Sunday, 31 January 2010

Pustaka Madrasah Tarbiah

Khat hasil karya anakanda Firdaus @Salleh bin Mustafa


31 Januari 2010
TAHUN 2010 Pemuda Madrasah Tarbiah (MT) sudah mula mengatur program melengkap himpunan buku di Mini Perpustakaan. Biar kecil tapi usaha ini sudah menampakkan kecerahan jiwa ilmu bagi kumpulan Pemuda MT. Tahniah dengan perlantikan AJK baru dengan memasukkan program mari mengumpul dan membaca buku . Semoga mendapat kerjasama teman-teman pemuda seangkatan. Semoga juga anakanda Firdaus @Salleh bin Mustafa selaku Ketua Pemuda dan Rafli sebagai Setiausaha terus meningkatkan program berkaitan dengan buku.
Sumbangan buku-buku sudah dimulakan oleh DAWAMA yang menyampaikan koleksi buku sempena pelancaran buku Kasih Bonda pada bulan Ogos 2009. Kita masih menunggu sumbangan daripada penulis Putera Gombak ataupun anda yang pernah mendapat pendidikan di MT kita di masa lalu.
Secara tidak rasmi , dalam mesyuarat program Bersih Sungai dengan Kumpulan Hijau UIAM, Tuan Khairusy Syakirin telah sudi menjadi penasihat Mini Perpustakaan MT. Anakanda Pemuda harus bersedia mengurus program lanjutan. Dato' Dr Ahmad Kemala salah seorang yang pernah mengaji di MT diharap sudilah melibatkan diri dalam acara di pustaka MT kelak. InsyaAllah. Maju jaya untuk semua Pemuda MT , anakanda Kampong Bandar Dalam dan kerabat MUAFAKAT.
Bagi para sahabat FB yang sudi mengadakan kegiataan bersama di MT adalah amat dialukan. Apa lagi yang sudi menyumbang buku-buku , tentu menambah bahagia kami, dan Pemuda MT. Semoga niat murni Tuan dan Puan akan memberi inspirasi anakanda Pemuda kita untuk lebih maju berdikari dengan rangkaian ilmu daripada buku apalagi kesudian para penulis yang dapat dijalin penuh kasih mesra demi seumah anak bangsa.
01022010
Bandar Baru Bangi

Tuesday, 26 January 2010

SENI RUPA DUNIA MELAYU: SENI HIAS - TAMADUN BANGSA

SENI RUPA DUNIA MELAYU: SENI HIAS - TAMADUN BANGSA

Akulah sahabatmu

Selipar Bulan
Sahabat Malam Minggu


Hanya yang tahu
pentingnya aku di matamu
di dalam rumah
bebas meramah lantai
di kerusi menumpuk sila
di bentang dinding kebebasan
aku meriah diterjah angin
cahaya dan Cinta
terasa belaian - kau jangan cemburu
bagai dara pengantin
rapi mereka mengkilat
menumpuk warna tanda
kesucian dara
di mandi berlimau
ditambah pelipis membalut tumit
di situ nilai dara merah jambu
manis di pandang ibu.
Kini aku ditelanjangi
bertumpuk sepatu
aneka rupa, fesyen dan gaya
berjaring meliliti diikat simpul
terbuka bertumit tinggi
dihargai berganti
tanpa peduli
kesakitan jemariku
dibalut, dibungkus, dilecek
kadang berjalan di hawa panas
dingin dibalut sarung kaki
aku kebas, memulas, patah di hujung
tersepit di tengah
sesekaki tanpa
kau ketahui'aku dapat melarikan diri
berterompah berselipar
menuju ke steseyen LRT
semangat kuterhunjam
melompat
bebas terbuka
melenggang di malam cahaya
kuhirup udara seenaknya
hingga tuanku lupa
dia hanya berselipar
di malam minggu !
25012010
Gombak

Monday, 25 January 2010

SENI RUPA DUNIA MELAYU: NAMA KELUARGA ?

SENI RUPA DUNIA MELAYU: NAMA KELUARGA ?

SENI RUPA DUNIA MELAYU: NAMA KELUARGA ?

SENI RUPA DUNIA MELAYU: NAMA KELUARGA ?

Kenangan Makyung SN Khatijah Awang

Kerja latihan gerak asas Makyung (penyelidikan 1999)

24 Januari 2010
SETELAH 1O tahun perginya Seniman Negara Khatijah Awang, primadona Makyung, inilah pertama kali saya melihat persembahan Makyung di Panggung Sari. Dengan beban perasaan saya gagahi ajakan Bulan yang telah membeli tiket untuk ke dewan gah itu. Sedang di telinga masih terdengar bisikan:

" Kak Jah ingin sekali buat persembahan di dewan gah itu, tapi Menteri kata makyung tak sesuai buat kat situ. Tak pe lah, Kak Jah tetap berdoa, makyung akan buat persembahan nanti di situ."
Alhasil sejak rebab di gesek, sejak sembah tari Megadap Rebab. sejak inang-inang , menari sedayung makyung, hati sudah terhiris kerana yang terdengar ialah suara KA juga menggema di celah cuping. Patah sendu, lemak gaung suaranya sungguh merobek jantung. Sungguh saya tidak dapat berselindung lagi, inilah pertama kali setelah berpuluh tahun menonton lagak lucu Peran Tuan, Peran Muda, semua yang bergerak, menari berlari, kenapa wajah dan suaranya yang sarat penuh di hujung mata dan cuping telinga.

Sejak Makyung di bawa ke Akadeni Seni Kebangsaan (1995) berkembang di pusat pengajian tinggi, termasuk di PETRONAS, KA telah melatih dan melahirkan pelapis makyung. Maka dalam persembahan Anak Raja Dua Serupa, arahan adik ipar beliau Puan Fatimah dengan Loknan Ghani, masih dapat dikesan gerak alun waris KA jelas terbayang dalam gerak Alam Kesuma yang dilakon tari oleh Juhara Ayub. Juhara Ayub, Zizie, antara antara pewaris pertama sejak ASK mewajibkan pelajar mengikuti kelas makyung sebagai asas ilmu di akademi tersebut. Apakah saya terlalu dialun gangguan romantisme rindu kepada tokoh utama sehingga setiap gerak, tangis hiba Alam Kesuma sungguh menusuk hati sehingga pertemuan kembali putera bungsu - adik kembar Iras Kesuma (Rosnan Rahman) yang hilang dirampas Raja Lanun, tetap terpercik air mata dan sedu tidak tertahan. Dalam riuh perang langkah ganas Raja Lanun, janji yang ditepati Alam Kesuma melerai puncak permusuhan.

Bukankah dengan kecanggihan teknologi IB, telah menggerak cepat setiap penukaran lataran
pentas. Tahta kerajaan dengan lambang sulur bayung pepat , dengan daun budi, dengan set setengah berukir bangau, alangkah indahnya, kalau sebelum tahun 2000 Makyung sudah di pentas kan disitu?
Ya masih belum terlambat dan doa harapan Almarhum terkabul juga, makyung yang telah diiktiraf UNESCO dan IB sendiri telah mempertabatkan kumpulan Makyung Seri Nilam Istana Budaya.

Tahniah untuk semua yang terlibat .
Kepada YB Datuk Seri Utama DR Rais Yatim bilakah nama kenangan Seniman Negara Khatijah Awang dapat dinaikkan di IB atau di ASWARA?
25 januari 2010

Wednesday, 20 January 2010

SAMSUDIN MOHAMMAD > Citra Manusia di celah garis Khat bebas

Shahadah, khat bebas

Si celah potret SN Dato' A.Samad Said,
akrilik,2000, 45x61 cm

Buat Isteri, akrilik
2008, 51x92cm

Pelukis bersama SN Dato'A Samad Said, YM Raja Ahmad, Dr Najib

20 Janauri 2010
RA Fine Arts Gallery
No 6 Jalan Aman off Jalan Tun Razak
K.Lumpur
DALAM situasi menjernih konsep seni berlandas kefahaman Melayu-Islam, ada semacam keresahan bermain di benak jiwa pelukis Melayu semasa. Tradisi seni lukis moden yang dibawa oleh angin kolonial , melalui kelas bimbingan menggemar seni lukis berwajah, melukis model sebagai latihan asas berkembang dalam kelas bimbingan Kumpulan Hari Rabu dan Angkatan Pelukis Semenangjung (awal 1950an). Menjelang tahun kemerdekaan seakan menyogok anak-anak negeri, maka dikeluarlah biasiswa sehingga pemuda anak jajahan dihantar belajar seni di tanah penjajah. Senarai nama pelukis Melayu awal yang berpeluang belajar seni rupa, seni bina antaranya ialah Syed Ahmad Jamal (Seniman Negara), Idris Salam (Allahyarhyam) A.Latif Mohidin, Ibrahim Hussin (Allahyarhanm), Ismail Zain (Allayarham). Tradisi melukis potret atau melukis model turut dibawa pulang dengan gaya pribadi masing-masing. Di tanah air sendiri sudah berdatangan pelukis muda sama ada dari Indonesia, mahupun China dengan gaya khas wilayah masing-masing. Gaya melukis potret dilanjut oleh APS yang disogok langsung ialah Hussien Enas (asal Bandung) dan bersama dengan Sabtu, Idris Salam telah bergabung dalam angkatan Pelukis Semenanjung yang dinaungi oleh Perdana Menteri 1. Tradisi melukis potret ini yang berlansung di kalangan pelukis muda Melayu yang tidak berpeluang belajar ke luar negara tetapi berkembang dengan bakat semula jadi. Kumpulan ini mula mendirikan koloni mereka sama bergerak daripada sisa kumpulan APS, atau mengikuti jalur peluang dan kini banyak berhimpun di Pasar Budaya, juga di halaman Perbadanan Kraf Jalan Conlay. Tradisi melukis pemandangan dan potret masih berlanjuntan di tempat berkenaan.
Samsudin Mohamad (l. 1962)
Tradisi melukis di dalam satu situasi berkumpulan di taman atau ruang bersama menimbulkan
keghairan kerja pelukis. Namun ini tidak menjanjikan kesamaan ide dalam berkarya. Setelah lebih 25 tahun berkarya - memang tidak dapat dihindari, pelukiss kerap bebrsama sahabatnya yang terhampir, seorang pemain biola, meniup seruling, serta tokoh seniman dan budayawan yang didekatinya. Kenapa Citra Manusia? Inilah sorotan yang berani, lansung dan terbuka. Di samping meneruskan tradisi melukis di studio (Kajian Bogel i-4) sebagao warisan kajian studio Barat, pelukis menampakkan ketulusan memapar siri di khalayak. Lanjutan citra wajah ini hanyalah kejujuran kerja seniman, di celah langkah harian yang cepat, dengan semacam gaya yang hampir ditolak oleh pelukis muda yang mendapat didikan di pusat pengajian khusus seni lukis . Keluar dengan citra bebas seakan menggaris pola, kami adalah pelukis kreatif harus bebas dari segala lakaran, garis wajah potret manusia.
Tentu saja pelukis potret yang muncul di beberapa pusat beli belah masih meneruskan kerja mengambil upah, melukis dari gambar yang disedia oleh pemesan lukisan potret, (kerja ini masih berterusan di Pasar Budaya). Tradisi ini juga dapat diabadikan oleh Samsudin dengan watak Raja Ahmad, Dr Z, potret diri , Ibu, semua dengan bahan asas , arang di atas kertas.
Ekspresi bebas berantaian apabila pelukis memilih bahan akrilik sehingga dengan gaya impresionis tampilah potret " Sasterawan 1 " , " Sasterawan 2 " dan " Haris Bersantai " - sehingga kesan impresionis itu begitu ketara tanpa pelukis berfikir untuk membetulkan garis gerak urat jari atau pelipis mata.
Kenapa Jawi dan Khat?
Inikah sapaan keinsafan bagi mengurang gelodak hingar bingar kemusnahan budaya tempatan? Rindu pesan Nenek dan Ibu, Datuk (orang tua), ingatan kasih sayang buat isteri, diri sendiri, sahabat, dan anak-anak adalah jawaban melestarikan kesetiaan kepada jasa anak negeri.
Terlalu mulukkah ungkapan ini. Tetapi sekurangnya pelukis telah nmemberi kita ingatan, dengan khat bebas, dengan kalimah Shahadah, Surah Pertama ("Fatihah untuk Ibu") , dan ungkapan pesan seharian ' Jangan lupa Tuhan, jangan lupa puasa, jangan berzina..' adalah pesan peringatan luhur daripada nenek dan ibu. Wajah ibu diselesaikan garis organik khat tuluth jawi,
berona lembut biru. Potret isteri tersenyum dengan lirikan tajam, ' awas' ? dan pelukis terharu mencatat, ' jasa isteri ' dalam warna ungu merah jambu, lambang kasih sayang.
Demikian Samsudin memberi kita ingatan, antara kasih peribadi dengan dunia garis dan warna, kecintaan kepada keluarga, hingga ke khalayak umum yang tidak dipedulikan oleh masyarakat sendiri. Sebuah pintu muzium terbuka dari lubuk jiwa seniman. Nah anda di Kuala Lumpur, masih dapat menilai pandangan ini dan buat kajian bandinngan lewat kacamata sendiri - silalah ke RA Fine Gallery di no 6 Jalan Aman, off Jalas Tun Razak. Cik Puan Ruzaimah, Pengurus atau Raja Ahmad Pengarah yang mesra bersedia meramahi anda !
Gombak
21012010