Saturday 20 December 2008

HANYA PAPAN TANDA?

Projek rakyat?Siapa pula kontraktor merebahkan balak?
Laluan lori pengangkut balak menghancurkan tanah
pesisir di kelok Jalan Rawang ke Batang Berjuntai
di Hutan Simpan Rantau Panjang Kuala Selangor
LEBIH 3 bulan berulang alik setiap hujung minggu melewati Jalan Rawang- Batang Berjuntai (sekarang disebut Bistari Jaya), melewati kelok dan lengkung jalan hutan simpan sudah tidak nyaman lagi. 2 tahun lalu jalan pemandangan di sini memang mengasyikkan. Selepas melewati Tasik Puteri dan simpang Batu Arang, kita akan melewati lebih 56 kelok jalan. Kalau tiba jam 10 pagi atau 3 petang, kita akan disambut oleh kawanan kera dan monyet yang ramah menunggu manusia yang baik hati untuk menabur makanan. Tetapi sejak bulan Mei 2008, kebun dan hutan simpan sudah ditarah mula diratah lori balak, memunggah batang-batang balak konon tapak itu akan diganti dengan semaian anak getah. Papan tanda projek itu pun dicacak dengan segaknya. Kalau selama ini memang sudah ada kebun yang diberi nama asing Selangor Fruits Valley, lapisan bukit saling bertindih dengan tanaman nanas, pisang, mangga, ciku, belimbing. Sungguh nyaman sayup mata memandang. Sekarang apa sudah jadi? Bukit semakin gondol dan semua penghuni rimba sang monyet macam peragawan/wati mempamerkan diri bagai minta di kasihi..." lemparkan makanan - kami sudah lapar wahai manusia?"

Dan papan tanda ini? Masih tercacak dan makin ditambah 2 papan tanda...tanah sudah berlekuk, hujan telah menghakis tanah yang makin berderai. Lori pula saling mengaum, menyalak, menderu menekan minyak, sarat dengan balak-balak yang diraikan sang kontraktor balak....dan papan tanda masih di situ tanpa sebarang tindakan.....hingga peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, 6 Dismeber lalu, kereta dan lori masih berdegar-degar melewati sisiran kelok jalan....siapakah yang peduli?



2 comments:

Awang Kata said...

Bahaya akibatnya kalau generasi bangsa tidak tahu lagi mewarisi warisannya. Antara warisan bangsa itu ialah bahasanya. Budaya bahasa inilah yang masih gagal diwarisi secara baik oleh kalangan bangsa Melayu.

SITI ZAINON ISMAIL said...

Sungguh, begitulah dengan bangga massmedia juga seakan menggalak nama-nama asing itu dipakai. Lelah juga telinga, bingit dengan nama-nama kumpulan muzik, nama jalan, nama bayi yang didengung dengan bunyi asing walau ejaannya di Melayukan....