*Cebisan nota akhir Laila
Malam tidak berbulan di Bukit Gombak
Setelah kau pergi tanpa pesan
kala hujan gerimis di padang utama
menjelang malam kemerdekaaan
masih bersisa makanan malam
kurapi piring dan teko menggulung tikar
tepat kausarung baju bulu kaitanku
di dalammya baju Melayu kancing satu
tanpa sarung kaki kerana kau hanya bercapal
malam gerimis tanpa bulan
juga tanpa payung, pasti songkok baldumu basah
tanpa tolehan tanpa dekapan
hanya secalit garis bulan di kilauan pandang
desah daunan buluh di tepian Sungai Gombak
loncatan ikan sesekali kudengar
lontaran pasir entah dari mana
di malam larut kau melangkah dengan senyap
hanya dengan ucapan Bismillah
aku tahu entah bila lagi kau pulang!
Yang terngiang hanya nada semangat
zikir dan syair perang sabil
berselang canda ingatkan malam pertama
kala aku dara baru melipat kain
kau asingkan samarinda hijau untuk pakaian malam kita
melabuhkan kelambu dan mengecilkan sumbu pelita
aku masih melambatkan suasana malam
tidakmahu tergesa
biar kau juga esok terlambat
melangkah meninggal pondok kita
Tapi imamku tidak mensiakan subuh
masih basah rambutku sujud di sejadah
dingin dan lembutnya bibirmu mengecup keningku
setelah salam
aku tahu waktu semakin dekat memisahkan kita
sebelum fajar
kau harus di simpang !
Di Bukit Gombak
dari rumah tok batin Usoh di Batu 12
menghilir ke Batu 9 Sungai Pusu
orang sudah menyampaikan pesan
Tunku sudah pulang dan bendera berkibar di Melaka
esok di depan padang utama
kau sama berdiri dalam gerimis Ogos
aku juga tergesa menyimpul kain di pinggang
merapi keronsang tiga di baju kebaya
mencapai selendang panjang menutup sanggul dua
secelah anak rambut terkulai di tengkuk
aku tahu di situ selalu belaian jemarimu
oh masa lalu!
Siapakah yang mengucapkan
tanah air ini bermilik warisan bangsa
berpohon jati dengan akal , semangat dan budi
aku selalu ingin memastikan pohon jati harus kekar
beratus tahun berkurun
demi tanah watan aku akan terus menanam pohon jati!
Tinggal Laila
lelaki berani harus berjuang
demi menegak keadilan!
Memang tanah air sudah merdeka
kuterima tanda ucap selamat kejayaan
pejuang tidak bernama
satu-satu kurangkul tahniah para sahabat
lelakiku memang tercatat namamu di halaman sejarah
turut merakam jasa perjuangan di muka dunia
kutatap wajahmu di muka akhbar
di cnn, di bbc, di tv tiga
sanjunan dan pujian
kau diheret maju memberantas demi kenamaan dan kesejahteraan
tapi hanya untuk mereka
kau tidak pulang juga!
Sesekali kuberanikan ke kota
tepat hari ulang tahun kemerdekaan bangsa
suaramu berapi seperti dulu
memecah impian yang bukan angan-angan
kaubangunkan semangat anak bangsa
tapi kau lupa pondok kita
Bukit Gombak kau tinggal lama
Di bawah tiang bendera di puncak Bukit Gombak kita
aku Laila, sendiri tanpa kau tahu
menjadi tukang cuci di universiti
tidak siapa peduli aku di sini
kadang mencuri membaca di pustaka
menatap wajahmu di akhbar
telah menjadi ternama di tanahair tercinta
Sebentar lagi kau akan tiba
merasmi acara utama di kampus
mereka akan menghulur tangan
kau juga akan menyambut salam hormat
pidatomu seperti selalu memang hebat
berapi itulah gaya
bekas ketua himpunan mahasiswa
di arena tahun 1970an.
Aku Laila entah isteri entah janda
masih menyimpan nota akahir malam merdeka
masih menunggu dengan kaitan benang bulu
kutahu esok kau akan ke negara sakura
musim bunga alangkah manisnya canda geisha
sebotol sake sudah cukup menghangat gelora muda
memang di sana kau bicara
tentang kerakusan bencana dan hak manusia
tapi kau lupa
hak dan kasih setia
aku masih seperti dulu
kebun masih berbunga
di Bukit Gombak tercinta
Masihkahkaitan benang bulu melingkar
di bahu kala benua utara di liput salju?
Bandar Baru Bangi
3 Julai 2001
(Dewan Sastera, Februari 2004)
3 comments:
salam =)
Salam, Bonda...
Puisi ini mengembalikan ingatan saya pada sahabat saya di Melaka...
Bonda hebat!
Yaaaa, Ampuan sekarang sedang membina kerajaaan penulisan. Yang penting terus bekarya. Menulis bukan untuk menang. Mereka dilantik menilai karya Tapi penilaian yang jitu mulia di mata Allah. InsyaAllah Dia penentu jiwa hambaNya. Amin. Kerja adalah tugas kita....
Post a Comment