1.
Biar tubuh menunggal, ranting kering
daunan berguguran
burungpun tak berhenti lelah di dahan
biji tak sempat disemai
angin deras
terus memukul tubuh
bergoyang
tapi kau tetap bertahan.
Guru kami di ASRI 1970
sahabatku
di mana terakhir kau
menjelang gurumu?
2.
Ya
kami menangkap suaramu
guru pemberi Cinta ilmu
bertahan dalam angin rusuh
menyelak buku
pustaka yang senyap
ketika kami melompat tiba-tiba
ada yang berlari ke jeti
menunggu sauh di angkat
menanti layar terkembang
ilmu tidak terkejar
kami berlumba mengutip pesan
kami akan pergi dan pulang
seperti yang dijanji
dengan pekat awan uji
dengan ghairah
pedati dipacu
menyambumu
meraih ilmu!
meraih ilmu!
3.
Suara pun berdegar
nama dibina dengan bangga
kau bertengkar di meja parlimen
mengira untung rugi niaga
di mesyuarat korporat
rahsia negara bocor juga
harta disulap para bijaksana
siapakah yang membisikkan kesabaran
hilanglah nyanyian di rumah cinta
anak dan isteri suram kasih sayang
mabuk serakah tak henti
darah melimpah di rumah di jalanan
luka kebun sejarah
di manakah ilmu fikir kau himpun
wasiat guru menjadi sunyi
janji setia hilang
tumpukan harta dan nafsu menggila
gagalkah guru ayah ibu mendidikmu
kuasa palsu suara bisu
ke mana kau mengadu?
****
Gombak
21022010
Bonda,
ReplyDeletePohon ilmu tidak didukung ajaran Maha Pencipta akan meracun segala. Bukan begitu?
Sungguh Shima, itiulah Rumah Cinta Asal dari keabadian Ilahi....
ReplyDelete