Friday 17 July 2009

BAGAI TIN KOSONG


CAKAP BESAR ,
berdegar-degar, membesarkan diri sendiri,
tapi inti suaranya tidak membawa makna....
seperti juga bagai bertih direndang
ramaikah bersikap begitu...
" jangan" kata nenekku

,
Sabtu
18 Julai 2009

Thursday 16 July 2009

BALING BATU SEMBUNYI TANGAN


KENAPA berzaman-zaman manusia menyembunyi
perlakuan jahatnya
sehingga tidak akan mengaku
kesahalannya?
Tetapi batu-batu tetap bersuara
demikian puisi Muhammad Haji Salleh
atau kuberi baju
batu-batupun ketawa
17 Julai 2009

Sunday 12 July 2009

MUSIM GUGUR PERTAMA

TREM nombor 9 telah menghampir. Ana masih belum juga menjumpai tiket. Dia telah membayar hampir 4 guilder . Bererti kalau ke pelabuhan harus bayar lagi. Tapi setelah beberapa kali berjalan di kota Belanda itu, Ferdi telah mengajarnya...." Kenapa harus bayar dan dan beli tiket . Kau lompat saja - naik dan duduk diam-diam. Bukankah nenek moyang kita telah membayarnya beratus-ratus tahun lalu. Nah, semua biaya untuk projek jalan raya dan trem-trem ini hasil dari titik peluh nenek moyang kita - hasil rempah, cengkih yang dipunggah ke mari. Kau ingat rasuah tani di Sumatera...(lih. Musim Gugur Pertama, dlm Rindu Pala Mud, DBP,2005)
Saya juga terbayang pasti Komang tertawa terkekah nun di seberang batas sana - Berlin Barat (17 Ogos 1986)

Friday 10 July 2009

DI CELAH BARANG LAMA IBUNDA

RENDA kaitan ibu
masih di situ
mawarpun bersemi
di celah rindu
10 Julai 2009

Thursday 9 July 2009

Dongeng Si Siti Kecil

Ibunda, Hajah Bainah binti Haji Husin Majolelo
( 5 Mei 1929-26 Okt 2003)
' MAK tumbuh begitu segar. Kulit mak yang putih kuning, kelihatan kemerahan bila disambar matahari. Mak jalin rambut panjang dan lingkarkan atas kepala. Mak kemudian ikat pita halus untuk tambah seri atas muka. Kadang Mak bersanggul dua. Nenek selalu tegur Mak kerana sering letakkan selendang bawah leher. Atau lipat baju hingga nampak siku.. '

(lih.cerpen SZI, " Dongeng Si Siti Kecil", Okt 1979 dalam DSSK, Teks Publishing, 1988 37)

Wednesday 8 July 2009

Kulit buku Apa Suka,Tuan, 1913

INILAH kulit buku Apa Suka, Tuan. Terbitan tahun 1913. Lanjutan cerita ada dalam FB kita




Tuesday 7 July 2009

GRAFITI CURAHAN RESAH HATI?




SIAPAKAH yang sudi mendengar resah hati atau bencikan situasi. Berbagai cara menyampaikannya...tapi siapakah yang sudi menanggapi...kita bincang bersama hal ini. Latar temuan grafiti ini di tembok Pasar Seni dari arah bangunan Daya Bumi...tak lama lagi DBKL akan menghapuskkannya tanpa sebarang komentar.....konon mencemar!


BERKEMBANG LAGI PELUKIS WANITA MELAYU

Khairina Kharuddin

Citra berzaman menegak warisan?

Phaka (kolektor seni), Raja Ahmad Aminullah (Pengarah, R.A Fine Arts),
Haneem (Kurator bebas), Feezah (Galeri Chandan)


PAMERAN Kumpulan DiKalajingga: Dari kerana mata, bagai mengimbau latar alam dan sejarah kenangan penyanyi Melayu sebelum merdeka...barangkali inilah keistimewaan kumpulan pelukis ini. Mereka adalah terdiri daripada lima orang pelukis muda lulusan UiTM yang mendapat keistimewaan apabila R.A Fine Arts sudi mengatur pameran mereka (dari 2-15 Julai 2009). Catatan ringkas ini hanya merujuk kepada karya pelukis wanita tunggal dalam kumpulan DiKalajingga, iaitu Khairina Khairuddin ( l.1976). Setelah meninggalkan jawatan sebagai pendidik seni di IPTS KL, Rina sudah menetapkan dirinya sebagai pelukis sepnuh masa. Dalam pameran ini Rina menampilkan karya akrilik dengan menampilkan ciri figuratif bebas, antara gabungan citra tempatan (motif songket, gasing) yang menerawang bebas di langit kanvasnya (lih. judul In Vertigo, 7 x 5', 2009) ataupun figuratif bebas dalam Are You Mocking Me?...Yeah, 5x5.5.' , 2009).Terdapat unsur kejutan, kegelisahan di balik kenyataan tampak ini, terutama dengan susunan bahan yang ditampilkan seperti susunan abjad membentuk persoalan: Ss Superhero atau Pp Polition. Pelukis tidak dapat mengelak isu semasa yang menggelisahkan fikiran wanita ini. Begitu juga kucing dan burung yang seakan desah mangsa dan pemangsa, siapakan yang mengalah atau teralah...Pelukis ini masih mempunyai jalan panjang untuk meneruskan kehidupan dunia seni lukis. Tidak banyak pelukis wanita dapat bertahan untuk terus berkarya dan berpameran tunggal. Selepas ini kita menunggu bilakah beliau dapat mengadakan pameran bersendirian...pameran solo yang lebih menguji kewibaaan seorang pelukis wanita Melayu di masa depan...kita bersama berdoa untuk Rina agar tidak mensiakan bakat dan ghairah kerja bagi menuju ke jalan seni yang lebih luas di masa depan. InsyaAllah...
(Komentar dan pertanyaan saya: kenapa akhir-akhir ini begitu ghairah sekali para pelukis muda menggunakan bahasa asing sama ada untuk judul karya ataupun nama pameran...sekurang-kurang kumpulan ini telah mengambil keindahan alam ketika menjelang senja...DiKalajingga (Tahniah).Cuma anehnya mereka masih (ingin-sesaolah) berfikir dengan menolak lidah ibunda - kecuali Haris Ahmad dengan judul "Cheritera Tubuh" atau dengan sedikit nakal , " Sumpah saya takkan bukak" oleh Suddin Lappo)

Monday 6 July 2009

CITRA KUCING DALAM BIDALAN MELAYU

Kucing penunggu

Malu-malu kucing

Kucing tunggu ikan panggang


BANYAK sekali bidalan MELAYU mengangkat kucing sebagai citra bayangan atau pembayang dalam rangkap pantun. Antara bidalan yang dapat dikutip dalam tulisan awal ini antara ialah:
Bagai kucing dengan tikus
Bagai kucing dengan anjing
Kucing hitam di bumbung
Kucing menunggu ikan panggang
Kucing penunggu
Malu-malu kucing
Menunggu kucing bertanduk
Mohon para sahabat sudi menambah lagi bidalan yang mengangkat kucing sebagai citra bayangan.
(@model: 1) Bucuk mengantuk 2) Jingga berhias bunga 3) Jingga lepas makan)

SENI TULIS?

Konsep pohon beringin menghiasi bekas celak, produks
India di jual di bazar Mekah

Gunungan seakan pemelih kepala dengan ukiran
sulur bayung , menghiasi perangkap burung, asal Kelantan, 1960an

SENI TULIS? Inilah istilah awal tercatat dalam teks klasik Melayu...' Maka Hang Nadimpun menulis bunga-bunga yang indah, menghiasi kulit telur untuk dijadikan tanglung' . Ini ayat adatasi daripada teks Hikayat Hang Tuah. Di sebut juga , perkataaan ' jarum yang seni-seni sudah berkarat, hadiah dari raja China'. Perkataan seni bererti yang halus....belum dikaitkan dengan seni yang cantik. Tapi seni tulis yang indah telah dihasilkan juga oleh PANDAI SENI mengukir, ukiran larat, menulis bunga untuk kain bercorak. Kerana kita terdedah dengan displin pendidikan Seni Rupa Barat, maka semua teoripun diceduk untuk menjelaskan asal kata seni, art, arte hingga membedakan keindahan Kraf (bahasa Jerman --> menjadi Craft dalam bahasa Inggeris)
Begitu juga kerap terdengar kenyataan : " kita tidak pasti sejak bila seni ukir itu mula wujud di sini?" Dalam kotak hati saya , kenapa tidak pasti. Kenapa tidak dirujuk kepada bait-bait pantun yang sudah bercerita memerikan larik-larik ukiran, warna bentuk....hitam-hitam si tampuk manggis, hijau pucuk pisang (konsep warna), atau ketinggian keluasan disebut ' setinggi pokok kelapa' atau warna minyak....dari segi bahan gunaan, kita pun risau tentang kayu yang diukir cepat reput, cepat rosak maka diganti dengan bahan logam, batu. Kenapa tidak merujuk kepada kayu belian, meranti , tepas, ketapang yang tahan berzaman? ..ahhasil pun masih disebut ya ini bahan import'. Kepana tidak digali, dari manakaH asal daya cipta pengukir, membuat bentuk sulur bayung perahu bedar, gunungan atau pemelih untuk hiasan kepala pengantin ataupun hiasan kepala sangkar burung dan hiasan celak yang dihasilkan di India dan dijual di pasar depan Kaabah?
6 julai 2009, Isnin

Ya untuk pelajar seni, atau guru dan pensyarah di UPSI,UiTM, teori Herberd Read, perlu dibahas lagi dan berbicaralah dan falsafah ZAABA, Mohd Taib Osman, dengan Muhamad Haji Saleh juga puisi Usman Awang. cerita ' beringin tua di sebuah kota'

Sunday 5 July 2009

CUTI MELUKIS SEKEJAP TAPI MASIH MAIN DENGAN CAT

Sisa cat minyak masih berjejer di bawah almari lama.
Eeh masih boleh di pakai
Palang jeriji model 1973 ini masih kuat dan utuh.
Cat saja jangan ganti baru ye ..



Balang beras ni lebih tua dari usia Cik Baiduri. Ah, merah jambu lagi,
pasti Wira mengeluh lihat warna ini akhir bulan banti

RUMAH PUSAKA UWAN makin kelambkabut juga. Jarang balik, penghuni tetap Cik Baiduri, macam tumpang tidur aje , pagi pergi pulang malam. Nah, minggu ini cuti dari mencatat dan melukis. Selongkar cat-cat minyak dan cat air....tembuk dapur, palang-palang besi dah berkarat...aaaahh...janji dengan tukang gagal...tak datang dua hari dah tunggu, oke baik sinsing lengan ayoh berus, terpentine, tin cat, aku datang bersilat....sapu cat sapu cat...Siti kecil bernyanyi macam belalang melompat-lompat bersilat (jari yang bersilat ye...) lepas ini seronoklah nak masak menu Uwan...ikan bilis, kentang potong memanjang, cili hijau, bawang putih, bawang besar...halia tumbuk-tumbuk kasar, masukkan sayur kacang hijau ...crenggg tabur ke dalam kuali berminyak tipis- lauk siang hari ini. Alhamdulillah rezeki hari ini.
10 Julai 2009



Saturday 4 July 2009

JINGGA DAH JADI JEJAKA MUDA

Jingga sudah mengintai dan menunggu Katih...ah dia masih kecil lagi

Awas Jingga mula memasuki rumahnya..dan si Katih?

pamer taring dan misai ya?

MASUK usia 6 bulan, tampang dan gaya Jingga semakin bergaya, galak dan mula tayang tampang....dah mula mengendap, mengintai Katih yang baru usia 2 bulan, sedang nakal dan minta dibelai....kadang disangkanya Jingga itu ibunya. Ibunya Tam-tam dah mengembung lagi perutnya...ah haiwan manis ini cepat sekali membiak. Kali ini harap Bucuk berhasil membujuk Tam-tam agar nanti lahir si bulu putih kelabu.
Dan Jingga, kadang menyeringai, menaikkan bulu-bulu hidung yang sarat tumbuh di pipi juga di kening.Eh lucu juga , misainya kadang menegang dengan mempamerkan taring dan menggulung lidah...mula akan mencari teman mainan ehhh. Cepat sungguh nakal ya , jangan jadi 'buaya darat' lah....

Friday 3 July 2009

SILAKAN MENU NENEKKU

Hanya tiga lauknya saja , Alhamdulillah syukur Nikmat Allah Goreng belada hijau, ikan bilis, terung rimbang, dan petai

Masak lemak cilipadi tempoyak udang dengan peria


Persiapan bumbu : cili hijau, cili padi, bawang merah,
bawang putih, halia, kencur bersatu dalam batu tumbuk.

MENU harian neneku sederhana sekali. Ikan sungai selalu dibekal oleh Pak Nakmin. Kelapa dikumpul dari buah yang gugur, sayuran terung telunjuk, rimbang, daun pucuk ubi, mempulur keladi, tumbuh subur di belakang dapur. Daun betik tinggal dipetik di dahannya. Pokok bacang dan mangga kerap mengecur lidah. Kalau ke baruh menuju sungai akan dapat dipetik segala pucuk paku, pucuk paku merah. Di sungai pula dapat dikutip siput di celah batu. Hari minggu baru Abah datang membawa ikan laut seperti tongkol, ikan kembong, ikan sela...kalau nenek beli dikedai Habib, hanya ikan sepat asing, ikan belanak, atau belacan, garam, tepung, gula dan minyak goreng. Di hari makin senja ini, saya rindukan masakan nenek...gulai tempoyak udang dengan buah peria (bukan senang nak dapat udang ketika itu ---berayalah kami kalau nenek dapat membeli udang), tempoyak memang hasil peraman durian dari dusun di darat. Nah minggu lalu Wira turun dari gunung, kusediakan menu arwah moyangnya...ditambah dengan goreng ikan bilis bercili hijau, bertabur rimbang dan petai. Dan ikan asin bekal dari Tanjung Karang...nah habis nasi sepinggan. Wira hampir berpeluh menikmati makan dari menu nenekku... Al Fateha buat Allayarham Ninda tercinta , Hajah Bibah Deroman Magek

SELAMAT TINGGAL STESEN SENTUL LAMA


ketapang ini sudah berdiri sejak tahun 1950an lalu....

Ingin kukutip tingkap ini, eh sudah diborong oleh pemborong
barang lama hahah dan vespa milik siapa?

TAHUN depan akan lupuslah bangunan stesen lama di Sentul ini. Pohon ketapang di depannya sudah dicantas, sudah ditanda bakal dihilangkan......inikah bidalan dilagukan " Sudah menyeberang tongkat tidak berguna lagi"....Hanya untuk medirikan tempat letak kereta hanya kerana tanah yang sudah berjuta...tanah Kereta Api Tanah Melayu harus dihancurkan....dan meriahlah projek kondo mewah milik YTL ...lalu bengkel pun sudah berganti dengan megahnya untuk ruang muzik, taripun bercanda di KLPac. Siapakah yang datang dengan gaya perempuan muda rokok di muncung bibir, dengan baju pusat terbuka, ibu bapa pun tertawa-tawa...ooooo laju keretapi ku laju laju ke hujung pelangi.