Saturday, 3 October 2009

Bahagia hati seorang Mahaguru

Mengunjungi mahaguruku Prof Datuk Mohd Taib Osman, Ogos 2008
Keluarga bahagia , kini bakat minat kajian budaya diteruskan oleh putera beliau
Afifi penyarah fesyen dan busana di UiTM

APAKAH yang membahagia hati seorang Mahaguru (Profesor)? Inilah soalan yang buat pertama kali , saya luahkan kepada dua orang mahaguru yang membimbing kerja kesarjaanaan saya pada tahun 1976. Saya baru saja diterima sebagai tenaga pengajar di Instiut Bahasa dan Kesusateraan Melayu di UKM, Jalan Pantai, Kuala Lumpur. Pertanyaan itu terlontar jauh ketika kami sedang menolak perahu panjang untuk merentas jeram di Ulu Tembeling. Saya rasa bertuah kerana nama saya tersenarai untuk mengikut penyelidikan di bawah tajaan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, RTM dengan tenaga Akademik Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kerja kami ialah melakukan Penyelidikan etnografi budaya di kawasan Orang Asli di Kampung Bantal nun jauh di Hulu Tembeling, Pahang bagi mengumpul data Sastera Tradisi Lisan, permainan rakyat dan bahan budaya benda. Tugas saya hanyalah mengikut arahan daripada dua orang profesor. Kadang saya disuruh membuat lakaran sketsa, melukis rumah informan, merakam potret Pak Mat Petah, melakar persembahan tarian bubu, malah menjadi tukang hidang makanan setelah pembantu kami (seorang prempuan kampung dari Kampung Bantal) menyediakan masakan khas , gulai tempoyak ikan kelah...goreng pucuk paku disamping menuang air kopi dan teh). Kadang harus membawa alat perakam , menyusun fail dan merapi fail mengandungi nota-nota yang dicatat. Ketika berjalan berderet menuju ke rumah Pak Mat Petah, Prof Taib bersuara....
" Siti kerja seorang penyelidik itu harus peka melihat, mendengar butir bicara pelaku, meneliti hasil kerja hariannya, kalau dia seorang dukun, bomoh atau bidan kita harus ikut mendengar dan melihat ucapan mentera dan cepat mencatat dan merakam" ( tahun 1970, mana ada perakam kecil, kami membawa alat perakam paling kecil berukur 1x 1.5 ' . Kamera RTM juga penuh sebahu... Kerana di kampung itu belum ada letrik, kecuali di rumah rehat, kami harus semalaman memanaskan bateri semalaman suntuk.)
" Tentang kebahagian penyelidik ?"
" Kebahagian? atau mungkin lebih tepat ialah kepuasan ! Begini:
1) dia harus cepat menganalisis kerja penyelidikan lapangan
2) mengkaji dan menyesuai dengan bahan dapatan asas dari terbitan orang / pengkaji yang lebih dulu melaporkan hasil kajian (penyelidikan perpustakaan)
3) kajian dan analisis yang tepat (ketika ) terutama bahan semakin langka dan dapat dilestarikan ...
" Puncak gembira oh yang memuaskan hati?"
" Ya kalau karya akademiknya telah di bukukan ...di sini dia sudah memberi sumbangan ilmu...seorang penyelidik tidak pernah bosan melakukan kerja sehingga ada orang lain meneruskan kerja yang sama ----terutama bila kami sudah tamat tempoh kerja di univeristi..."
Cerita pengalaman inilah yang membawa saya ke rumah mantan Mahaguru ku di Petaling Jaya. Beliau amat berbahagia...inilah tanggapanku, melihat beliau tersenyum dan besuara...
"Saya gembira Siti datang dan terima kasih dengan buku-buku tulisanmu yang kerap saya terima dari mu sendiri. Syabas."
Saya juga gembira dan bersyukur kerana mantan Profesor, mantan Naib Canselor UM, masih menulis, masih mengedit kajian-kajian etnografi, budaya, dan sastera....semoga Allah memberi beliau kesejahteran dan kegembiraan di hari senja seorang sarjana dan budayawan Melayu.
Terima kasih Prof, memang saya gembira melihat Prof gembira...Amim.
Siti Zainon Ismail
Mantan mahasiswa bimbingan Prof Mohd Taib Osman
dan Prof Muhammad Haji Salleh , Sarjana UKM (Jun 1976- Dis 1979), Phd. UM (1985-1990)
4 Oktober 2009

Tuesday, 29 September 2009

Putera Melayu

Amir bin Rahim, bergaya dengan destar ikat
Bendahara Gombak hahah , kain tenunan bercorak
Trengganu, - sejak 25 Sept 2009
dihadiah kepada /koleksi Munirah Izzah

Segaknya putera berbaju Melayu
destar tinggi si bulang ulu
kain tenunan corak Trengganu
benang kapas bersusun ungu biru
leher pula selingkar bulan
berkerawang tikam belut
diikat cantik sebutir nilam

Kalau adat di pegang selalu
lebih beradab menyimpan malu
tidak sebarang bertingkah laku
banggalah aku menjadi putera Melayu
bibir tersenyum sungguh menawan
mata menjeling hati tersangkut
jangan membaut si dara pitam.


Salam sayang buat cucunda saudara Amir bin Rahim, cucunda Nurma binti Pangkat,
cicit Siti Mokmin binti Haji Husin Maharaja asal Turawan Batu Sangkar.
(gambar @ SZI, 1 Syawal 1430H, 20 September 2009)

Salam kasih para Cucunda di Hari Raya , 2 Syawal 1430 H,21 Sept 2009 M


Alhamdulillah, Syawal selalu membawa berkah...semoga kita saling mengingati hari-hari keluarga . Terimakasih Cucunda saudara yang datang dengan segak dan cantik, berbusana Melayu dan baju kurung merah kesumba...Tapi dua jejaka mana songkoknya...tidaklah lengkap pemuda Melayu tanpa songkok. Cucunda dari jalur Nyang Mak Tua Hajah Aminah binti Haji Husin Maharajalela asal Turawan Batusangkar. Cucunda pula adalah cucu kepada puteri Aminah iaitu Hajah Fatimah binti Suar, anak kepada Fadhilah binti Abdul Ghani. Nama cuncunda tahu sendiri lllalaah....Wan bonda pun tak hafal...maaflah kecuali Boboi yang sulung tu . Selamat melangkah dewasa ya Cucunda.....

Saturday, 19 September 2009

Akhir Ramadhan, 1430 - KL Sepi

Jalan dari bulatan Selayang mengarah ke Gua Batu (Batu Gave),
Sentul, Kuala Lumpur

Simpang ke arah Jalan Gombak (kiri), ke Semarak (lurus)
dan ke Sentul (kanan), jam 5 petang , 30 Ramdhan 1430 /20 Sept 2009

WAH inilah hari kami dapat menakluki Kuala Lumpur. Di sekitar Gombak- Gua Batu (Batu Gave le) , jalan lapang trantangtang. Saya bagai bebas mengetuk gendang bersama hatiku berlagu , hari ini (untuk seminggu), KL Aku punya....pergilah wahai orang luar KL, yang selamanya hanya memenuhi kampung kota kami...ooi jangan marah. Anda masih tersekat di Lebuh raya, di lorong tol Gombak..untuk pulang ke Pantai timur, ke Utara, tol Cheras-Kajang untuk ke selatn.
Siang ini dalam perjalanan ke Pasar Borong Selayang, asisten saya sibuk cepret gambar, macam-macam, tiang letrik berdiri, lampu trafik di simpang, penjual lemang, penjual bunga di celah-celah pasar, peniaga Mynmar, dengan bebas mempamer aneka sayuran yang asalnya dibeli atau dikutip dari sisa lebihan di Pasar Borong...pepttpee, pemotong ayam dengan pekik suara Aceh, , apek Cina yang lahir dan membesar di Rawang masih pelat berbahasa Melayu..ahahah. Waktu inilah juga hon kereta merdeka...masih ingin cepat melompat setelah berbelanja...di pasar NSK terserempak beberapa orang yang dikenali, wah kali ini juga kita dengan mudah mengenali : Ini dia kawan kami orang KL....Yusuf Gajah dan isterinya Zakiah juga berbelanja..., pertanyaan biasa,

- " Dah buat rendang ke ? "
-" Inilah, baru nak beli daging..."
- " Rendang Minang ke . atau rendang tok ? "
- " Daging batang pinang, berapa sekilo"
- " RM 26..."
- " Ooo, tak beli daging pinang lah, beli bahagian daging beku Australia aja, sedikit berlemak ,
oke saja, nak buat rendang, 2 kg cukuplah ...sekilo RM 11.50..."
- " Kelapa,,,yayyya yang udah perah "
Dalam kepala mencongak...sekilo daging, sekilo santan...oke boleh 3 kilo cukup lah....bukan nak pesta santan kan!....hati membujuk rasa sendiri, jangan lupa serai, daun kunyit, ibu kunyit segara, halia, lengkuas, daun liput purut...
Cik Melor sudah menunggu di bahagian meja ayam...menunggu berderet. sabar juga dia....dia tersengeh dah dapat kan dua ekor ayam, di belah lapan, suaranya gembira...
- " Wah masuk soto? "
- " Ya Soto, resepi Cik Minah Surabaya?" (Tuminah, mantan pembantu kami asal Malang)
Jalan lengang. Tapi tidak di pasar, troli barang berlaga, tapi kami pembeli masih dpa tersenyum membenarkan lorong masing-masing.." silakan dulu" Lagu hari rayapun berdengung...suara P Ramli, Saloma masih disenangi....hanya dengan kata lagu - dendang perantau,
' apakan daya masa tak akan kembali
hancur musnahlah semua nya..
impian yang murni tinggal menjadi kenangan
hanya rangkaian kata
dengan lagu dendang perantau..'
...Saya senang pasar kerana ada keistimewaan baunya. Di bahagian basah yang menjual ikan, udang, sotong , terasa sengatan air asin. Bahagian ayam dan daging agak hanyir dan berlender....bahagian sayuran paling menyenangkan dengan aneka warna...kuning cili Bomby, timun kuning Jepun (selain hijau, ungu terung Arab)hhhha....cili padi, kenit, tapi awas, telinga dapat berdengung kalau kelebihan dalam sambal mangga...
Di pasar juga orang saling citcatcitcat, syeee. Tangan kanan memilih sayur, tangan kiri masih dengah HP. Ada yang ketawa, ada yang marah-marah,
- " Nak beli apa ,,,cepat lah" .
Ada pula masih mengira senarai barang yang telah di beli, melihat ke kertas....(ini orang yang tahu berbelanja - mencatat barang keperluan sejak di rumah..) tapi masih merungut kesal, " ala santan belum beli...shampoo tak ada, garam ada tak? " Sambil membongkar barang-barang belian di kereta sorong. Si suami sudah mula mendengus, geleng kepala... Kasihan Cik Puan tu, Cik Abang tidak sama memilih barang-abrang keperluan ke?

Hatiku masih berlagu...suara Almarhum Asri , melantun-lantun. Kalau sebelum beliau berangkat meninggalkan kita semua....wajahnya dan suarnya yang selalu menghiasi acara takbir raya di RTM....Al - Fateha....terasa pula kita kehilangan ini...
Pulang dari pasar, masih melewati Jalan Rawang menuju arah Gombak...masih lengang , jalan arah ke utara juga lengang...eh dah balik kampung ke kamu haaah....

Esok setelah solat sunat di madrasah, kami akan berlanjut ke makam, menziahi keluarga di rumah-rumah yang dikasihi, Ibu, Nenda, makcik-makcik, seluruah Almarhum-almarhumah, hanya percikan air bunga dan doa untukmu semua
Lepas itu kami akan ke kota ...ingin melihat kebebasan jalan raya...sepi lengang...tapi ada seribu cinta tercatat terjalan di jalan raya....aku ingin melentang. Ingin terngadah di Dataran Merdeka...akan mendengar dentangan jam di rumah sakti Sultan Abdul Samad, lepas tu akan menuju ke KLCC, akan menonton pesta warga Indonesia dan Filipina berpesta libur, gembira di situ......atau ke Istana Negara...mereka ini lebih santai, dapat menyalami tangan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung...orang asal KL, mana ada waktu di hari raya pertama untuk berkunjung, kerana kami ada rumah ada keluarga sendiri sudah menunggu di rumah keluarga masing-masing....Ya kelengangan KL menjadi hati l a p a n g + .d a m a i......Kuala Lumpur aku punya ---hanya untuk 3-5 hari...sebelum tamu-tamu penumpang tanah di KL kembali lagi menakluki KOTA KAMPUNG kami yang disayangi ini.
Hai selamat hari raya
kami semua ucapkan
menikmati hidangan yang kami sediakan
sila jamu selera dengan bermacam hindangan
pilih yang mana suka
sila janganlah segan
rasakah ketupat ini
dengan rendangnya sekali
sudilah rasa kuih ku
pilihlah yag mana satu
hei di hari ini kita berjamu selera
kita bermaafan di hari raya .
Suara Sharifah Aini melengkeng pula dalam kereta..
20 September 2009 @ 29 Ramadhan >Syawal 1430.

Wednesday, 16 September 2009

Panggil Aku PATIMADORA (14.a)

" ..KAU marah, masih tidak percaya dengan kesetiaanku?

Kau sengaja mengeluarkan kata-kata itu lewat cuping yang sekian lama, ditampar angin kemarahan. Kau menyeringai, dalam ketidak pedulian, ketika kau melangkah pergi dan membiarkan aku terkejut tanpa menduga begitu tingkah seorang lelaki bergelar suami..."

Patimadora tersentak tidak percaya, dia tiba-tiba menemukan cebisan nota, renyuk, hampir robek sudah berwarna kuning ke abuan. Sisa debu dengan bau sengai lipas mati, berbau dengan cebisan bubuk peti kayu...

Pak Tua menyerahkan peti kayu yang sudah hampir hancur dimamah usia. Peti kayu berukir yang ditinggal di bawah rumah pusaka yang didiami Pak Tua. Dia diamanahkan menjaga rumah pusaka milik Tuan Syed Ayubi, setelah majikan kayanya harus segera meninggalkan ladang getah, kopi , nenas dan nilam, yang telah diteroka 0leh keluarga Al Sagoff, sejak penerokaan tanah diizinkan oleh Paduka tuan di Tanjung Puterit. Tuan Syed Ayubi, masih keluarga dari peneroka asal....mewariskan tugas ayahanda yang datang langsung dari Teluk Maut. Itulah cerita ayahanda yang datang bersama peneroka pertama dari Teluk Belanga, memilih pantai Kukup yang berteluk dalam terlindung dari angin ribut. Teluk yang menjadi rebutan para penyamun dengan peneroka awal, para nelayan orang Melayu-Melaka. Dengan kepedulian Tuan Syaed Muhammad, penyamun perompak dapat dihapus, diganti dengan buruh-buruh di bawa lansungn dari Jawa untuk ladang kelapa dan kopi. Kemudian di zaman Inggeris dengan sokongan istana juga, kuli dari China dibawa masuk untuk meneroka ladang cengkeh...

Patimadora bagai melihat putaran filem sejarah....dia pulang hanya untuk melihat jejak warisan ayahnya . Demikian ditemuinyu surat dari kampung asal dia dibesarkan, bukan di pantai Kukup tapi justeru di Melaka. Nenek bidan Tiah itulah penyelamat kisah puteri tunggal setelah ibunya lari meninggalkan rumah agam di ladang kopi....setelah caci maki, hina dina,

" Kau orang kampung tidak sedarjat dengan darah keluarga kami, sekarang kau boleh angkat kaki "

Wajah topeng lelaki keturunan Teluk Maut, yang disegani kerana kekayaan yang melimpah, yang mewarisi khazanah Ladang Konstantinople, berstatus juru kira tiga keturunan, tidak mampu lagi mempertahan kasih berahi musim awal perkahwinan mereka - hanya kerana darjat dan pangkat , hanya kerana sistem nilai sosiabudaya keterunan DKA berdarah biru dan Melayu anak pribumi , yang hina. Aku anak pribumi tiba-tiba ditindas oleh pangkat dan darjat.

" Ibumu harus pergi , setelah campur tangan ibu mertua, yang baru tiba dari Teluk Belanga, ibumu tidak mahu menjadi orang kedua, setelah Mem Orang Putih itu tiba? ".

Langit hitam menggulung, pantai Kukup. Langit bergumpal memenuhi rumah banglo milik ketua ladang. Tuan Syed Ayubi , sudah kehilangan tumpuan. Antara kesal, marah bercampur mabuk hampir melupakan isteri sedang sarat hamil...." Ibumu bersayu hati dan pergi dalam kabut bergulung , malam dingin menderu dari pantai, dan rumah itu telah membakar jiwa menjadi dendam...seorang isteri anak Melayu pribumi masih ada harga diri ! "

Patimadora, cuba membaca dengan teliti. Pak Tua, seorang nelayan juga penjaga rumah zaman itu, masih menemaninya. Tapi Pak Tua juga bersendu dan pilu. ' tidak mungkinkah begitu rupa puteri ku kalau sungguh benih yang disemai menjadi ketika aku harus tergesa meninggalkan Sutinah. Mungkinkah Nengsari, nama yang dititipkan, dan umpamnya benih sempat berputih dan membunga, Nengsari akan bersayap dan menari-nari....Allahuakbar!!'

- " Nengsari ? Siapa Nengsari Pak Tua? - rasanya saya pernah mendengar nama itu ! "



17 September 2009

Sunday, 6 September 2009

Panggil Aku PATIMADORA (8.a)

@SZI, " Zikir Ya Allah" , Akrilik atas seludang pinang, 2008


SUBUH kembali menyapa harian rutin seorang Tuan Perkasa Alam. Lelaki berusia menjangkau 60an baru saja kembali menjadi bayi dirai oleh seorang ibunda menyambut kelahiran putera tercinta. Dia tersenyum mengucap penuh kesyukuran kepadaNya yang maha Esa, Dia Ya Qawiy, Maha KuasaMu ya memberi , tegas dan Damai. Izinkan aku melangkah di bumi insani. Jauhilah segala Kemusnahan oleh AmarahMu, atau pertikaian meremuk hati gagal MencintaiMU. Tuan Perkasa Alam membetulkan rambuntya yang sudah mula ubanan, merapikan dagunya sengaja tidak dibiarkan sehelai rambutpun tumbuh di situ. Dia membuka sedikit bibirnya tersenyum lapang kepada dirinya selintas melihat jurai dauan cemperai....bisiknya, " Alhamdulliah, kita bersapa lagi, selamat pagi cemperai sayang "

Bermulah kehidupan hariannnya. Merapikan bilik, membuka jendela, mengikat kain langsir, meninjau titis embun di pucuk daun...Azan sudah melantun dari surau kecil di bahagain sisi kanan di hujung taman agak dilindungi dengan pohon cemperai yang sedang berbunga. Bilal mudanya sudah melaung azan ke dua. Cepat dicapainya jubah, menyarung ke tubuh, membetul ikatan serban, dan mencapai tasbih. Semalam agak lewat melelap mata, memang tidak lelappun, masih memikirkan ayat-ayat suci dalam bahasa ibundanya Melayu-Minang - petang nanti ada acara bimbingan untuk kumpulan " Memimpin Kasih Sayang" (MKS). Dengan asas yang sederhana tapi amat penting bagi seluruh umah kesayangan Nabi, selalukan dikau bercakap dan bertindak demi kebenaran hati, dengan kejujuran bertunggak Al-Quran dan Hadith...ya, ya ....burungpun bersiul melintas di atas serbannya..

* * *

Allahuakbar, Allah Maha Besar
Ya Allah
Satu-satunya Dikau Kekasih hati kami
Hanya Satunya kasih hati kami
Benarlah Kau Ya Rahman
Sang Pengasih
yang Menyayangi Nurkasih kami
Ikhlasi aku
Memahami hati nurani mereka
Demi Kau Maha Menghargai....


Sungguh benarlah,
daunan berbisik, pasir berdesir, burung menukik ke awan
ikan beriak lincah di air...dan kau wahai sahabatku, manusia yang dicintai Allah kenapa kalian melukakan hatimu sendiri, menyiat daging berlapis hanya kerana utamakah darah hanyir, ludah berdarah, Subbanalllah....


Mula terdengar sedu sedan, ritme kepiluan di belakang tabir bahagian jemaah perempuan.
Tuan Perkasa Alam, bukan ulama, bukan guru agama, dia hanya manusia kecil, manusia yang hidup dengan sisa - sisa hari senja dengan mengukuhkan Seni Keindahan mencintai Ilahi. Mengutip keinctaan Al Farabi, mendampingi semangat hati, jiwa dan tenaga raga. Dia malah penggemar muzik, bermula dari ketukan belulang kerbau yang mengeras tegang di bingkai baluh gendang, rebana, jarinya halus runcing memetik gitar , telinganya amat sensitif mengutip keluh, kecoh, kesal kawan-kawan sebaya....lalu bertuturlah seseorang.

" Kau sebenarnya mewarisi titih pejuang Islam , seilam, kau dari garis ke lima dari Pahlawan Pesaman, kenapa tidak kesana, mengusun titih asal usulmu, walaupun moyangmu sudah
tersisih di Minahasa..."


Bau haruman taman kembali segar...berbinar-binar dengan aroma yang berbagai. Serumpun kunyit sudah menyulurkan bunga, serindit dengan gembira melibas bulu-bulu hijau, kuning, betul dan sesuailah dengan warna bunga kuning, berlapis meninggi dengan kelopak yang tipis, mungkin inilah senang dikerumi serindit kunyit. Tuan Perkasa Alam merasa ini juga sapaan pagi yang iklhas, jujur, bersih, bukankah seharusnya untuk sebuah hati yang merinduNya, Ya Ilahi,


1) Kau sempurnakan Keindahan yang sedia kau lahirkan seorang Jamal, izinkan aku memulakan syukur dengan gerak Salam buat Sang Kedamaian ...tetap daun menguning gugur melayang jatuh ke rerumput padang - Ya kau Matikan juga hayat daun ini demi menjadi pupuk untuk kehidupan muda yang lain

2) Ya mengadulah kepada Yang Ya Muhaimin, lindungilah kami, selamatkan kami Ya Tuan

3) Anda yang sakit, sakit hati sunguh susah diubati, maka haruslah dikau kembali ke jalan Ilahi, lepaskan kesakitanmu dengan bisikan Ya Jabbar, Dia Sang Penyembuh, lalu terseyumlah lah ibundaku, kekanda dan adinda sekalian, bibirmu yang cantik bak delima pagi jernih dimerkahi mentari....kenapa juga berbusuk hati?

Sedu sedan makin menderu. Suara lembut di belakang tabir di bahagian belakang surau kini bergetar rusuh, bersayup hati....

" Tuan, Tuan Perkasa Alam...kami mencintaimu ! "
" Masya Allah bukan aku, bukan aku, hanya Allah, hanya Allah Dia

Ya Khaliq - Dia yang membuat, Dialah yang mencipta kejadian alam ini...hanya Dia,
bukan aku, bukan kalian..

Ya Razzak -yang memberi rezeki, menyediakan makanan halal untuk umatNya ,
enapa kali berpaling mengejar kekayaan....dengan jalan mungkar.

Ya Rafi' - hanya yang mengangkat darjat mu, tidak menyisihkan mu , kenapa kalian
berpaling!


Suara dengung sang lebah di balik tirai perlahan teratur mula menurun, kemudian hanya sunyi senyap.....kecuali selepas itu, jurai gerimis di petang Ramdhan indah berjuntai di hujung cemerai. Sang Tuan Perkasa Alam meneruskan acara kajian doanya sambil menunggu Maghrib tiba. Allah huakbar!

Tuan Perkasa Alam bangun menuju ke sudut kanan surau kecilnya, di situ memang tersedia alatan muzik, radio, segala alat rakaman...sekali tekan cekerapadat sudah mengadun suara Trio Bimbo dengan lirik puisi Haji Taufiq Ismaial..." Sejadah panjang"

Dengan keluhan dalam, Tuan Perkasa Alam tidak dapat menahan sendu diri,
" Adinda Patimadora, inilah puisi panjang buat mu, kenapa kau menghilang sayang, apakah
tiada maaf atas kesilapan masa lalu kita? Tuhan...Ampuni hambaMu di hari mulia Nuzul Al
Quran , damailah kau di sanad , adinda tercinta ....!"



Bukit Kancing
Ramdhhan 17, 1430 - Nuzul al Quran

Zikir Lokan (Panggil Aku PATIMADORA 6.c)


Lokan Bagan Lalang dari selut dan lumpur ada
yang tumbuh bercahaya

Merah ghairah dan serakah
tak terlihat lagi air mata langit
dihimpun lokan, sikit, perlahan
dalam hitungan detik berpanjangan
malam memeram
aneka cahaya laut
membisik zikir Ilahi
mensyukuri tetes hujan
terkepung di bibir luka
tidak mengeluh tidak mengaduh
kerana mata kegilaan
kekayaan dan kuasa
permata di mulut lokan
terampas

Hanya mutiara kau sapa
dijual di samun
penipuan dagang antara mangsa
terawatkah luka
dibebat jari cinta
hanya setitik
air mata langit
menyentuh bibirmu
menepis canda asin laut
jangan ganggu aku
demi penakluk kasih
hanya cinta-Mu
mengait pedih sukmaku.


* * *
doamu melantun
membedah laut
mengait hujung rambut

Ramadhan 16 1430