Wednesday, 22 October 2008

KERJASAMA DENGAN SOKA GAKKAI MALAYSIA
















HAMPIR dua tahun kerja persiapan pameran dengan SOKA GAKKAI MALAYSIA (SGM) baru dapat direalisasikan minggu ini. Beberapa hal tajaan tambahan begitu memerlukan kepedulian yang jitu. Usaha menyiap dan menyediakan bahan pameran memang kerja utama pelukis. Tapi persiapan katelog, pemasaran, pr , penaja dan penaung dll melibatkan kepakaran teman-teman lain. Pelukis juga merangkap kurator sendiri mengadap KeKwa (setahun lalu), memohon dana mengisi borang berlapis-lapis, mengantar proposal, anggaran perbelajaan, menawar potong harga frem dan kanvas. Antara kerja remeh bagi orang luar. Demikian Pameran solo urusan sendiri (Galeri Melora) tentu saja berbeda dengan pameran undangan dari galeri luar. Pelukis lepas tangan tapi tentu saja kita harus patuh dengan syarat komisyen yang harus dipotong dari harga lukisan.
Dengan SGM kerja agak mendamaikan hati. Mereka bergerak pantas tapi bekerja dengan lembut, tenang dengan suara yang begitu perlahan. Tidak ada derai ketawa kuat dalam mesyuarat atau berbincang sama ada di bilik mesyuarat mereka atau ketika mereka berkunjung ke studio kita. Malah dalam mengatur, menggantung lukisan di dewan pameran, kerja dalam ke'diam'an itu begitu terasa. Sambil menggantung lukisan memanjat tangga ketika saya membetulkan kain limar di atas frem lukisan, mereka tidak juga bersuara. Bercakap seakan berbisik dan saling mengangguk.

Mungkin kumpulan kawan-kawan lain seperti Fatimah Chik, Ismail Latif atau Bayu Utomo dan rakan-rakan pelukis muda juga mempunyai pengalaman yang sama. SGM badan NgO Budha adalah cawangan antara bangsa yang dikendalikan melalui pusat utama mereka di Jepun. Ada yang bertanya kenapa bekerja sama dengan NgO Budha? Ya mereka telah menghubung jalin kedamaian melalui aktivit seni. Menerbitkan majalah budaya dan kegiataan seni budaya bertaraf antarabangsa. Ku kenali Joanne Fo pegawai perhubungannya (mantan siswi UKM) justeru ketika GAPENA mengadakan seminar di Lhoksemawe, Aceh juga setelah SG Tokyo menganugerah jasa kepada Prof. Ismail Hussin (Ketua 1 GAPENA). Dengan Joanne dan Kathrine, hubungan ini berlanjutan hingga terjadilah kerja pameran Angin Si Sepauh Janggi. Untuk teman-teman pelukis, pemuzik dll , boleh langsung berhubung dengan Joanne untuk projek pameran masing-masing > sgmpro@sgm.org.my .

Dan hari Ahad, lusa, pukul 2.30 selain lukisan kita akan nikmati suara manusia Dewangga Sakti dan Fathul Luqman dan gesek rebab Pak Mat dengan gerak tari mengadap rebab oleh penari kumpulan Makyong Warisan Seri Temenggong di bawah pimpinan Engku Noormala , cucunda Allahyarhamah Seniman Negara Khatijah Awang. Al Fatiha juga untuk Allahyarhamah! Amin



2 comments:

NYALA said...

terima kasih kerana membuka peluang serta ruang bagi saya mencalit sedikit warna pada majlis yang telah tersedia meriah dijalin indah dengan karya mu bunda.

SITI ZAINON ISMAIL said...

Terima kasih juga Nyala, dengan sokongan dan senyuman kawan-kawan dan adik-adik yang sudi berkongsi memberi nyala api untuk bonda terus berdiri.Amin