Saturday, 6 December 2008

SAHABAT KECIL KITA

Himpunan katak kayu,seramik,kaca , logam
di rumah Nilam Bukit Kancing
OLEH HEBATNYA pembangunan kota, makin punah segala harta rawa-rawa membawa hingga ke lopak air ke rimba. Anak-anak kota sudah tidak lagi dapat membezakan bunyi katak memanggil hujan, atau katak mencari mangsa menjelang senja. Muzik katak? pernah mendengar lagu rindu, lagu marah lagu kecewa sang katak ketika hujan tidak luruh atau seluruh rawa-rawa ditimbus demi mendiri kondo mewah di sepanjang jalan Sentul-Karak. Dulu di situ tapak rawa-rawa tempat kami meredah mencari ikan pelaga, anak katak untuk umpan pancing di sungai Gombak. Kalau menjelang hujan hingga jauh melarut malam, irama muzik katak saling bersahutan, ada yang melompat dari hujung daun pisang - katak daun.(Harap selepas ini Si Dewangga Sakti dapat meniru suara katak dalam irama lagu mereka). Setelah rawa-rawa bertukar menjadi lombong bijih sepanjang tahun 1950-60an kini semua sudah dikambus dan berganti taman perumahan: Taman Pelangi, Taman Koperasi Polis (wah di sini rumah Rahimidin kan), Taman Batu Muda. Tambah hebat hujung tahun ini terentanglah dengan mewahnya jalur jalan raya menjalar, amat perkasa . Dari Karak boleh terus ke Ulu Klang, atau terus ke Setapak tak perlu memilih Sentul yang semakin padat dan Kampung Bandar Dalam makin sendat. Dan sang Katak tidak lagi bernyanyi dan kalau anda merempuh hujan lebat, maka katak-katak melompat ingin menyeberang jalan dan tiba-tiba berdecit tayar kereta menghimpit katak - maut tanpa siapa peduli. Katak-katak tidak lagi bernyanyi. Katak-katak dalam dunia pengungsian abadi.
Kerana itu kualih wajah aneka katak kuhimpun sejak tahun 1970an dulu. Katak boncet , bahan kayu dari Bali, katak seramik dari China, katak puru berjerawat dari Leiden, katak kaca dari Mirano, St Petersberg katak dari Kay ada katak dari Mei....dan katak-katak ini dengan sendu sedan, dengan kesayuan pun berzikir sambil menunggu hujan nun jauh di kaki Bukit Kancing....muncul dari anak sungai yang mengalir dari celah jendela rumah Nilam!

No comments: