Mengunjungi mahaguruku Prof Datuk Mohd Taib Osman, Ogos 2008
Keluarga bahagia , kini bakat minat kajian budaya diteruskan oleh putera beliau
Afifi penyarah fesyen dan busana di UiTM
Keluarga bahagia , kini bakat minat kajian budaya diteruskan oleh putera beliau
Afifi penyarah fesyen dan busana di UiTM
APAKAH yang membahagia hati seorang Mahaguru (Profesor)? Inilah soalan yang buat pertama kali , saya luahkan kepada dua orang mahaguru yang membimbing kerja kesarjaanaan saya pada tahun 1976. Saya baru saja diterima sebagai tenaga pengajar di Instiut Bahasa dan Kesusateraan Melayu di UKM, Jalan Pantai, Kuala Lumpur. Pertanyaan itu terlontar jauh ketika kami sedang menolak perahu panjang untuk merentas jeram di Ulu Tembeling. Saya rasa bertuah kerana nama saya tersenarai untuk mengikut penyelidikan di bawah tajaan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, RTM dengan tenaga Akademik Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kerja kami ialah melakukan Penyelidikan etnografi budaya di kawasan Orang Asli di Kampung Bantal nun jauh di Hulu Tembeling, Pahang bagi mengumpul data Sastera Tradisi Lisan, permainan rakyat dan bahan budaya benda. Tugas saya hanyalah mengikut arahan daripada dua orang profesor. Kadang saya disuruh membuat lakaran sketsa, melukis rumah informan, merakam potret Pak Mat Petah, melakar persembahan tarian bubu, malah menjadi tukang hidang makanan setelah pembantu kami (seorang prempuan kampung dari Kampung Bantal) menyediakan masakan khas , gulai tempoyak ikan kelah...goreng pucuk paku disamping menuang air kopi dan teh). Kadang harus membawa alat perakam , menyusun fail dan merapi fail mengandungi nota-nota yang dicatat. Ketika berjalan berderet menuju ke rumah Pak Mat Petah, Prof Taib bersuara....
" Siti kerja seorang penyelidik itu harus peka melihat, mendengar butir bicara pelaku, meneliti hasil kerja hariannya, kalau dia seorang dukun, bomoh atau bidan kita harus ikut mendengar dan melihat ucapan mentera dan cepat mencatat dan merakam" ( tahun 1970, mana ada perakam kecil, kami membawa alat perakam paling kecil berukur 1x 1.5 ' . Kamera RTM juga penuh sebahu... Kerana di kampung itu belum ada letrik, kecuali di rumah rehat, kami harus semalaman memanaskan bateri semalaman suntuk.)
" Tentang kebahagian penyelidik ?"
" Kebahagian? atau mungkin lebih tepat ialah kepuasan ! Begini:
1) dia harus cepat menganalisis kerja penyelidikan lapangan
2) mengkaji dan menyesuai dengan bahan dapatan asas dari terbitan orang / pengkaji yang lebih dulu melaporkan hasil kajian (penyelidikan perpustakaan)
3) kajian dan analisis yang tepat (ketika ) terutama bahan semakin langka dan dapat dilestarikan ...
" Puncak gembira oh yang memuaskan hati?"
" Ya kalau karya akademiknya telah di bukukan ...di sini dia sudah memberi sumbangan ilmu...seorang penyelidik tidak pernah bosan melakukan kerja sehingga ada orang lain meneruskan kerja yang sama ----terutama bila kami sudah tamat tempoh kerja di univeristi..."
Cerita pengalaman inilah yang membawa saya ke rumah mantan Mahaguru ku di Petaling Jaya. Beliau amat berbahagia...inilah tanggapanku, melihat beliau tersenyum dan besuara...
"Saya gembira Siti datang dan terima kasih dengan buku-buku tulisanmu yang kerap saya terima dari mu sendiri. Syabas."
Saya juga gembira dan bersyukur kerana mantan Profesor, mantan Naib Canselor UM, masih menulis, masih mengedit kajian-kajian etnografi, budaya, dan sastera....semoga Allah memberi beliau kesejahteran dan kegembiraan di hari senja seorang sarjana dan budayawan Melayu.
Terima kasih Prof, memang saya gembira melihat Prof gembira...Amim.
Siti Zainon Ismail
Mantan mahasiswa bimbingan Prof Mohd Taib Osman
dan Prof Muhammad Haji Salleh , Sarjana UKM (Jun 1976- Dis 1979), Phd. UM (1985-1990)
4 Oktober 2009
No comments:
Post a Comment