan Allahyarham Ismail Zain, Allahyarham Usman Awang, Krishen Jit di tahun 1970 bila saya mula belajar menulis tentang seni lukis tanah air. Kerana otak kita sudah dikotak-kotakkan dengan latar pendidikan asas, begitulH juga kuteruskan istilah yang sudah lama dipakai di ASRI ( AKADEMI SENI RUPA INDONESIA = Academy of Fine Art , sejak tahun 1950AN). Sehingga apabila Menteri Kebajikan mengunjungi kami di kampus (ketika itu Tan Seri Fatimah), terkejut dengan istilah Seni Rupa, komentarnya, " itu kelas make up ke?". Istilah inilah saya pakai sampai kini, yang merujuk kepada RUPA merangkumi bentuk yang dilihat, dia ' merupai sesuatu'. Jurusan seni rupa di ASRI ketika itu ialah Seni Lukis, Seni Patung, Seni Grafik, Seni Foto, Seni Dekorasi dan Seni Kerawitan. ASRI belum bergabung dengan Akademi Seni Tari (ASTI) , Akademi Seni Muzik (AMI) dan Akademi Seni Filem dan Teater (ASDRAFI). Akademi ketika itu bertaraf Sekolah (School) dengan mengeluarkan ijazah Sarjana bergelar Drs (untuk leklaki) dari Dra (untuk perempuan). Tapi gelar ini sudah dihapuskan sejak tahun 1980an, sebaliknya setelah bergabung menjadi ISI (INSTITUT SENI INDONESIA) setaraf dengan Universiti lainnya dengan mengeluarkan ijazah S1, S2 , S3 (Sarjana Muda, Sarjana/Magister dan Ph.d). Mereka yang terlibat dengan Seni Rupa kerap juga disebut PERUPA (Perupa patung = Pematung, Perupa lukis = Pelukis dan seterusnya). Sesuai dengan perkembangan ilmu globalisasi, istilah ini juga sudah berkembang di Indonesi dengan keenakan dan kebanggaan dengan istilah asing, mula berloncatan di sana.
Bila Syed Ahmad Jamal menghasilkan buku RUPA DAN JIWA , kukira lebih luas penggunaannya merangkumi segala seni kraf. Memang ada keangkuhan penulis atau institusi yang terlibat. UKM, UiTM, USM,UPSI, UMS, perlu dirujuk. Kerana selama ini Ismail Zain menulis dengan istilah SENI HALUS terjemahan lansung daripada Fine Art; Ismail dengan Piya juga menterjemahkan Visual Art menjadi Seni Tampak. Dan sekarang Seni Visual dihidupkan pula oleh BSLN. Atau untuk menyelamat dan membina status ilmu, merekpun buat nama jurusan lebih global umpamany Fakulti Seni Kreatif dan Teknologi, blablaaa.
Cadangan saya, seluruh institusi yang terlibat perlu duduk semeja. DBP juga harus dibantu untuk membina istilah yang sesuai dengan FIKIRAN BUDAYA TEMPATAN. Bukan terjemahan lansung (misalnya Fine Art --> Seni Halus, Visual Art --> Seni Visual dsb). Ingatkan istilah seni sudah lama di pakai di Alam Melayu : " ...jarum yang seni-seni dan berkarat telah tiba dari China dihadiahkan ke Melaka?" . Atau kalau meminjamkan kata Seni itu sendiri juga diangkat daripada kata lebih tua Sani dari SANNI (Sanskrit) sehingga melahirkan kata Seni. Dalam budaya Melayu, ia harus dikaitkan dengan cantik, molek, halus (unsur luaran ' rupa bentuk) juga harus merangkumi alam fikirannya itu sendiri, ada akalnya, fikiran, adab budi dan fitrahnya yang menjalar sejak manusia kita mula melakar di dinding gua Niah, Tambun, masih ketakutan dengan hujan ribut, panas, kering, kemudian keluar dari gua 'mencipta alatan hidup yang mula 'berhias' - ada rasa seni sudah tumbuh senaluri dengan jiwa, berkembang dengan nilai metos dan lagenda Gunung Ledang, Merao, Suelawah, naga Tasik Chini. Mereka mengolah warna dari sumber alam, kuning kunyit, putih kapur/tulang, merah kesumba , hijau tarum dll. JIWA inilah yang harus ada dalam kesenian kita. Bila warna celupan boleh diimport begitu saja dan kadang-kadang malas mengolah dengan selera tempatan, maka jangan terkejut, batik kita juga tidak berbeza warnanya dengan batik Afrika, atau batik Cassablanca hahaah. Tapi sebaiknya kita boleh tumpang dengan pandangan untuk mencari istilah ini dalam dua teater wayang kulit, dunia persembahan dalam makyong, dalam seni bina, busana yang juga merupakan RUPA dan Jiwa itu. Kerana asyik mengejar gaya import tu, seni rupa yang molek dalam seni bina pun hancur. Rumah atap perabung potong limas (konsep kun, tiga segi itulah) pun satu-satu gugur dari tapak sejarah ' Seperti rumah di atas, tinggal menunggu rubuh, padahal rumah itu betul-betul di sisi bangunan kelab Sultan Sulaiman Kampung Bharu yang pernah ditempati oleh pejuang melawan Malayan Union di tahun 1946. Jadi sebelum muncul rupabentuk kubah sudah ada rabung --> perabung = gunungan, sebelum pillar dan lotus sudah direka bentuk awan larat, siku keluang . Mana pengkaji seni bina itu, peneliti ragam hias? Haahaha, jadi panjang cerita ini, Oke, Haneem Kaydeen uruslah dialog untuk menentukan istilah ini ya wahai Orang-orang muda Anak Seni aneka RUPA CANTIK JIWA?
Bila Syed Ahmad Jamal menghasilkan buku RUPA DAN JIWA , kukira lebih luas penggunaannya merangkumi segala seni kraf. Memang ada keangkuhan penulis atau institusi yang terlibat. UKM, UiTM, USM,UPSI, UMS, perlu dirujuk. Kerana selama ini Ismail Zain menulis dengan istilah SENI HALUS terjemahan lansung daripada Fine Art; Ismail dengan Piya juga menterjemahkan Visual Art menjadi Seni Tampak. Dan sekarang Seni Visual dihidupkan pula oleh BSLN. Atau untuk menyelamat dan membina status ilmu, merekpun buat nama jurusan lebih global umpamany Fakulti Seni Kreatif dan Teknologi, blablaaa.
Cadangan saya, seluruh institusi yang terlibat perlu duduk semeja. DBP juga harus dibantu untuk membina istilah yang sesuai dengan FIKIRAN BUDAYA TEMPATAN. Bukan terjemahan lansung (misalnya Fine Art --> Seni Halus, Visual Art --> Seni Visual dsb). Ingatkan istilah seni sudah lama di pakai di Alam Melayu : " ...jarum yang seni-seni dan berkarat telah tiba dari China dihadiahkan ke Melaka?" . Atau kalau meminjamkan kata Seni itu sendiri juga diangkat daripada kata lebih tua Sani dari SANNI (Sanskrit) sehingga melahirkan kata Seni. Dalam budaya Melayu, ia harus dikaitkan dengan cantik, molek, halus (unsur luaran ' rupa bentuk) juga harus merangkumi alam fikirannya itu sendiri, ada akalnya, fikiran, adab budi dan fitrahnya yang menjalar sejak manusia kita mula melakar di dinding gua Niah, Tambun, masih ketakutan dengan hujan ribut, panas, kering, kemudian keluar dari gua 'mencipta alatan hidup yang mula 'berhias' - ada rasa seni sudah tumbuh senaluri dengan jiwa, berkembang dengan nilai metos dan lagenda Gunung Ledang, Merao, Suelawah, naga Tasik Chini. Mereka mengolah warna dari sumber alam, kuning kunyit, putih kapur/tulang, merah kesumba , hijau tarum dll. JIWA inilah yang harus ada dalam kesenian kita. Bila warna celupan boleh diimport begitu saja dan kadang-kadang malas mengolah dengan selera tempatan, maka jangan terkejut, batik kita juga tidak berbeza warnanya dengan batik Afrika, atau batik Cassablanca hahaah. Tapi sebaiknya kita boleh tumpang dengan pandangan untuk mencari istilah ini dalam dua teater wayang kulit, dunia persembahan dalam makyong, dalam seni bina, busana yang juga merupakan RUPA dan Jiwa itu. Kerana asyik mengejar gaya import tu, seni rupa yang molek dalam seni bina pun hancur. Rumah atap perabung potong limas (konsep kun, tiga segi itulah) pun satu-satu gugur dari tapak sejarah ' Seperti rumah di atas, tinggal menunggu rubuh, padahal rumah itu betul-betul di sisi bangunan kelab Sultan Sulaiman Kampung Bharu yang pernah ditempati oleh pejuang melawan Malayan Union di tahun 1946. Jadi sebelum muncul rupabentuk kubah sudah ada rabung --> perabung = gunungan, sebelum pillar dan lotus sudah direka bentuk awan larat, siku keluang . Mana pengkaji seni bina itu, peneliti ragam hias? Haahaha, jadi panjang cerita ini, Oke, Haneem Kaydeen uruslah dialog untuk menentukan istilah ini ya wahai Orang-orang muda Anak Seni aneka RUPA CANTIK JIWA?
Monday, 22 September 2008
Angin Si Pauh Janggi
BERMACAM- macam tanggapan telah dihuraikan oleh dua orang sabahatku, Rahimidin dan Si Awang Merah Muda, Dr Zul. Bersungguh2 mereka menghurai, menjelas, menebak, menebar dan menjala tentang angin dan semangat Si Pauh Janggi. Kenapa harus jauh-jauh mencari segala lembah, tasik, gunung, langit, awan otopia itu? Seorang editor bertanya dan bersuara , " gimana ni, nak menulis komen tentang karyamu, sayatak dapat fahampun novel Pulau Renik Ungu". Nah kali ini, aku juga harus belajar betapa tercungap, tergelepar, terpana teruja dengan segala selok belok alam Si Pauh Janggi. Si Awang Merah Muda harus menggali jauh ke akar Lembang Merapi, Mekong, ke Gunung Ayam dan tentunya harus juga ke Alam Tajali. Begitu juga Si Dalang Muda Rahimidin, turut memberi komentar, tentang sikap tidak mahu faham-fahamannya segala tokoh sang kuasa yang hanya mahu mengaut segala nilai seni budaya rakyat tetapi seenaknya menghapus segala nilai budaya kerakyatan. Rasanya yang paling bingung si Bulan yang dunianya masih terduga-duga terlambang untuk mengimbangi sikap bos yang teknokrat, elita kewangan yang susah diajak bicara, kenapa pelukis muda mengheret segala khazanah alam terbuang ke dalam galeri mewah lagi cantik kelak? Dan Si Pauh Janggiku, bagaimana ya? bukankah tidak mungkin ia juga adalah gerak langkah melambung si kuda Hitam yang dapat menujah je awan setanding dengan Jentayu dan Garuda? Ya tunggu saja komentar si Awang Merah Muda atau si Haneen Kydeen dalam jelbabnya, hehehe, mari kuajak anda sekelian mendaki puncak Malam Mas Bukit Seguntang atau menerobos ke kolam pekat nilam menatap kembang malam Si Pauh Janggi! Sampai jumpa di ruang pameran Soka Gakkai Malaysia Jalan B Bukit Bintang pada 26 Oktober depan. InsyaAllah
Cahaya itu Maya
Malam Lailatulqadar - malam 27 likur kata orang Jawa, malam cahaya seribu bulan. Lukisan ini karya tahun lalu, khusus untuk Mahaya, tetapi berdasarkan puisi suamin beliau, Allahyarham Cikgu Salim. Sekuntum seroja dalam lengkung kubah putih, empat tangkai bunga sepit udang, di luar kubah bulan terserlah dalam redup awan , malam biru bertaburan bintang. Tetapi kuteringat kenapa Allahyarhamah Zaihasra tidak suka cahaya? Dengan sinar cahaya ia kerap berduka. Ya aku baru selesai menulis kata pengantar Surat-surat Zaihasra kepada Djamal Tukimin, Kasih persahabatan antara Selat Melaka ke Selat Teberau. Surat-surat dari suara 1969-1970 itu telah memerikan makna persahabatan dua penyair muda Malaysia-Singapura , akan diterbitkan dan kita tunggu, bagaimana begitu lama Zaihasra menyimpan R A H A S I A yang dalam. Dalam sendu terhiris, pilu, simpati, kesal ku tatap lembaran demi lembaran, suara batin seorang isteri " perawan" yang menderita hanya untuk menjaga hati insan-insan yang disayangnya (ibunda, termasuk jejaka Djamal ). Inilah antara sahabat ku yang sukar ku gapai makna persahabatan. Mahaya yang lembut, bersabar, Zaihasra dilembutkan oleh puisi. Kepada anda berdua, kukirim wajah bulan semoga Ramadhan memberi kita cahaya, keberkahan. Ya Al Fatiha untuk dikau yang dulu meninggalkan kami. Semoga Djamal di Singapura juga dilimpahi ketenangan didampingi wanita yang setia melayani kerinduanmu berpuluh tahun. Amin..
Monday, 15 September 2008
Teko oh Teko
TEKO, cawan, gelas, memang menjadi kawan kita sejak kecil. Sejak kopi teh dibancuh dalam teko, kole, dituang ke dalam cawan atau cangkir atau gelas, ditaut ke bibib, bibir pun mengenyam pahit, manis gula, atau madu atau susu
kenapa cawanmu kadang retak? dan gelas tiba-tiba terlepas dari tangan dan jauh berderai?
Petanda, petaka apakah yang datang tiba-tiba
dan kau yang menunggu di meja sarapan, masih jua tersenyum menatap mentari pagi. Alhamdulillah.
Rumah Uwan
16 September 2008: 14:11
kenapa cawanmu kadang retak? dan gelas tiba-tiba terlepas dari tangan dan jauh berderai?
Petanda, petaka apakah yang datang tiba-tiba
dan kau yang menunggu di meja sarapan, masih jua tersenyum menatap mentari pagi. Alhamdulillah.
Rumah Uwan
16 September 2008: 14:11
Seputih kelopakmu , Lili
Helaian kafan
dari benang tanpa sulaman
dihampar ketika detik mu tiba
ketika azan akhir melantun ke cupingmu
sisa wudhuk subuh
basah di sejadah
akan tiba haruman
lili setanggi
kapas putih dan barus
menjadi saksi
iman dan keinsafan
tidak terhindarkan
Ramadhan
beri kami kekuatan
kesabaran segala duga !
Gombak, 16 Sept 2008: 13.01
dari benang tanpa sulaman
dihampar ketika detik mu tiba
ketika azan akhir melantun ke cupingmu
sisa wudhuk subuh
basah di sejadah
akan tiba haruman
lili setanggi
kapas putih dan barus
menjadi saksi
iman dan keinsafan
tidak terhindarkan
Ramadhan
beri kami kekuatan
kesabaran segala duga !
Gombak, 16 Sept 2008: 13.01
Menghilang keletihan siang?
Di kota pantai timur yang kukira begitu padat dengan nuansa Islamis, siang wanitanya berkerudung di pasar , ke pejabat, sopan dengan tugas harian kaum Hawa, tanpa ku duga seorang teman lama (sama-sama belajar di rantau lebih 30 tahun lalu) menjemputku di penginapan tidak jauh dari pantai
- " Ayuh, mari hirup udara malam, kota cantik kami" . Jam sudah menunjukkan pukul 10 malan.
- "Mahu Kemana, saya udah makan?"
" Hirup udara segar di pantai. K.L mana ada pantai ".
" Hirup udara segar di pantai. K.L mana ada pantai ".
Tahu kemana? masih ada ruang untuk santai? Dia datang dengan kereta mewahnya. Maklumlah dia punya klinik, tentu saja banyak pautan masuk. Pelanggannya ku kira pasti Datin-datin, Puan Seri, pasti dia tergolong dalam kelompok elit di pantai timur ini. Tanpa kuduga dia membawa kami ke ruang santai, dari luar sudah berdengung irama muzik, berirama lembut, tetapi di ruang dalam hanya beberapa orang tetamu. Kerusi sudah diduduki 3 orang wanita sambil menghirup minuman dalam gelas, mungkin jus atau fresh lime. Ya malam makin larut pasti para Hawa sudah berada di rumah. Tapi telingaku menangkap suara teman yang membawaku ke situ " - tunggu saja sebentar lagi mereka akan sampai, kita melantai! " Hah melantai (maksudnya menari). Aku bukan kaki tari, walau lagak macam orang suka pergi disco waktu muda ! Setengah tidak percaya, muzik sudah bergema. Tiga orang lelaki berada di pentas, memainkan muzik yang memang sesuai untuk menari. Dan penarinya..hahaha hanya wanita. Tralalala.. ada yang nemakai kerudung pendek, ada yang sudah mengerbang rambut (menanggalkan tudung siangnya). Muzik bertukar irama, ada suara meminta lagu mambo, twist, berganti joget, dan juga poco-poco. Aku setengah ternganga, kaget, bila namaku di laung dari penyanyi di atas pentas, " ayuh prof, mari lah menari bersama". Aku tersengeh hanya melambai tangan, tidak akan menari sebaliknya mengeluarkan buku sketsa dan mula melakar. Ku lakar dalam remang cahaya, seorang wanita lingkungan menjelang usia 40 tahun memakai blaus pendek, seluar ketat, sedang menggelek punggung, seorang wanita lain mencecah usia penghujung 50 tahun dengan gembira juga asyik menaikan kaki, menggesel ke lantai dengan rentak twist. Dan aku yang tidak lagi menjengah ruang tari di pub, disko, hard rock cafe di KL (kecuali menonton makyung, gamelan di ASWARA) terpinga....memasuki ruang malam wanita setengah korporat dan elit (ada doktor, pengurus butik , ibu yang sepi ditingggal anak-anak yang sudah membesar datang dengan suami - pemuzik). Kesian juga pada diriku, tidak lagi dapat masuk ke ruang dangdut, walaupun beberapa teman penyelidik, prof kerap juga menari-nari menyanyi di hotel kala kami menginap ketika menghadhiri seminar. Weh eeheh.
Alfatiha buat Kak Jah
Ogos, memecah rinduku jauh-jauh mengenangmu
desir lalang keringat siang menyatu
di hujung Jalan Bayam
rumah abadimu kaku dalam sunyi
hanya getar daunan mengkudu
setia mengulai zikir
dua nisan kaku
di mana janji surat akuan
terpadamkah nama seniman negara
tanpa sebarang catatan kaligrafi
aku tersesat dalam gundah
hanya sebaris kalimah
Ya Allah limpahi rahmat Mu
abadi menemanimu di sini
Pusara di hujung Jalan Bayam
Ogos 2008
desir lalang keringat siang menyatu
di hujung Jalan Bayam
rumah abadimu kaku dalam sunyi
hanya getar daunan mengkudu
setia mengulai zikir
dua nisan kaku
di mana janji surat akuan
terpadamkah nama seniman negara
tanpa sebarang catatan kaligrafi
aku tersesat dalam gundah
hanya sebaris kalimah
Ya Allah limpahi rahmat Mu
abadi menemanimu di sini
Pusara di hujung Jalan Bayam
Ogos 2008
Mahaguru budaya kami
Yang berbahagia Prof Datuk Mohd Taib Osman, mahaguru pertamaku yang mengajar ilmu penyelidikan di lapangan. Teori kajian budaya memang mudah kita kutip dalam senarai terbitan karyanya yang panjang (sila rujuk terbitan DBP, UM dll).Tapi cara kajian etnografi, adat istiadat dan warisan lebih awal ku ikuti sebelum mendapat bimbingan untuk ijazah Sarjana (1976-1979) dan PhD (1985-1990). Sebagai jurulatih muda di KKBS (1974-1976), beliau adalah Ketua Penyelidikan yang memberi khidmat untuk penyelidik di KKBS. Di situlah beliau mengajakku sebagai pembantunya untuk melakar membuat sketsa sepanjang penyelidikan di Ulu Tembeling. Kebetulan yang mengenalkan ialah Prof Muhamad Haji Salleh. Di situ tugasku kadang-kadang membawa beg alat perakam , kamera sambil mengepit helaian kertas dan drawing block. Malah aku juga diminta membantu juru masak, menyediakan menu ikan kelah masak tompayak gaya Pahang - kegemarannya. Siang kami berkerja keras, merakam cerita raykat, antaranya melotah, main bubu,cerita anak kancil dari tokoh informan Pak Mat Petah. Di celah kesibukan di siang hari, malam terakhir kami dirayakan oleh penduduk Melayu dan Orang Asli, dengan acara menari di pentas jeti diraja di Kampung Bantal hulu sungai Tenbeling. Ya masa berlalu begitu saja dengan kenangan ilmu yang sukar dipadam. Aku rindu dengan kepetahannya menyaran, mengkritik hasil kajianku. Ya untuk melepas rindu, setelah kembali dari Kota Bharu mengunjungi Pusara Allahyarham Kak Jah di Jalan Bayam, Kota Bharu ku lanjuti lagi ke rumah mantan Profku di Petaling Jaya. Dia amat gembiran bersahaja, bercerita, memberi lanjutan amanat, " Bagus-bagus , Siti harus terus menulis, merakam ilmu warisan budaya...tidak banyak anak muda tertarik dengan bidang yang tidak popular ini-teruskan!" Semoga Allah memberinya kekuatan jasmani dan rohani untuk terus tersenyum menikmati hari-hari akhir seorang mahaguru pengajian Melayu, Amin'
Hobi sahabat kecilku
Sahabat kecilku ini, hobinya memang menyusun senarai menu makanan. Walau tidak suka memasak tapi pilihan menu makanannya selalu menggoda. Setiap kali memesan makanan, selalu disyaratkan, ambil gambar - baru makan. Kuih atau kek, malah jarang dijamah, hanya untuk memotret dan dia selalu lupa makanan telah menjadi mangsa tetamu lain. Laparlah selalu Cik Melor. Sayang sekali 12 September lalu, si ibu dan si adik terlupa menyediakan kek hari jadi. Maaflah, kita ganti perayaan hari lahirmu minggu depan ya? Cukup kiriman potongan kek coklat berhias ceri ni dulu. Gembira dan syukur....Allah limpahi mu dengan gembira dan bersyukurlah selalu. Amin
Ramadhan, Wanita Melayu, jeans dan kebaya
15 Ramadan, bulan penuh tergantung di langit. Suara jemaah tarawih semakin menjauh dari surau. Malam minggu daku menyusur kota setelah ingin melihat pameran di ruang mewah di menara berkembar. Tapi kerana musim Ramdhan, galeri tutup lebih awal. Waktu iftar sudah mendekat. Restoran harus ditempah dulu, semua penuh dan sendat, lalu kami terkapar di ruang terbuka, riuh dengan gaya kota. Setengah tercungap aneh melihat pandangan bulan mulia. Masih hilir mudik dengan wanita muda, separuh baya, bergaya dengan t shirt, rambut bertudung, jeans pula ada sendat, ketat, potongan punggung, seluar dalam terjuih. Eh ada juga blaus terbuka bertali spagetti...masih okeylah mungkin dia dilindungi lelaki-suami. Masuk wanita muda bergaya dengan baju kebaya berenda, melambai-lambai kebaya putih, hujung labuh hingga kepala lutut. Tapi di bawahnya dipadan dengan jeans juga. Ayu, anggunlah wajah Melayu. Tapi aku wanita ketinggalan zaman - kerana kebaya tetap terbayang gaya ibu, dan maklang, kebaya berenda HARUS BERKAIN BATIK - SARUNG ATAU BATIK LEPAS. " Eh, kunolah , itu gaya zaman dulu, haha".
" Itu 50 tahun dulu sayang - suara lelaki ku membujuk, " Mereka dalam arena globalisasi, bolehlah pakai kebaya dengan seluar sendat, tok iman tak mampupun bersuara " . Sabar-sabar.
Ya hingga detik 15 hb Ramadhan , warga kota sudah berpesta dengan buka puasa di luar rumah, berjamu selera di pasar siang, pasar malam Ramdhan - malah tv juga buat pesta Sahur Best. Bila jam tidur anak-anak kecilmu - sempatkah mereka mengucap doa berbuka dan bersahur?
" Itu 50 tahun dulu sayang - suara lelaki ku membujuk, " Mereka dalam arena globalisasi, bolehlah pakai kebaya dengan seluar sendat, tok iman tak mampupun bersuara " . Sabar-sabar.
Ya hingga detik 15 hb Ramadhan , warga kota sudah berpesta dengan buka puasa di luar rumah, berjamu selera di pasar siang, pasar malam Ramdhan - malah tv juga buat pesta Sahur Best. Bila jam tidur anak-anak kecilmu - sempatkah mereka mengucap doa berbuka dan bersahur?
Thursday, 11 September 2008
Cerita Jangan Percaya
Jangan kau percaya dan menagih imbalan
kerja yang di lakukan tak perlu balasan
seni hanya kerja membuat mereka memicing mata
kau bercerita tentang benang guwing dan cuban
mereka menimbang dengan kilo dan untungan
budaya warisan sudah terperosok
tidak memberi sumbangan !
Jangan bersedih, pujuk hati
kerana mereka memadam namamu
setelah sekian lama kau gilap cermin kabur
sebentar bercahaya sebentar mengabur lagi
yang melihat dan menilai
hanya hati yang selalu diam
tanpa suara
bicaralah dengan kediaman itu
dengan kesedaran iman.
dari ruang canselori
17.01
kerja yang di lakukan tak perlu balasan
seni hanya kerja membuat mereka memicing mata
kau bercerita tentang benang guwing dan cuban
mereka menimbang dengan kilo dan untungan
budaya warisan sudah terperosok
tidak memberi sumbangan !
Jangan bersedih, pujuk hati
kerana mereka memadam namamu
setelah sekian lama kau gilap cermin kabur
sebentar bercahaya sebentar mengabur lagi
yang melihat dan menilai
hanya hati yang selalu diam
tanpa suara
bicaralah dengan kediaman itu
dengan kesedaran iman.
dari ruang canselori
17.01
Wednesday, 10 September 2008
Ke Kampus lagi
Khamis, 11 September 2008
Kembali ke kampus lama, seperti menemui kekasih, abadi dan lestari
ada teman-teman lama yang hilang - sudah jauh pergi
kutatap ranting keruiang semakin tinggi
rumput kering musim garing tengahari
basah hujan mengetuk di jendela petang
Mawar, berdirikah di situ
ketawa riang di balik cermin
Ros sudah menutup pintu pejabat
mana sahabat yang satu itu
hei, aku masih di sini!
Amin Ya Rabbil Alamin
terimakasih Tuhan memberi daku waktu
untuk menuai ilmu di kampus cantik sini
ATMA
14:10
Kembali ke kampus lama, seperti menemui kekasih, abadi dan lestari
ada teman-teman lama yang hilang - sudah jauh pergi
kutatap ranting keruiang semakin tinggi
rumput kering musim garing tengahari
basah hujan mengetuk di jendela petang
Mawar, berdirikah di situ
ketawa riang di balik cermin
Ros sudah menutup pintu pejabat
mana sahabat yang satu itu
hei, aku masih di sini!
Amin Ya Rabbil Alamin
terimakasih Tuhan memberi daku waktu
untuk menuai ilmu di kampus cantik sini
ATMA
14:10
Monday, 1 September 2008
ANGIN SI PAUH JANGGI
NAMA yang kau susun
mungkin himpunan pulau, sungai, lubuk
antara jejeran gunung, bukit, menuruni lembah
kau seru angin
anginpun bergulung, menujah
menjelma naga sisik delima
geliga sakti jadi rebutan
kau renggang sayap garuda
pertempuran cinta
saksi jentayu luka
hingga tiba di tasik si pauh janggi
percik darah awan
membuih menjadi pasir mimpi
angin pun melerai
satu persatu
gugur di rumah kasihmu
(siri lukisan imbasan kenangan makyong KA dan warkah silat jawi, 26 okt 2008 > Soka Gakkai)
mungkin himpunan pulau, sungai, lubuk
antara jejeran gunung, bukit, menuruni lembah
kau seru angin
anginpun bergulung, menujah
menjelma naga sisik delima
geliga sakti jadi rebutan
kau renggang sayap garuda
pertempuran cinta
saksi jentayu luka
hingga tiba di tasik si pauh janggi
percik darah awan
membuih menjadi pasir mimpi
angin pun melerai
satu persatu
gugur di rumah kasihmu
(siri lukisan imbasan kenangan makyong KA dan warkah silat jawi, 26 okt 2008 > Soka Gakkai)
Subscribe to:
Posts (Atom)