Tuesday, 9 November 2010

WITIR SELA MERAPI, 2003


Witir Sela Merapi, Galeri Melora, 2003 (RM 30)


SEJAK zaman Sekolah Menengah Rendah (Indonesia, SMP), kami sudah belajar dengan rajin, menatap peta geografi. Zaman awal tahun 1960an, ada guru Ilmu Alam yang rajin bercerita tentang mitos gunung. Kebetulan sang guru dari keturunan Minang...kerap bercerita Merapi di Ranah Minang. Kemudian beliau juga bercerita tentang Merapi di Jawa. Aku sudah memasang impian, akan naik ke lereng Merapi. Siapa menduga tahun 1970 aku sudah menetap di sanggar Saptohoedoya di Karangwuni, Jalan Kaliurang menghala ke Gunung Merapi. Di ASRI , dalam kelas sketsa Pak Nyoman Gunarso mengheret kami naik ke puncak Kaliurang untuk tugas merakam suasana lereng Merapi. Dalam gerimis hujan, membasahi alam, kerja amali terus berjalan. Titis hujan memercik kertas, tinta hitam kembang buyar dalam gerimis...aku terbayangkan inikah air mata Merapi. Bagaimana kalau yang gugur dan berembesan itu pecahan belerang atau kepulan kepundan?





Setiap hujung bulan, kami akan meninjau lereng Merapi untuk berkelah di anak kali yang memercik di tepian sawah ladang. Aku barangkali yang kerap mengintai desah seakan menunggu bilakan lahar meledak dan tumpah ? 4 tahun di Jogya, Merapi adem dan damai.

Hanya kerja mula kuganti. Merapi kujelangi setiap tiba di Jogja. Dari garis sketsa hitam putih, sesekali membawa kanvas, memicit cat minyak atau di celah jendela sanggar Kartika di Pakem masih menatap puncak Merapi yang akan menyisip sayap menari dalam silat gelombangsari dan kau damai di sana.


Tahun 2003, aku kembali menjengahmu Merapi. Setelah jalan untuk masuk ke Acheh dilarang bagi warga asing, Fozan menyaran aku kembali saja ke Jogja. Kami sekali lagi ke lerengmu, bagai mendakap jenjang leher kekasih, kudakap aroma embun pagi, melukis pipimu yang sedang sarat dikepungi awan. Masih dalam gerimis, masih sempat kupetik bunga lalang, seperti selalu aku ke lerengmu, meninggalkan jejak sambil mengintai, masihkah Mbah Merdjan dapat kukunjungi? Bukankah beliau pernah menghulur jagung bakar dan menghidup unggup api, ketika kami menumpang di pondoknya?


Malam itu kucatat dalam kesunyianmu " Witir Merapi"
...
aku si yatinm piatu
kembali mencecah lereng kepundan
wap Merapi basah
kau dengarkan witir sejak Isya'
merayap ke rumah petani
nun di desa Balong
ke petak sawah
yang subur digembur
menunggu musim menggubah

*

kau dengarkan lagi
pesinden dan gema gending
lelah petani di permatang
pacul di tangan
keringat teralir ke tubuh perkasa
wahai putera Merapi
aku tiba menyambut malam
witir dan tasbihmu
menyatu dalam dalam doaku
*
(Pakem, Jogya , 26-31 Okt0ber 2003)
*
26 Oktober 2010
Merapi, kau pendam
dendam berzaman
tepat Kau muntah kepundan
Ya Ghafar
tanda uji
tak terhindar lagi !
percikan doa
yang menyahut gengam
salamMu!!!
Al-Fatehah
*
10 Nov 2010

Monday, 18 October 2010

Latihan Seni dengan Hati Mesra

Kerja Seni Semesra Hati
*
Sejak berzaman suara hati budi Melayu sudah bergema
dalam susunan kata, ayat dibaca, dinyanyi
digurindam - segema dengan tepuk, tandak
meriuh tapi damai . Sejak berdetak bumi pra sejarah
Tok Batin menyisir rambut keriting
Nek Timbun bersunting jurai bertih pinang
dengan pukulan gendang ibu-anak
tiupan suling bambu, berseling
ceracap inai, tepuk sopan zapin Johor, Selangor,
Perak dan canggung Perlis, ulik mayang
asyik indung Kelantan Trengganu.
Inilah gema mesra hati
kasih budi
sebuah kerja seni
sejak dulu digubah
semesra hati.


Dari perahan jingga urat pinang, bergaul kapur
dan perahan limau, hitam pendaman sabut
dan lumut maka disebutlah warna merah darah,
jingga pinang mabuk, kesumba murup
di cindai limar, biru tarum berputik
seni sudah berbisik.

Ajaklah si kecil dan sunti bermain warna
biarkan mereka berkeluh tanya
di bawah rumah lama
kadang mereka bersorak riuh bertandak
tapi perlahan berhening
dengan doa di hati
diamkan bibirmu tanpa suara
seni sudah berkerja
putih kasih bersatu gema
kerana hati semakin mesra!

*****
A-KABA setiap petang Sabtu dan Ahad
*****
Rumah Baca
Kampung Bandar Dalam
Batu 4 1/4 Jalan Gombak
51100 K. Lumpur





Saturday, 16 October 2010

Menjelang Puisi 1100 Ekar - 1100 Acres of Poetry

Laut, pantai, pasir, gunung, awan di tanah 1100 ekar
Lima bulan yang lalu, kami dibawa ke pulau dengan keluasan 1100 ekar tanah, yang dilingkari lautan Selat Melaka utara berbataskan ke Laut Andaman. Dengan senarai nama yang dipilih mewakili angkatan 1970an, 80an- 2000, oleh Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, kami dibawa terbang, berlayar, berkumpul, menjadi penghuni pulau, menapak pantai, tanah pasir , menjengah rimba, mendengar kekeh kera, rayapan memerang, biawak. Deru gelombang menggulung. Dauan rhu berdeser, akar-akar pandan laut bercerangcang silang. Selebihnya adalah deru gelombang yang tersimbah dari dan luar jiwa...

Bersama penyair muda yang terpilih untuk projek puisi lestari alam
Inilah kenangan. Kerja seni bukan mainan khayalan semata. Emosi jiwa bergabung dengan renungan, hayatan alam, alam ciptaan Ilahi yang kekal terawat di tanah 1100 ekar ini akan makin jelas pemeriannya seperti yang dihasilkan oleh kelompok penyair ini.
Memang karya seni tidak dapat berdiri seni. Seniman ialah pandai seni, anugerah dari Illahi. Inilah juga kerja kajian dan renungan . Tetapi untuk menjadi realiti sebuah catatan yang ditinggalkan haruslah dibuktikan melalui penerbitan. Kita perlu penaung yang ikhlas, memberi dana kajian, perjalanan, penginapan. Perpurakah seniman kalau sudah disogok kemudahan? Tidakkkk...Esok kita bersama untuk melihat himpunan puisi 1100 Ekar Puisi / 1100 Acres of Poetry, akan direstui oleh Paduka Tuanku, DYMM Yang Dipertuan Agong. Tahniah kepada semua kerabat yang terlibat...tahniah kepada Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan sebagai penyusun dan tahniah ulung kepada Tuan Penaja Tan Sri TR dan tenaga kerja Tanjung Rhu yang prihatin melayani kami sepanjang kerja pelastarian rimba di 1100 ekar tanah pulau!
Selamat kita bertemu petang di Dusun Kuang?
*****
Kampung Bandar Dalam
17 Oktober 2010
1

Thursday, 14 October 2010

Adab Gerak dan berbahasa

Dalam dunia terbuka masa kini kerap ibu bapa ingin juga anak mereka menakluki budaya antarabangsa. Ada dihantar belajar Tekwando, Tai Chi atau ke kelas muzik, belajar piano, cello, biola, mengenal Mozart juga ke kelas tarian ballet. Ya tidak salah. Silakan, kerana semua ini dilakukan oleh keluarga yang mampu di kalangan elit dan golongan pertengahan. Yang merasa dirinya orang kampung, tanp yuran, ya kamipun membawa anak kami ke gelanggang silat. Maka berpencaklah si Buyung kami, membuka langkah setelah gerak sembah, tanda hormat guru atau orang tua di depan kita....


Bahasa wajar diungkap dengan jelas. Bahasa lahir dari jiwa, ia disuarakan sesuai dengan bunyi angin, bumi, air dan tanah. Sejak berzaman Bangsa Melayu melagukan jiwa menjadi nyanyian pantun, gurindam syair, bagi menakluk dunia masa depan." Bahasa itu adalah lukisan cakrawala penuh warna warni dan bunyi " Kupinjam ungkapan Prof. Datuk Mazlan Othman, seorang ahli astrofizik sekarang sebagai Pengarah Angkasa Lepas PBB di Viena. Maka suarapun bergema dengan nada indahnya. Semoga putera-puteri kecil kami ini tidak malu berbahasa Melayu dengan nada bahasa Melayu Tinggi , waris nenek moyang mereka.
*****
Anjung Bonda
BBB 15 Okt 2010
menera

Wednesday, 29 September 2010

Mendengar cerita keluh seniman dan cendiakawan sepnjang September

Puan Rosmawati Othman ketika merasmikan
Akademi Nik Rashiddin, Kampung Kandis, Bachok,
Kelantan Darul Iman, 20 September 2010
*****

PERUBAHAN nyata dalam dunia pendidikan masa kini ialah dengan berdirinya universiti hampir di seluruh negeri dengan kampus yang luas, bangunan yang gah. Tentu saja semuanya rumah batu, sarat penuh di kampus . Malah ruang taman di kampus tertua di tanah airpun kehilangan deruan bayu di tasik. Tasikpun semakin sempit malah sudah bertukar warna, oleh pembangunan yang merebak di kampus. Tiba-tiba aku teringat, tingkah Socrates dan Plato yang memberi pidato kuliah di lapangan terbuka , di pasar Athens tempat orang ramai lalu lalang, sehingga kuliahnya boleh saja diikuti didengari dalam kesibukan suasana di pasar . Malah untuk mempertahan ilmu pendidikannya, Socrates lebih memilih mati dan rela meminum racun hemlock. Di pasar itulah kemudian digelar sebagai Akademi Plato. Ingatan inilah yang berlegar di minda, terharu dan amat bersyukur dengan kesedaran Puan Rosmawati binti Othman, dengan susah payah penuh kasih mendirikan AKADEMI NIK RASHIDDIN, sebagai mengenang kerja seni ukir keris yang telah dihasilkan oleh Allahyarham suami sepanjang hanyatnya. Di situ sudah terhimpun koleksi seni bina, anika bahan ukiran kayu, logam tembaga, emas yang berusia ratusan tahun, daripada warisan Langkasuka-Patani - Seriwijaya (abad ke 2-13), masuk ke era kuasa pemerintahan Cik Siti Wang Kembang (abad ke 17). Akademi ini hanya menunggu kerja para mahasiswa yang sanggup bekerja di lapangan, bukan hanya di kampus dengan bangunan segak perkasa.

Saudara Rahman, pencinta dan pengkaji Keris. Dia bagai
Tok Dalang dalang mengutip ilmu di Kitab Sejarah Melayu,
bersilat di kepulauan Melayu dan menemui keris
milik bangsa yang mencintai khazanahnya -
dalam sidang Dialog Tun Fatimah di Wisma Sejarah
Jalan Tun Razak, 22 September 2010

Kain Cindai ( Patola) Gujerat bukan sebagai busana sahaja
juga sebagai alatan bertempur, menepis serangan silat,
menjadi ikat bengkung pahlawan yang bertarung -
koleksi Persatuan Senipurba Selangor
*****


KERIS sudah kehilangan lok? Senjata ini yang melambangkan ketuanan Melayu sudah bebas di cabar. Bila orang Melayu membuka keris dari sarungnya, dicium sewaktu pertabalan di raja diikuti paluan nobat, muncul fitnah, orang Melayu suka mengamok. Tanpa kajian kitapun mengakui pandangan penakluk kuasa ketuanan Melayu itu. Ada pula nenyampuk masa itu sudah berlalu, maka pengantin lelakipun memakai keris dengan kepala hulu menungkah ke muka...bagai memang menunggu lawan bertarung. Nah sekarang siapakah yang harus mengeluarkan dan mencium keris panjang untuk sebuah pertabalan. Jangan kau perdebatkan. Kerana keris Taming Sari masih di genggaman sari. Belajarlah dari kuliah di pasar terbuka....bila buku kajian seni budaya memang tidak mendapat tempat di pustaka.



INSTITUT Terjemahan Negara Malaysia dengan kerja yang semarak sepanjang tahun 2009-2010 telah menterjemahkan karya penulis yang menerima Anugerah Sasterawan Negara dan Anugerah Asia Tenggaran ( SEA Write Award). Penterjemah buku Kasih Bonda ke bahasa Rusia ini sungguh mengharap buku ini dilancarkan di Moskow...ada tiket tambang murah ke ya Tuan Haji Ketua Pegawai Ekskutif INTM?



Datuk Prof Zainal Borhan, Pengarah Akademi Pengajian Melayu ketika
melancarakan acara Festival Buku-buku Melayu,
23 September 2010
*****
BUKU-buku bahasa Melayu tidak ada pasaran? Satu momokan...bayangkan makin banyak penerbit yang dengan berani dan bangga menerbitkan buku Agama, Pendidikan, Ilmu yang berbagai di samping karya kreatif? Tahniah Persuratan Pengajian Bahasa Melayu UM dari Jabatan Penerbitan dan Komunikasi mengadakan Festival Buku-Buku Melayu. Terima kasih PPBMUM melalui usaha M Jailani kerana mengundang kami , saya dan Achdiat Akashah untuk sesi Dialog Penerbitan Buku-buku Melayu .
*****
Anjung Kasih Bonda
Bandar Baru Bangi
No 17 Jalan 1/7K
46500
Selangor Darul Ehsan
Malaysia




Monday, 13 September 2010

Ziarah ke Penghimpun Seni PEMULA


ANTARA Penghimpun seni di Kuala Lumpur yang aktif mengumpul karya pelukis muda ialah Tuan Phakaruddin Sulaiman dan isteri beliau iaitu Puan Fatimah Sulaiman. Kedua-dua adalah peguam bela - peguam cara yang menjadikan rumah dan pejabatnya sebagai ruang seni rupa yang menarik . Memang sudah menjadi tradisi pasangan romantis ini mengadakan hari terbuka pada hari kedua. Menu kebiasannya ialah Laksa Johor. Tamu-tamu yang datang memang dari golongan orang 'mahkamah' dan seniman. Di kalangan kawan seniman, mengunjungi rumahnya bererti melihat karya seni rupa yang mungkin tidak sempat ditemui di ruang pameran !

Apa tidaknya, antaranya ialah karya Fuad ini yang tidak sempat saya temui dalam pameran telah tersimpan di sini (2007). Mungkin di kalangan generasi muda isu lukisan ini tidak begitu di sedari, ia tersembunyi dengan abjad No, tulisan China dan Jawa. Inilah isu Konfratasi (1963) telah digarap oleh pelukis. Dua tahun lalu, penampilan karya ini tidak menarik untuk diperkatakan, kerana seakan mengungkit sejarah 44 tahun lalu. Tetapi hari ini dengan isu BENDERA membakar Jalur Gemilang, lukisan ini rasanya menarik untuk dinilai kembali. Lihat yang membakar sebelah kanan, pemuda berjubah dan bersongkok, (mewakili pesantren?), generasi muda diwakili oleh pemuda berbaju T kuning , berseluar jeans, paling kiri mewakili pelajar atau kaki tangan kerajaan? Melalui karya seni kita disarankan untuk tampil dengan daya fikir dan jiwa , bukan emosi yang riuh rendah di jalanan....

Perjuangan sejarah bangsa memang belum selesai. Ketika keris dipertikaikan kewujudan dan lambang budaya oleh genersasi yang degil sejarah, pengarca Raja Shariman sudah lama memikirkan gerak silat, sikap tan teguhan jiwa. Besi sebagai perantara semangat menjadi saksi > Melayu masih di persada sejarah! Insyaallah !

Ramai yang berbakat dan mula menerjuni dunia seni. Semoga sumber ilmu dapat mengetengahkahkan karya seni yang harus dipertanggung jawabkan .InsyaAllah, selamat berjuang dan terus berkaya kepada para seniman, penulis dan perupa!


Seniman, penyair, datang dan pergi. Al Fateha buat mereka yang telah meninggalkan kita. Tetapi karya mereka masih hidup....inilah peranan para PEWARIS seniman - penyair. Semoga Haslina Usman Awang terus merapikan karya ayahanda UA. Sudah tiba masanya para pewaris seni bergabung, membentuk organisasi untuk memikirkan apa yang patut dilakukan agar karya ayah, ibu, datuk dan nenej anda tidak tersisih atau diulang cetak tanpa diketahui oleh pewaris masing-masing...terutama dari sudut royalti! Ayuh buka silat anda semua!
***
Gombak
Idilfitri 4 Syawal 1431/13 September 2010




Doa Takbir dan Amin si kecil

TAKBIR Idilfitri sudah bermula sejak diumumkan malam akhir Ramadhan. Selepas Isyak, Madrasah Tarbiah meneruskan Takbir dan pembahagian tugas takbir keliling dilakukan oleh pemuda kampung. Anak-anak lelaki diwajibkan ikut serta orang dewasa, kerana mereka inilah kelak yang akan melansung tradisi takbir berkeliling kampung. Tanpa Takbir berkeliling ini terasa tidak meriahnya sambutan Idilfitri. Alhamdulillah, rombongan mereka tiba di rumah ibu hampir jam 12 malam... Allahuakbar!, Allahuakbar! Allahuakbar walbihamdih...


Si kecil kami turut memeriahkan acara takbir berkeliling kampung



Di dapur pula rendang daging sudah di tungku.
Ini juga tradisi sejak berzaman
gaya rendang Gombak-Kuala Pilah
dengan ramuan: tumis cili, bawang ,
halia, lengkuas, kunyit
masukkan daging, curah santan ,
kacau-kacau hingga pecah minyak
masukan hirisan daun kunyit, daun limau purut
dan asam keping. Kacau dan masukkan kerisik
kacau-kacau hingga menyatu dan
kering di kuali.
*
Allahdulillah
menu sejak Allahyarhamah moyang -nenek
masih berterusun hingga ke cucu cicit.
*
4 Syawal 1431
12 Disember 2010
(selamat hari lahir anakanda Siti Melorinda)