Sunday, 28 February 2010

Catatan yang hilang

Jangan kau cari di halaman kosong
garis inti rahsia hari
pergi dan tidak kembali
jangan kau bohongi hatimu
pesan siang yang panas
malam meriang
jangan kau cuba mengingati
lakaran pesan
kecuali
huruf-huruf yang kau hafal
dari halaman pertama
ke halaman akhir
kelak kan kau dengar
pesan dan doa
ketika para pentasbih
menyeru namamu
nama ibu yang melahirkan
ketika jasad panas makin mendingin
haba mengiringi roh
timbang terima
sudah tiba
jangan kau tangisi
jalan kau kesali
halaman kosong hanya tanda
setelah kau padam
coretan nafsu nasfi
oh MurkaMu
dahsyat sekali!


Biarku pergi
memadam semua
hitam
dendam
hanya SuaraMu
tidakkan terpadam!


*****

Rumah Kasih Bonda
Bandar Bangi Bangi

Friday, 26 February 2010

Salawat pagi bening


Hari-hari terucap
oleh tanda dan sejarah
jangan kau cemburui haruman tumbuh di taman
suara di balik batu-batu kesat
laungan dan seruan
kami mencari tapakmu
di bawah sinar yang satu
hari ini
adalah persiapan diri
menakluki janji yang satu
suara panggilan semakin dekat
di situkah pertemuan abadi
menggenggam luka masa lalu
musuh dan penipuan demi kebanggaan
Allahuakbar !
Demikian saf lurus
hanya panggilan kasih
di hari bercahaya
kelahiranmu
Ya Al Amin
gerah gelita pergilah
kami
raih Cinta
sebuah janji
di Surah Mu!
*****
Hari Putih Mauludurrasul
1431

Suara Kemanusiaan - Florence @ Firenze

Arca " Suara Kemanusiaan" di halaman
Parlimen Firenze @ SZI 2000
Mac 2000
Gerimis berderaian. Wap pagi mengepul pecah ke udara. Kau tiba di halaman parlimen kota tua, tenang hari Minggu, pagar tidak berkunci. Anak-anak berlarian mengejar merpati. Dia tercegat di depan pancuran. Gerimis dari langit, percikan air di kolam, dan sejumlah kelompok manusia berloncatan saling bergandingan tangan. Inilah negara kemanusiaan, menyambut suara yang bercakaran di rumah politik. Anak-anak berlompat dia tersedar, tertanya, bilakah seniman negara mencipta hingga seni arca tumbuh di halaman parlimen kita?
******
Bukit Kanching
26022010

Monday, 22 February 2010

SATE HIDANGAN SEGERA??

ANDA harus beratur, pesan dan bayar. Gaya makanan cara Barat mula menjalar untuk menikmat juadah sate. Mula-mula memang tersentak, seperti anakanda Mawar, saya juga
sedikit aneh. Tetapi teman semeja memujuk, " Ini mungkin gara-gara ada pelanggan, selepas menikmati juadah sate terus berlalu tanpa bayar." OOop , gara-gara restorannya penuh selalu...ya mungkin begitu agaknya.

Begitu juga pelayannya bukan lagi warga Melayu seperti biasa sudah berwajah India-Bangla di samping bernada loghat Indonesia. Kenangan menikmati Sate Majid yang popular di tahun 1960-1970 di Jalan Ipoh, di Cambell Street cuma tinggal kenangan. Cara mengipas dan haruman bau sate semerbak harum juga semakin hilang.

Mana mungkin kami melupakan sate Kajang, setiap hari Raya Idilfitri kami menaiki bas menuju ka Batu 14, bermalam di rumah kak Hasnah, hanya untuk menikmati sate di pekan Kajang yang popular sejak tahun 1920an . Para sahabatku sate sudah menjadi MAKANAN RAKYAT UMUM . Janganlah saling mengklim ini milik peribadi atau negara tertentu.

Sayang juga, menu sate daging lembu, ayam atau campuran berkuah kacang, cuma kini ditambah dengan nasi yang dipadatkan dalam plastik. Ketupat sate makin lenyap. Begitu juga diet sate yang berulam bawang juga diketepikan hanya tinggal ulasan timun saja.
*****
Rumah Kasih Bonda
23022010

Saturday, 20 February 2010

Pohon Ilmu

1.
Biar tubuh menunggal, ranting kering
daunan berguguran
burungpun tak berhenti lelah di dahan
biji tak sempat disemai
angin deras
terus memukul tubuh
bergoyang
tapi kau tetap bertahan.
Guru kami di ASRI 1970
sahabatku
di mana terakhir kau
menjelang gurumu?
2.
Ya
kami menangkap suaramu
guru pemberi Cinta ilmu
bertahan dalam angin rusuh
menyelak buku
pustaka yang senyap
ketika kami melompat tiba-tiba
ada yang berlari ke jeti
menunggu sauh di angkat
menanti layar terkembang
ilmu tidak terkejar
kami berlumba mengutip pesan
kami akan pergi dan pulang
seperti yang dijanji
dengan pekat awan uji
dengan ghairah
pedati dipacu
menyambumu
meraih ilmu!


3.
Suara pun berdegar
nama dibina dengan bangga
kau bertengkar di meja parlimen
mengira untung rugi niaga
di mesyuarat korporat
rahsia negara bocor juga
harta disulap para bijaksana
siapakah yang membisikkan kesabaran
hilanglah nyanyian di rumah cinta
anak dan isteri suram kasih sayang
mabuk serakah tak henti
darah melimpah di rumah di jalanan
luka kebun sejarah
di manakah ilmu fikir kau himpun
wasiat guru menjadi sunyi
janji setia hilang
tumpukan harta dan nafsu menggila
gagalkah guru ayah ibu mendidikmu
kuasa palsu suara bisu
ke mana kau mengadu?
****
Gombak
21022010

Friday, 19 February 2010

Kerja tukang ini





Dengan Ungkapan Pertama

ia kesabaran kayu

berjengkal diukur

digenggam memastikan jarak

mengetam menghalus lidah papan

si pandai kayu

mendiri tiang seri

palang alang mengatur atap

perabung separuh lentik di hujung

dengan senturah sayap rerama

angin menyidai pesan

tegak saga kukuh melindung

Wednesday, 17 February 2010

Sepetang di rumah Mahaguru

Sasterawan Negara Prof. Dr Muhammad
Haji Salleh dan SEA Write Awardee Datok Baha
Keluarga Mahaguru, sahabat dan muridnya!

Prof Dr Muhammad, pemimbing saja sejak menyelesaikan kuliah SS dan Phd. di UKM dan UM, bersungguh meminta saya datang ke rumahnya di Ulu Kajang. Pesannya " Ada berita baik dari Bali, Siti datang petang Ahad ya, kita bincang acara seni lukis- puisi untuk hujung tahun ? "

Saya tersesat barat untuk mencari rumah di hujung Ulu Kajang. Semua kebun getah jalan ke Semenyeh dan Ulu Kajang sudah hilang, berganti tumpukan dan jejeran rumah, pusat perniagaan dan bukit mula ditanam rapi untuk padang golf permaian orang berwang. Hampir satu jam perjalanan dari Gombak termasuk keliling ke hulu ke hilir mencari simpang dan papan tanda rumah, akhirnya diberi arahan, " Kasturi menunggu di depan pondok pengawal ". Ya saya dengan Zulela tiba di rumah berbumbung perabung bertunjuk langit. Di meja makan sudah menunggu Datok Baha dan isteri serta YM Raja Aminullah dan isteri.

.
Bumbung rumah bertunjuk langit
Petua ilmu menjulang ke langit
Rumah menghadap ke tasik, sisi kebun getah
di Ulu Kajang-Semenyih


Kami berbincang di anjung menghadap tasik yang tenang menjelang petang.
- " Saya baru pulang dari Bali dan menginap di studio Made Wianta...kawan sekuliahmu di ASRI . Made dengan Intan, serta Jose Rizal ingin berkunjung akhir tahun ini. ..."
- " Oh ya? "
- " Made pelukis juga mula berjinak dengan puisi....ya bolehlah penyair pelukis..."
- " Ohhhh Jose Rizal tuan punyai kedai buku di TIM ? " Datok Baha mencelah. Saya menambah,
-" Sudah lama Jose Rizal teringin untuk menggarap teater Uda dan Dara Usman Awang, saya minta beliau menghubungi langsung ke DBP tapi tidak pernah menjadi...."
Kami terdiam. Memang kelompok ini memang orang pendiam. Kemudian muncul suara Raja Ahmad,
- " Ya mungkin kita libatkan DBP, ASWARA, Balai Seni lukis Negara....kita aturkan dialong santai....."
- '"Ya kita boleh hubungi Pelukis Pahang atau Yayasan Kesenian Ipoh ? " - saya menyusul cadangan.
- " Untuk USM saya akan aturkan dengan Pusat Pengajian Sastera atau dengan Pusat Budaya"
- " Pameran lukisan juga ? " - Raja Aminullah mencelah
- " Mengikut Made, mereka hanya ingin bertemu seniman, pelajar seni, boleh memberi ceramah pengalaman mereka di arena seni.....pameran agak berat kalau kita aturkan"
Petang merangkak senja. Made Wianta memang teman seangkatan di ASRI. Beliau tidak menyelesaikan kuliah Seni lukis. Sebaliknya mendadak melompat ke Belanda. Daripada penabuh gamelan di kedutaaan, mencuci piring di restoran, mencari ruang belajar, melukis hingga membina nama di Eropah, Amerika , Itali, Vianne, juga ke Amerika Latin. Dia sendiri mengaku,
" Kita harus bergerak seperti kilat, untuk cari wang, juga cari nama..." Memang pelukis ini pintar, mengumpul pengkaji dan penulis di studionya hingga buku biografinya bertaburan diterbikan oleh Times, kajian tesis dalam dan luar negeri. Tambahnya " Jangan sok mencari estetika saja, tapi fikirkan estetika boleh dijual beli haaaa"
Jose Rizal, berpuisi dan berteater. Tetapi saya lebih tertarik dengan usahanya mengumpul menjual buku-buku lama di TIM. Malah dengan jujur berliau bersuara, " Ketika toko buku Dewan Bahasa dan Pustaka gagal dengan bisnisnya, saya dapatkan sisa-sisa buku yang bertaburan di toko yang ditinggalkan oleh petugas DBP...nah buku anda juga ada di sini."
Berhasilkah cadangan Prof Dr Muhammad dengan teman-teman terdekat,Datok Baha dan Raja Aminullah mengatur program untuk kunjungan Made dangan kumpulannya pada bulan Oktober mendatang?
****
Gombak
17022010

Tuesday, 16 February 2010

Senja teja ini


Senja semakin teja sahabat
kau pulang semula ke rumah itu
rimbunan bunga sudah merimbun
batang pinang merah
tegak kukuh ke puncak.
Jauh sudah kau pergi
ke teluk diam
ke pelabuhan rindu
mengutip tasbih menggelitik perih
jiwa pecah
sukma menggelegak
berputar angin menungkah
mencabik iman
namun azan tetap menyentak
jabat erat sahabat
semakin longgar lelah
satu,
satu berangkat
roh terbang meruap ke langit
harum cendana berbisik
senja teja ini sahabat
memanggil setiap zikir
pulanglah
ke laman asal.
Allahuakbar!
Rumah Kasih Bonda
No 17, Jalan 1/7K
Bandar Baru Bangi
486500
Negeri Selangor Darul Eshan
17022021

Monday, 8 February 2010

Bukti dan Saksi > kau berada di sini



















Jauh menungmu , Tuan Guru

kemana harus dihalakan

lorong sempit kampung kita

menjelang musim ganas
memadam peta leluhur
peneroka kampung lama

*****

Kau bukti tuanmu sudah ke sini
Cik selipar getah, kasut bata
putih merah
sementara kau masih di kaki sang puteri
berbahagialah dengan amanah dan janji
masa depanmu, kan tersingkir
bila semua sudah bergaya
berkasut tumit tinggi
kelak santai di meja
mengira untung rugi
kau ingati sang empunyai diri
ayuh jengahlah kembali
ke sungai yang kita cintai

*****

Ketika hari melihat
bahang mentari menyengat
rumput rumpai berdecip
sisa batu hampar
kau menyatu cerita
dengan warga lama
berzaman mencintai
warisan ibunda!









KBD

08022010



Sunday, 7 February 2010

Episod Sungai Gombak > lambang dan tanda tenaga

Aduh keletihan juga si doublebase ini -
jangan bosan menyanyi di kampung kami ya
Kumpulan Keroncong Arif Lukisan -
turut menghibur mengendur
lelah mereka di sungai
di bawah pimpinan Maamur
cucu Allahyarham Haji Rauf bin Hussin Majolelo,
mantan Iman masjid Batu 4 Jalan Goimbak
Ddorong , dorong, pelajar UIAM , Kumpulan Hijau hei mana yang lain?


Checkpoint 3 - bendera merah

Bendera hanya lambang > tanda mereka yang bergotong royong

Jawi warisan budaya Kampung Bandar Dalam

Ya selamat datang , singgahlah ke KBD

Usaha selanjutnya > mohon mendapat kerjama bagi melancarkan gerakan
KAMPUNG MUAFAKAT:
1) Proses menaik taraf KAMPUNG WARISAN WILAYAH PERSEKUTUAN
-Kita akan mengadap Datuk Seri Dr Rais Yatim
2)Pemuda MT siapkan proposal kerja masing-masing
3) Mohon para arkitek para Ir tolong sudi melakar
peta, rekabentuk rumah lama, Masjid lama
di Kampung Padang Balang, MadrasahTarbiah,
SekolahTafiz
4) Kita perlukan sokongan para Doktor - agenda kebersihan
mohon sokongan Dr Abu Salem
5) Perhatian kepada Persatuan Tanah Rizab Melayu
- kami menunggu laporan
dari Peguam Puan Nazariah Abas
6) Para guru yang berpengalaman : bila dapat mengaturkan
kelas bimbingan di MT -pustaka sudah sedia bergerak!
Lain-lain mohon kerabat warga Muafakat lanjutkan cadangan di atas
******
Program terdekat:
1) Taman Dapur ( Tuan Syakirin)
2) Orang asal pulang kampung > Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah
3) Bicara Sarjana > Dr Silfia Hanani Shafie
(tolong hubungi ya bila anda sudah di KL)
*****
Semoga Allah merestui kerja kita bersama
Amin Ya Rabb!
******
KBD, 08022010







h

Episod Sugai Gombak - 7 Februari 2010

1.

Detik sejarah dalam nota harian Kampong Bandar Dalam. Hanya terimalah kasih kami atas
kasih anda yang sudi tiba menyatu dalam kerjasama Mencitai Sungai Kita. Terima kasih Kumpulan Hijau UIAM, DBKL, RELA, warga MUAFAKAT, Pemuda Madrasah Tarbiah dan gembira denganKeroncing Arif Lukisan....


2.
Sungai Gombak mengalir dari hulu, mencelah gunung-gunung rimbun Kancing, tembus ke bukit Gua batu, tiba di bukit Gombak mengalir ke hilir, bercabang dengan tali air (bonda) hingga kampung kami disebut BONDA DALAM (bahasa Mingang> anak sungai/taliair)


Tanpa kasih sayang, sisa teknologi dilempar ke sungai ,
buurrrrr, " Sengsara aku" - bisik sungai.
" Hei tak pergi sekolah keeee ??? " -
pekik anak ikan haruan!

Terima kasih Dewan Bandaraya KL dengan dua buah lori.....

3.
Lebih 90 tahun di sungai ini sumber kehidupan. Mandi, mencuci kain malah darah pertama kelahiran juga hanyut menghilir kini kami tumbuh segar, dapat ketawa riang ria. Menikmati kehidupan!
Gabungan kerja Kunpulan Hijau UIAM dan Pemuda MT

4.

Oleh kasih sayang juga, sayangi sungaimu. Sungai ini mengalir dari hulu, mengalir terus mengalir, hingga tiba di kota menjadi kuala - kuala penuh lumpur bertemu Sungai Batu, Sungai Bonos , Bonos, Sungai Ampang, masuk ke Sungai Kelang - itulah Kuala Lumpur.

Umie wakil Kumpulan Hijau UIAM, memberi ceramah

5.
Sesi akhir dialog bersama - mencitai sungai!
Tunggu program lanjutan lagi :
1) Taman Dapur
2) Baca naskah !
3) Ceramah tokoh warga pulang kampung!
07022010







Saturday, 6 February 2010

Rahsia koleksi lama






Oleh ghairah kehidupan moden yang cepat berubah, selera juga kerap berpindah. Barang-barang kelengkapan rumah bertukar silih berganti dengan aneka jenama. Kemana anda melempar atau menyisih segala perabot dan hiasan zaman? Rupannya masih ramai yang menghargai koleksi lama ini. Gambar peristiwa, persandingan nenda, pemain bola sepak, kereta lama , peti ais buatan Jerman disembur cat merah, malah tv buatan tahun awal 1960an masih dapat disusun menarik di sisi ruang tamu.


Di kedai kopi di Bandar Baru Bangi menjelang senja semalam, mataku terkilau dengan peristiwa sejarah. Sambil memesan cendol mamak Kutty, roti perisa serikaya madu, terkilat sisik ikan sepat di balang. Bagai terdengar getar payau 13 Mei 1969, sorak jeritan memanggil Ghani Mihat di Stadium Merdeka, kompang persandingan Uncle Din Gazebo! Gambar lama ini bercerita dan kau tidak sendiri di meja kopi dan senyuman saudaraku turut menceritakan rahsia koleksi lama ini.



06022010

Thursday, 4 February 2010

Mamanda, tulislah kisah kita...






Al-Fatehah!
Makam Almarhum Sultan Mahmud 1 Melaka. Mangkat di Kampar. Makam tunggal di pinggir Sungai Kampar, Riau @SZI,2002
* * * * * *
1.
Cukuplah kita
melakukan dosa
alah oleh nafsu muda
sejak mengalahkan Kelantan
kita diserah puteri muda
menjadi permaisuri pertama
segak lelaki yang berjulung keris hikmat
Melaka dan jajahan takluknya
adalah milikku
kerabat raja dan rakyat
kitalah yang berjalan dulu
di bawah payung putih
keturunan segala titih!
*
2.
Alah oleh bijak puaka
pendatang menyatu zuriat
sejak bendahara
laksamana bertukar destar
titis darah oleh angkara
tipu muslihat pedagang
Cina, Keling. Madura - Jawa
Aceh dan Langakapuri
Melayu itu di Jiwa
tapi muslihat bermaharaja lela
kita alah, mamanda!
*
3.
Selamat tinggal Melaka
tinggallah darah rakyatku
membeku di tebing
rumput kering terbakar
kakiku dicacak bertam
mamanda, kita lelah
sejak darah tercicir di istana
petaka musnah keluarga
rajuk Tun Fatimah
siapakah meniup nafiri akhir
nobat putus tali
gendang pecah
tinggallah semua harta dunia
mana lembah akhir pusaka ayahanda !
*
4.
Amanat zikir dan doa
siapakah meratap semalam
di pusara
mana zuriatku
di Perak di Pahang Trengganu
duh....dosa besar ini
jangan berulang ke rumah rakyatku
oleh lupa pemimpin bergelora harta!
*
5.
Kudenar sorak sorai di pantai Melaka
apakah masih mabuk oleh janji pura
dari keluarga mamanda?
Lelah sungguh aku di sini
sendiri tidak disinggahi
payang dan bahtera warisku
yang kini mewah nama
harta dan singgahsana
*
6.
Kita sendiri di sini
ditabir awan tanpa kaligrafi
sayup genderang perang
tatkala destarku jatuh di laut
hanya seludang
dan nisan yang baru
di cacak kembali
benarkah ini makamku?
*******
(Digubah semula daripakad lakar asal
dari nota 2002)
05022010

Bayangan Sultan Mahmud Malam ini


Aku tidak mampu ketawa lagi
bagaimana harus meninggalkan tanah waris ini
oleh kesilapanku
dengan tandak dan pesta
dengan haloba dan riak
makanan bertimbun
gendang amok gelora
meyulang mabuk silang menyilang
berduyun-duyun
jalan sempit
dari sini ke hujung sana
sarat warga Melaka
negeri kaya raya!


Negeri kaya ini
tidakkan ku lupa
betapa sejarah luka tidakkan padam
Farmosa masih dipuja
pohon melaka tidak pula melata
siapakah orang asal mengayuh biduk di laut
masuk ke sungai tiba di Ulu Melaka
jamang bernyala
tanda padatnya rakyatku
di pesisir pantai hingga ke Jugra ke Jambu air
ramai lagi dengan pesta sepanjang malam


Azan sudah tenggelam oleh sorakan
ke mana Imam berjalan pulang
jemaah bertempiaran menuju Kelibang
zikir belum selesai
gendang dan tandak sudah bersorak
demi segala bergelar satu
satu bangsa satu suara


Sungguhkah inilah titih yang diwariskan
siapakah yang menghidang
masakan dan minuman
dijamah dari jauh dan dekat
oleh sifat segala yang hebat.


Malam Jumaat berkah ini
tersiat doa tidak sempat ke baris akhir
siapakah yang masih sudut panjang
di masjid lama


Sampaikah doaku wahai umat bangsa
luka yang kutinggalkan
sungguhkah negara bertuah
setelah kehilangan kesetiaan
Laksamanaku Hang Tuah
bertuah negeri ini
dengan tutur dan pekikan
para berhormat
para ahli-ahli berhormat
Adun, ketua badan penyatuan
dhif jemputan
ayuh sila
beginikah sifat toleran
dengan jamuan rakyat ini
janji yang harus diterima
oleh sekelian rakyat?


Cukupkah hidangan
atau kehilangan lautan akal
Ya Rabbi...
lindungi kami
kalau pesta makan ini
tidak menjadi khilaf besar
oleh riuh pesta pora!
sedang di ujung desa
masih dahaga Cinta
hak kasih dan ilmu
kerana berjuta-juta keuntungan
siapakah meraihnya?


Bertimbun sisa makanan
menjadi arca pertanyaan
begitukah kesatuan
yang dicanangkan?
perang jiwa
perang Cinta
siapakah Mendamaikan
di manakah kasih rakyat asal untuk di tumpahkan
bila kehilangan halaman
semua diberi tanda milik bersama
dengan tanda kad dan pasport
Melayu rakyatku kehilangan Bangsa???



04022010

Tuesday, 2 February 2010

Harian Seniman Pelukis

A.Ghani Ahmad tetap gigih di studionya Pasar Seni
Mendengar keluhan suka duka seorang pelukis - pengalaman 30 tahun?

A. Ghani Ahmad

30-40 tahun memasuki lubuk seni lukis bukan kerja main-main. Sahabat pelukis angkatan 7oan terus berkarya. Ada yang melukis sepenuh masa, studio di rumah, ada memiliki ruang kecil menyewa di komplek beli belah atau ruang yang disediakan di pusat dagang.

A.Ghani bekas tentera komandor tidak berpaling, walau kerap merasa ibarat lilin membakar diri. Setiap kali saya singgah di studionya, kerap saja dia dilingkungi pelajar seni lukis. Maka melayanglah aneka pertanyaan, temuramah pelajar seni - yang mendapat tugasan dari penyarah univesiti masing- masing. Kerap juga dia menyediakan bahan-bahan biografi - potongan akhbar.

Komennya : " Jangan harap pelajar datang dengan persiapan, kerap pertanyaan yang berulang: 1) lahir di mana 2) bila melukis 3) berapakah jumlah karya 4) pameran ada katelog ke? Soalan murah dan pemalas, apakah pesyarah tidak mengajar pelajarnya membuat persiapan dengan soalan yang ' berilmu'? - Kalau pelukis lain, pasti dah kena halau "

Galeri Pelita Hati
Pedagang Seni Rupa

Gembira Cik Bulan dengan lukisan Sharifah

Meraikan sahabat berpameran

Sharifah Zuriah Al Jefri
Kegiatan Galeri Pelitahati di Bangsar lebih terancang. Membuat program pameran undangan solo atau bersama. Sharifah Zuriah, asalnya melukis sebagai memenuhi masa lapang seorang pengamal undang-undang - pegawai komunikasi di Kedutaaan Asing. Ketagih dengan sapuan berus cara lukisan Cina. Dia berguru melukis cat air, belajar kaligrafi....terakhir, lukisan kaligrafi bebas lebih menggembirakan hati. Larik sapuan berusnya lancar dan spontan. Warna pilihan terhad, putih, sapuan merah di atas kelopak bunga, yang lain-lain ialah abjad jawi bebas
" jangan harap saya melukis kaligrafi tradisi
- ini seni lukis Jawi tau "
Beliau berjenaka
di petang semakin rembang.


Gombak
03022010

Puisi Hadiah Sastera Perdana 2004/2005 *



*Cebisan nota akhir Laila
Malam tidak berbulan di Bukit Gombak

Setelah kau pergi tanpa pesan

kala hujan gerimis di padang utama

menjelang malam kemerdekaaan

masih bersisa makanan malam

kurapi piring dan teko menggulung tikar

tepat kausarung baju bulu kaitanku

di dalammya baju Melayu kancing satu

tanpa sarung kaki kerana kau hanya bercapal

malam gerimis tanpa bulan

juga tanpa payung, pasti songkok baldumu basah

tanpa tolehan tanpa dekapan

hanya secalit garis bulan di kilauan pandang

desah daunan buluh di tepian Sungai Gombak

loncatan ikan sesekali kudengar

lontaran pasir entah dari mana

di malam larut kau melangkah dengan senyap

hanya dengan ucapan Bismillah

aku tahu entah bila lagi kau pulang!

Yang terngiang hanya nada semangat

zikir dan syair perang sabil

berselang canda ingatkan malam pertama

kala aku dara baru melipat kain

kau asingkan samarinda hijau untuk pakaian malam kita

melabuhkan kelambu dan mengecilkan sumbu pelita

aku masih melambatkan suasana malam

tidakmahu tergesa

biar kau juga esok terlambat

melangkah meninggal pondok kita

Tapi imamku tidak mensiakan subuh

masih basah rambutku sujud di sejadah

dingin dan lembutnya bibirmu mengecup keningku

setelah salam

aku tahu waktu semakin dekat memisahkan kita

sebelum fajar

kau harus di simpang !

Di Bukit Gombak

dari rumah tok batin Usoh di Batu 12

menghilir ke Batu 9 Sungai Pusu

orang sudah menyampaikan pesan

Tunku sudah pulang dan bendera berkibar di Melaka

esok di depan padang utama

kau sama berdiri dalam gerimis Ogos

aku juga tergesa menyimpul kain di pinggang

merapi keronsang tiga di baju kebaya

mencapai selendang panjang menutup sanggul dua

secelah anak rambut terkulai di tengkuk

aku tahu di situ selalu belaian jemarimu

oh masa lalu!

Siapakah yang mengucapkan

tanah air ini bermilik warisan bangsa

berpohon jati dengan akal , semangat dan budi

aku selalu ingin memastikan pohon jati harus kekar

beratus tahun berkurun

demi tanah watan aku akan terus menanam pohon jati!

Tinggal Laila

lelaki berani harus berjuang

demi menegak keadilan!

Memang tanah air sudah merdeka

kuterima tanda ucap selamat kejayaan

pejuang tidak bernama

satu-satu kurangkul tahniah para sahabat

lelakiku memang tercatat namamu di halaman sejarah

turut merakam jasa perjuangan di muka dunia

kutatap wajahmu di muka akhbar

di cnn, di bbc, di tv tiga

sanjunan dan pujian

kau diheret maju memberantas demi kenamaan dan kesejahteraan

tapi hanya untuk mereka

kau tidak pulang juga!

Sesekali kuberanikan ke kota
tepat hari ulang tahun kemerdekaan bangsa
suaramu berapi seperti dulu
memecah impian yang bukan angan-angan
kaubangunkan semangat anak bangsa
tapi kau lupa pondok kita
Bukit Gombak kau tinggal lama


Di bawah tiang bendera di puncak Bukit Gombak kita
aku Laila, sendiri tanpa kau tahu
menjadi tukang cuci di universiti
tidak siapa peduli aku di sini
kadang mencuri membaca di pustaka
menatap wajahmu di akhbar
telah menjadi ternama di tanahair tercinta




Sebentar lagi kau akan tiba
merasmi acara utama di kampus
mereka akan menghulur tangan
kau juga akan menyambut salam hormat
pidatomu seperti selalu memang hebat
berapi itulah gaya
bekas ketua himpunan mahasiswa

di arena tahun 1970an.



Aku Laila entah isteri entah janda
masih menyimpan nota akahir malam merdeka
masih menunggu dengan kaitan benang bulu
kutahu esok kau akan ke negara sakura
musim bunga alangkah manisnya canda geisha
sebotol sake sudah cukup menghangat gelora muda
memang di sana kau bicara
tentang kerakusan bencana dan hak manusia
tapi kau lupa
hak dan kasih setia
aku masih seperti dulu

kebun masih berbunga
di Bukit Gombak tercinta


Masihkahkaitan benang bulu melingkar
di bahu kala benua utara di liput salju?



Bandar Baru Bangi
3 Julai 2001
(Dewan Sastera, Februari 2004)