Monday, 18 April 2011

Salman Al Farisi (NB, 22.2)

ANGIN makin keras melibas kerudungku. Jemari semakin terketar, mencari sepatuku entah siapa tersepak keluar dari celah pagar. Kawan-kawan sejemaah - peziarah sudah berlarian mengejar bas, saya tetap tercicir, tidak ingin segera meninggalkan makammu ya Salman. Isham masih berbaik hati dan sabar, menunggu si gembala yang mengutip butir puismu ya sahabat Nabi.
Tetap ingin kulakar keluhmu, kala harus menyingkir dari kemewahan setelah perang Khandak. Kau memilih Abu Darda' yang juga menyingkir dari kemewahan seorang pedagang, meninggalkan perniagaan yang diketahuinya tidak menguntungka di sisi Ilahi. Kau memilih sahabat ini dan menyingkir menjadi sufi merantau dari lembah ke padang saharah, dengan kitab yang Satu, kasih Cinta Ilahi.


Kudengar, heretan jubahmu yang lusuh, singgah merenung dan bersandar di tembok tanpa seorangpun tahu kaulah pahlawan perencana perang!


Salman Al Farisi, sahabat tersayang Nabi,

kau berjalan mengiringi Uwaimir bin Malik al Khazji

bukankah pernah kau dengar cerita

sinaran mata, kening memancar cahaya

aroma kasturi melimpah tubuh sekujur wangi

yang melemparkan harta

hanya oleh rindu Ilahi.




Abu Darda' Si Sufi padang pasir

meninggalkan gemilang emas

dan kau muridnya

teramat nikmat memilih

dzukrullah, dzukrullah



Dia si sunyi diri

tiada rumah tiada makam

aku juga terlempar ke sini!

ooo bukankah juga

' Bagi kau Khalifah kau penting

bak mata pada insan

agama Tuhan perlukan mu

bak mata pada muka' *

Al Fateha ya Sahabat Nabi!
------- * puisi Abu al Abas Marvasi, (200 H)gavnor Khurasan juga penyair kembara putera Harun Al Rashid (dlm Muhammad Bukhari Lubis, 1990, 66-67) * Nilam Srayu, Rawang 19 april 2011, 03: 00

2 comments:

JHaZKiTaRo said...

salam kenal.. rajin2, jemput singgah my blog 'Aku Sebutir Pasir' kalau nak baca my travelling experiences ke 45 buah negara.. :)

SITI ZAINON ISMAIL said...

JHaZ > Terimakasih atas undangan. Insyaalalh akan saya ke blog mu.

Thanks Bichiii > welcome to your new blog. Yes, I am comming to see your blog ?