Rumah sejarah seni dan warisan bonda. Sila jejaki tangga ke rumah kita.Kelopakpun kembang ke jejenang diri
Tuesday, 29 March 2011
Puisi Si Gembala (5)
Sayap-sayap Gerimis Al Aqsa (ya Abu Ameer) Hanya angin di bumi syurga ini menyeruku, betapa indahnya ziarah. Kau bagai dua sayap buraq, di malam bercahaya. Ku Rindukan hujan dan mentari ,di bawah kubah emas Mu , perkasa gua batu hikmah ! Ooh Saudaraku , hanya doa , doa air mata, ku genggam daunan zaitun nipis manis anggur . Kau selalu di hayat ini. Al Quds/Baitulmaqdis/Jerusalem 8-10 Mac 2010
Monday, 28 March 2011
Puisi Si Gembala (4)
1.
11.
Biar ribut pasir
gunung batu bergegar
kebunan lupus
gerimis dari gumpalan awan tipis
masih gugur memercik bumi.
Lembah Sinai
bukit perebutan
kini diam sepi
menjelang pertengkaran
dan letupan
rinyai darah memercik
dan Musa harus pergi
merentas laut dengan tongkat sakti
jangan kau kejari dia
dia sudah di angkat ke syurga!
11.
Sisa Kebunan lampau
yang Kau beri
dari hujung gerimis pertama
masih membunga
haruman limau manis
kegemaran anak terkasih
sejurai palma mendesah.
Dia tiba
menyusun jejak
memaut tapak silam
berabad, hanya si kecil
baru belajar kehidupan
gunung pasir, debur angin
menghakis jejak
Aku datang
Kekasih
mengait senyuman Musa
ke puncak ImanMu!
Lembah Musa
9 Mac 2011
Saturday, 26 March 2011
Puisi Si Gembala (3)
1.
Demi malam
dalam kegelapan batin kami
siang Kau tutupi lagi
Siang Kau suluh mentari
sungguh tiada jalan mudah
mencari sumur si gembala
tiada cahaya dan kami meraba!
11.
Mentari terkembang
sayap emas berarak
mencerah suara Bilal
di celah bukit batu
suaraMu menderu !
Cabutlah duri kefasikan kami
hulur kopi ketakwaan pagi
mandilah jiwa si gembala alpa
kau bukan si celaka
yang harus dilupuskanNya.
------
Fajar Petra
9 Mac 2011
(puisi/gambar @SZI)
Puisi Si Gembala (2)
1.
Segala padang pasir
gunung gondol
bukan tidak ada kehidupan di situ
dengan angin gurun
pasir menderu
Kau bawa benih, biar
sebutir membiak menumbuh
rezeki kasih .
11.
Unta pun tahu tugasnya
setia bertuan
angin pasir menajam
penderian, bau dan menangkap cahaya
sehingga tuan tersengguk segera kakinya melaju
kala musuh memburu.
Pengembala kibas dan biri-biri
juga tahu erti rezeki
pemuda kecil menggenggam cemeti
membawa khazanah bakti
hingga merentas gunung pasir
dan gua batu memanggilnya
kelak di situ suara menyeru
Aku membawamu
ke rumah cahaya
tidak ada Dia
Kecuali Dia Yang Maha Kuasa.
Si gembala kecil
merintih tergigil
sehingga tahu
' Dia memberi rahmat
Dia menghendaki
Dia meng'azabmu' *
Si gembala itulah menuruti jejakmu
di jejeran panjang kabilah
telah merentasi ribut pasir
telah menelan debu mabuk
mengejar matahari akhir
di kiblat yang satu
ke Rumah Mu!
------
Petra-Jordan
8-9 Mac 2011
.....
(* Al-Israa: 54)
Puisi/Gambar @SZI
Friday, 25 March 2011
Masjid Ibrahim di Hebron (5.4.1)
Mimbar dibawa oleh Salahuddin Al Ayubbi berhias, ukiran kayu, logam berwarna emas, yakut merah
memperlihatkan gaya Parsi abad ke 11
Ukiran di bahagian dinding dan pintu depan, motif geometri Arabes Parsi
MEMANG panjang sejarah di sini. Hebron kota asal terletak 20 batu di timur Jerusalem. Kota di perbukitan yang subur dengan tanaman anggur, bunga-bunga anggerek dapat berkembang dengan indah. Dibuka dengan mendirikan kuil-kuil di gua Makhpela oleh Gerodes. Bahan batu dari perbukitan dengan ukuran besar ditata menjadi tembok tinggi warna kuning air. Menyentuh temboknya terasa kesat dan dingin. Inikah sisa kerajaan Herodian yang telah wujud sejak abad pertama SM? Di kota ini juga mengikut kepercayaaan Yahudi, Abrahan (Nabi Ibrahim) menempah gua Makhpela untuk kuburan dan makam keluarga terutama Sara dan Ishak terakhir Nabi Yaacob.
Byzantium pernah berkuasa menghancurkan kuil Yahudi pada abad ke 4 M . Muncul perang salib, Islam menang juga menambah bentuk kubah menjadi masjid. Peranan Shalahuddin Al-Ayubbi (1138-1192 M), menjadikan masjid ini kembali bersama menaikkan maruah Islam. Dengan latar suku Kurdi maka dibawalah mimbar penuh ukiran Parsi.
Kami menatapnya teruja. Kayu kukuh berukiran silang geomteri di dinding sisi kanan kiri dan pintu yang dapat ditutup menuju tangga untuk imim memberi khutbah.
Walaupun memenangi Perang Salib tetapi Salahuddin Al Ayyubi tidak membunuh musuh. Sebaliknya sesuai dengan ajaran Nabi Muhammad saw, mereka yang mempunyai kepakaran tertentu diundang untuk turut membena kota Hebron. Setelah berdamai dengan terus diajukan konsep perdamain. Orang Armani kembali berniaga, membuat tembikar tanah liat, dan meniup kaca. Petani Palestin bertanam zaitun, anggur dan almond juga mengembala domba. Yahudi membakar roti. Mangkok, pasu dari batu dan tanah liat, menghidupkan sistem dagang di Hebron.
Namun Kuasa politik merosak keharmonian jiwa manusia. Zionis lebih berkuasa dari Yang Maha Kuasa. Inikah kebanggaan zaman yang mereka percaya, Tuhan telah memilih mereka sebagai bangsa terpuji dengan membawa Nabi Daud as yang mereka nobat sebagai King David, bertahta abadi? Umat Muhammad saw harus dihalau dari bumi kelahiran mereka di Hebron juga? Mereka masih mengharap makam Nabi Ibrahim, Sara, Ishak, Rabeka dan Lia (keduanya isteri Ishak) harus dapat dipuja walau semuanya masih berada di dalam masjid.
Peristiwa fajar 1994, masjid ini kembali di serang, dirampas, dan jumaah subuh turut dicabut nyawa demi kepercayaan mereka, Islam adalah musuh untuk selama? sungguhkan begitu. 400 keluarga Palestina kini dibelengu. Masjid dibagi dua, di pagar dan azan jarang berkemundang.
Allahuakbar!
Hujan gerimis melepaskan kami untuk beredar, meninggalkan pekan Hebron yang sunyi. Tetapi esok lusa, mungkin meledak lagi peluru menembusi jidat anak-anak kelahiran di bumi Hebron ini.
(Nota Baitulmaqdis, 5.4.1)
Thursday, 24 March 2011
Puisi Si Gembala (1)
Di celah-celah kerikil
rumah tanah batuan pengap,
bukit sunyi, tetap muncul kau
si renik pagi.
Subuh berangkat perlahan
di Karak
seurat nafas, Alhamdulillah!
rumah tanah batuan pengap,
bukit sunyi, tetap muncul kau
si renik pagi.
Subuh berangkat perlahan
di Karak
seurat nafas, Alhamdulillah!
buah bermata manis
sudah diwasiatkahn dalam Surah terpuji
kulum aku, yang memberi kesegaran minyak
menjadi rebutan pedagang
sejak berzaman
si pembekal rezeki kasih sayang
musim bunga ini
kau tiba
aku berkembang lagi
membawa wangi cinta!
Subuh Karak-Petra,7-8 Mac 2011
Tuesday, 22 March 2011
Cinta darah air mata
BENDERA negara calar balar luka ini memang sudah lama tergantung di Madrasah Tarbiah kami di Kg Bandar Dalam. Setiap kali ke ruang madrsah degup rasa dan fikir kerap menggugah, marah tapi akhirnya betapa rindu, untuk menjejaki bumi yang sudah tersirat dalam Kitab (Taurat, Ijil, Al Quran).
Lebih 30 tahun kami golongan seniman sudah melibatkan diri berkarya untuk menambah kewangan bantuan ke jalur Palestina. Pameran lelongan lukisan Palestina, baca puisi sudah dilakukan sejak Dewan Sastera diasuh oleh Allaharham SN Usman Awang. Tapi sayang bangsa Arab sendiri tidak sealiran kasih. Hujan air mata, darah tumpah terus mengalir di sana.
Awal tahun ini tiba-tiba terbuka jalur untuk ke tanah luka yang kurindu.
Nota dengan pesan lama kembali terbuka,
" Ingat anakku, setelah Masjidil Haram, Masjid Nabawi, ada satu lagi masjid ke tiga harus kau sujud di situ, carilah jalan walau berbelit melinkar, tujui Masjid Al Aqsa. Sujudlah di gua tempat sekian Nabi solat di imani oleh Rasul Kekasih Allah.
- itulah Al Aqsa di Baitulmaqdis dan daerahnya yang direstui Ilahi, tanah keberkatan dari Allah swt dengan menurunkan senarai panjang para nabi - ke sanalah anakku, jejaki tapak burak"
Masyallah, masih tidak percaya, kaki ini sudah tiba dalam gerimis senja, menyahut AzanMU, Ya Rabb..
Titis gerimis di celah putik zaitun
langkah dibanyangi peluru durja
mata helang curiga
hanya Kau di sana
menghulur kasih
aku tiba di rumah ketiga
Al Aqsa kucupi daku
oleh berahi abadi!
(Nota Baitulmaqdis Awal)
8-9 Mac 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)