Tuesday, 31 May 2011

Dari Stesen ke Stesen (3)


Catatan Impresionis
Jarak Waktu : 23 September 2004

SAYA  sudah di stesen Tugu, menunggu kereta Api AGRO-WILIS dari jalur Surabaya untuk menuju ke Bandung. Saya  baru sampai di Jogya, tteapi pesan Prof Ismail Hussein yang sudah tiba di Inderamayu, bagai tidak dapat kuhindari, " Siti harus ke sini, anak-anak pesantren Al Zaytun, belajar agama tapi aktif dalam seni".

Rasa lelah tiba-tiba hilang ya saya  sudah dalam perut gerabak AGRO -WILIS dengan tiket Rp 1200,000.Tak tahu nak sebut dengan perkataan...

35 tahun, stesen Tugu tetap setia menunggu. Lengkung jeriji, jejeran bangku tapi lampu tidak lagi sepengap dulu. Kecuali mbok bakul sejak pagi sudah berkumpul di depan pagar. Saya telek ke tiket, tercatat gerbong 3 no 7A, Jogja- Bandung. Peluit sudah menukik desah dan gerbong mula berayun.

Lukisan impresionis pun bermula, perlahan, deras melompat laju:
1. 12.40 - desa Patokan - batang pisang batang kering, daun hijau menyulur. Batas sawah padi, ladang ubi, gubuk riut petani. Mana garis lincahmu?
2. 13.00 - desa Wates - biri-biri, sawah baru di tuai, warna sisa emas nyala makin meredup
3. 13.35 - Muntilan - di sini tempat lalu lalangku berbasikal masuk ke pasar, mencari besi buruk untuk bahan arca - O Muntilan, kereta berhenti tanpa manusia di sini, kemana mereka? Kecuali angin gerah , kereta mendesah. Terasa tangan berbau tanah, inikah jemari petani, memerah keringat tidak berhenti?
4. 15.10 - Kebumen. Mana Atien Wahyuningsih mengeluh, sketsa tidak menjadi, tapi Pak Bagong Kusdihadjo memilihnya untuk menjadi penari utama Nyai Loro Kidul..." waduh, piye tho aku si gempul kok di suruh jadi Nyai Loro Kidul sing ayu..." . " Kau cantik Atien, tinggi perkasa heee ". Selera seniman Bagong yang terpengaruh dengan gerak dinamis Martha Graham, cuba membawa tampilan baru dalam tarian klasik Jawa. Edan. Kerabat kraton mula nyumprit.....tertidur, zzzzeeee
5. 15.50 -Kawunganten. Matahari sudah di dalam awan, langit kelabu, jerami sudah dibakar. Petani berjongkok di tali air membasuh lumpur siap menjelang asar bakal tiba.
6. 16.oo - Cilacap. Mana Wardoyo? Tapi aku teringatkan Baha Zain dengan puisi anak jalanan, " apa yang kau makan hari ini anaku? ". Sekarang sudah di perbatasan Bandung. Gerimis mula melibas, kaca jendela. Cantik tapi tetap bergaris luka ! Kolam ikan juga berkilau kaca . Kebun kacang baru berputik, sawah baru dituai, jagung sudah mengeluarkan daun pertama. AGRO WILIS perlahan.
7. 17.40 - Tasik Malaya. Kenapa ada Malaya di sini? " Ya Himalaya itu di gunung, Malaya itu daratan di Tanah Melayu, ya sekarang tasiknya di sini " . Mana si Henri yang menjelaskan itu ketika kami memanjat gunung batu di Parang Tritis. Dia si pemuda segak dari Tasik Malaya yang kerap bertukar nama, dari Hendra menjadi, Hayam, menjadi Henri. Sekarang ku dengar kau sudah jadi ahli parlimen ??? terbaru sudah menjadi Menteri, Uwaaahhh...
8.  8.20- Cipeundeung. Hujan menderas. Kaca jendela kusam. Tiada sesiapa di luar sana. Lampu juga suram, tapi cerita lama tidak hilang: Residen menipu para perempuan , di jual tidak berbayar, menjadi nyai. Kau mengeluh dan mengaku " Akulah cicit nyai..entah siapa kakek asal keturunanku " - mana Vivent? Kudengar kau sudah menjadi Jaksa  di kantor Hakim Negara. Hebat Neng!
9. 20.20 - Selamat datang ya Siti. Kereta api berayun berlahan. Kemudian geeerrrrr. Berhenti tersentak. Ada yang melatah! Keluar di pintu utama. Tidak tahu siapa menunggu di sana. Dua tiga pasang bibir tersenyum . Al Zaytun masih panjang lagi di belahan pantai barat sana! Malam kian pekat, kami akan meredah rimba malam. Al Zaytun tunggu aku datang ke sana!

Nota Ekspresionime Jogja -Bandung 2004

Monday, 30 May 2011

Dari Stesen ke Stesen (2)

Broser dengan laluan jalan raya dan kereta api, salah salah promosi niaga
yang perlu untuk pengguna.

DARI STESEN KE STESEN (2)

Pernah ku bertanya kepada salah seorang sahabat mudaku," Apa perasaanmu ketika melihat keretapi lalu dan mendengar aum suaranya yang bergema itu? ". Dengan bersahaja dia menjawab, " Tak ada rasa apa-apapun" . Setengah kecewa saya tidak pernah bertanya lagi. Tiga tahun berlalu, tiba-tiba di satu senja, dia bersuara tentang bunyi kereta api, " Baru sekarang saya dapat menikmati, terharu mendengar bunyi kereta api. Rupanya berbeza dengan bunyi komuter dan LRT" .

Inilah pengalaman menunggu kereta api tiba di stesen lama. Kadang kereta api lambat jadualnya, rel rosak dilanda banjir atau bukankah zaman perang dulu, rel rosak kerana diancam musuh. Zaman perang, pernah kau alami itu?

Di negara, yang lebih peka dengan jam dan waktu, kita dapat membandingkan bagaimana jadual keberangkatan dan ketibaan menjadi hal penting. Broser perjalanan, nama stesyen dan jam ketibaan tercatat rapi. Wisel berbunyi, sebelum kereta api bergerak. Senyuman penjual tiket, gerabak kafe yang sederhana tetapi selesa dan bilik air yang rapi dan bersih.

Hatiku berdebar dan pilu, mungkin ciri-ciri inilah membuatkan Singapura bosan dengan kehodohan stesen di Bukit Timah dan pengap kelabunya stesen Tanjung Pagar. Mereka sudah memasang strategi, kalau tidak berubah cantik, tidak dimajukan tidak dipromosi, ya singkir saja. Pernah kutanya kepada ketua Steseyen di Johor Bharu, bila melihat dua keping lukisan sederhana tergantung di dinding kusam, karya seorang pekerja, kerani yang suka melukis, Jawabnya, " Kami tidak ada dana untuk mencantikkan stesen ini " . Maka tidak hairan tidak ada ruang kafe disediakan. Sedangkan penumpang dan pelancong (asing) kerap menggunakan laluan ini. Tetapi alat hubung ini memang jarang digunakan oleh pembesar, penguasa negeri. Jadi untuk apa mencantikannya kerana kereta api hanya untuk rakyat marhen???

Sekarang manakah peta jalur Johor Bharu merentasi Tambak Johor ke Bukit Timah ke Tanjong Pagar. Semua sudah menjadi masa lalu. Kalau ada kenanganpun, ya tutup saja rindumu, masa itu sudah menjadi sejarah yang sengaja dihilangkan..

' Hanya dalam gambar lama
kau tersenyum menatap awan
sayang awan sarat benang kelabu.
di tangga gerabak kelas tiga
sarungmu tersangkut luk

(Bait Senandung Malam, 2009,12)


Rumah Nilam,31 Mei 2011

Dari Stesen ke Stesen (1)


DARI STESEN KE STESEN (1)


Jarak Waktu : 30 Mei 2011


SEJAK tiga hari, suara Ketua Stesen Tanjung Pagar, tersedu, suaranya sebak mengalir dan kita sebagai penonton TV 1 turut bersama bersebak pilu. Ucap Tuan Shamsul Bahri Simai, " selama 15 tahun saya bertugas di sini. meninggalkan anak isteri, hanya untuk menentukan keretapi selamat tiba dan berangkat. Kan saya beritahu ke anak cucu, inilah harta milik kita, ini sejarah, inilah pusaka, tetapi kita harus meninggalkan tempat ini"



Soalnya kenapa. Atas persetujuan bersama, tempat ini akan diganti dengan kereta api ekspres ...Persetujuan Malaysia? Begitu saja. Demi mencapai taraf maju, Singapura memang sudah merencana, menyelesaikan wajah silam pulau keramat ini. Kuasa di tangan sang kuasa...sejarah perjanjian 1963, penyatuan di bawah bendera Malaysia hanya bayangan kelam. Bubar, tanpa bantahan, tanpa persetujuan. Di manakah surat perjanjian itu? Siapakah pula melulus perjanjian baru ini? Adakah perjanjian atau penyerahan tanpa silat lidah keberanian. Lihatlah masih segar dalam ingatan. Tanah berharga berjuta ini akan dibangun hotel dan pusat niaga. Siapakah pemiliknya. Milik kita sisa rel keretapi ini akan mampukan di seret ke Kempas atau dijual sebagai barang bekas.

***
Tuan Ketua Stesen Tanjung Pagar
(buat Shamsul Bahri Samai)

Air matamu hanya titis hujan selitas
di jendela retak luka
tak siapa mendengar desah malam
kecintaan tanah air
hanya surat palsu tergenggam
mereka dengan lidah tajam
berbinar mata helang
menendang kau pulang
atas mabuk gaya
negara maju wajah besi waja
koyakkan panji sejarah
hanya kau tahu
janji pertama
gegak gempita malam berdarah
gerabak ini dipertahan
sejak berzaman
hari ini
pupus tanpa sebarang janji
di lidah rasmi!
...
Pulang
jangan lagi datang!

****
Rumah Nilam
30 Mei 2011

Monday, 23 May 2011

Pertayaan kepada KTMB ???

Hanya tingggal papan tanda?
PERTANYAAN KEPADA KTMB

JALUR keretapi pertama dari Taiping dan berhujung hingga ke Port Weld (sekarang Kuala Sepetang) sudah HILANG - atau DIHILANG, DILUPUSKAN????


Stesyen berusia lebih 126 GHAIB begitu saja. Bagaimana pula rumah-rumah boleh dibina di persekitaran tanah KTM - sudah dijual? adakah surat sah penempatan di sini ? Pelupusan hak milik KTM kah ini???

Persoalan & Pertanyaan  :  Tapak Warisan Sejarah terabai. Siapakah yang patut bertanggung jawab : Mungkin Pegawai Daerah, Menteri Warisan dan Kebudayaan, KTMB boleh memperjelaskan ?

****
Suara dari Penasihat Persatuan Pelukis, Pencinta Seni Perak (PPPSP).

***

Gombak, 23 Mei 2011


Harga pemuda perkasa kami

Balak bakau minyak sedia untuk dipikul oleh lelaki perkasa


KUALA SEPETANG, menjanjikan dua kehidupan yang saling membantu kehidupan penghuni kampungnya. Pohon bakau ditanam dan dikendalikan oleh Jabatan Perhutunan Negeri Darul Redhuan. Pohon bakau minyak matang berusia 30 tahun ditebang dan dibawa untuk lanjutan kerja di persisiran anak sungai yang menjulur ke kuala, untuk proses menjadi kayu arang. Ia dibawa dengan sampan motor, dan dilonggokkan di pinggir anak sungai kecil untuk di proses 'memasak kayu arang' dalam tanur.



Demi kehidupan, masih tersenyum menemani tugas harian



Untuk kelangsungan hidup keluarga, inilah kerja pilihan kelaki kampung Kuala Sepetang. Batang seberat hampir 40 kg dengan tangkas dipikul dan dilempar ke pingiran anak sungai

Kutemui anak lelakiku yang hilang, tersenyum : Jamil bin Zainon

Upah kerja mengangkut memikul kayu sekali jalan @RM 70 x 3 : RM 240.00.


Jamil sudah mengangkut kayu bakau sejak 15 tahun lalu demi menampung 3 orang anak. Berapa upahya ? Jamil tersenyum, kutahu inilah keinsafan hidup. Satu jalan mengangkat dan memunggah dengan kudrat berat dibayar hanya RM 70. Inilah belanja harian untuk anak-anak dan bersama menjaga isterinya Maznah binti Chik Din.Tanpa keluhan jawabnya, " Ini yang saya mampu lakukan menerus kerja ayah. Tapi untuk anak-anak akan saya lunas tanggung jawab mereka harus ke sekolah. " tegas pemuda perkasa ini.


***


Adakah wakil persatutan buruh mengkaji upah pengangkut kayu bakau ini. Kerja tanpa insuran, tanpa kemudahan perubatan dan gaji harian, kalau demam sakit tidak bekerja gaji tidak ada? Dan upah sebanyak @RM 70 sekali jalan itu berbaloikah dengan daya tenaga tubuh mereka. YB Menteri Besar, Menteri Buruh pernahkah singgah ke sini???

***


Gombak, 23 Mei 2011.






Thursday, 19 May 2011

Penyair, Sarjana, Wartawan



Urich Kratz (sarjana Russia), Dino S (Wartawan BH, almarhum), AGI (penyair Malaysia), Taufiq Ismail (Penyair Indonesia), @SZI,1993
***

Tokoh tiga profesional ini saling berkaitan. Tugas Penyair berkarya, tugas Sarjana, mengkaji, mengkritik dan tugas wartawan pula melapor, membuat promosi dan terbit di media massa. Sejauh manakah mereka dengan kepakaran masing-masing membuat kerja dengan penuh setia, meneliti dan menganalisis sesuai dengan keahlian mereka?




Mudahkah penyair menghasil karya? Ini catatan spontan Taufiq ketika saya menghulur buku nota saya. Spontan memang, dibuat lansung oleh keterharuan beliau ketika kami diundang membaca puisi di alun-alun (lapangan) kota di pergunungan Gayo (Januari 1986). Bupati Jamaluddin memberi cuti kepada staf negari, membawa murid-murid dan guru untuk melihat penyair Nusantara membaca puisi.
Tentu saja nota ini belum menjadi puisi. Puisi terjadi hasil daripada ketekunan mengulang daya fikir, menyesuaikan suasana dan memendam emosi jiwa. Sehingga kini, catatan ini hanya ada dalam buku nota saya. Taufiq mungkin juga tidak mengingati tulisan beliau ini. Kecuali kalau beliau kembali membalik halaman buku puisi Bunga-Bunga Bulan yang ku kira sudah ada terhimpun dalam Rumah Puisi beliau di Air Angek, Padang Panjang. Terkabar berita mereka akan merasmikan Rumah Puisi Taufiq Ismail pada 4 Jun 2011. Kita jumpa beliau di sana. InsyaAllah.
***
SZI, 20 Mei 2011:00.57

Dari Suara Sam Bimbo

Tahun 1970an, bohonglah kalau kawan-kawan penyair dan pelukis muda tidak peduli dengan lagu puisi Sam Bimbo @ Trio Bimbo. Sham juga pelukis dari ITB...dan kami di Jalan Kunceng juga kerap mengalunkan lagu ini. Kadang sausana di studio potret ASRI juga sarat dengan siulan Flamboyan...senja itu...seorang sahabat di Sulanjana juga kerap mengalunkan lagu ini. Pesannya " kutitip bunga flamboyan buat Izan"


Getar dan harum flamboyan (bunga semarak api) itu tertebar dalam novel remaja ini. Amat sederhana dengan latar gelora asyik remaja ketika itu. Kawan-kawan di PAPTI...haaahhha cerita anda dalam novel ini.


***

SZI, Gombak 19 Mei 2011