Thursday, 4 February 2010

Bayangan Sultan Mahmud Malam ini


Aku tidak mampu ketawa lagi
bagaimana harus meninggalkan tanah waris ini
oleh kesilapanku
dengan tandak dan pesta
dengan haloba dan riak
makanan bertimbun
gendang amok gelora
meyulang mabuk silang menyilang
berduyun-duyun
jalan sempit
dari sini ke hujung sana
sarat warga Melaka
negeri kaya raya!


Negeri kaya ini
tidakkan ku lupa
betapa sejarah luka tidakkan padam
Farmosa masih dipuja
pohon melaka tidak pula melata
siapakah orang asal mengayuh biduk di laut
masuk ke sungai tiba di Ulu Melaka
jamang bernyala
tanda padatnya rakyatku
di pesisir pantai hingga ke Jugra ke Jambu air
ramai lagi dengan pesta sepanjang malam


Azan sudah tenggelam oleh sorakan
ke mana Imam berjalan pulang
jemaah bertempiaran menuju Kelibang
zikir belum selesai
gendang dan tandak sudah bersorak
demi segala bergelar satu
satu bangsa satu suara


Sungguhkah inilah titih yang diwariskan
siapakah yang menghidang
masakan dan minuman
dijamah dari jauh dan dekat
oleh sifat segala yang hebat.


Malam Jumaat berkah ini
tersiat doa tidak sempat ke baris akhir
siapakah yang masih sudut panjang
di masjid lama


Sampaikah doaku wahai umat bangsa
luka yang kutinggalkan
sungguhkah negara bertuah
setelah kehilangan kesetiaan
Laksamanaku Hang Tuah
bertuah negeri ini
dengan tutur dan pekikan
para berhormat
para ahli-ahli berhormat
Adun, ketua badan penyatuan
dhif jemputan
ayuh sila
beginikah sifat toleran
dengan jamuan rakyat ini
janji yang harus diterima
oleh sekelian rakyat?


Cukupkah hidangan
atau kehilangan lautan akal
Ya Rabbi...
lindungi kami
kalau pesta makan ini
tidak menjadi khilaf besar
oleh riuh pesta pora!
sedang di ujung desa
masih dahaga Cinta
hak kasih dan ilmu
kerana berjuta-juta keuntungan
siapakah meraihnya?


Bertimbun sisa makanan
menjadi arca pertanyaan
begitukah kesatuan
yang dicanangkan?
perang jiwa
perang Cinta
siapakah Mendamaikan
di manakah kasih rakyat asal untuk di tumpahkan
bila kehilangan halaman
semua diberi tanda milik bersama
dengan tanda kad dan pasport
Melayu rakyatku kehilangan Bangsa???



04022010

No comments:

Post a Comment