Saturday, 27 June 2009

ERTI SAHABAT

Mbak Ana yang baik hati, melayan karenahku dengan sabar,
memotong dan menjahit baju yang ku rekacipta fesyennya -
kadang ngaur tapi bila kupakai baju jahitan mu...
oh manisnya senyumanmu
melihat aku bergaya di kaca
(yang terkesan dikau tidak membenarkan
sesiapapun meniru fesyen ciptaan ku)
@SZI 1974
.

Detik perpisahan setelah tamat tingkatan 6 Sekolah Aminudin Baki,
jamuan sebelum aku berangkat ke Jogja, Oktober 1969)


Erti Sahabat


Memang pernah kita bersalaman
bercerita berjenaka
kadang bermasam muka
tapi tetap kukenang
erti kasih dan setia persahabatan

Detik menggulung waktu
kau entah di mana
suara hilang jauh
kadang muncul bagai ombak
dan pergi setelah angin membelai salam
yang abadi hanya kenangan
kasih yang dipetik oleh asuhan waktu
kemboja gugur juga di pusara
suara kasih menggema!


Gombak
28 Jun 2009

(buat para sahabatku yang masih dapat berdoa, doa juga untuk dikau yang dulu meninggalkan kami)

Friday, 26 June 2009

SENI RUPA MELAYU - KESENIAN RAKYAT

Bahulu Melayu: acuan 1) yang diperdagangkan ikut laut, singgah
di pelabuhan Melaka dan tertebar ke seluruh pelusuk
Nusantara dengan motif hias rerama, bunga pecah lapan,
pending. acuan 2) bahulu Kemboja kadang disebut juga
kuih bumbai (bombay) , para sahabat sila beri
pandangan ya..
Ada dua jalur utama kedatangan bahan logam dari utara mengalir ke Tanah Semenanjung. Satu dari arah laluan kapal ikut lautan Hindi dan lautan Cina. Jadi bagi memastikan asal usul kuih bahulu tidak perlu dipertikaikan. Dengan bahan logam yang agam ini, sudah dibawa sejak awal oleh pedagang dari pelabuhan Gujerat. Kapal Turki yang membawa pedagang India turut berlabuh di Pasei, Pidei yang memang terkenal dengan kuih bahulu. Nama bahulu Kemboja sudah jelas datang ikut jalur darat dan laut dari keluarga Melayu Champa , tiba di Siam dan masuk ke pantai pantai Tanah Melayu...maka sekarang kita dapat mengesan nama kuih yang paling terkenal: 1) bahulu Bomby 2) bahulu Kemboja....anda boleh fikir hal ini...untuk kita bincang lebih terperinci. Di kalangan nyonya Melaka juga terdapat kuih yang sam tapi acuannya lebih tipis dan terkenal dengan motid ikan, udan, ketam .Tapi saya suka bahulu Nenekku
Dari sudut sejarah wilayah Dongson telah membawa pengetahuan penggunaan bahan logam: gangsa, loyang, timah, besi. Emas jgua dijumpai di perdalaman kepulauan Melayu, di Palembang, di Silungkan juga di Teluk Semawe dan Birun , Aceh. Emas juga ditemui di Pahang, Kelantan. Bahan ini makin diperkokohkan sebagai emas campuran besi menjadi tembaga. Inilah acuan kueh bahulu terkenal di seluruh wilayah budaya Melayu dengan munculnya kuih bahuku Kemboja, bahulu Bumbai (Bombay) bahulu Mengkasar, Bugis , Aceh, Pelembang, Brunei dsb. Adunannya amat sederhana telor, gula dan tepung merupakan kuih yang sesuai menjadi juadah di kalangan rakyat biasa. Kerana di istana bahulunya disebut bahulu raja, seakan bahulu bumbai yang bersirat gula dan bertabur halua kundur.

Lebih awal daripada sejarah Dongsong di atas, penghasil seni rakyat paling asas ialah bahan tumbuhah alam semula jadi. Tanpa pewarna anyaman begini sesuai sebagai peralatan kehidupan seharian. Contoh bakul 1) bakul tempat menyimpan peralatan dan bahan sirih, gambir, kapur dsb, asal Aceh, dikutip di pasar besar Banda Aceh, 1995 (sebelum tsunami). 2) Bakul nasi Patani , dikutip di pasar Kelantan, 1997. 3) Leka bekas periuk, asal Perlis dikutip di Melaka, 2000 , 4) Bakul padi asal Kelantan

Anyaman juga merupakan khazanah semua wilayah Melayu Nusantara. Anyaman dari kiri ke kanan dan ke atas: 1) tudung saji bertingkat untuk kegunaan kalangan bangsawan, atau untuk upaca adat, dikutip di pasar besar Kota Bharu, 1978. 2) Leka Perlis, 3) tudung kuih Bali, hias tekat manik, hadiah daripada pelukis Made Wiante, Bali, 2001 4) saji berwarna Bajau dikutip di Pasar Tamu, Kota Belut, 1989.

Masih belum banyak kajian ilmiah tentang falsafah reka bentuk seni anyam....tetapi dari segi teknolgi dan proses telahpun dipelajari di IKN....(sila rujuk buku Syed Ahmad Jamal, Rupa dan Jiwa, 1995, Siti Zainon Ismail , Reka bentuk Kraftangan Melayu Tradisi, 1988, dan terbitan buku mewah oleh penerbit Didier Miller.






SENI RUPA DUNIA MELAYU: SENI MINIATURE

SENI RUPA DUNIA MELAYU: SENI MINIATURE

DI MANA ANDA MENYIMPAN HIMPUNAN LAMA?

Kerana mangkuk tingkat nenek sudah hilang, dijual ke Cina kelontong,
ku cari penggantinya. Ini ditemui di kedai menjual barang lama
di Taman Melawati, 1999


Dulang ini kupinjam himpunan Mak disimpan di rumah Tanjung Karang.

SEMAK, " buang saja barang-barang lama kalau dah tak pakai, baju Mak kau tu sedekah saja kepada mereka yang susah.." Begitu saran seorang Macik yang singgah ke rumah setelah Ibu ku meninggal dunia. Tapi adik Wati lain lagi, " Along simpanlah semua barang Mak tu...." Wati tahu, kakaknya memang suka menghimpun barang lama...terutama kerana bidang kajianku ialah budaya warisan Melayu. Tentang baju ibu, masakah saya akan memberikan kepada orang hanya untuk djadikan lap kaki? Baju kebaya sulaman berbiku, selindang sulam benang, kain batik sudah ku asingkan sebagai bahan simpanan untuk kajian. Pinggan mangkok, Melor dah awal-awal lagi berkata..." Semua pilihan Uwan memang menarik...sayang nak serah kepada orang lain." Tapi saya kecenderungan lain...mencari barang folk arts, (nak terjemah sebagai seni rakyat, masih kurang tepat)....bukan buatan tempatan...tapi barang buatan China berstatus untuk gunaan rakyat bawahan...hahahah piring ayan. Mana semua piring ayan itu ? Hanya dulang dan piring saja yang diketemui...namun bila mula meredah pekan Tanjung Karang tanpa diduga menemui pasar lambak menjual barang-barang terpakai...apa lagi ku cekuplah sehingga orang lain yang berebutan memberi piring kaca, gelas, terheran-heran dan bersuara, " Eh nak buat tempat makan kucing ke? " Ha? " Saya cepat mengangguk, " Ya...untuk bekas makan ayam juga"
Nah , bukankan kami dulu sering berjalan -jalan di musim cuti sekolah, naik keretapi untuk ke Kota Bharu, atau naik bas menuju Kuala Kubu Bharu, atau Kuala Selangor, lengkap bekal makanan, nasi, atau bubur atau kuih dan diisi dalam mangkok tingkat. Anda masih pakai mangkuk tingkat lagi sekarang? Sudah berganti tupperware, malah tanpa peduli dan selamba saja membimbit makanan dalam plastik. Hush sunggah kurang estetik le penuh plastik aneka makanan , hingga teh tarik pun bergantungan dalam kereta....aduhai.. Eh ada yang nyonyot selamba aje, sambil melenggang-lenggang pulang dari kampus.

Thursday, 25 June 2009

PONDOK NI BELUM SIAP-SIAP JUGA...


LANTAI yang bersih berkilat sudah boleh digunakan. Ayuh minum kopi dengan goreng pisang panas...singgah lee..

PONDOK ni kami dirikan di depan rumah...tapi belum siap-siap juga, kerana tukang ukir yang berjanji nak bawa papan ukir lemudi, siku keluang tidak datang-datang juga. Semoga tidak hilang di Simpang Tiga Patani sana. Kerana musim hujan selalu memercikan titis siramannya, kerana sayangkan lantainya, kututup dengan plastik...lucu pandangannya. Tentu saja konsep ini salah, mestinya digantung bidai , tapi bidai buluh yang boleh digulung sudah dijanji oleh W juga tidak tiba..
Nah Syakirin, Dedeck , Di Rimba, Leha, Lelasari dan Reen...lepas raya kita siap untuk susun projek bersih kampung di Tanjung Karang ya...kampung Orang Laut di Bagan Tengkorok, sungguh kotor dan terbiar, tidak jauh dari pondok kita ini. Oke , sudikan?


PENGELUARAN SENI TEMPATAN

Semua bahan ukiran kayu ini dihasilkan oleh pelajar
di Ins Kraf Negara. Syakirin, bekas bunga dan lilin, hijau itu daripada botol minuman
OLEH ghairahnya melancong atau kembara ke negara orang, kadang kita lupa khazanah budaya oleh pandai seni warisan atau pelajar seni yang baru berjinak dengan memasuki pendidikan seni seperti Institut Kraf Negara (sijil dan diploma) , UiTM (telah mula membuka ijazah Sarjana/Ph.d) dan melanjutkan ke universiti tempatan atau luar negara....maka tercicirlah kita kepada pengeluar sendiri tempatan. Kadang pihak pengurusan juga ghairah ingin menghasilkan pengeluaran seni yang bermutu (tidak tahu kayu ukur apa yang mereka pakai...kerana terakhir ini suara para pengurus itu kerap mengatakan...produk seni kita sudah masuk ke Harrod di London...aduh). Jangan terkejut, maka selepas para pelajar itu selesai ujian, selesai diberi markah, maka kerja-kerja latihan akan dijual lambak ketika pasar seni di hari konvokesyen....inilah peluang mantan Mak Guru seni ini, saya merayap menyelongkar, mengutip serpihan yang disingkir, ditolak, malah ada yang akan dilempar ke tong sampah....nah cuba teliti karya di atas....saya kutip bawa balik ke Tanjung Karang. Ini salah satu projek seni yang tidak selesai, tapi bagi saya kotak kayu ini merupakan hasil murni sesuai dengan bakat permulaan pelajar yang baru hendak mengenali apa itu sulur bayung, apa itu, awan larat...ha mana tahu suatu hari kelak , bukankah mereka juga yang akan dijemput untuk menjadi pengukir istana...InsyaAllah. Karya anda selamat di rumah Tanjung Karang.

Syakirin saya ingin kutip batu di sungai Gombak,

untuk acara bersih sungai itu kelak

INI kerja orang yang tidak tahu tidur petang, atau lebih segar ketika hujan lebat berdenting-denting di bumbung zink. Yang saya utamakan di sini ialah bahan asas...batu yang saya kutip dari beberapa tempat yang berbeza, dengan siapa saya bercakap ketika mengutip batu itu...ada yang saya kutip di MATIC , di taman Hospital, di sungai Kancing, malah ada batu kecil terselip dalam beg kembara, tercatat tanda tangan seorang prof di Kent. Definisi seni, karya itu belum selesai tidak ada...makin lama, warna yang tidak selesai itulah menjadi fokus untuk dinilai setelah lebih 30- 50 tahun...Setuju ke Neem ?



BEKAS gula ini tidak perlu di banggakan kerana hasil pengeluaran asing - Itali. Tetapi alas meja, daripada benang bulu terhasil selama saya berada di Pulau Selatan....(lihat cerpen: Kampung Paya Kami). Sebenarnya saya mula memegang benang bulu ketika di darjah 5 Sekolah Kebangsaan Setapak. Guru yang mengajar menjahit ialah Cikgu Sapiah...setiap pelajar berpeluang belajar menjahit sejak darjah satu (harus lulus latihan menjelujur dan menyimbat), darjah dua harus lulus menyulam hiasan sapu tangan. Darjah empat-lima baru belajar mengait benang bulu. Kerja mengait ini cuma asasnya saja diajari. Tapi kami bersungguh-sungguh kerana guru Pelawat Cik Kontek Kamariah selalu datang mengejut dengan gayanya yang lincah... dan bertanya" mana jahitan awak ". Ya, Tapi siapa tahu kita lebih rajin sehingga dapat menyesuaikan diri, selepas itu antara menulis tesis, menunggu informan di tepi sawah..hahah siapa tahu kita digoda lagi dengan pertemuan baru dengan kenangan lama yang sudah pernah kita lakukan....kerana nenek juga mengait benang bulu sebelum saya berjumpa dengan Merie Theresia.
Eh Mawar dah beli benang bulu dan jarum panjang untuk mengait? Mana tahu kita berjumpa dalam seminar, bermalam sehari dua bolehlah bonda tunjukkan cara mengait...boleh siapkan mafla untuk Zahar...untuk lilit ke leher kalau cuaca dingin atau keluar negara di musim salji. Melor nak tunjukkan selimut bulu waktu dia kecil dulu warna putih (hasil 1978) dan selimut benang biru Wira (hasil 1982)
Haneem sudi jadi kurator untuk pameran saya kelak...hasil kerja pandai seni....hahah bukan lukisan ...ini kerja dari dapur, dari bilik tidur, dari bilik air, di stesen kereapi , di buat di pelabuhan eheeh ngadalah saya.

SENI MINIATURE

DI CELAH barang-barang mewah, kalau rajin menyelongkar sisa-sisa barang tersisih di kedai seni kita akan dapat mengutip barang yang telah lama kita cari. Sewaktu kecil Ayah Die suka membaca kitab Al Ghazali, Saadi, di situ ku temui lukisan kecil yang aneh dan membawa ke alam kembara... seperti kotak kecil ini katannya dari Sammara....saya temui di pasar lambak Sherfield. Kotak ini selalu digunakan untuk mengisi tembakau (lelaki) atau perhiasan kecil, subang, cincin (perempuan)

Ah, ingat Izadora penari Amerika Latin yang berhijrah ke US menjadi penari terkenal dengan gaun berenda dan menari dengan menggemgam dua pasang ceper kayu....traptraaap taaap...sambil menghentak kaki....olaa. Kayu tanpa warna dasar di kutip di Sherfield, 2003. Yang hitam dikutip di Venezia, 2000
Masih alat muzik rakyat, diketuk sambil menari-menari dan menghentak kaki, memukul perut..kayu gum (gum tree) hasil manusia peribumi Australia...hampir sama dengan hiasan Orang Asal Melayu Pahang...dikutip di NSW, 1992
Menunggu senja
25 Jun 2009



Tuesday, 23 June 2009

LOMPAT SI KATAK LOMPAT

Dapur di rumah Templer Impian memang mengumpul
wajah katak di muka botol rempah ratus termsuk
botol gula, oat, beras, garam, kunyit, kicap...
alangkah bahagianya katak-katakku
kerana wajahnya terpamer indah
Sahabatku yang ingin
memiliki wajah katak
boleh buat tempahan
hhhhhaaa
khusus untuk
anakmu.
SAYA sedang menyiapkan manuskrip untuk anak-anak usia 3-10 tahun dengan julul Lompat Si Katak Lompat.... kalau buku ini dilancarkan kelak akan disertakan barangan kenangan dengan citra katak. Sekarang rumah katak bukan satu seperti bidalan " katak di bawa tempurung" tapi rumah katak banyak kerana dia sering melompat dan berpindah...nah berapa jumlah tumpurung yang menjadi rumah untuk katak berlindung?

Monday, 22 June 2009

PROJEK MENDIRI RUMAH DAN BERKEBUN 2007

Kembang lili ini berkelopak juga memberi wangi pagi
Rumah bumbung Siti?

KALAU selama ini bertahun-tahun saya mengheret raga dan jiwa mengkaji konsep ruang dan estetika seni Melayu...kenapa tidak cuba membangun ruang rumah adaptasi dari pemahaman warisan seni yang kupelajari. Saya bukan juru seni bina (arkitek) tidak pernah mempraktik ilmu kaji ukur sebaliknya dengan naluri kajian seni rupa warisan ....mengukur dengan saiz dari segenggam tapak tangan, sehasta lengan, tubuh setinggi batang pinang, dada selebar daun sirih...ah dengan bantuan Cut Abang yang tabah dengan kerenah ku memilih kayu sisa di rumah lama, di tumpukan kedai kayu yang menghimpun beluti, tiang telofon, tingkap dan jejenang stesen keretapi Sentul...masuk ke rumah di pinggir sawah padi di Sawah Sempadan, di Sungai Besar....Alhamdulliah dengan sejumlah tukang yang bersilih ganti menjelma juga rumah ini. Setelah tiang dicacak, setelah alang di naikkan, bagaimana rupa bumbung yang harus dicipta, menggabung reka bentuk Minang, Palembang, Melaka, Trengganu, dan Aceh... Macam-macamlah nama diberi kepada seni rumah kami ini, ada yang mengatakan" eh rumah Minang ye", " Rumah bumbung Melaka ke, atau bumbung Aceh?" Jawabku selamba , " Rumah bumbung Siti le..." Terima kasih kepada Ismail tukang dari Aceh, kerana sudi memahami ideaku untuk melentur alur bumbung tidak melentik tidak menjulur.
Apa pun kadang sedih juga, rumah ni kerap ditinggal lama, kerana kami masih mencari rezki di kota....ah sabar ya rumah bumbung Siti...InsyaAllah kita bersatu selalu nanti
Rumah Uwan
Selasa 22 Jun 2009

SEPATU

DIKAU
asal cantik berkilau
dari kulit lembu
atau bulu bebiri
sayang rupa tidak menentu
walau milik sang ratu
di sarung ke masjis rasmi
kadang di bawa ke pelamin
menendang bola riuh gembira disorak
tapi kau tetap juga di kaki
kembali sunyi
di sudut sepi
cuma beruntung
dipamer
di muzium pribadi

Gombak
22 Jun 2009
*sepatu koleksi @foto album Melor

Sunday, 21 June 2009

SI MERAH JAMBU BUAT SAHABATKU DI SENIRUPASITI

Desie buatmu, sahabatku
Syeeeyt Katih diam-diam di bakul ya

Saya makan dulu, lain hari akan disediakan
makanan untuk para sahabat ya
ALHMADULILLAH siang ini cukuplah memenuhi selera dengan lauk bijiran saja: jagung, kismis,oat lempeng...dengan krim betik. Nak pelawa makan, sahabatku sibuk....cuma teriring semerbak desie merah jambu dengan bertemankan Adik Katih (kaki putih) anak Tam-Tam.
Terima kasih para sahabat yang sudi mengetuk pintu Sahabat Senirupasiti. Nanti kalau umur panjang, hari raya kita kumpul ya... Cerita harian di FB saja ya!
... Khusus buat anakanda REENA , teriring salam penuh DOA buat sahabatku Eliz MAMA mu di Tronto ...SEMOGA Eliz cepat sembuh dan reena dapat kembali ke tanah air ya.

KUCING SAHABAT KITA?

Jingga bergaya dengan baju dijahit kak Bulan,
horeea cantiklah aku
Jingga tunggu bonda yang sibuk di meja

Awas siapa ganggu bonda sedang bekerja kuterkam

SIAPA yang kerap tidak tahu bahasa...manusia atau binatang? Ah si Jingga kami tahu BAHASA MELAYU.


Kalau dia mula hilir mudik, menggesel ke kaki, kita tahu dia mahu dimanja. Kalau dia mengejutkan dan menggigit jemari kakiku, ah, subuh sudah menjelang. Kalau dia merengek ke hulu ke hilir dari bilik tidur ke kamar mandi..ah dia sudah memberi tanda, pasir tinjanya harus diganti...dia tahu dua minggu sekali dia akan merebah diri di pangkuan, eh dia mahu di sampu bulu-bulu halusnya.

Dia tahu bahasa bila aku bersuara...." Jingga duduk, jangan belek-belek buku" . Eh sungguh dia duduk di hujung sofa, sambil menunggu aku meneruskan kerja kajian di meja tulis. Tidak ada sahabat lain di rumah. Anak-anak sudah membesar, Melor keluar pagi, pulang selepas matahari sembunyi, Wira masih sibuk kerja di gunung, si ayah kerap keluar meninjau halaman dan kebun kami....Jingga sahabat lucu inipun menjadi buah hati kami setia dengan aroma cinta.
Gombak
Isnin,22 Jun 2009

Friday, 19 June 2009

PEREMPUAN DAN PERHIASAN

Permata ? bukan hanya butiran batu dan kristel kecil dijalin dijadikan rantai,
gelang dan subang hasil cipta @SZI, 2005-2008
Logam dan permata satu paduan indah hiasan perempuan Melayu:
gelang kaki (kol India), sunting kepala (koleksi Jawa), sunting delima (kol. IKN)

SI PERMATA HATI kerap dibidalkan buat orang yang disayangi. Ya para perempuanlah yang menggilai permata hatinya...bayi dan anak juga permata yang berkilauan di hati. Dari sudut seni rupa kilauan warna yang berbagai panca : batu asli, nilam, yakut, delima, batu bulan, jed, delima. Dari bahan air, batu, pasir , gunung sisa ledakan merapi ...Mutiara dari lautan keluar dari kulit kepah , hingga luluhlah sang penyair hingga mengungkapkan, " Malu aku kepada air hujan, setitis jatuh ke lautan, masuk ke mulut lokan, lokanlah memendam sekian lama hingga muncul mutiara yang digilai orang hingga menjadikan dunia jungkir balik- berperang untuk meraih kekayaan.

Di manakan permata hati mu sayang? Jangan kau mabukkan para perempuan dengan kilauan permata kecuali permata Iman.


Gombak
21 Jun 2009

HIASAN JANJI BULAN MADU @SITI ZAINON ISMAIL



JANJI BULAN MADU memang muluk-muluk.....ada berjanji sepatu kulit rusa, sebuyung butir mutiara Laut Kalimantan...tapi di zaman logam dan loyang baru diketemui di wilayah Dongson sana, inilah rekaan manusia Malayo - folk arts yang muncul di kalangan orang laut, di pinggir pantai Segenting Kera mengalir bersisa hingga ke Sungai Tengkorak.. Eh kebetulan pelukis Siti sedang mengutip sisa loyang, tin minuman yang terapung di permukaan rawa-rawa..
Ya Syakirin inilah hasil sisa buangan yang telah dibaik hias akan kita lontarkan bersama kepada Orang Besar Gombak dengan 9 Ketua Penghulu ...Yang Amat Dihormati OBG Dato' Paduka Raja Dato' Hj Wan Mahmood Pak Wan Teh sudah mencadangkan projek membersih sungai Kamsah (?) di celah Taman Binatang Ulu Kelang. Berapa ramai mahasiswai UIA akan terlibat (sebaiknya selepas Hari Raya - bolehlah kita makan besar di perkarangan rumah OBG di Taman Melawati)
Ide Siri Janji Bulan Madu ini sudah dirisik olehpelajar IKN (dengan syarat mengekalkan hakcipta SZI) untuk peragaan fesyen batik bulan Oktober nanti. Apa pendapat Datin Rohati , Dato' Sharifah Aini, dengan hiasan subang Dongson ini menggantikan segala mutiara yang besar-besar di pergelangan tangan dan rantai para sahabat kita Cik Rosmah di Putrajaya sana?
@Siti Zainon Ismail
Gombak 19 Jun 2009

SIRI GENDANG RAYA @ SITI ZAINON ISMAIL

@ Siti Zainon Ismail, Jan 2009.2
@Siti Zainon Ismail 2009.3
BILA langit politik berterantang dengan pukulan gendang...ha ayoh pukul gendang ciptaan saya.
Buat anakanda Mawar, jangan buang periuk yang bocor ya, boleh hadiah ke bonda...lalu kuhias jurai palma, renek bunga semalu....atau sisa tin biskut, kusiram langit ungu, carik bulan merah - luka.
Chikgu Hanem sesuai ke buat pameran pelukis wanita di Chandan bulan Julai nanti?
Siri Gendang Raya , ayoh gendang di palu...biar Jingga Sakti berketukkkkkk....dengan gambus dan bialonya , dak dak dum dak dak cun (ah gaya AGI pula)..huhahuuuuuu. Begitulah cerita gendang raya....berdentang-dentang siapakah yang mendengar bunyinya....BUMI LUKA SEBUAH BANGSA?
Siti Zainont Ismail
Gombak
19 Jun 2009

Thursday, 18 June 2009

WAYANG = BAYANG


WAYANG (Jawa) bererti bayang dalam bahasa Melayu rasmi. Perkataan asal Jawa ini kekal dipakai untuk persembahan wayang kulit yang juga berkembang di Tanah Melayu. Inilah ciri persembahan yang sudah terkenal di Jawa sejak zaman Jawa-Majapahit-Hindu. Keunikan wayang kulit bukan saja terletak kepada cerita Panji atau Ramayana tetapi jelmaaan ciptaan setiap unsur seni rupa: bentuk, warna, ukiran dan larikan yang memaparkan watak utama dalam cerita yang dipersembahan. Kalau candi Hindu Kalasan mahupun Budha di Borobudur sarat dengan unsur hampir 3 dimensi yang menempel sebagai seni ukiran relief di permukaan batu, kaku dan melekat kukuh sebaliknya wayang kulit lebih dinamis, diliuk lentur melalui keahlian pandai seni ukir ...dengan ciri khas yang baru tidak meniru bentuk asas seni figuratif. Jadi seni rupa patung wayang kulit lebih menjati diri di kalangan seniman nusantara...khususnya yang berkembang di wilayah sisa kerajaan Seriwijaya..di Kedah, di Patani termasuk Kelantan dan Trengganu. Untuk lanjutan boleh bandingkan wayang kulit Melayu Patani yang berkembang khususnya di pantai timur....lebih menarik kalau Jawa kerap menampilkan cerita Panji, di Kelantan pula mengambil teks Ramayana hingga terkenallah watak tiga serangkai : Seri Rama, Laksamana dan Sita Dewi... Ini dapat diandaikan kerana jalur cerita teks Ramayana memang lebih popular di Siam. Ada kemungkinan permainan wayang kulit Melayu-Siam memang di bawa masuk lewat jalur India-Siam, tetapi seniman Melayu menghalusinnya teks Ramayana Melyu yang sudah berunsur Islam. Hingga watak Sita Dewi kerap juga disebut sebagai Siti Dewi. Manakala wayang kulit Jawa baru ke Johor selepas perang dunia ke 11, dibawa masuk oleh rombongan buruh kontrak atau kedatangan 'pelarian' dari Jawa (untuk rujukahnsila lihat Hikayat Seri Rama,sunt. Mohd. Taib Osman, Amin Sweeny, Nakula, Ghulam Sawar, Ghouse Nasaruddin, Zulkifli Muhammad dan Siti Zainon dalam Garis dan Warna, 1988). Nama Seniman Negara Allahyarham Hamzah Awang perlu di catat sebagai tokoh Dalang, pengukir wayang kulit Melayu.
@Siti Zainon Ismail
Gombak , 19 Jun 2009

Wednesday, 17 June 2009

DALAM RIMBUN HIJAU


Pohon saga ini makin menjulang, meranting hasil semaian burung tumbuh di halaman ruman Bangi
HIJAU pula warna kesuburan. Warna semula jadi ciptaan Ilahi....warna hijau Melayu untuk celup kain daripada bahan alami juga, daun senduduk, daun pandan, peria dilumat halus, diperam, tambah asam limau sebagai pelindung luntur.
Dengan rimbun hijau, serindit pun bersiulan, kicau murai makin menjadi-jadi...bagun-bagun, dah pagi, azan dah lama berlalu...eeeh masih dalam selimut juga.

Rimbun petang dalam jalur ranting bunga raya, pelepah keladi, pisang hutank jurai palma...sampai bila kalian abadi di sini?

PASANGAN HITAM PUTIH






1) Sasterawan Negara ketika melancarkan buku Kasih Bonda

2) Datuk Salleh, Pengarah DBKL, SN Dato' A Samad Said, Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal



10 OGOS 2008, bertebar sms, DATANG ke acara MUAFAKAT di Madrasah Tarbiyah....Baju Hitam. Jelas ketua Jamaah kami mudah saja, " kita tak pakai bendera biru, atau hijau - hitam putih, bendera bebas!" Tak sangka para hadhirin yang datang sudi pakai warna hitam termasuk Sasterawan Negara dan Seniman Negara.
Lambang hitam kerap dilagukan,
'Hitam-hitam si tampuk manggis/ sungguh hitam dipandang manis'
atau ' ah sudah nasib saya, hanya gagak hitam...'

Sejak zaman silam lagi, pahlawan Melayu itu segak lagi perkasa dengan sepersalinan hitam. Dari destar, baju dan seluar. Pergelangan atas juga memakai azimat diikat kain hitam, atau memakai akar bahar yang sudah dipanggang menjadi hitam kelam...mata pun berbinar dengan biji hitam kundang.. kenapa benci dengan warna hitam, hingga di larang memakai warna hitam. Tapi MUAFAT kami menggantung kain rentang dan bendera Hitam dengan Putih....ingatlah kain kafanmu harus putih, kain kapas, gumpalan kapas putih...oh awanpun berarak awan putih mengiringimu ke makam abadi. Masya Alllah. bendera hitam MUAFAKAT kampung kami masih berkibar-kibat....tapi apakah kampung kami juga akan dihitam kelamkan dan akhirnya hilang di peta WP.

Kampung Bandar Dalam
18 Jun 2009

MANA BALAI SENI ISTANA ITU?

SETELAH kemangkuan YAM Tengku Ampuan Jameah (tahun 1960an), senyaplah sejarah kegiatan seni seorang wanita utama Selangor. Bisik Ku Yah (cucunda), " Ya nenda kita memang suka membuat kerja seni...menyulam, mengait, juga bercerita tentang kain telepuk..." mana koleksi lama itu semua...

Ya tanda bukti kutemui bakul jahitan almarhumah di ruang pameran Istana Alam Shah. Sisa bahan jahitan: dua buku benang kait, lapan buku benang sulam, gunting, jarum dan sehelai kaitan belum selesai.....cuma sedihnya istana Selangor sunyi tanpa permaisuri...ampun patik tuanku!


18 Jun 2009

ADAB BERBAJU MELAYU 11

TAMU asing yang datang mengadap Sultan di istana juga diwajibkan berbaju Melayu. Kacak lah si Maxwell memakai lima persalinan lengkap tengkolok dan keris panjang juga. Gaya samping Sultan Alaedin Sulaiman Shah ini dipakai lipat serong masih dikekalkan oleh cucunda baginda YAM Tengku Laksamana Sulaiman (gambar tahun 1930an, dipamerkan di Istana Alam Shah Kelang)

Tuesday, 16 June 2009

NEGERI MELAYU NEGERI BERSULTAN

Y.A.M Tengku Temenggung Aris Selangor, Tengku Dato' Setia
Muhammad Yusof Shah ibni Almarhum Sultan Alaedin
Sulaiman Shah - Nenda Sultan Selangor sekarang


PENGHULU adat istiadat istana telahpun dikenali sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka. Tokoh utama yang menjaga seluruh adat istiadat, cara santap di raja, cara pertabalan di singgahsana, cara berbusasa telah amat jelas disebut ialah Sultan Muhammad Shah (1414-1424) yang bernuasa Melayu-Islam terutama dengan peranan yang dimainkan oleh Tun Hassan Temenggung. Selangor pula adalah sebahagian wilayah kuasa Melaka. Hingga Raja Lumu dari keterunan Bugis Peranakan ditabal di Perak....lengkap bernobat waris dari Kerajaan Melayu Melaka yang dibawa dari Kampar, setelah Sultan Mahmud mangkat di sana. Hingga kini seluruh adat istiadat diraja, dijaga dengan rapi dan penuturnya ialah YAM Tengku Aris Temenggung (kini berusia 85 tahun). Yang Amat Mulia ialah waris yang masih lancar menuturkan pengalaman warisan istana. Lebih menarik YAM juga sejak kecilnya memang diwarnai dengan nilai budaya daripada Almarhum Sultan Alaedin Sulaiman Shah yang peduli dengan seni budaya Melayu. Malah Almarhum Baginda bersama Permaisuri Tengku Jamaeah turut menyediakan Balai Seni untuk pengukir kayu, turut mengukir menghasilkan sarang bunga telepuk, dan perempuan Selangor diajar menyulam, menganyam. Malah Permaisuri Jamaeah dengan sokongan isteri Residen British telah membuka Galeri Seni Selangor di Robinson House (di Jalan Tun Perak sekarang) dan di Singapura (Raffles Hotel sekarang) pada tahun 1940an.

Gombak
17 Jun 2009

Sunday, 14 June 2009

ADAB BERBAJU MELAYU

Kepala kain harus dipakai di bahagian belakang tubuh, simbol fungsi untuk melindungi potongan punggung si pemakaian, menjadikan lelaki Melayu itu, tahu malu diri...Sebaiknya dengan motif pucuk rebung..
DI SELANGOR bagai telah disepakati antara adat dan adabnya. Penghulu memakai baju Melayu warna biru. Orang Besar Daerah (9 daerah dengan 9 OBD) warna ungu. Tengku Laksama warna merah jingga. Warisan lambang ini telah sebut dan diguna pakai dalam zaman Kerajaan Melayu Melaka....' sesungguh putih dan kuning itu pakaian raja dan anak raja, biru itu bolehlah dipakai ketua penghulu dan orang-orang besar....Laksamna itu merah menampak segak jua ia..." (dari huraian Sejarah Melayu dan mitos Wayang kulit)

PEREMPUAN ITU...

Merie Theresia Hal Aveling (75 th) tekun mengait benang bulu nun jauh di pulau selatan (1992)

* * *

" PEREMPUAN itu harus tahu (suka ) menjahit - menyulam, mengait...tahu memasak, suka menghidang makanan di meja dengan hiasan yang menarik"....wah-wah Marie Theresia memberi amanat kepadaku nun jauh di pulau selatan ketika musim luruh sudah mula membawa kedinginan panjang...bukankah begitu juga pesan Nenda ketika diri masih terlalu muda ketika mula belajar mengait benang bulu dengan nenekku....setelah lebih 30 tahun....meninggalkkan kerja mengait benang bulu...eeehhh, aku menjadi perempuan sejati lagi....mengait, mengait....menjaring langit kehidupan (lih. cerpen Kampung Paya Kami)

Aduh kurang protokal pula kali ini

Menghadap Presiden India - 3 Mac 1985...malu sekali kerana tidak memakai
baju kebangsaan tanah air. huhuuuu
* * *

GARA-gara jawatan kuasa mereka tidak edarkan atur cara, nah ketika menghadiri Valmiki Poetry Reading di New Delhi (Mac 1985), konon paginya dibawa ke taman bunga Nehru, baca puisi dan dialog santai. Eheh selepas makan siang di taman, kami terus dibawa mengadap Presidenya....aduh malu sekali kerana lihatlah Si Siti Muda hanya memakai baju t...tiba -tiba diajak duduk bersebelahan Menteri Kebudayaan dan Presiden nya...ooop (Eleze dari Filipina juga memakai seluar jeans) . Untuk anakanda-anakanda pastikan dan dapat brosur atur cara sepanjang mengkhadiri seminar, rasmi (bawalah dan pakai baju Melayu - lelaki atau kurung /kebaya) atau santai . Pada halnya sewaktu hari perasmiannya saya berdandan pakai baju kurung, eeeh Presiden mengganti jadual . Maaf. Inilah pengalaman kesilapan besar yang pernah ku alami.

Ayahanda Az-Zuhra 60 tahun di rantau

Ayahanda Az-Zuhra teringatkan teman seangkatanya
Hussin Enas dan Naz Achnaz. Dua orang ini tersangkut di Singapura
tidak jadi berangkat bersama pada awal tahun 1950an

* * *

HANYA kerana Politik sejumlah pelajar yang dihantar belajar ke China dan Russia akhirnya terkandas, bila Soekarno tersingkir dalam peristiwa GESTAPU, 1963-1966. Ketika dingin musim semi baru bermula pada awal bulan Mac 2003, tapi serpihan salji masih melayang..suhu sudah berada di bawah paras -9 darjah celsius.... kubisikkan suara kecil kepada seorang lelaki yang kuanggap sebaya Allahyarham abah....

- " Apakah bapak tidak rindu untuk pulang ke tanah air "
- " Itulah juga soalan Soekarno ketika kami berjumpa untuk pulang sejenak ke tanah air - ya sekarang dalam usia begini, siapakah yang sanggup membiayai kehidupanku di tanah air sana, oh ibunda ratu..."

Itulah suara sendu ayahanda Az-Zuhra, saking rindu kepada ibunda Siti Zahara, ayahanda ini seorang sahabat ayah dan guruku Naz Achnaz , menggunakan nama samarannya Az-Zuhra, dihantar belajar untuk kursus filem....

" Ya masa lalu sudah selesai anakku, sampaikan salam rindu dan kasih sayang abadi ke Gunung Senggalang, tiupi salung dari Lembah Ngarai....di situ rohku selalu mengawang.., pesanku politik memang selalu mengharu birukan, kami di hantar belajar tapi dituduh biang keladi...pemimpin yang digugurkan ...ya hati-hatilah dengan api politik anakku " .

Air mataku gugur, kerana banyaknya ilmuan seni hanyut menjadi manusia tersingkir dari ilmu yang dipelajari nun jauh di rantau. Doa ku kepada Az-Zuhra... ya ketabahan menjadikan kita menjadikan kita lebih beriman. Amin.

14 Jun 2009
12.47 pagi

Saturday, 13 June 2009

HAHAHA MENCARI BECKHAM?

Secawan kopi putih....saiz minuman untuk pemain bola sepak
Jangan menjeling ini kerusi Bechkam lalalaaaa (Mei 2003)

ALAHAI, saya tidak minat Bechkam pun. Tetapi kerana kita berada dalam lingkungan dan peristiwa semasa, keraplah anak-anak muda dibuai arus oleh (ke)popular(an), sehingga saya dicabar, kebetulan saya baru selesai seminar Sastera Asia Timur di kampus St Petersburg - Moskow pulangnya singgah di tanah Belanda atas pelawaan Prof Mollen ( yang pernah menunggu saya di stesen Leiden dengan dua buah basikal di tahun 1986, kemudan mencari dan bertemu Mawi dan Lily) nak menuju Shefield, untuk melengkap data novel DRS, dari Shefield akan lansung ke London mencari Selma...

" Nah kalau hendak ke Shefield, harus transit di Manchester dulu ?"
" Ha Manchester? wah tak singgah ke stadium bola sepak ke, Bechkam sekarang di sana?"
" Manchester? Beckham? " Saya memang suka di cabar...
Nah dengan tiket khas pelajar, saya masuk ke muzium bola sepak...melihat semua gambar-gambar besar para pemainnya. Manalah saya kenal semuanya, cuma nama Bechkam saja di kepala, mujur bukan musim laga bola keramat....selesai membeli sehelai baju t saya pun santai menuju kafe dan memilih kerusi no 7....Bechkam, memesan kopi putih berbuih, dengan cawan besar di alas piring berbeda warna...biru + jingga....sambil melayang terfikir wajah Beckham yang digilai perempuan-perempuan cantik yang sakit mabuk kepayang...tapi bukan saya lha...Di meja dan kerusi inilah kemudiannya, deringan telepon mengganngu, " Balik Cepat, kita harus protes DBKL kerana akan menghilangkan peta kampung Bandar Dalam ....di mana sekarang?'

Saya tersedak, minuman tidak dapat di habiskan, Imah tertanya, " kenapa bonda....?"
BBB
13 Jun 2009

SELAMAT ENAM BULAN JINGGA !



WAH diitinggal tiga hari saja, Jingga mula bengung di biliknya....si bujang kami ini jarang keluar bilik, takutkan Bucuk dan Tam-tam. Sebelum kutinggalkan dia untuk pulang ke Bukit Kancing, kudandan dengan pita hijau, Jingga buat peragaan bergaya di sopa....bulunya semakin kembang, gebu wajahnya masih comel... kemudian bersandar di kusyeh...' hei jangan ganggu ya..'
BBB
13 Jun 2009:16.20