Rumah sejarah seni dan warisan bonda. Sila jejaki tangga ke rumah kita.Kelopakpun kembang ke jejenang diri
Sunday, 28 February 2010
Catatan yang hilang
garis inti rahsia hari
pergi dan tidak kembali
jangan kau bohongi hatimu
pesan siang yang panas
malam meriang
jangan kau cuba mengingati
lakaran pesan
kecuali
huruf-huruf yang kau hafal
dari halaman pertama
ke halaman akhir
kelak kan kau dengar
pesan dan doa
ketika para pentasbih
menyeru namamu
nama ibu yang melahirkan
ketika jasad panas makin mendingin
haba mengiringi roh
timbang terima
sudah tiba
jangan kau tangisi
jalan kau kesali
halaman kosong hanya tanda
setelah kau padam
coretan nafsu nasfi
oh MurkaMu
dahsyat sekali!
Biarku pergi
memadam semua
hitam
dendam
hanya SuaraMu
tidakkan terpadam!
*****
Rumah Kasih Bonda
Bandar Bangi Bangi
Friday, 26 February 2010
Salawat pagi bening
Suara Kemanusiaan - Florence @ Firenze
Monday, 22 February 2010
SATE HIDANGAN SEGERA??
Begitu juga pelayannya bukan lagi warga Melayu seperti biasa sudah berwajah India-Bangla di samping bernada loghat Indonesia. Kenangan menikmati Sate Majid yang popular di tahun 1960-1970 di Jalan Ipoh, di Cambell Street cuma tinggal kenangan. Cara mengipas dan haruman bau sate semerbak harum juga semakin hilang.
Mana mungkin kami melupakan sate Kajang, setiap hari Raya Idilfitri kami menaiki bas menuju ka Batu 14, bermalam di rumah kak Hasnah, hanya untuk menikmati sate di pekan Kajang yang popular sejak tahun 1920an . Para sahabatku sate sudah menjadi MAKANAN RAKYAT UMUM . Janganlah saling mengklim ini milik peribadi atau negara tertentu.
Saturday, 20 February 2010
Pohon Ilmu
meraih ilmu!
Friday, 19 February 2010
Wednesday, 17 February 2010
Sepetang di rumah Mahaguru
Prof Dr Muhammad, pemimbing saja sejak menyelesaikan kuliah SS dan Phd. di UKM dan UM, bersungguh meminta saya datang ke rumahnya di Ulu Kajang. Pesannya " Ada berita baik dari Bali, Siti datang petang Ahad ya, kita bincang acara seni lukis- puisi untuk hujung tahun ? "
Saya tersesat barat untuk mencari rumah di hujung Ulu Kajang. Semua kebun getah jalan ke Semenyeh dan Ulu Kajang sudah hilang, berganti tumpukan dan jejeran rumah, pusat perniagaan dan bukit mula ditanam rapi untuk padang golf permaian orang berwang. Hampir satu jam perjalanan dari Gombak termasuk keliling ke hulu ke hilir mencari simpang dan papan tanda rumah, akhirnya diberi arahan, " Kasturi menunggu di depan pondok pengawal ". Ya saya dengan Zulela tiba di rumah berbumbung perabung bertunjuk langit. Di meja makan sudah menunggu Datok Baha dan isteri serta YM Raja Aminullah dan isteri.
Kami berbincang di anjung menghadap tasik yang tenang menjelang petang.
Tuesday, 16 February 2010
Senja teja ini
Monday, 8 February 2010
Bukti dan Saksi > kau berada di sini
Jauh menungmu , Tuan Guru
kemana harus dihalakan
lorong sempit kampung kita
menjelang musim ganasmemadam peta leluhur
peneroka kampung lama
*****
Kau bukti tuanmu sudah ke sini
Cik selipar getah, kasut bata
putih merah
sementara kau masih di kaki sang puteri
berbahagialah dengan amanah dan janji
masa depanmu, kan tersingkir
bila semua sudah bergaya
berkasut tumit tinggi
kelak santai di meja
mengira untung rugi
kau ingati sang empunyai diri
ayuh jengahlah kembali
ke sungai yang kita cintai
*****
Ketika hari melihat
bahang mentari menyengat
rumput rumpai berdecip
sisa batu hampar
kau menyatu cerita
dengan warga lama
berzaman mencintai
warisan ibunda!
KBD
08022010
Sunday, 7 February 2010
Episod Sungai Gombak > lambang dan tanda tenaga
2)Pemuda MT siapkan proposal kerja masing-masing
3) Mohon para arkitek para Ir tolong sudi melakar
4) Kita perlukan sokongan para Doktor - agenda kebersihan
Episod Sugai Gombak - 7 Februari 2010
Detik sejarah dalam nota harian Kampong Bandar Dalam. Hanya terimalah kasih kami atas
kasih anda yang sudi tiba menyatu dalam kerjasama Mencitai Sungai Kita. Terima kasih Kumpulan Hijau UIAM, DBKL, RELA, warga MUAFAKAT, Pemuda Madrasah Tarbiah dan gembira denganKeroncing Arif Lukisan....
2.
Sungai Gombak mengalir dari hulu, mencelah gunung-gunung rimbun Kancing, tembus ke bukit Gua batu, tiba di bukit Gombak mengalir ke hilir, bercabang dengan tali air (bonda) hingga kampung kami disebut BONDA DALAM (bahasa Mingang> anak sungai/taliair)
4.
Oleh kasih sayang juga, sayangi sungaimu. Sungai ini mengalir dari hulu, mengalir terus mengalir, hingga tiba di kota menjadi kuala - kuala penuh lumpur bertemu Sungai Batu, Sungai Bonos , Bonos, Sungai Ampang, masuk ke Sungai Kelang - itulah Kuala Lumpur.
Umie wakil Kumpulan Hijau UIAM, memberi ceramah
Saturday, 6 February 2010
Rahsia koleksi lama
Oleh ghairah kehidupan moden yang cepat berubah, selera juga kerap berpindah. Barang-barang kelengkapan rumah bertukar silih berganti dengan aneka jenama. Kemana anda melempar atau menyisih segala perabot dan hiasan zaman? Rupannya masih ramai yang menghargai koleksi lama ini. Gambar peristiwa, persandingan nenda, pemain bola sepak, kereta lama , peti ais buatan Jerman disembur cat merah, malah tv buatan tahun awal 1960an masih dapat disusun menarik di sisi ruang tamu.
Di kedai kopi di Bandar Baru Bangi menjelang senja semalam, mataku terkilau dengan peristiwa sejarah. Sambil memesan cendol mamak Kutty, roti perisa serikaya madu, terkilat sisik ikan sepat di balang. Bagai terdengar getar payau 13 Mei 1969, sorak jeritan memanggil Ghani Mihat di Stadium Merdeka, kompang persandingan Uncle Din Gazebo! Gambar lama ini bercerita dan kau tidak sendiri di meja kopi dan senyuman saudaraku turut menceritakan rahsia koleksi lama ini.
06022010
Thursday, 4 February 2010
Mamanda, tulislah kisah kita...
Bayangan Sultan Mahmud Malam ini
jalan sempit
dari sini ke hujung sana
sarat warga Melaka
negeri kaya raya!
Negeri kaya ini
tidakkan ku lupa
betapa sejarah luka tidakkan padam
Farmosa masih dipuja
pohon melaka tidak pula melata
siapakah orang asal mengayuh biduk di laut
masuk ke sungai tiba di Ulu Melaka
jamang bernyala
tanda padatnya rakyatku
di pesisir pantai hingga ke Jugra ke Jambu air
ramai lagi dengan pesta sepanjang malam
Azan sudah tenggelam oleh sorakan
ke mana Imam berjalan pulang
jemaah bertempiaran menuju Kelibang
zikir belum selesai
gendang dan tandak sudah bersorak
demi segala bergelar satu
satu bangsa satu suara
Sungguhkah inilah titih yang diwariskan
siapakah yang menghidang
masakan dan minuman
dijamah dari jauh dan dekat
oleh sifat segala yang hebat.
Malam Jumaat berkah ini
tersiat doa tidak sempat ke baris akhir
siapakah yang masih sudut panjang
di masjid lama
Sampaikah doaku wahai umat bangsa
luka yang kutinggalkan
sungguhkah negara bertuah
setelah kehilangan kesetiaan
Laksamanaku Hang Tuah
bertuah negeri ini
dengan tutur dan pekikan
para berhormat
para ahli-ahli berhormat
Adun, ketua badan penyatuan
dhif jemputan
ayuh sila
beginikah sifat toleran
dengan jamuan rakyat ini
janji yang harus diterima
oleh sekelian rakyat?
Cukupkah hidangan
atau kehilangan lautan akal
Ya Rabbi...
lindungi kami
kalau pesta makan ini
tidak menjadi khilaf besar
oleh riuh pesta pora!
sedang di ujung desa
masih dahaga Cinta
hak kasih dan ilmu
kerana berjuta-juta keuntungan
siapakah meraihnya?
Bertimbun sisa makanan
menjadi arca pertanyaan
begitukah kesatuan
yang dicanangkan?
perang jiwa
perang Cinta
siapakah Mendamaikan
di manakah kasih rakyat asal untuk di tumpahkan
bila kehilangan halaman
semua diberi tanda milik bersama
dengan tanda kad dan pasport
Melayu rakyatku kehilangan Bangsa???
04022010
Tuesday, 2 February 2010
Harian Seniman Pelukis
Mendengar keluhan suka duka seorang pelukis - pengalaman 30 tahun?
A. Ghani Ahmad
30-40 tahun memasuki lubuk seni lukis bukan kerja main-main. Sahabat pelukis angkatan 7oan terus berkarya. Ada yang melukis sepenuh masa, studio di rumah, ada memiliki ruang kecil menyewa di komplek beli belah atau ruang yang disediakan di pusat dagang.
A.Ghani bekas tentera komandor tidak berpaling, walau kerap merasa ibarat lilin membakar diri. Setiap kali saya singgah di studionya, kerap saja dia dilingkungi pelajar seni lukis. Maka melayanglah aneka pertanyaan, temuramah pelajar seni - yang mendapat tugasan dari penyarah univesiti masing- masing. Kerap juga dia menyediakan bahan-bahan biografi - potongan akhbar.
Komennya : " Jangan harap pelajar datang dengan persiapan, kerap pertanyaan yang berulang: 1) lahir di mana 2) bila melukis 3) berapakah jumlah karya 4) pameran ada katelog ke? Soalan murah dan pemalas, apakah pesyarah tidak mengajar pelajarnya membuat persiapan dengan soalan yang ' berilmu'? - Kalau pelukis lain, pasti dah kena halau "
Puisi Hadiah Sastera Perdana 2004/2005 *
*Cebisan nota akhir Laila
Malam tidak berbulan di Bukit Gombak
Setelah kau pergi tanpa pesan
kala hujan gerimis di padang utama
menjelang malam kemerdekaaan
masih bersisa makanan malam
kurapi piring dan teko menggulung tikar
tepat kausarung baju bulu kaitanku
di dalammya baju Melayu kancing satu
tanpa sarung kaki kerana kau hanya bercapal
malam gerimis tanpa bulan
juga tanpa payung, pasti songkok baldumu basah
tanpa tolehan tanpa dekapan
hanya secalit garis bulan di kilauan pandang
desah daunan buluh di tepian Sungai Gombak
loncatan ikan sesekali kudengar
lontaran pasir entah dari mana
di malam larut kau melangkah dengan senyap
hanya dengan ucapan Bismillah
aku tahu entah bila lagi kau pulang!
Yang terngiang hanya nada semangat
zikir dan syair perang sabil
berselang canda ingatkan malam pertama
kala aku dara baru melipat kain
kau asingkan samarinda hijau untuk pakaian malam kita
melabuhkan kelambu dan mengecilkan sumbu pelita
aku masih melambatkan suasana malam
tidakmahu tergesa
biar kau juga esok terlambat
melangkah meninggal pondok kita
Tapi imamku tidak mensiakan subuh
masih basah rambutku sujud di sejadah
dingin dan lembutnya bibirmu mengecup keningku
setelah salam
aku tahu waktu semakin dekat memisahkan kita
sebelum fajar
kau harus di simpang !
Di Bukit Gombak
dari rumah tok batin Usoh di Batu 12
menghilir ke Batu 9 Sungai Pusu
orang sudah menyampaikan pesan
Tunku sudah pulang dan bendera berkibar di Melaka
esok di depan padang utama
kau sama berdiri dalam gerimis Ogos
aku juga tergesa menyimpul kain di pinggang
merapi keronsang tiga di baju kebaya
mencapai selendang panjang menutup sanggul dua
secelah anak rambut terkulai di tengkuk
aku tahu di situ selalu belaian jemarimu
oh masa lalu!
Siapakah yang mengucapkan
tanah air ini bermilik warisan bangsa
berpohon jati dengan akal , semangat dan budi
aku selalu ingin memastikan pohon jati harus kekar
beratus tahun berkurun
demi tanah watan aku akan terus menanam pohon jati!
Tinggal Laila
lelaki berani harus berjuang
demi menegak keadilan!
Memang tanah air sudah merdeka
kuterima tanda ucap selamat kejayaan
pejuang tidak bernama
satu-satu kurangkul tahniah para sahabat
lelakiku memang tercatat namamu di halaman sejarah
turut merakam jasa perjuangan di muka dunia
kutatap wajahmu di muka akhbar
di cnn, di bbc, di tv tiga
sanjunan dan pujian
kau diheret maju memberantas demi kenamaan dan kesejahteraan
tapi hanya untuk mereka
kau tidak pulang juga!
Sesekali kuberanikan ke kota
tepat hari ulang tahun kemerdekaan bangsa
suaramu berapi seperti dulu
memecah impian yang bukan angan-angan
kaubangunkan semangat anak bangsa
tapi kau lupa pondok kita
Bukit Gombak kau tinggal lama
Di bawah tiang bendera di puncak Bukit Gombak kita
aku Laila, sendiri tanpa kau tahu
menjadi tukang cuci di universiti
tidak siapa peduli aku di sini
kadang mencuri membaca di pustaka
menatap wajahmu di akhbar
telah menjadi ternama di tanahair tercinta
Sebentar lagi kau akan tiba
merasmi acara utama di kampus
mereka akan menghulur tangan
kau juga akan menyambut salam hormat
pidatomu seperti selalu memang hebat
berapi itulah gaya
bekas ketua himpunan mahasiswa
di arena tahun 1970an.
Aku Laila entah isteri entah janda
masih menyimpan nota akahir malam merdeka
masih menunggu dengan kaitan benang bulu
kutahu esok kau akan ke negara sakura
musim bunga alangkah manisnya canda geisha
sebotol sake sudah cukup menghangat gelora muda
memang di sana kau bicara
tentang kerakusan bencana dan hak manusia
tapi kau lupa
hak dan kasih setia
aku masih seperti dulu
kebun masih berbunga
di Bukit Gombak tercinta
Masihkahkaitan benang bulu melingkar
di bahu kala benua utara di liput salju?
Bandar Baru Bangi
3 Julai 2001
(Dewan Sastera, Februari 2004)