Sunday 4 July 2010

DI CELAH BELUKAR ILMU

AWAL Julai di sambut cuaca mendung, awan berlapis, mentari tidak mencelah hari ini. Gerimis sudah berderaian. Ada tiga acara yang harus kulakukan serentak. Walau titis gerimis menyimbah sengaja kuhulur jemari mencecah kelopak daun pisang hutan, memetik setangkai daun buluh ,terasa sejuk embun masih di situ...
Belukar kecil di halaman ITNM , 1 Julai 2010
Setelah meletak sejudul esei di meja editor Dewan Sastera (untuk keluar ogos 2010) , berbincang tentang sketsa untuk bacaan remaja...kami menyambung debat resah para editor muda. Terdengar keluhan , " sekarang penulis jarang mahu singgah - mungkin jalur kiriman tulisan lebih mudah melalui emel, tapi penting juga dapat menatap dan mendengar suara penulis " Apakah memang aku masih setia datang menghantar bahan terkisah kerana sketsa (siri Puisi Wanita Ratu), tidak cantik dikirim lewat emel, atau hanya memang ingin bermesra dengan editor pelapis?
Hujan masih berderaian. Kutatap wajah resah tapi cerit Siah dengan cerita membina hubungan kasih saudara....mewakili ayah ibu untuk mendidik adik...ku tinjau suasana KL dari menara tingkat 20, melihat tanah lapang di depan Jalan Hang Tuah setelah sebahagian bangunan Penjara dilenyapkan...tapi bayanganku masih juga ke kelopak daun pisang sehinggalah ketika tiba di halaman ITNM untuk menghantar borang akuan janji penerbitan sajak terjemahan ke bahasa Korea. Kedai buku teratur, meja juga menunggu dengan setia...siapa pengunjung atau pencari buku di rimba ilmu? Hujan kembali berderai ketika aku keluar. Di celah belukar batang pisang sudah menjulurkan buah dan jantung masih di hujungnya. Beberapa putik kemboja baru belajar kembang. Kuperhati batang yang rebah, sudah mereput dan segugus kelopak daun kembang mambang melekat. Kugapai, akarnya melentur lembut dan tercabut dari batang reput. Entah siapa yang berdiri di jendela bangunan melihat aku mengutip tumbuhan di celah belukar ? Aku merasa berbaloi setelah membeli 5 judul buku terbaru, wajarkan aku menambah dengan mengumpul segugus tumbuhan yang terbiar di sisi belukar?

Menjelang Asar, aku sudah tiba di Ulu Kelang ....masuk ke gerai terbuka jualan murah " belukar ilmu " dengan potongan 70%. Majalah Dewan Sastera,Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Siswa bertindih, 50 sen....kukutip kukutip amat rakus. Seperti biasa dua judul karya ku masih bersisa, Seri Padma (DBP 1984) Bunga Putik Putih (DBP 1991), Karya ini masih diperlukan oleh pelajar sastera di kampus mencari dan mengkaji...baiklah ku borong untuk kemudahan pelajar yang memerlukanhya lagi.....

Koleksi cerpen terbitan tahun 1984,
dengan hiasankulit buku " Pohon Hayat 1" koleksi UKM

******
Gombak
5 Julai 2010

2 comments:

Ahmad Nawawi Yaakob said...

buku-buku penulis tersohor patut diberi nilai sewajarnya...

siti zainon said...

Saudra Ahmad > Penilai teks sastera makin merudum saudara. Sarjana pun aktif sewaktu mengkaji untuk memenuhi ijazahnya atau ketika masih mengajar di kampus. Kemudian kepakaran mereka seakaan dilupakan, tidak dijemput lagi untuk membentang kertas kerja, atau lihat sajalah kolun sastera adi akbar, dipnui dengan cerita gosip seni popular saja. Jadi makin berkuranglah kepakaran itu. Wartawan sastera pun hanya menambah catat pandangan dari kertas kerja orang lain...tidak sekritis di zaman 50an ASAS 50 hingga awal 80han...ya kita perlu bertanya kepada graduan sastera yang sekarang sudah enak di kerusi birokrasi atau di meja parlimen...uhhhhh inilah wajah sastera kita...