Friday, 3 July 2009

SILAKAN MENU NENEKKU

Hanya tiga lauknya saja , Alhamdulillah syukur Nikmat Allah Goreng belada hijau, ikan bilis, terung rimbang, dan petai

Masak lemak cilipadi tempoyak udang dengan peria


Persiapan bumbu : cili hijau, cili padi, bawang merah,
bawang putih, halia, kencur bersatu dalam batu tumbuk.

MENU harian neneku sederhana sekali. Ikan sungai selalu dibekal oleh Pak Nakmin. Kelapa dikumpul dari buah yang gugur, sayuran terung telunjuk, rimbang, daun pucuk ubi, mempulur keladi, tumbuh subur di belakang dapur. Daun betik tinggal dipetik di dahannya. Pokok bacang dan mangga kerap mengecur lidah. Kalau ke baruh menuju sungai akan dapat dipetik segala pucuk paku, pucuk paku merah. Di sungai pula dapat dikutip siput di celah batu. Hari minggu baru Abah datang membawa ikan laut seperti tongkol, ikan kembong, ikan sela...kalau nenek beli dikedai Habib, hanya ikan sepat asing, ikan belanak, atau belacan, garam, tepung, gula dan minyak goreng. Di hari makin senja ini, saya rindukan masakan nenek...gulai tempoyak udang dengan buah peria (bukan senang nak dapat udang ketika itu ---berayalah kami kalau nenek dapat membeli udang), tempoyak memang hasil peraman durian dari dusun di darat. Nah minggu lalu Wira turun dari gunung, kusediakan menu arwah moyangnya...ditambah dengan goreng ikan bilis bercili hijau, bertabur rimbang dan petai. Dan ikan asin bekal dari Tanjung Karang...nah habis nasi sepinggan. Wira hampir berpeluh menikmati makan dari menu nenekku... Al Fateha buat Allayarham Ninda tercinta , Hajah Bibah Deroman Magek

5 comments:

mie3425 said...

Dr. Siti,

Begitu eksotik sekali menu tersebut, terimbau kenangan sewaktu saya masih kecil dahulu. Bagitu sukar rasanya untuk mencari menu begitu. Menu yang penuh khasiat yang tersembunyi untuk peruubatan orang Melayu, kerana petai, terung rimbang dan peria merupakan sayur yang pahit.

daydeck86 said...

tapi kalau peria yang pahit kalau dimasak dengan santan pekat bukan ubat lagikan... sedap mmg sedap kolestrol pun tinggi kalau sudah dimasak dengan santan pekat

SITI ZAINON ISMAIL said...

Ya Mie...mengenang detik-detik hari kita kecil kadang kadang rindu

ada tipsnya Dedek, santan pekat gaya Minang itu diselamatkan dengan pedas cili padi, untuk mengurangkan kolestrol,,,walaupun nenek tidak pernah tahu istilah itu...begitu juga dengan pahit petai, peria, untuk menghilang bau petai, diracik pula daun kunyit , bunga kantan...cuma chef moden kita sibuk dengan herba Itali, China, India...lupa yang bersatus Melayu....sifat Melayu itu kerana dia diam-diam ubi. Kini anak muda harus selongkar, kenapa usia nenek moyang kita dapat bertahan 100 tahun...(ini usia nenek sulung kami Nenek Batu meninggal ketika usia 110 tahun di Kampung Batu Jalan Ipoh dulu)

<< s| tED| >> said...

wah bonda!! Nampak memang sedap!! Kecur air liur ni!! Jarang nampak terung rimbang tu! Comel! Bonda tanam ke?

binjidan said...

hhaa aku bab makan tak tolak tambah pulak ada petai tempoyak dan ikan sungai jadik je...bila nk buat ni hehehe..