Wednesday, 23 December 2009

Seharum Bunga Rampai


Sewangi bunga rampai, kutitip salam buat
sahabat yang telah memberiku semangat
hanya Dia yang membuat kita saling berjabat

Setelah 10 Maharam, tiba hujung Masihi
izinkan daku pergi sebelum tiba lagi (atas izinMu Ya Ilahi).
Maafkan segala tutur terlanjur
gelak ketawa mengusik
simpan laramu sendiri di malam sunyi
sudah kutitir langit
hingga ke hujung pelangi
sudah Kau tebarkan sayapku
meniti benua MilikMu
kami tidak ada apa-apa
kecuali Mendekap Erat CintaMu
biar iri dan benci masih di hati mereka
biar cinta dan kasih kuterima
tiada pesan
tiada pintaan
kuundur membawa hala
menjenguk kembali
rawa-rawa yang kutinggal lama
percik air di parit sepat
menjejaki sarang ketitir di celah tiang
rumah lama yang pengap
insyaAllah menjelang fajar
10 Muharam
sambutlah kami yang pulang
jalan lempang
kuisi kembali
benih rindu
kupaut ke kalbu.

(menjelang berangkat ke Tanjung)

24 Disember 2009 / 7 Muharam 1431

Wednesday, 9 December 2009

Malam Berinai - Renjis-renjis di Pilis - Bunga Rampai

Merenjis air mawar dalam adat
berinai kecil - bersanding,


Kelengkapan ini termasuk tepung beras yang
sudah digiling (pilis), bunga rampai, air mawar

Renjis-renjis di pilis
ditepungi si daun tawar
hai beras kunyit ditabur
disiram si air mawar
Lirik lagu ini memang menepati makna adat merenjis. Alatan merenjis ialah daun si tawar yang menyejukkan (di Aceh di sebut sebagai peuseujuk) diules tepung (beras yang digiling halus) di renjis ke pilis (dahi) sehingga dapat menjadi penawar - mengelak kepanasan.
Ini adalah gaya alami untuk menyesuaikan suasana, gemuruh hati pasangan pengantin yang harus dilembutkan dengan kesyukuran daripada ayah bonda yang merenjis, lengkap pula dengan doa restu , sama juga dalam adat menepek inai di malam berinai kecil hingga dipantunkan,
Awal Bismillah menepek inai
Inai ditepek di tapak tangan
mari berdoa beramai-ramai
supaya pengantin dalam damai
selesai acara menginai ditabur air mawar, beras kunyit lambang kesyukuran, punca rezki, jangan pula ditabur sesukahati tapi dijemput ke telapak tangan pengantin lelaki dibawa ke telapak tangan pengatin perempuan. Mak andam haruslah mengutip beras kunyit tadi dan dimasuk kembali ke dalam batil. Kemudian dijemput bunga rampai diletak ke telapak tangan ke dua-dua pengantin sebagai maksud seperti di pantunkan,
Bunga rampai dalam cepu
Taruh mari dalam raga
Ucap selamat pengantin baru
Ibu bapa menampung suka
Selesai acara menginai atau merenjis ini, maka dihulurlah bunga + telur sebagai lambang terima kasih pengantin yang bakal mengembang zuriat.
(catatan: usahakan bunga + telur sebagai tanda terimakasih, bukan gula-gulu atau coklat yang tidak melambangkan punca zuriat)
****
@ SZI
Nota manuskrip budaya dan adat resam Melayu

Dulang, talam berkaki - pahar




ANTARA peralatan yang digunakan untuk kelengkapan adat dan budaya ialah pahar iaitu sejenis dulang, talam -diperbuat dari logam gangsa, perak, atau berukir larik emas. Hampir seluaruh istana Kerajaan Melayu Nusantara memiliki dan menggunakan pahar sebagai tempat hidangan makanan, di atasnya disusun piring, batil, kendi malah segala peralatan hiasan juga di letak di situ . Hingga kini pahar menjadi milik pusaka diguna dalam banyak acara adat resam kita. Misalnya pahar juga menjadi tempat menegakkan sirih junjung dan di 'junjung' di atas kepala, dan diletakkan di kepala rombongan.
Inilah tanda dan saksi bangsa yang berbudaya:
Laksamana berbaju besi
Masuk ke hutan melanda-landa
Hidup berdiri dengan saksi
Adat berdiri dengan tanda
(pantun dari Sekalung Budi Seuntai Bahasa, DBP 1994)j,

Tuesday, 8 December 2009

Susun sirih > Sirih Junjung , seni hias Adat Resam Melayu

Program Perbadanan Adat dan Warisan Melayu Negeri Selangor (PAWMNS)


1.Perkara : Sirih Junjung

Istilah sirih junjung dikaitkan dengan bentuk cara pertumbuhan asal sirih. Daunnya yang berbentuk hati berukur melebih setapak tangan, tumbuh menjalar bersulur mengikut tiang junjungan. Dalam acara adat isitiadat pula daunnya digubah dengan rekabentuk gunungan, datar di bawah dan menjulang ke puncak ,disusun di atas dulang ''paha" dan di junjung di atas kepala ketika membawanya ke ruang acara adat. Ia dikaitkan dengan kebiasan adat 'makan sirih' yang dilengkapi dengan, seulas pinang dan gambir, sepalit kapur + bunga cengkeh, tembakau dll. Adat menyusun atau menggubah sirih pula telah diterima sebagai sebahagian kelengkapan adat resam Melayu dalam upara perkahwinan terutama untuk masjlis persandingan. Daun sirih hanya lambang bila dimakan dianggap makin menyegarkan memberi 'semangat' - kesihatan batin kepada pemakannya. Maka dalam adat pembuka kata, sirih dijadikan tanda pembuka bicara atau untuk menyampaikan hajat hati kerana setiap tamu yang berkunjung ke rumah akan disuguh tepak atau puan sirih lalu dipantunkanlah ,

Makan nasi di atas dulang
Gulainya lazat ikat tenggiri
Makan sirih sekapur seorang
Sampai hajat hidangan kami


Mengunyah sirih sekapur sudah menjadi kebiasaan masyarakat Melayu terutama setelah selesai makan sebagai pemanis atau penyegar lidah malah dipercayai akan menceriakan wajah.
Tetapi makna sogohan sirih sudah mula tidak dimerngerikan maka dipantunkan,


Saya tak mahu pukul rebana
Dipukul dua setekan
Saya tak tahu sirih bermakna
Disogok sayapun makan

atau

Pinang certak pinang certi
Dihempas mari atas papan
Saya tak tahu kata mengerti
Sirih diberi saya makan.



Sirih sebagai lambang pembuka kata, sebagai wadah hiasan untuk upacara peminangan hinggalah di adat persandingan - sudah makin kehilangan makna lambang budaya. Atas kesedaran melestari keindahan adat resam Melayu, maka hiasan sirih junjung perlulah diperhalusi reka bentuk asasnya. Kenapa disusun meninggi tirus di puncak lalu di junjung di arak dari rumah pengantin lelaki ke rumah bakal pengantin perempuan. Begitu pula sirih junjung juga sudah sedia menunggu di depan pelaminan sebagai tanda menerima kunjungan rombongan pengantin lelaki.


2. Sirih Junjung - Pelestarian Adat Resam

Dalam rangka perasmian majlis adat warisan (Mac 2009) bahagian balai persembahan seni merangka program pameran dan pertandingan menyusun Sirih Junjung terbuka kepada semua perwakilan dari Sembilan Daerah Negeri Selangor (Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Gombak,

Objektif :

1. Memulihara adat resam sebagai simbol keindahan adat.
2. Suguhan Sirih sebagai lambang pembuka bicara
3. Melestari reka bentuk warisan susun Sirih Junjung
4. Gubahan tanpa menolak ciri asas kelengkapan Sirih Junjung
5. Menerbitkan -penulisan hasil ciptaan warisan susun sirih


Panduan Persiapan Sirih Junjung

1. Daun Sirih
2. Kapur, pinang, gambir, tembakau, bunga cengkeh dsb
3. reka bentuk menegak - menjulang ke atas
4. Hiasan bunga alami Melayu
5. Di susun di atas dulang berkaki
6. Hiasan tambahan sesuai dengan amanat melestari warisan


Penilaian dilihat dari sudut:

1. Menampakkan pemikiran keindahan Melayu
2. Menampilkan hasil ciptaan asli sesuai dengan gubahan latar budaya setempat
3. Cara peragaan - menghidang dulang susun Sirih Junjung
4. Hiasan sampingan tanpa mengabaikan ciri warisan
5. Kreativi yang membina citra Melayu

Acara akan di adakan pada bulan Mac 2010 (tarikh akan diberitahu)

Untuk anda dan kumpulan yang berminat sila hubungi Saudara Aris Sayed
PAWMNS beralamat Muzium Negeri Selangor, Shah Alam
tel. 03 55103220 hp/ 0193425538

Monday, 7 December 2009

Ulai Sirih - Salam beradab


Dalam gerak tarian Melayu, salam sembah bersulur bayung. Bayung sirih digerak urai, menjulur ke atas, dengan seyuman alam, jemari digerai mengulau, melanjut sembah, di bawa ke kanan, di bawa ke kiri, ditarik ke atas, tidak melebihi alis mata. Pelupuk mata tetap mengarah ke ulai jari, merunduk ke bawah bukan mendongak galak ke langit. Gerak jemari dalam tarian Melayu - bernuansa alam, alam terbentang jadikan guru.

Saturday, 5 December 2009

Pinang, sirih pinang mari meminang

Jejeran pohon pinang mencelah dengan
pohon bunga tanjung dan angsana
setandan buah pinang, hampir dilupakan
oleh penghuni kota dengn warna kuning jingga menawan

sayapun gembira menghimpun dan mengutipnya

AYUH mari kita berpantun dengan citra pohon dan buah pinang dengan kaedah:
1) mengutip pantun yang telah sedia ada dengan ritma a/b/a/b
2) bentuk kreasi baru (ciptaaan sendiri) tanpa merosak citra, irama sesuai dengan struktur pantun asal dengan makna perlambangan dan maksud pantun.
Haaa kali ini saya sengaja mengusik anda yang hampir lupa dengan keindahan pantun. Mana tahu Prof Ungku Aziz akan memilih pantun anda untuk kajian dan melengkap penulisan pantunnya. Saya tunggu dengan menghadiahkan anda sebuah pantun adab warisan:
Sepinang dua pinang
Habis pinang dalam raga
Sudah dimakan sirih pinang
Apa cerita mahu dibuka?
Buah pinang sebagai citra pantun dimakan sebagai adat bertamu
dengan tujuan merisik atau meminang
Salam kasih sepantun sirih pinang
Gombak
07112009


Halaman kosong di Istana Budaya

Ayuh kita ganti papan tanda ini menjadi
tempat berpencak guru silat



Alangkah harmoninya suara Datin Seri Maznah
melantunkan puisi atau membaca
naskah cerpennya di sini
bersama SN Datuk A.Samad Said?


Alkisah asalnya dicadang mendirikan Taman Budaya yang memuati semua kegiatan seni di
halaman yang sama: seni tari, muzik , teater, seni lukis dan kegaitaan sastera lainnya. Tahun 1970an, berhimpun para penggiat seni antaranya pengarah kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Ismail Zain, termasuk Datuk Baharudin Musa, Usman Awan (DBP), Krisyen Jit (Teater), Puan Azah Aziz (Busana) - ini nama sebahagian saja. Usman Awang dan Ismail Zain tertarik dengan gaya kehidupan seniman di Taman Ismail Marzuki , Jakarta. Wajah yang lebih merakyat dapat dikongsi bersama tanpa ada status dan pangkat.

Reka bentuk taman pun mula di garap. Wujudlah bentuk bumbung bercitra gasing yang berbucu enam-lapan, konon dapat ligat kalau berpusing (bukan bulat?)

Tetapi di zaman mantan PM Datuk Seri Mahathir, semua reka bentuk bangunan harus gah, canggih hebat....jadilah reka bentuk seperti sekarang, yang penuh dengan protokal , masuk harus lengkap berpakaian - etik gaya barat ( terlarang jeans, selipar , hahha). Persembahan pun hebat-hebat, tercanggih, dengan dana tinggi yang tidak memberi peluang kepada kumpulan teater kecil. Lebih melopong ide untuk mengumpul semua golongan seniman gagal. IB hanya untuk kumpulan teater , nyanyian dan muzik. Lalu didiri pula Balai Seni Lukis bersebelahannya....
Hingga zaman Kak Jah terus terkilau, kerana tidak pernah diundang mempersembahkan karya makyongnya di situ.

Saya kerap berjalan ketika orang tidak ada persembahan di siang hari. Senang menumpang di bawah redup pohon angsana, jejeran batang pinang, dengan buahnya yang berselerak....kadang mengutip si cantik merah jingga ini.

Siang memang sepi....entah kenapa saya bagai terdengar rebab digesek seseorang di balik angsana. Terdengar pula langkah pencak silat, titir rebana, tiupan serunai, santai di halaman. Sungguhkan telinga ku menangkap bunyi gerak-gerak seni rakyat yang tidak dapat diangkat ke dalam arena kalau tidak dipersembahkan dalam bentuk konsert, muzikal, orkestra?

Tapi sebenarnya di situ sudah pun dimasuki Mamamia, The Cats ....

Tuuuupppp buuuik, rupanya serangkai buah pinang berjatuhan menyentak lamunanku ...ooooh
si cantik pinang....semoga, anda kumpulan silat yang kerap melompat di arena teater pentas IB, marilah sesekali melompat di halaman, memencak gelora, tabuhlah gendang, tiuplah serunai di halaman rakyat???



Gombak
07 Dis 2009

Friday, 4 December 2009

SENIMAN NEGARA

BERAPA lama nama pelukis Seniman Negara kita kekal di dinding bas ini? Setahun, dua tahun? sebelum dilupuskan? Tidaaaaak - semoga menjadi rumah muzium, sambil berkeliling kota atau berkeliling seluruh Tanah Air - bawalah kami menumpang di rumah ini wahai Tuan Balai Seni Lukis Negara! Kita beramai ke utara, masuk ke perbatasan Siam, menuju ke tanah Chola , menyeberang tambak Johor tiba di Selat Terebrau, atau memilih Sselat Melaka, tiba di Tanjung Balai haaaaa, laju - laju menuju Sungai Melayu!!!
26122009

Tuesday, 1 December 2009

Idaman Kedai Buku

Kedai buku , biar kecil tapi kalau ditata dengan
mata hati yang jeli, akan menjadi bersih,
cantik dan berkualiti.
(impiana kedai buku Balai Adat di bawah
wakaf berPERABUNG ????)


Mohon para sahabat terutama pustakawan Negara/Negeri dan kawan-kawan yang menyanyangi khazanah budaya ilmu, merapikan senarai buku yang berkaitan dengan adat-adab budaya Melayu - untuk kita satukan dalam data sumber e-warisan ilmu budaya. Balai Adat Selangor sedang merangka kerja sama dengan pengkaji dalam lingkaran Dunia Melayu khusus perkara tersebut terutama Arkib Negara, PNM-PNS, DBP.

AJK acara perasmian (Mac-Jun 2010) dikendalikan oleh:

1) Bahagian sastera - Dr Ibrahim Ghafar - rencana terdekat akan meraikan Sasterawan Negara ke 10 Dr Anwar Redhwan. Penulis Anak Negeri Selangor yang ingin terlibat sila hubungi (Dr Ibrahim - 019 3261551 )

2) Bahagian Seni lukis dikendalikan oleh Galeri Lukisan dan Sastera Ulu Selangor - Kuala Kubu, Rawang Selangor dan Galeri Shah Alam. Pelukis Anak Negeri atau berada di Selangor ( Abd Wahab. Abd Hamid - 017 6787208)

3) Bahagian Kesenian Rakyat- Pak Faizal (ada dalam FB)

4) Bahagian Persembahan Adat - Adab - (Siti Zainon Ismail - SMS > 019 3510896/emel >znismail@yahoo.com )

Monday, 30 November 2009

Menara Detik Waktu

Lakaran idea awal menara jam di sisi kanan
pintu gerbang - di depan wakaf surau

KAU bunyikan setiap detik
tinggalkanlah pesona
setelah basah keningmu
naiki persada jitu
zikirpun melantun
Ya Subhanallah
Ya Alhamdulillah
Ya Allahuakbar

Berhentilah sedetik
tafakur
hingga kau bangun lagi
ya usaha itu ibadah
kasih itu anugerah
singgahlah....

2210 HQ
Shah Alam
02:55

Thursday, 26 November 2009

Membina taman dan rumah budaya warisan Selangor??

Rumah Melayu, bumbung limas, anjung berperabung -
contoh umum dari perbatasan Perak- Selangor

Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor ? Apakah terlambat bagi negeri kaya di Malaysia ini baru memikirkan makna warisan yang dinilai dari sudut ADAT , ADAB dan WARISAN SEJARAH . Ini bukan kerja impian dan main silap mata. Jentik jari jadilah seni bina warisan yang sudah hampir luput di mata manusia yang bermastautin di negera cantik ini. Kawan bijaksana dengan latar pegangan ilmu sudah mula menjuih, menjeling dengan sindiri " Asyik-asyik nilai warisan, apakah seni budaya tidak berkembang lagi?"




Bukan soal perkembangan seni budaya semasa, tetapi bagaimana wajah warisan itu masih bersisa, masih diaplikasi dalam berbagai bentuk persembahan yang sejak mutakhir ini seakan sengaja diketepikan, dengan alasan kreativiti. Anehnya kawan-kawan pemikir itu berlatarkan ilmu dunia yang pernah memuji warisan coloseum Roma, menceduk perairan terusan Venice hingga muncul metafora Gondola di tasik Puterajaya..Sedangkan untuk membina citra negara, milik sejarah itu sudah ada...mana perahu berhias di kepala dengan paruh dan jambul burung dan ekornya dengan sayap petalawati. Malah dengan meriah mengadakan pesta perahu ular naga???




Begitu juga bumbung perabung, limas, buah butong atau petala junjung sirih di puncak bumpung, sulur bayung di sayap hujung perabung, ukir hias di tabir tebar layar. Memang pernah naik rekabentuk begitu di hiasan Bank Bumiputera Jalan Melaka (maaf saya masih mengekal nama bank ini), atau perabung bertingkat PNM , tubuh gendang meninggi bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak dan terbaru tentu saja perabung bertingkat di Istana Budaya, wajah destar bumbung Perpustakaan Negera. Nama juru bina yang membantu citra warisan sejarah patut disebut, antaranya YM Raja Bahrin yang mencerahkan bangunan Muzeum Negeri Trengganu.




Ya tidak salah rasa, kalau mantan PM nak wujudkan kehebatan zaman Mogul India atau kubah merah rambu ala rekabentuk Turki zaman Uthmaniah, hingga mengimpot pekerja dari langsung dari benua asal sana. Cuma di benak saya, yang diharapkan para pereka bentuk, juru seni bina tidak menolak citra warisan terutama dalam bilik kuliah, hingga awal-awal di tahun pertama di telah disogok sejarah seni bina dengan gai istilah citra seni bina Eropah atau Moghul Islam, hingga di tahun akhir untuk menyiapkan tesis baru tercari makna apa itu perabung, sulur bayung, kenapa wakaf di bina di halaman masuk pintu masjid, di mana letak kolam untuk berwuduk, bagaimanakah gerbang, pagar dan kota Melayu. Jawaban senang pelajar, oh tidak ada buku dapat di rujuk?




Ya dalam proses menguwudkan Balai Adat Melayu, kami membuka pintu untuk anda yang amat menyanyangi dan menghargai warisan tanam, dan rumah budaya sebagai warisan negeri Selangor, sudilah berkongsi fikiran....sudilah mengkaji dan merancang untuk mewujudkan reka bentuk taman dan rumah budaya sebagai citra Balai Adat Melayu. Bagitu juga dengan pengisian seni persembahan, tarmasuk seni tari, muzik, permainan rakyat, busana akan dijuruskan kepada warisan Adab dan Nilai Islamis.




Pengkaji yang bermiat untuk memberi sumbangan idea (dalam Seminar - semua bidang ilmu) sudilah merujuk teks Melayu Klasik : Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Salasilah Melayu Bugis, Misa Melayu, Hikayat Merung Mahawangsa dll termasuk teks pantun, gurindam seloka) Kelak dari sama kita akan menemukan nilai pemikiran Melayu yang dapat digunakan untuk menaik taraf fahaman warisan sejarah dan nilai-nilai Islam sebagai pengangan dasar)




Antara bidang kajian:


Seni bina - taman rumah Melayu
Makanan-masakan
Seni tari musik, busana dan tekstil
Kesenian dan permainan rakyat
Senik Lukis - khat
Sastera - bahasa: puisi klasik dan moden
Latar kajian:
Sejarah - asal usul
titik utama - pemikiran Melayu-Islam
Pandangan- cadangan - hasil temuan
Kerja kajian ini wajar mendapat kerjasama dan sokongan yang melibatkan seluruh kumpulan seni badaya Selangor termasuk Persatuan Sejarah, Galeri Seni Lukis Selangor, ahli Majlis Kebudayaan Selangor dan Jabatan Seni Budaya dan Peradaban di IPT / IPTS Selangor dll




Satu seminar - forum - bengkel persembahan dan pameran seni budaya di 9 daerah juga IPT di Negeri Selangor akan diadakan sepanjang bulan Mac-Jun 2010....saya tunggu komentar dan pandangan para sahabat. Kritik juga boleh demi pembangunan roh adab Melayu di Negeri Selangor Darul Ehsan. Untuk pengetahuan bersama , PAWMNS (hush malu pula nak pakai ringkasan begitni) dan Balai Adat Selangor adalah di bawah naungan DYMM Paduka Sultan Selangor. Amin






Siti Zainon Ismail
Pakarujuk Seni Budaya Warisan
Balai Adat Selangor (PAWMNS)
2009-2010

Pergi lah dan pulang lah


Langit terbuka luas - gemersik biru
awan berkepul - kulihat selasih
menjadi putih bagai kaki lelabah
menutup gua Cinta
Lorong semakin riuh
arah ke Rumah Yang Satu

Tiada lagi lalu lalang bisu
semua pulang


Selamat jalan
jangan menoleh

Selamat pergi
jangan bawa hatimu

Tinggalkan di sini
biar kujahit
menjadi bunga awan
berenang di kolam langit.


Allahhuakbar
kami sudah berbondong
gerombolan biri-biri
tapi hujan penuh
gemetar
kami bawa CintaMu
hingga Arafah

Kami pergi
kami pulang !


Ya kutunggu kau datang!


Menjelang Idiladhar 1431...
setelah SMS Sanusi J + Inangda Keumala
Bukit Kanching - Rawang Selangor DE.

26 Nov 2009


Tuesday, 24 November 2009

Di Lingkaran Hatimu


Seorang sahabat lama tiba-tiba muncul dengan wajah seribu resah. Nafasnya seakan tercungap kerana harus mengelilingi anak tangga yang berlingkaran untuk menuju ke ruang minum, seperti yang kami janjikan.
" Kau letih kelihatannya, jangan bersuara dulu, silakan duduk, bersandarlah, lunjurkan kaki, nan ti ku pesan minuman..."
Sahabatku benar-benar melunjurkan kakinya ke depan, merebahkan tubuhnya hampir melengkung menutupi bandan kerusi. MasyaAlllah, memang benarnyalah dia letih, termengah untuk mencapai lingkaran dan lilitan anak tangga untuk menuju ke aras tiga. Dia sungguh begitu tambun, pipinya padat dan menenggelamkan pelipis matanya yang dulu memang begitu dikagumi para sahabat. Mata yang bersinar-sinar, alis yang lentik, dan ditambah dengan garis celak, menjongket ke atas di bahagian hujung kiri kanan sehingga sesekali menjadi wajah benar si wanita anggun yang sengaja menjemput maut dengan lilitan manja si tedung pemangsa. Dan sahabatku ini, sahabat yang begitu lincah berpidato di pentas, pintar berdebat, kerap menggondol hadiah dalam larian di padang, masuk ke dunia kampus sudah menakluki kolam renang dan lincah tegar melempar dan menyambut bola tenis, ah Lulita. Nama panggilan kumpulan pelajar yang serba boleh di kampus lembah Barbabri. Nama lembah ciptaan kumpulan kami juga begitu dikenali sebagai kumpulan lincah mencari idea, menyaran dan merancang malah kalau ada protes dengan tingkah pengajar yang memberi nilai rendah, kumpulan kami jugalah yang bersuara. Kerap juga mendapat makanan percuma, kerana senangnya siswa-siswi anak orang berduit dengan idea rancangan muluk- muluk kami yang seakan menakluki kampus.
" Jadi sungguh Rektor akan digusur - wah kesian juga Prof Hanan? "
" Ya ,ketika Prof Hanan berrangkat keluar negara, tiba-tiba mahasiswa perpiket di pintu pejabat Pendidikan di kota, berpiket dan menjerit, "Kami ingin Rektor baru, muda dan luas pengalamannya di jabatan Perdana Menteri. Malah dikenal di peringkat antara bangsa!"
" Siapa? "
" Rektor barulah "
" Haah, walau dia tu tidak pernah mengajar di kampus kita? "
" Itukan urusan Jabatan Pendidikan Tinggi ...."
" Huuuu"
" Kenapa?"
Apakah hubungan lingkaran ingatanku tentang rektor yang merampas kuasa melontar rektor lama yang dulu adalah mahagurunya sendiri, serentak sebagai orang tua angkat yang kerap melindunginya ketika masih merangkak dari bawah....mahasiswa yang tidak memdapat dermasiswa. Itulah cerita lebih awal kukutip ketika Lulita tiba-tiba mucul dengan wajah gendut, termengah dan sekarang terlena dalam himpitan kerusi empuk di ruang minum aras tiga sebuah galeri seni di ibu kota...
" Oh lingkaran hidupku....."
Ku toleh ke arah Lulita. Matanya masih tertutup rapat, bibirnya terketar sehingga dengan jelas tuturannya walau begitu perlahan, tapi aku dapat menangkap suaranya ,
" Kenapa lingkaran hidupku begitu, Lita? Ya aku Lulita....
Dia, dia sudah pergi sejak dulu. Itulah yang dicarinya...nama, pangkat, gelar, dan dia masih percaya masih banyak pengikutnya...sekarang dia merampas kuasanya orang tua angkatnya, mengusul cadangan penolakan rektor lama dengan alasan sudah tidak mampu memajukan kampus"
" Lha pemilihan rektorkan dari arahan Jabatan Pendidikan - atas pandangan dan sarangan Menteri? "
" Lhha diakan dulu pernah jadi menteri? "
" Ha yaaah...tapi kalah juga dalam pilihan umum? "
" Apa hubungan menteri dengan isteri dengan tugas seorang rektor"
" Kuasa dan pangkat - kuasa, aku menolaknya jangan menambahlan kesedihan orang lain, dan orang itu adalah orang tua angkat yang menjaga pendidikannya - dia tidak melihat angin geruh yang penah menjatuhnya dulu kini dia mengangkat dirinya , dengan tumpukan wang - "
" Wah ini seperti negeri Barbabri kita dulu juga bukan? "
" Bukan Barbabri, tapi dia Malbari mengaku keturuan Al-Kindi, Al Ghazali, dia kononnya dari waris Khartouuman, datang lewat laut Yaman, masuk ke Hindia dan tiba di Suelawah?
" OOOooo, dan kau bagaimana boleh tiba-tiba sudah datang ke sini, bukankah harus menjadi pendamping suamimu Sang Rektor Baru? "
" Aku harus pergi meninggalkan negeri hurahara itu...negeri kampus yang diciptanya sendiri ..., kerana dia pernah bermimpi, ingin dikuburkan di kampus itu nanti !!!"
" Aaaahhh Lulita...????"
(Buat Foz dan Pak Han)
Gombak 24 November 2009

Wednesday, 18 November 2009

Dari tanah dari kayu menjadi di Institut seni ini




Ada semacam rasa rendah diri sebahagian kalangan ibu bapa apabila putera -puteri mereka memilih jurusan seni, tidak memilih pendidikan akademik di universiti yang kononya akan menjadi 'orang' di masa depan. Namun ini tidak dipedulikan oleh Perbadanan Kraf Negara sehingga membuka sekolah seni yang kini sudahpun diperkemaskan, dan bergabung dengan UPSI, agar lulusan diploma boleh melanjutkan ke universiti.
Di kampus ini aku kerap menghibur diri. Kadang-kadang masuk ke kafe, atau lansung ke studio tembikar atau lebih kerap masuk menjumpai guru seni ukir Sdr Zaukifli yang amat ramah melayani komentarku, cadang itu, cadang ini, agar pelajar lebih kreatif disamping rajin membuat penyelidikan.
Contoh seramik di atas, bermotif susunan ruas pucuk rebung, ujar Zaukifli, " saya masih ingat 1978, bila ITM (belum UiTM lagi) , pernah menganjur Seminar Akar-akar Peribumi - jadi semangat itu kerap saya cerita dan ulangkan kepada teman pengajar lain, lalu kami praktikkan dengan projek pelajar. Pasu yang masih kekal nilai warisannya masih kami ulang pembuatannya tapi fungsinya bukan untuk menyimpan air, tapi sudah dihidang menghiasi taman".
Kenapa tidak sesekali anda yang lupa arah ke kampus ini, lihatlah sebelah kanan jalan raya (kalau dari KL) , selepas lorong ke Hospital Selayang , terus ke kawasan bukit yang runtuh itu, buat pusingan U, di situ tersergam bangunan kampus Institut Kraf Negara....masuklah sambil minum cendul dan kopi panas di bawah bumbung wakaf yang nyaman..
19 November 2009
01:31 Gombak

Kerja pandai seni ukir muda, 2008-2009


Barangkali nikmat menghadhiri hari Konvokesyen yang telah sering kulalui di beberapa buah universiti dalam dan luar negeri, tidak tertanding kalau masuk ke kampus Institut Kraf Negara di Taman Hutan Simpan Bukit Kancing. Sudah 4 tahun saya tidak melepas peluang untuk masuk ke gerai pameran dan jualan seni - hasil produk pelajar seni ukir, seni anyaman, seni tembikar, seni logam dan seni tekstil. Tentu saja selama 4 tahun itulah aku memunggah aneka almari buku berukir, tempat buku anyaman rotan, perhiasan logam yang boleh di gantung di leher , di telinga atau di bawah atap .Walau kerja mereka masih hasil ulangan daripada contoh-contoh yang sudah ada, tapi ini baru permulaaan...maklum baru tiga tahun....dengan hasil dapatan sebagai pemegang diploma.
Kali ini saya sampai di hari pertama (Khamis), tapi barang-barang sudah banyak terjual...ini hanya tinggal sisa , rak buku hanya berhias di puncak atas, lalu saya gabungkan dengan kepingan lain yang juga berukir, wah sudah menumpuk buku bacaan harianku di situ Siapa tahu 10 tahun mendatang mereka juga akan mengganti tokoh seniman pandai seni ukir seprti Latif Long, Wan Su, Pak Wa, Nik Rashidi, Rohaiza.
Tahniah IKN dengan tenaga pengajar yang mampu mendidik anak-anak muda yang tidak tidak lagi melecekan kerja seni warisan budaya ini.

Friday, 13 November 2009

Segambutdi telan raksaksa Sang Kaya Raya???

Pandangan Bukit Kiara dari SEGAMBUT


Inilah kota raya kami. Indah perkasa. Dari kota berlumpur...di situ Sang Tahta mula berkuasa sejak bijih timah mula memberi harta rakyat yang rajin meneroka . 200 tahun kalu , Raja Abdullah dengan sokongan paduka sultan Selangor meningalkan Linggi- tiba di lembang Ampang. Pelabuhan Batu tempat sampan berlandai -simpang sungan di masjid Jammek sekangan- buruh upahan dari China datang, diikuti dengan rombongan buruh dan peniaga dari Kuantan (Indragiri Hulu), Kampar, Mandailing, Minang (Jawa lebih memilih ke Kuala Selangor)...ada yang buka kedai makan ( kedai makan Padang)....Sehingga 1836...Kuala Lumpur sudah mula riuh bagai pasar dagang. kelompok China dengan kesatuan samseng, dengan jualan candu yang menyokong cukai ke tangan Inggeris.
Salah satu penempatan orang Kuantan dari Indergiri Hulu ialah di tanah gambut, meneroka membuka sawah padi....maka terkenallah Segambut. Jalur awal untuk ke sini, harus melalui Jalan Ipoh , boleh tembus ke Sentul dan Gombak. Dari pinggir bukit Kiara, petani boleh mendapatkan hasil hutan: jering, petai, termasuk binatang ayam denak, tupai bebas melompat dan terkukur berlagu-lagu.
Arus berlalu....kota terus diteroka...tanah di bagi-bagi...kedai deret muncul. Di Segambut, rumah tiang tinggi, atap berperabung, kami bersama bangun mengejar ilmu...turut memeriahkan pembangan kota? Sungguhkan? Tapi kemana waris Segambut, harus mengalah dan keluar dengan wang agihan, hingga kampung dibedah, lori traktor masuk bebas ke muka kampung, jalan penuh debu, lecah, masjid Ubadiah juga tinggal satu-satu tanda, di sini dulu, kami ada Penghulu, ada Imam , madrasah dan sekolah - kini yang sudah makin terhakis oleh jalur pembangunan.
Soalnya bagaimana bahagian kampung ini dibiar dilalui dengan leluasa untuk mereka meneroka, menggondol Bukit Kiara. Tiada suara bantahan yang jelas, hanya kerana tuan rumah asal sudah mengalah dan pindah. Sisa rumah lama di sewa kepada pendatang baru, sehingga wajah Segambut pun seperti anda berada di Selemba, di Pasar Abang....warong bakso, pecal semerbak wangi....dan anak-anak muda bertumpul di warung kecil , termasuk petugas DBKL meratah pecal, gado-gado bikinan mbak Des... Ya seakan dibiarkan kampung ini kumuh...kerana sudah ada arahan dengan poster penjinak pembangunan rumah murah...Please Move @ RM 5,000.00!!
Aku tersedak menghirup teh tarik, tapi terhibur, juga mereka masih bercerita bercanda, " ..esok lusa tidak tahu kami mahu kemana " .
Wahai saudaraku Kaum MUAFAKAT di Kampung Bandar Dalam, Padang Balang, Sungai Mulia, Chubadak...jangan kita biarkan kampung kita seperti Segambut yang kini sudah reput... dalam peta Wilayah Persekutuan. Datuk Bandar berapa kali anda melewati jalan di sini atau dengan bangga melihat bangunan menggapai awan, hingga lupa tidak menunduk melihat sisa bumbung rumah berperabung dan deretan pohon manggis yang masih bersisa di hujung jalan. Allahuakbar....papanya sejarah kita!!!
13 November 2009

Thursday, 12 November 2009

Hujan hujan kau tetap bahagia di situ ?



" Sekarang memang sukar menemuimu sahabat. Semua lembah, tempat menakung hujan, menjadi kolam tempat kau bermain, habis sudah ditimbus. Entah kemana kau membawa diri, terlompat-lompat, meraung, oounng, oooouonug , kooonnng. Uweeee! Siapa yang mendengar lolongan mautmu yang bertarung dengan desu mesen berleher jenjang, papan tanda, Please MoVe!!. Siapa yang dipindahkan kau yang meraung kehilangan air atau penghuni asal MELAYU yang harus keluar! "

Segambut Dalam

Dari Sentul menuju ke Damansara, masuk menuju arah ke Taman Tun Dr Ismail, memilih ke kanan - aduh aku sesat barat. Semua papan tanda dengan gahnya mempamerkan wajah-wajah cantik perkasa, menjaja bangunan tinggi, apartmen kondominum, banglow semua bertanda jutaan RM...Siap di jaja, Kinrara Mount (seingatku dulu Bukit Kinrara, di situ kami pernah terserempak dengan anak mata sang harimau di Bukit Kinrara ketika keluar dari Segambut Dalam menuju arah ke kaki lembah Bangsar, sebelum dapat keluar ke Jalan Travers. Pak Tua Din ialah pemadu kereta Orang Putih di rumah Kenny Hill sesekali membawa kami bersiar sambil minum teh panas dengan Mem Orang Putih di rumah atas Bukit Kenny (1955)

Sekarang, apa yang kau lihat? Mana rimbun bukit yang ditata alami itu. Langit sudah mula mendung, kutengadah ke langit, hanya garis-garis menjulang, berapit, bagai tiang-tiang bercacak menari seakan ingin menyambuat awan. Syyyy...

Semalam TS Juned memanggilku mengadap untuk membincang acara peluncurun buku Aceh. Mantap, beliau setuju buku itu baik di adakan di Juempa d'Ramo (Cempaka di Serambi/Aceh) di Jalan Maaruf Bangsar. Kenapa aku yang sibuk? Harusnya biarlah penerbit DBP/UP&D) yang uruskan...entahlah kenapa ya... Dan sebelum meninggalkan bangunan pejabatnya Kinrara Mount Plaza kumasuki kedai Bulan menyapa Puteri Sara (puteri Aceh) sibuk melayan pembeli barangan kraf....di sini kudapatkan 3 sahabat yang kerap meraunggg, wouuuuunnnngg...sabar ya aku bawa kalian meronda KL Metro hari ini yang telah menimbus kolammu....kuuungooogu, wooounnng. Kami bersama meraung sepanjang jalan merentas bayang lapisan bangunan saling berlumba-lumba ke awan, merentas di bawah tiang-tiang LRT, jejambat DUKE yang hampir 90 % meranap Segambut Dalam.....(bersambung)

13 Nov 2009

Sunday, 1 November 2009

Si Jantung itupun berbuah


KALAU Berbudi pada tanah, inilah hasilnya. Tanah di sisi rumah cuma selangkah kera , kutanam juga si anak pisang. Eeeeh terus membiak. Kadang jiran sebelah bising juga, daunya menjulai ke lorong lalu larang untuk ke rumah jiran belakang. Kutebang agar tidak menggangu keselesaan mereka. Sesekali terbiar, batang pisang cepat membiak, ini tumbuhan paling baik hati, ditebang, di bawah sudah bertunas anak baru.
Kalau berbuah, yang muncul ialah bunganya menjulur ke bawah itulah si jantung hati yang kucerita sebelum ini. Selepas kupetik sijantung dua bulan lalu, tanpa kusedar buahnya sudah bertenggek di atap dapur. Tidak terlihat dari bawah. Sehinggalah dua hari semalam, sebuntil buah yang sudah disisir sudah menumpuk di depan pintu. Wah ini pasti kerja Busu Wok kami yang selalu baik hati yang sudi menebang pokok dengan buah yang sudah matang. Buah pisang Abu ini memang bertandan panjang. Lihat saja buahnya berjuluran segemgaman.....memang sudah tiba untuk menyantapnya....pisang goreng = goreng pisang.
Petang ini beberapa sisir harus dihulur ke jiran, Kak Limah.
hai goreng pisang,
hai pengat pisang.
siapa datang akan kuhidang
Siapalah sudi singgah ke rumah Mak kami dalam hujan lebat dan petir berdentum di Gombak ini....Bismillahirahmanirrahim...syukur Alhamduliah sejak semalam, makan rebus pisang, petang buat lempeng, pagi ini cukuplah goreng saja.....
*Teringat Mawar, halaman belakang rumahmu boleh disemai anak pisang kan.....
*Reena, nanti kalau sudah kembali ke tanah air, pulang ke rumah Ipoh...kita berkembun
pisang ya?
* Tuan Perkasa Alam, cukup kukirin aroma rebus pisang
* Tuan Paduka di Jingke, pengat pisang sudah tersedia- cepatlah pulang !!!
* Silfia, dah rindu amek dengan pisang goreng diapeik di pasar Batusangkar

Monday, 26 October 2009

Cerita Anak Sungai dan si Jantung Hati

Si jantung hati

1960an

Ayah Dei kerap bercerita tentang pentingnya jantung dalam kehidupan manusia. Jantung sebagai pelengkap kasih sayang, sebab itu ada bidalan " Si jantung hati" - nah jaga jantung kamu"


Aku dengan anak-anak Ayah Dei seramai lapan orang itu ketawa terkekeh-kekeh sambil meniru gerak tangan Ayah Dei yang melekap tapak tangan telungkup di dada, lalu kami menyanyi....dengan ayat, ' Oooh si jantung hati...ooo si jantung hati.'

Di hari lain ketika pokok pisang yang ditanam di celah pagar mula meluncur kelopak bunga - barulah kami tahu, bentuk bunga pisang , kami melompat riang dan bersuara serentak,

" Ooi pokok pisang kita berbuah si jantung hati" .

Kami bersorak mengelilingi pokok pisang sulung yang mula mengelopakkan buah jantungnya. Aduh warna merah kesumba lembut, merah jambu, dengan kelopak dalamnya berwarna kuning jagung, bahagian dalam itu terus kami selak, Mak Yam pembantu kami menjerit dan memekik,

" Husy-husy ooi anak monyet....itu jantung pisang.....biar di situ, nanti cukup besar, bila buahnya mula berputik, bolehlah jantungnya di petik, Mak Yam masak untuk kamu semua....hei anak-anak monyet"


Panggilan anak monyet hanya terkeluar kalau ayah Dei tidak ada di rumah sudah berangkat kerja .

Tapi otak si kecil ku ketika itu sering tertanya, kenapa ada bidalan Si jantung hati

" Ala itukan buah hati. Nah hati ada buah ke? "

Selepas makan malam, kami berkumpul di depan radio sambil mendengar siaran radio. Aturan di rumah kami....anak-anak wajib mendengar warta berita jam 8.00 malam, harus diam, senyap dan mendengar berita. Disiplin ini sungguh memberi kami pengetahuan, kerana bahan bacaan tidak banyak merakam bahan semasa....kecuali surat kabar yang dibawa Ayah Dei bila pulang dari pejabat, di sebelah petang.

Tahun 1963 kami sudah mengutip peristiwa konsfrantasi dengan Indonesia. Nenek terisak teringatkan sanak Gaek di Batusangkar. Kadri Jawa penjual sate ketakutan kalau orang Malaya menetak kepalanya. Unkap nenek,


" Orang Melayu tidak gila perang. Cukup sengsara zaman Jepun dan mabuk
Cina Komunis Bintang Tiga.. Kau tutup mulut jangan sombong dan bongkak, jual sate macam biasa"


Dari bertia radio kami kutip lagi, September 1966 lahir Malaysia. Malaya , Dei terus memanggil Tanah Melayu bergabung Sabah , Sarawak dan Singapura (bagi kami, Singapura itu memang anak Tanah Melayu!!!). Kemudian beberapa tahun selepas itu , Ayah Dei terdiam, rumah dikunjungi Pak Sako....lalu pecah suara dua tiga orang lelaki lain termasuk bayang orang parti Kepala Tanduk Kerbau....

" Gila Singapura nak bercerai dengan Malaysia!"

Aku tertanya, negara merdeka ada ada kawin cerai ke????



Anak sungai ini sudah tersepit d icelah kota yang
pesat membangun...Johor Bharu, 18 Okt 2009



Cerita Si Jantung hati tidak selesai dengan mengenali buah nyata jantung pisang yang di dalammnya berlapis kelopak dengan anak-anak bunga yang berderaian gugur setiap kali kelopak jantung berkembang.
Di lain waktu, hari Minggu pagi kami berderet-deret berjalan kaki di sekitar rumah menuju kedai. Kadang kami menaiki bas, bersorak-sorak kalau melihat pemandangan yang mengembirakan. Kota kami belum banyak bangunan tinggi. Dari Gombak menuju Setapak, ada bebebrap rumah batu. Gedung kilang samsu di Batu 4, rumah separuh batu kilang botol kicap Low Yatt di Batu 4 3/4. Makin ke bandar ada bangunan batu 4 tingkat di depan Balai Polis Setapak. Di tingkat 4 itulah rumah kami sejak Ayah Die menamatkan kontrak kerja dengan CEB di Jalan Yahya Awal Johor Baru (1960-1963). Kemudian diikuti dengan gedung Al Hambra yang kerap mengadakan persembahan bangsawan atau putaran wayang gambar.






Untuk ke bandar kami akan menaiki bas Len Seng. Selepas melewati Hospital , bas akan melaju arah Chow Kit Road, Batu Road, berbelok ke kiri memasuki Cambell Road. Terus maju membelok ke kanan , memasuk Ampang Road sebelum berhenti di Malaka Street. Kami akan berhenti di situ berjalan kaki arah ke kanan setelah merentas Sungai Batu yang bertembung dengan Sungai Gombak.. Di sinilah di pinggir Sungai Gombak di Malay Street sekali lagi Ayah Die bersuara,
" Sungai Gombak yang bertembung dengan Sungai Kelang di Masjid Jamek, ini adalah Si Jantung Hati Kuala Lumpur.....jaga sungai ini, kalau anak-anak Dei besar kelak, kalau menjadi arkitek kota, menanan pohon, pokok bunga, ahli perhutanan, ahli juru bena, apa lagi kalau masuk politik jadi Menteri, mesti tahu menyayangi alam. Ada Menteri Alam Sekitar menjagi sungai, menjagai bukit- gunung , mesti ada pendidikan menjaga alam ....alam inilah yang harus dijagi menjadi Si Jantung Hati yang harus dihargai di sayangi - kalau tidak sungai akan keruh, sungai akan dikambus, kota pun banjir, musibab-musibah..."




Kami anak-anak Ayah Dei berumur 4 - 12 tahun termangu-mangu mendengar perkataan yang tidak difahami...apa itu alam sekitar, ahli hutan, ahli juru bina.....yang kami tahu ialah ahli gusti, ahli silap amat, ahli sarkis.....hussh...



1970an-2000an



Laporan dharurat negara



1970an banjir besar Kuala Lumpur - bangunan Sultan Abdul Samad (sekarang Dataran
Merdaka) ditenggelami banjir . Sungai Gombak , Sungai Bonos, Sungai Ampang melimpah- konon cerita ada 2 versi:


1) Hujan membersihkan sisa peristiwa 13 Mei 1969

2) Langit kelabu-meratap, air hujan @ air mata Tuanku Sultan Selangor dengan berat hati menyerahkan Kuala Lumpur menjadi ibu kota Malaysia.....



1980an-190an....pedagang tanah bermaharaja lela, rimba kota menjurus ke pinggir kota sudah dilapah. Malah tega cadangan untuk memindahkan Zoo Negara - masuk semula ke hutan rimba.
Gunung di tarah. Tiang-tiang dicacak merentas Tanah Simpanan Melayu. Satu-satu kampung harus dilenyapkam. Kampung Baru, kampung Limau, Kampung Tangga Cina (Kg Keramat), Kerinci, Pucung, Segambut, Kuang, Gombak , Sentul, Setapak harus dibedah dengan simpang siur jambatan 4-5 tingkat.....sungai di padatkan dengan tembok - kejang kaku....
Walhasil balik asal...bumi mula melatah, menahan geram menyampah maka .Subhanallah

Sejak mula akhir tahun 1990an musibah di metro dan pinggir kota - Highland Tower runtuh, tanah benteng sungai Keramat meluap, rumah banglow di Taman Melawati jatuh terhempap,
tebing di Bukit Kesah pecah, Bukit Antarabangsa menelan rumah mantan Pembesar kotaraya,
curam Taman Bukit Kucai juga bergegar sebelum sungai pinggiran Kayu Ara melimpah....
Maka dihimpunlah para penasihat, pakar alam sekitar, para juru bina untuk memastikan tanah berjerun, lumpur pasir, batu kapur dsb selamatkah untuk mendirikan bangunan? Sungguhkah diamalkan cadangan ahli pakar itu wahai sahabatku Prof. Ib???
Ini cuma catatan kecil kemusnahan kota raya....tidak mengapa...penghuni cepat dibantu cepat diselamatkan. Malah kerana mereka orang berstatus tingggi, hotel 5 bintang pun sanggup menampung mereka bermalam di bilik mewah...eeehhh penghuni rumah setinggan di kaki bukit, pandai-pandailah cari saudara mara untuk menumpang sebulan dua setahun atau selamanya...
Kemudian senyap semula. Para pemugar tanah, ahli pejabat, yang menentukan hak lulus tanah simpanan, tanah hijau....kembali berkerja dalam senyap . Bukitpun ditarah lagi. Terbaru di Jalan Bukit Kancing sudah naik banglo mewah di atas puncak (ehhhh dengan bangga dicacak papan tanda Templer Hill - sejak bila pula Majlis Daerah Selayang meluluskan nama baru ini? ini Bukit KANCING sudah berganti ??? Bagaimana anak air (mata air) panas sudah dilonggok tanah galian setelah bukit dirobohkan...mata air panas semula jadi di Jalan Ipoh - di sisi simpang
arah menuju pejabat Daerah semakin keruh dan kotor ! Siiapakah yang meluluskan projek perumahan baru dengan kembali menggondolkan perbukitan rimbun...ah ini jenaka Abu Nawas lagi!!




(Ya, ada perubahanlah BDKL...sekarang, rumah terbakar di bangunan cepat dapat rumah baru..)

Ya semoga razeki rakyat di ibu kota tidak di sia-siakan begitu saja.
Semoga wang Zakat kami disalurkan ke jalan yang Hak. Bertambahkah zakat hasil kutipan meruntuhkan bukit dan rimba di sekitar pinggiran kota??? Di manakah Si Buah Hati Jantung kami oh Perdana Menteri ?






Gerimis Bukit Takun
Di tepian anak Sungai Kancing
26 Oktober 2009
18: 26

1980an - kampungn Limau Kg Barui

Saturday, 24 October 2009

Cinta tanah pasir dan laut

Dengan tanah dan pasir baru, menyempitkan laut, aku
si jenjang besi mula menari-nari ke angkasa,
tunggu aku, bangunan
pestaraya bertahta
Jentolakpun bersorak, hahahaaakkkkaaahhhhk





Cinta duka tanan pasir dan laut
*****
Tanah pasir

Kau tahu mana asalku?
dari sana di punggah ke sini
aku dijual beli
dengan sistem tender

ukuran tan dan lori

untuk jadi kaya
mari,
mari

aku dilelong
belilah aku


setelah menjaja kami
terpekek terlolong !
tanah digebuk

bumi melopong
hujan sehari
banjir berkampung

*****


Laut

Sudah bosan aku berteriak
melaung gema, menggulung ombak
kiri kanan

aku di asak

tanah pasir ditambak
aku semakin sesak
siapakah yang bersorak
datuk, tan seri pedagang
tanah pasir
juru ukur datang
mencipta peta baru
di seberang sana bersorak

di seberang sini bertandak
aku laut

yang memisah batas negara

kini semakin tertanya
dengan sistem jual beli
membesar negeri
tanpa peduli
getar alam sekitar

lanskap tabii
kasih atmosfera
apalagi cinta Ilahi
Cinta tanah pasir dan laut
Jangan meratap
bumi memang terbelah dua
oleh kemaruk
serakah manusia
gelora nubari kami
zikir kami
kalian persenda
oleh kebanggaan
saling berlumba!

Temasik-Hujung Tanah
Oktober 2009

Thursday, 22 October 2009

Dailog Santai SSSZ di Temasek

Ada tiga perkara penting kenapa kami mendadak ke Temasek. Saya diiringi oleh dua kerabat SSSZ iaitu Zulela Jamaludin dan Bulan Baiduri:
1) Meninjau program baca puisi 2010, di stesen keretapi berdasarkan buku Bait Senandung Malam- The Rhythm of Night Songs, terbitan Ins Terjemahan Negara, 2009.
2) Melengkap data untuk penulisan novel Panggil Aku Patimador
3) Menemui Siti Aminah, pembantu kami yang pernah bersama kami pada tahun 2000-2003.

*****
1)Program pertama ini memang harus dimulakan di KL. Cadangan kami, kerana puisi ini digarap dalam keretapi Senandung Malam, 2008, maka kami harus mengadap KTM untuk dapat restu menggukan Stesen kereta api (di belah utara dari ke KL - Tanjung Malim - Ipoh . Hala ke selantan (Seremban-Gemas, Johor-Tanjung Pagar) . Kerjasama dengan ITNM amat penting sekali. Harap Noridah boleh kumpulkan kerabat SSSZ juga pelajarmu di Temasek ya.

3) Program ke 2 - memang mendebarkan. Saya mencari Qandahar? Membawa semangat Patimadora. Hasilnya, ketemu Kandahar Street - tambah debaran. Noridah mengenalkan saya
dengan Cik Ida- Hidayah Amin, cicit Haji Yusuf Tali Pinggang, pewaris Gedung Kuning yang harus keluar dari rumah warisan (1999, kerana kerajaan membena komplek Warisan Melayu di Kampong Gelam). Bagai pucuk dicita ulam mendatang....lewat imaginasiku, Patimadora adalah cicit pewaris akhir di Istana Gelam. Nendanya puteri istana berkahwin dengan keluarga
Sheikh Syed Al Sagoff, di bawa pindah ke ladang Kukup....selepas itu nenek, ibu dan cucu terlantar di Ulu Melaka...Patimadora yang sudah di Qandahar mendapat tanda-tanda , ia harus mencari Jalan Qandahar akhirnya tiba di Kandahar Street, disambut rakan lamanya Eda Lalla...mereka berpelukan di Kandahar Street....


Citra Patimadora bertemu Eda Lalla....di gedung milik pewaris Qandahar???


Bulan, Siti Aminah (asal Jatim), Lani (asal Palembang)
kedua-dua mahu ikut pulang ke Malaysia

3) Cerita Siti Aminah: ....

Setelah pulang Nov 2002, aku beli rumah, hasil kerja dengan ibu terkumpul RM 12,000.oo. Beli tunai. Tapi suamiku curang, dia bawa isteri barunya dirumah yang kubeli. Kami perang besar, aku marah kecewa. Aku mahu lari kembali ke Malaysia, mahu hubungi ibu, minta tunggu di Subang . Tapi semua alamat dan nomor telepon ibu di Malaysia habis dibakar suami....tapi aku dapat lari sampai Riau, mendaftar ke agen pembantu rumah. Aku pilih Singapura, udah 6 tahun di sini , aku juga sudah beli rumah baru lagi...dengan wang gaji Singapura. Tapi sekarang mahu kumpul dengan ibu lagi di Malaysia,.boleh ya bu????

Kenapa tidak. Kami ketawa, menangis juga amat terharu setelah 6 tahun , bertemu semula di pulau Temasek (padahal Bulan berulang alik ke Temasek). Begitulah atas kebaikan takdir Ilahi, Aminah tiba-tiba menemukan secarik kertas di celah-celah beg pakaian...nota dengan nama dan no. telipon Wira.....6 tahun....6 tahun ....kasih saudara kami kembang berbunga .

MasyaAllah...Selamat pulang ke rumah kita , Minah!!!

Gombak, 22 Oktober 2009


Wednesday, 21 October 2009

Bumbung Pemeleh Trengganu dan Rumah Melaka di Geylang?

Bumbung Pelemeh Trengganu
Bumbung panjang gaya Melayu
di Kampung warisan Melayu, Geylang

Citra seni Melayu masih bersisa di sini. Dulu memang meriah riuh peniaga di celah-celah lorong. Kami pernah menyodok belut di parit dan lopak. Apakah yang dapat kau catat tentang janji dan waadat Raja Melayu Demang Lebar Daun dengan tiga putera Raja Suran? Tidak siapa yang peduli lagi sejak waris Kampong Gelam kehilangan tahta dan waris Temengung membuka Tanjung Puteri. Semoga usaha mengekal Kampung Warisan Melayu memberi kesedaran bersama waris Melayu di pulau ini. Terimakasih Nurul Rahim yang meneruskan tradisi mengurut , Cik Ida - Hidayah yang memberi dongeng 'hantu' di bilik pusaka di Gate 83-85 dan Noridah yang terus berpuisi lagu Melayu. Juga bisikku pada Mawar, harumi kebun mawarmu di pulau sejarah ini anakku.

Temasek, 19-20 Oktober 2009



Thursday, 8 October 2009

Puisi siri Hikayat Wanita Ratu

RATNA CHANDERA PURI
PUTERI NILA PANCHADI

*****

RATNA CHANDERA PURI *


Setelah berteguh janji
Demang Lebar Daun dengan Nila Utama
bergelar Sri Tri Buana
tidak sekali raja mengaibkan rakyatnya
dan setia hamba tidak pula
menghina bangsa
maka menyatulah
Puteri Melayu Ratna Chandera Puri
bersambut tahta di kota Palembang Buana
dengan adat raja pertama
berdandan indah menyatu kasih
dengan segala pakaian keemasan
mutu manikam bergemerlapan.

Raja pun berhias mahkota Bukit Seguntang
naik bersama ke perarakan permata gemerlapan
di bawah payung empat terkembang
tujuh kali mengeliling negeri Palembang
dengan segala bunyian
inilah kelak zuriat
berkembang ke Bentan
pindah ke Temasik bertahta di Melaka
sejak dulu batin cinta
menyatu kasih bangsa.
di Kepulauan Melayu
sejak dulu.



*****

PUTERI NILA PANCHADI **


Angin bergemersik di Singpaura
istana sudah meriah dengan dua putera
Raja Kecil Besar bakal raja
harus berjodoh puteri raja
maka terkabar di Bijaya Negara
puteri Nila Panchadi amat jelita
berkenanlah Sri Tri Buana
menjodoh putera jejaka


Tujuh gelombang tujuh angin
menolak bahtera tiba di Teluk Belanga
tibalah surat dari benua Keling
berganti musim
sampailah puteri dari Bijaya Negara
dengan empat puluh hulubalang
dengan lima ratus dayang
megiringi puteri Nila Panchadi
bersanggul tinggi astakona
berkain kembang cindai patola
bersilang selendang bhandana
pinggang berpending permata
kaki bergerincing gelang kepala bernaga
meriah dan indah
bersatu di istana Melayu


--------------------------
Sumber: * A.Samad Ahmad, peny. Sulalatin Salatin, Sejarah Melayu. 1983,21-26
** ___________________, 40-43

Tuesday, 6 October 2009

Ikatan Kasih Melayu-Minang KL + Aceh Lamno

Dengan busana kreasi Aceh + Melayu
Tanda kasih kipas sulam kasab Aceh + bunga telur

Persandingan gaya Melayu

Eddy I Dailami dan Ariani Rustam A Thani-Boetamam
(2 Oktober 2009, Kuala Lumpur)


Gurindam Sajak Pengantin Baru
*
Jarak bumi antara
Selat Melaka dan Hijau Sumatera
detik bermula di kampus Bangsar senja
antara debat dan silang hujan
perjuangan politik dan kemanusiaan
jejaka dari tanah berdarah
meninggalkan ayah bunda
entah mencari ilmu entah goda perjuangan
harus meninggalkan Kota Banda puaka
sejak letus senjata hati tergerak
tidak ke mana jiwa selagi tinggal di teratak
berkecamuk uji dan duri .

Kuala Lumpur singgahan pertama
bersambut kata debat di kampus Bangsar
antara teh tarik, hentak meja
muzik rock pecah
ketawa dan air mata
bertahun angin bermain duga
usik mengejek cinta
entah menjadi entah lara
berteka teki di hati.

Takdir tidak siapa menduga
tujuh musim jejaka dan dara
diamuk badai uji
setelah melambai
selamat tinggal Kuala Lumpur
angin New York mengepul salji
sekali lagi pasangan diamuk uji
berkasih menyambung cinta kembali.

Semua di atur Sang Kuasa
Pemerhati gelora hambaNya
dua roh bertitih dari sejarah juang
cekcok dendam sebelum merdeka
demikan darah Boestaman
tak henti mengalir
ke jiwa puteri tercinta
Lelaki Melayu tak kan sabar
dengan hangat debat, berani dara pencabar
hanya Putera dari Lamno
berdarah pejuang Islamis
kembali melembut hati Ariani
hingga melati berkelopak wangi
hangat mentari dan dingin salji
menjadi sakti
ijab kabul jauh nun di benua sana!

Namun demi adat dan adab
kaya Nusantara
gelora tambo Melayu - Minang
bersambut dengan saleum rapae' Iskandar
sepasang mempelai berenjis air mawar di pelaminan
berbaju Melayu merah pulasan desta Laksamana
berkebaya kerongsang tiga bunga taburan bintang
bersalin pula lelaki bermakeutop raja
berije songket merah nyala
saling berhias sulam kerawang kasab
agam dan inong
mesra tersenyum...

* * *
Selamt pengantin baru ya adinda!
Penuh doa kasih sayang semoga dilindungi
Bimbingan Kasih Ilahi...

dari Kekanda Siti Zainon Ismail
@Cut Nyak Fakinah

7 Oktober 2009

.



Monday, 5 October 2009

Ghairah Penerbit dan Penulis??

Ini contoh buku dengan hiasan lukisan...tapi tiada data
lengkap, nama pelukis, tahun, bahan dsbnya
Untuk pelukis/atau pewaris: anda bertanggungjawab dalam
mengizinkan karya anda/keluarga diterbitkan sebagai
hiasan kulit buku atas dasar apresiasi dan kajian seni!

SEKARANG Penerbit buku macam cendawan tumbuh. Memang sejak awal 1970an....sastera telah dijadi teks bacaan di kampus universiti tanah air. ...maka tidak hairan tenaga pengajar mula didekati oleh para penerbit buku swasta. Maka rajinlah para tenaga pengajar (pensyarah) menyusun karya-karya penulis tanah air.Pilihanpun dibuat dengan konsep untuk memajukan masyarakat dengan pendekatan sosial-sastera. Maka penulispun (cerpenis, penyair,novelis) pun menerima senarai pilihan sang penyusun....(juga penulis/pensyarah). Wah kitapun bangga kerana nama kita tersenarai....surat yang sampai hanya menyebut judul karya yang dipilih, dan kita diminta sudi menandatangi surat izin - membenar karya itu diterbit...tanpa memikirkan atau bertanya ' bagaimana roylati karya itu' ...biasanya MALU bertanya kerana penyusun itu SAHABAT kita . Begitu juga tidak ada pula pengarah Penerbit yang sudi berhubungan dengan kita dengan alasan, diwakil kepada penyusun....
Nah bertahun-tahun karya itu siap di cetak, beredar di pasaran, dijual juga oleh pensyarah untuk kajian kursus di kampus .....kita sebagai penulis terus menunggu...mana royalti buku?
Ini hanya secuil pengalaman. Pengarang lain pasti sudah mengalami hal yang sama....tetapi sekarang Penulis sudah bijak dan tidak malu lagi , maka kita harus melihat data paling asas:
1) pastikan surat rasmi dari penerbitnya
2) menerima biodata penyusun, panel penilaian
3) surat perjanjian termasuk tempoh perjanjian - sudah sampai masanya kita mempunyai
peguam sendiri /bersama (Puan Nisah Haron mohon beri reaksi)
4) Cara Pembacaran royalti
4) komplementari /hadiah -jumlah buku
5) potongan harga untuk penulis
6) pelancaran buku , wajar penulis dijemput
7) promosi buku termasuk penulis
dlll....sila tambah lagi...
Minta pandangan Puan Ainon Mohd...
Bukit Takun, Rawang
6 Oktober 2009

Lukisan dan Kulit Buku

Lukisan ini dikrop atas bawah, kiri kanan -
sudah hilang 40 % wajah lukisan asalnya
Karya ini yang hanya dikrop bahagian bucu

SETELAH menerbitkan buku-buku dengan beberapa penerbit, saya berusaha agar kulit buku memuatkan karya lukisan saya sendiri. Begitu juga beberapa orang teman turut meminta izin untuk memberi kebenaran menggunakan lukisan saya. Tetapi pengalaman kerja ini kerap terganggu juga. Kerana saiz lukisan kadang tidak sesuai dengan format buku. Kadang dipotong atas, atau bawah atau kiri atau kanan. Jadi karya asli tidak mengikut format lukisan asal. Untuk itu saya harus terlibat berbincang dengan penata reka bentuk, bahagian mana yang patut dipotong, di buang. Tetapi kalau penulis lain mungkin menyerah bulat - bulat kepada pereka
bentuk...alamak, kadang-kadang terkejut...lukisan asal ukuran 4 sama segi tiba-tiba menjadi setengah, di potong 50 % sedangkan judulnya tetap asli...wah wah....di sini ketara sekali hubhugnan kerja pelukis (Fine Art ) bagai tidak pernah sejalan dengan kerja pelukis grafik . Anda ada pengalaman yang sama kah?
Bagaimana pula dengan honorarium karya lukisan untuk kulit buku? Kalau tulisan itu karya sendiri, percuma lah...tetapi kalau buku penulis orang lain...kadang-kadang percuma juga haaaaha...' yah saya tanam budi aja...' harap dapat buku komplementari.Tapi penulis dan penerbit tetap lupa (atau pura-pura lupa, tidak peduli) ....jadi terpaksalah beli untuk tambah koleki sendiri.
Kaki Bukit Takun
5 Oktober 2009




Sunday, 4 October 2009

Panggil aku Patimadora ( 23.a)

Antara contoh sisa-sisa perkakas di khemah pejuang

" DIALAH, putera kami yang hilang, tapi kami redha dia pergi, dan masih percaya suatu hari dia akan pulang juga.."
Kutatap wajah seorang ibu, masih bersedih, bermata sayu ketika kami berbual di pagi Hari Raya, di rumah kakak sepupuku di Kampung Pandan. Hampir tidak percaya di hari mulia ketika kami sekeluarga bergembira muncul kawan baik kakak saudaraku mengenalkan sabahabatnya itu..." ini Kak Munah dari Pokok Sena , Kedah...." . Dan kepada sahabatnya kakak saudaraku mengenalkan pula, " Ini adik saudara saya, yang kerjanya hilir mudik, mengutip dan menulis cerita orang....mungkin boleh kau ceritakan tentang anak lelakimu yang hilang itu? "
" Dia anak yang rajin , menghabiskan waktunya yang tersisa membersihkan madrasah, mengikuti kelas tarbiyah dan usrah anjuran ABIM di Pokok Sena, sebentar lari ke Singapura, bekerja sebagai buruh tapi segera pulang setelah mengumpul wang dan berniaga kecil-kecilan di kampung"
Kuikuti tutur ibu Maimunah. Sesekali dia tersenyum bagai membayangkan kesenangan kecil bersama putera kesayangannya. Tetapi kemanakah menghilangnya puteranya itu? Aku masih tertanya-tanya ke arah manakah jalur cerita yang mungkin dapat kukutip...lalu dengan suara tipis perlahan ku bisikkan ke telinganya,
" Makcik tahu ke mana Zaid pergi, sendiri atau dengan kawan-kawan lain?"
" Ya lah semua tahu, terutama keluarga lain yang anak-anak kami memasuki kumpulan pembela Agama...kumpulan Mujahid...ke negara yang sedang ditakluki musuh kafffiiiir? "
" Ha?"
Bukankah itulah suara sahabat lama kami di Rumah Bakti Perempuan di Bangi, lebih 5 tahun lalu....Bukankah Dr Akran berulang alik antara jalur Timur Tengah, kerap memilih jalur sutera mencelah masuk ke rumah Patani-Kelantan atau dari Songgora terus ke Kedah. Kumpulan penyokong Afghan?
" Ya, kumpulan pejuang menyelamatkan Islan sebuah negara yang mahu dihancurkan. Musuh Tuhan, Musuh Agama, anakku ke sana? " Ibu Mainmunah tiba-tiba meratap sayu, merebahkan kepalanya ke kerusi, dia tersedu perlahan tidak mahu menunjukkan kesayuan jiwanya yang tertekan...
" Anakku tidak pulang sejak 15 tahun lalu...ya sejak mengikuti kumpulan usrah, anakku semakin menumpukan kerjanya di madrasah, mereka bersahabat baik, malah dia menjadi lebih sopan dan hormat dengan orang tua, tapi juga makin akrab dengan kawan-kawan sebaya....demi perjuangan itu katanya - setelah dia pergi, ayahnya menemukan kitab-ktiab lama, antaranya tentang tentang pahlawan silam di zaman nabi, dan yang aneh ialah buku Panggilan Jihad di Afghan..."
" Perjuangan Afghan?"
Ya Tuhan inilah kelompok Dr Aqran. Siapakah musuh besar para pejuangan ini. Demi tanah air kami, demi warisan nenek moyang dan semangat Islamis, selamatkan negara dengan jihad, jihad para Mujahidin. Ya kumpulan inilah yang menumbang serangan dan taklukan Soviet Union pada tahun 1980an. Tetapi serangan dan perlawanan terus dimajukan...setelah sisa-sisa pengaruh penjajahan masih menghantui jiwa perjuangan. Para Mujahid berlanjutan dengan semangat perjuangan Taliban. Begitukah putera ibu Maimunah, yang cuba menembusi semangat perjuagan para Mujahid dengan mendekatkan jiwa perjuangan Rabanni, Rabbir Rasul Sayyaf, di situlah tapak perjuangan, Zaid sudah tiba di zon Kunnar. Allahuakbar...
*****
Di Khemah zon Kunnar, Zaid masih berkecamuk rasa. Soviet sudah keluar, tetapi kenapa masih bersisa semangat darah kafir masih bergelora di dada pemerintahan sekular, kerajaan tentera Najibullah? Perlawanan dan jihad tidak akan selesai selagi pengaruh sekular bermaharaja lela. ajaran budaya kafir, masih mempengaruhi golongan bobrok akal, spirtual dan jiwa Islamis. Siapakah yang menyokong perjuangan ini kalau bukan dari kelompok pemuda insaf dari negara Islam lain. Di markaz Kunnar inilah Zaid berkenalan dengan pejuang dari Pakistan di bawah komandan Khalid Zubir nama yang amat ditakuti sebagai komandan Muhajidin tetapi tetap ramah dan sopan dengan pejuang muda dari negara-negara lain. Di markaz itulah Zaid berkenalan dengan pejuang mujahid Arab ketika singgah bermalam di markaz Maimoon Huna.
Di markaz ini jugalah Zaid mula belajar bahasa Arab, Urdhu , Parsi dan Inggeris. Dunia akalpun tumbuh seiring. Bumbu semangat membenci pemerintahan sekular makin semarak.
Kadang-kadang para mujahid memang kerap berjenaka. Terutama dalam kesejukan mendaki perbukitan di awal musim dingin. Jenaka yang paling indah ialah kelak akan disambut bidadari di syurga.Setiap darah yang gugur akan bertukar menjadi bunga indah berkelopak wangi yang menghiasai sanggul bidadari. Ya bidadari...yang tidak kau temui di hidup nyata hari ini.
Bandar Khost sudah ditawan
Menyusur kota Argoon, semua di bawah pimpinan Komandan Khalid Zubir.
Di situlah mata nyalang Zaid berbinar, kagum melihat ketangkasan Khalid Zubir memberi arahan dan petunjuk cara-cara serangan menjatuh semangat tentara kerajaan sekular. Di sitlah seorang putera Melayu dengan pakaian ala pejuang mujahid segak melompat ke kenderaan Pick-up, telah menerima arahan akan menyerang daerah utara Khost setelah meninggalkan markaz Meranshah menuju markaz Manikando. Ujian demi ujian, kemudian mereka akan berjalan kaki mendaki perbukitan batu yang sudah diselimi salju, bahu sarat dengan senjata dan keperluan seminggu. deapatkan kita bayangkan bagaimanakah mendaki dan menuruni perbukitan batu tanpa bantuan batang-batang atau pohonan rendang seperti pemandangan di rimba tropika...filem kombat sebentar lagi akan meletus....namun pemuda Melayu dari Pokok Sena dengan senyuman gembira menatap pemandangan bersalji dengan keindahan batini. Melafazakan kesyukuran sambil berzikir, sambil bertasbih setiap butiran sajli menikam ke dahi atau kadang sengaja dia membuka mulut dan menelan rimbasan salji bagai menelan butiran
gula-gula kecil yang harum manis. Seorang rakan pejuang Madura sudah gugur dalam bedilan musuh dua hari lalu, diikuti dengan peluru sesat menembusi dada mujahid dari Sulu-Mindanau...
Ya Tuhan kenapa di negara asing, kami pejuang dari Nusantara bertemu?
Bagaimana akan ku kabarkan sebak di dada ketika bersama meratapi kemangkatan as-Sayhid Zia-Ul-Haq , berkongsi duka dengan para mujahid Pakistan dan Kashmir. Tuhan kenapa ada air mata di celah air merah, darah memercik bumi dan langit Mu Ya Allah Rabbani???
Selayang
5 Oktober 2009