Monday, 28 June 2010

CERITA LISAN TIOMAN DAN KG MUKUT


KEMBALI ke Pulau Tioman, seperti kembali ke halaman lama yang ditinggalkan. Ada rasa mengigit, terlayangkan kawan-kawan seniman yang sudah berangkat jauh. Aku sampai pertama kali ke Pulau Tioman , tahun 1988, bersama rombongan pelukis (Persatuan Pelukis Malaysia, PPM) di pengerusi oleh Allahyarham Ahmad Yusuf. Kami melukis kampung nelayan, masuk ke kawasan air terjun dan cuba menyatu dengan cerita asal tempatan. Aku bertemu Pak Lugam, bekas nelayan yang menghabisi hari tuanya dengan menganyam bakul, tikar untuk kegunaan seharian.



Tahun 2010 bulan Jun ini aku mendapat jemputan untuk mengendalikan program pemurnian karya kreatif dari kumpulan staf (pensyarah) UiTM Segamat. Bersama Nisah Haron kami bergabung sejak dari Bangi-Seremban-Segamat-Mersing sebelum belayar lebih 3 jam dengan feri menuju Kampung Mukut. Feri berenang laju tenang di Laut Mersing mencelah-celah pulau kecil yang bertaburan. Betapa indah dan sempurna ciptaan Ilahi.
Pemilihan AJK program ini memang menarik, kerana memilih Kampung Mukut di kaki Gunung Nenek Si Mukut, pasangan bukit berapit sepasang, menujung ke atas.
Sebelum tiba di jeti, kelihatan sayup Pulau Pemanggil yang kaya dengan cerita metos yang menggelorakan pelaut. Kerap kapal-kapal yang menghampiri pulau akan disambut gelombang tinggi, langit tiba-tiba gelap gelita. Kapal asing kerap karam dan hilang. Sebaliknya kalau Nakhoda Muslim akan cepat melaungi azan dan laut tiba-tiba kembali tenang dan kapal dapat berlabuh...(mengutip cerita Pak Taufiq Ismail, pengalaman orang tua beliau yang pernah membawa senjata dari Surabaya dengan pinisi Bugis di zaman perang Belanda).
Kami sampai ke jeti Kampung Mukut disambut ombak besar sehingga feri terus beroleng dipukul gelombang. Kebetulan kampung ini memang menghadap laut Cina Selatan, dan angin petang bertiup menggelombang laut, yang mula membawa ombak besar selepas bulan Jun. Inilah kampung asal yang masih belum diterokai pembangunan. Belum muncul gedung perniagaan seperti di Kampung Genting dan Kampung Tekek.

Orang kampung memanggil gunung sebagai Nenek Mukut.
Nenek berganding dengan 'datuk' tegak berdiri agam sudah dilitupi kabus. Di hari ke dua kutemui Nenek (Tuk) Nabiah, datang singgah di pondok kami. Peluang mendengar cerita pulau dan kampung ini terbuka. Tuk Nabiah mula bercerita tentang Pak Lugam yang pernah kutemui pada tahun 1988.

" Oooh Pak Lugam sudah nmeninggal dunia , di Kampung Batang Air. Anak-anaknya ada di Kampung Tekek dan yang lain sudah ke Tanah Besar.


Kenapa di sebut pulau Tioman ? Ah soalan bodohku tiba-tiba terkeluar begitu saja. Pada hal sudah mengutipnya hingga melahirkan cerpen " Taman -taman Laut".
" Oooi banyak cerita lah, Tuk tahu sikit aja, tapi selalu dengar cerita dari Tuk Wan...ini pulau tempat laluan dua ' orang' naga, lelaki dan perempuan - suami isterilah naga itu. Mereka datang dari Tasik Chini, keluar ke laut berjalan-jalan, makan angin. Zaman dulu, suami atau lelaki harus jalan di depan, sebagai pengawal, tunjuk jalan. Perempuan di belakang....jalan terus berjalan lelaki naga terlupa, kira-kira isterinya ada mengikut di belakang. Sampai di pulau ini, isteri naga tersangkut ke busut pasir tak dapat berjalan lagi....ini pulau yang kita duduk ni badan naga lah..si naga lelaki terus berjalan sampai ke Daik...nun jauh di sana itulah badan naga dah jadi pulau? "
Ha? kenapa di sebut Tioman?
Tuk Nabiah tersenyum. Pasti berbisik di hati ....bodoh sungguh orang ni, nak datang ke pulau tak cari cerita dari buku.....heeehuuuuong.
" Ooooh sejak lama, pulau ini kosong, cuma jadi batu, bukit...tu Nenek Si Mukut...tumbuh begitu saja....tak tahu semua panggil Nenek Mukut...ada "nenek" - penunggu di puncak gunung...dan datanglah pelaut singgah kerana tiupan angin kencang, berteduh lindung di pualu ini. Belum ada manusia, hanya se ekor burung tiong bertenggek di dahan kecil...."
Dialog terjadi,
- Pelaut > hei burung apa nama pulau ini?
- Burung Tiong dengan bangga bersuara > Tiong, tiong man (saya tiong, saya tiong)
- Pelaut > Oh cantik nama pulau ini Tio, Tioman.....
Burung tiong tertawa terbahak-bahak sambil bernyanyi dan terbang ke arah Nenek Semukut, ' tiong man , tiong man ' . bahasa asal pulau ini, man = saya...

Kutatap dua wajah yang makin bersinar kasih, Tuk Nabiah perempuan tertua yang masih mengingati cerita lisan dari moyangnya tersenyum manis. Kami serentak menoleh ke arah puncak Gunung Semukut dan tiba-tiba Tuk Nabiah bertanya, " Bila nak datang lagi.....lama-lamalah di pulau Tiong ini" - InsyaAllah.....
*******
Sanggar Nilam
Bukit Kanching, Rawang Selangor
29 Jun 2010

8 comments:

Ahmad Nawawi Yaakob said...

Prof, saya cadangkan kita buatkan satu buku kecil ttg Pulau Tioman, fokus pada Kg Mukut. Tentu banyak manfaatnya untuk generasi akan datang.. Itulah kampung warisan Melayu yang belum ternoda.

SITI ZAINON ISMAIL said...

Ya betul ustaz Prof, bukan saja buku, puisi lukisan tapi kita kumpul wang bersama, buat koperasi pulau kg Mukut beli tanah buat Kampung Ilmu Budaya Warisan....ah mimpi besar saya di hujung hari... masyaallah...realisiasikan impi hamba Mu ini...maju terus ada waktu kita sambung perbincangan hak ini...ya, kalau turun ke KL...beritahu...tanya Shima beliau tahu di mana pondok rakyat saya di Bangi...tu

Ilham Ainol said...

Salam singgah Prof,
Kg Mukut telah menghadiahkan kami deru angin,liuk goda daun kelapa,ombak nakal kadang2 kejam menghempas pantai,sarwa hidupan laut yang beraneka warna,Pak Zahid dan Tok Empat,dan rumah Melayu yang beratap limas,serta cerita-ceriti yang membuai rasa.Alangkah indah suasana yang sempat dicandai.Bersisa usia bakal disusuli jejak ke sana demi melepaskan sarat rindu kepada Gunung Nenek Semukut dan air terjunnya yang mendinginkan kalbu.Sejuk sekali!Doakan ia berkekalan dan setia menerima kami dari menanjung...

siti zainon ismail said...

Ya teruskan projek ilmu YITM Segamat terus bverkemabng di situ. hadikan kampung warisan jangan ditembusi warga asing, Ali -Baba,atau Ali-John

Anonymous said...

bangge sungguh saye membaca....
atok dan mak saya orang pulau tioman...kampung mukut lagi... =)

tOm said...

nice story prof..

Unknown said...

jika ingin melihat serba sedikit khazanah yg terdapat di gunung Simukut boleh layari FB & IG Simukut Hill View

Unknown said...

jika ingin melihat serba sedikit khazanah yg terdapat di gunung Simukut boleh layari FB & IG Simukut Hill View