Thursday 22 April 2010

MESTIKA HATI > tenaga gerak sisa Anak Alam + Aktivis Muda Anak Negeri Selangor?

Penghulu Adat (Dr Ibrahim Ghaffar), Penghulu Silat /
tarian Piring (SEA Awardee A Ghaffar Ibrahim )
duduk di depan Pengarah Persembahan MH Ladin Nuawi
SETELAH berhimpun untuk latihan semalam (21 April 2010) baru saya menyedari penggerak asas Mestika Hati (MH) memang terdiri dari generasi 1970an-1980an. Malah tiga orang yang pertama, Dr Ibrahim, Ibrahim Ghaffar dan saya sendiri ialah dari kelompok pelukis - penyair Anak Alam (AA) yang mendasari hidup kesenian dengan kembara jalanan . Ini memang tidak pernah diatur - semua secara kebetulan. Barangkali dasarnya, mungkin saya menyedari kami memang seiring cara kerja. Bila diajak datang melenggang, tidak banyak kerenah, bila dikerah kerja seni, ya bekerjalah kami. Ladin Nuawi bergabung dengan AA pada awal 1980an, nakal, cengeng tapi berani mengembara konon ingin mengikut jejak pendekar AA, Latif Mohidin. Mengembara ke India, tersadai di London, dan akhirnya pulang menubuhkan kumpulan teater dengan anak-anak Bingkas Kebayan (BK)
Bob Khalik tidak banyak dalih, tidak menolak untuk melanjutkan
kerja rentak Selangor.
KETIKA mencanai konsep MH, terbayang, irama muzik rakyat (kertung Orang Asli , Gondang
sembilan Rawo, kompang, dan kempeling termasuk muzik asli ) - bagaimanakah rentak dan irama Negeri Selangor. Malah beberapa kali dalam mesyuarat Induk PADAT, telah dimomokkan, Selangor tidak ada identiti kesenian dan budaya. Hatiku menyala, marah dan mual dengan suara 'orang luar' yang kononnya pengkaji budaya. Bila kukatakan, pamanku menari zapin sejak tahun 1930an di Gombak, dia tidak percaya malah menambah, " eh itu milik Johor". Wah, bagaimana dengan Datuk Khaharrudin Mukmin, penari , pereka dan penyusun buku Tarian Zapin itu dari Johorkah? Datuk Kemala, bertandak silat dengan Pak Mad Dabus juga di kampung kami di Batu 4 1/4 Gombak. Ya muzik gambus dan zapin sudah berentak sepanjang jalan Gombak dari Kampung Puah menjalar ke Hulu Gombak di Kampung Orang Asli. Siapa yang percaya kerana tiada catatan yang telah dibukukan.....(dengar ini anakanda Kesultanaan Gombak@Dewangga Sakti!)....Jadi bila kuhubungi Bob Khalil tenaga pengajar di ASWARA, kami pernah bersama melakukan penyelidikan Gamelan Trengganu...ya gayung bersambut, beliau sudi menjadi penyelaras RENTAK SELANGOR !
Kumpulan Dewangga Sakti yang baik hati
selalu menyambut dengan memberi senyuman bererti
mereka juga senang kupanggil Kesultanan Gombak!

Kumpulan Dewangga Sakti memang sudah kukenali, usaha mereka menghidup dan melestari muzik gambus malah mengyembangnya dengan lagu-lagu yang memasyarakatkan budaya anak-anak muda Melayu. Usaha mereka sudah berbaloi. Mantan mahasiswa non sastera daripada UIA tapi sudahmenjadi seniman gambussa..hora! Mereka tidak cerewet malah menyokong dan sudi bergabung dalam kerja kolaborasi rentak Selangor.

Bob Khalil dengan senang hati membawa pelajarnya Uda
bermain Sitar, Nad bermain E Hue dan Firdaus sebagai
penggubah rentak!

Negeri Selangor memang kaya dengan rakyatnya beraneka keturunan. Selain warisan Melayu Melaka, sudah dikenal pasti aneka keturunan Melayu-Bugis, Melayu-Minang, Melayu-Rawo
Melayu-Aceh,Melayu-Banjar dll. Tidak ketinggalan sisa warisan dari keturunan India dan China yang dibawa masuk oleh Penjajah terutama pada awal tahun 1930an yang asalnya sebagai buruh estet dan lombong bijih. Saya hampir bertekak di bilik sidang mesyuarat Induk dan bersuara , " Tidak ada gendang ular naga tidak ada gendang keling.....kita akan bawa seni halus dari warisan mereka ". Maka Bobpun membawa pelajar ASWARA, Uda pun memetik Sitar, dan Nad mendenting tali E Hue. Tentu sekali BK tidak putar kepala berkali-kali kerana semua pemuzik sudah pun mengalunkan rentak dan ini mendapat sokongan hebat oleh Dendang Anak dengan suara Islamis dan Keroncong Arif makin menyemarak lagu tema MH. Insyaalllah!

Sekarang dalam minggu ini, latihan terus di jalankan. Walau masih ada halangan, ada dugaan, bagaimana menyeleras persembahan adat dan MH, soal ruang (stadium yang masih dipakai hingga 4 Mei, masyaallah)...ahhhaaaa. Puan CEO , Puan Kalthum, Tuan Aris, tu abang Mahadi
tolong selesai masalah ruang latihan ini dan persiapan Persembahan Adat dan MH!


*****
Bangi
23 April 2010

4 comments:

Ampuan Awang said...

Salam Bonda...

Apabila bonda menyebut tentang RAWO, teringat pula dengan MANUSKRIP seorang sahabat anaknda yang bertajuk "PAGARUYUNG DARUL QOROR: LEGASI MAHKOTA MELAYU SRIWIJAYA DAN DHARMASRAYA". Tapi malang ia masih lagi belum mendapat sebarang warna lampu dari PTS [...]

Rositah Ibrahim said...

Ucap selamat kak Siti, atas kegigihan yang kental!

SITI ZAINON ISMAIL said...

Ya kenapa begitu Awang...apa yang silap?

Ya Sita, nanti bawa anak-anak dan suami sekali pada 5 mei 8 malam di stadium SA...beritahu murid-murid dan guru-guru yang lain.

Ampuan Awang said...

entahlah bonda. mungkin disebabkan perjalanan pesta buku di pwtc menjadi penyebab kot? anaknda dah usulkan dengan ayahanda prof abdullah hassan. sekarang menunggu jawapan bagi pihak sahabat. anaknda sudah lama menunggu sahabat karib ini menghasilkan buku sejarahnya yang kedua selepas yang pertama berjaya membuka mata pencinta sejarah [...]