Monday, 24 October 2011

Detik Itu Pun Tiba

Sahabatku : Tiba waktu, kapalpun  membawa diri  seperti buraq dinihari - daku membawa helaian sayap amat tipis berlarik luka. Hanya kesedaran Iman, harus kita jabat erti perpisahan maafkanku  terlalu banyak mencatat melakar, mana yang terhiris hati, tersangkut tanya dan terluka...maaf kupinta. Izinkan daku  melangkah, merentas dengan tenang, tersandung  perit cinta memberi hari semakin nyata. Jelas Hanya Dia Yang Amat Lembut mendengar bisikan HambaNya.Doakan kasih batini sehingga diri semakin insaf segala dosa segala keingkaran, segala tipisnya kesedaran, demi kasihku berilah titis  ilmu pengetahuan, dengan jernih mata dan hati ,  tidak Kau pesongkan hati demi HidayatMu. Berilah Petunjuk, ada Cahaya, Cahaya KasihMu , aku tahu Dikaulah Yang Memberi Kurnia. Hanya Mu Yang Memberi Kesejahteran.Terimalah senyuman kasihku kepada sahabat terkasihku, tak mungkin kulayang ucapan maaf secara utuh, hanya di sini, tali kasih antara kira, dikau sahabatku, maafkan hati kecil ini, sungguh Redha  meninggalkan seluruh hak pinjamanMu, dari hutan, laut, langit dan Awan yang Kau pinjamkan kuserahkan  kepada Yang Hak! Demi Yang Terpuji, Redhakan aku pergi...dan izin kembali menatap mentari tanah air  ini. Al Fateha, Ayah , Ibu, Nenda, para guru dan   kedua anankanda ,   saudara mara dan sahabattku, kutabur doa kasih ampunilah Kami ya   Amin Ya Rabillalamin...

Menjelang 27 Okt 2011
KT 80. 

Saturday, 8 October 2011

Sekolam kiambang

Terima kasih Isnadi menebar benih kiambang ini - Laman Nyang Galoh Okt 2011
Benarlah kehidupan hari ini adalah sisa masa lalu. Ketika merenung sisa kolam ini, yang kerap ditinggalkan oleh si  penghuni taman, kadang kering di musim panas tanpa hujan, kembali menghijau berkelopak kiambang ketika hujan berderaian. Lumut pun berkilauan.  Apakah yang akan kau catat sahabatku?  'Biduk lalu kiambang bertaut' - betapa arifnya nenek moyang  mencipta larik puisi klasik ini. Larik dari batin indah terluah bersahaja, sehingga kerap pula di dendang selokakan.

Ketika akan pergi meninggalkan taman ini, lebih sebulan nanti siapakah yang sudi mengintai kolam ini? Yang akan mengocakkan permukaannya sehingga berudu bersilat ekor sebelum memamahnya sendiri untuk menukar wajahnya yang lebih asli? 

Siapakah yang datang menyiram keladi, pelepah rimbun sepit udang dan menghidupkan unggun api menghalau  nyamuk ? Adakah kelak  sahabatku si  Tiga Pendekar datang menjenguk???

Menuggu detik keberangkatan. 
Gombak
9 Okt 2011, 00:24   

Thursday, 6 October 2011

Jaga dirimu Jingga

                                                                    
Jaga dirimu Jingga
Ketika kau
segak perkasa
menjaga Adik manja
tak kau beri
Si Belang datang
menghampiri.

Petaka tiba
kau bersayu hati
diam di sarang
tanpa suara
jemarimu adalah
saksi
dunia berhenti
seketika
kau renung
kembalikan
kau seperti biasa
berlari meriuh siling
ikhsan
menjaga pagi
sebelum malam
memberimu
bisikan
jangan bersedih
sahabat kita
Jingga !

6 Oktober 2011 

Friday, 30 September 2011

7. 150 Tahun Kampung Kami

1.

150 tahun usia kampung kami?

Kau terkejut? Tidak percaya, lebih tua usianya dari kota raya - ibu negara? Ha?  Kenapa mendelik. Kota raya bersimbah cahaya. Aku tafakur sendiri di bawah tiang lampu, Pasar Budaya- bekas Pasar Besar di ibu kota sedang nongkrong bersimpun  di galeri Ghani Ahmad, dikeliling siswi UPSI. Inilah contoh galeri  yang  sudah dipindahkan di kawasan luar Pasar Seni. Pelukis makin terpinggir di ruang Pasar Seni yang semakin hebat .  Kadang disebut Pasar Budaya yang tidak mampu menyewa galeri mewah di mall di pusat hebat kerana menjual anika barang seni bukan lagi  100 peratus milik tempatan. Mana Pasar Seni yang digahkan 35 tahun lalu. Bila ruang melukis di Jalan Melayu, di Jalan Bonos, di Jalan Ampang, malah yang di anjur Kementerian Kebudayaan, di Jalan Belandapun sudah dilupuskan. Suara mentgeri suara Datuk Bandar bergema " Kita akan bangunkan Pasar Seni akan menempatkan studio pelukis... " tetapi selepas 20 tahun...ruang pelukis semakin kecil, malah  sewa semakin meningkat. Peraturan yang sengaja melecehkan ' pelukis pinggiran'. Itulah istilah si lintah darat pengusaha kota raya, mereka golongan pedagang mewah. Terakhir Aris Aziz juga harus keluar. Kembali menjadi pelukis berpindah randah...ya Rabbi. Pernah Balai Seni Lukis Negara mengadakan acara hujung minggu, pasar seni di halamannya. tiba-tiba diberhentikan. Diadakan pula Lebuh Seni di dataran Merdeka.  Berbondong seni di hujung minggu. Taraf seni rakyat bagai pesta arak berarak , masuk kandang keluar kandang. Mana Pasar Seni yang utuh sebenarnya. Tanpa pelukis mengheret papan lukis ke hulu ke hilir. Ayuh bangun semula Pasar Besar Gombak menjadi Pasar Seni!!!

 
Kudengar debat dua orang anak muda, bila kubercerita tentang asal usul wilayah  Gombak yang meliputi Kg Puah di Batu 3  3/4 hingga ke Batu 12. Dan  kampung kami  di Batu 4 1/4 Jalan Gombak bersungguh mempertahan kampung halamananya setelah DBKL mula mengatur dan menjalurkan kampung-kampung di pinggir kota untuk dibangun pada tahun 2020. Sepuluh tahun lagi, sembilan tahun lagi. Akukah si penutur tentang asal usul kampung yang bermula dengan peristiwa Raja Rasul singgah  di Labuhan Batu, batu hampar yang menjulur di dua lidah bercabang , Sungai Gombak dan Sungai Ampang bersatu dengan Sungai Kelang. di situlah kemudiannya muncul Masjid Jamik, bersebelahan pinggiran Pasar Seni sekarang. di Labuhan Batu inilah rombongan dari Labuhan Dagang- Kelang, menghulu membuka kampung di Ulu Sungai Ampang dan di Ulu Sungai Batu, Sungai Ulu Gombak. Jangan tanya Yap Ah loy rombongan mereka belum sampai lagi. Catatan sejarah harus diluruskan,  siapa yang membuka kota Kuala Lumpur. Kota yang penuh lumpur datang dari hulu sisa banjir dari  tiga batang  sungai utama,Sungai Gombak, Sungai  Ampang dan Sungai Batu. Kau tahu di mana letaknya Kampung Batu, Bukit Batu  sebelum munculnya  Batu Road? Gua Batu yang kau sebut Batu Gave?  Ikut mitos datuk saudara kami A.Samad Ahmad, mengatakan,  itulah sisa jelmaan Nakhoda Tanggang yang  menderhaka dan kapalnya menjadi batu setelah disumpah oleh ibunda masa lalu. 

****
2...bersambung. 

Thursday, 29 September 2011

KUTIPAN UNTUK KULIT BUKU BHG. BELAKANG

Latfy dan kawan-kawan, grafik:
bahagian belakang buku Rumah Waris Uwan ...

' Kampung asal berpaya ini kini disebut Kampung Bandar Dalam bersebelahan dengan Kampung Padang Balang. Perkataan Bandar berasal dari dialek Minang- Negeri Sembilan, Bonda atau Banda bererti tali air. Iaitu oleh peristiwa banjir besar 1928 di Sungai Gombak, penuhlah tali air menjadi 'banda yang dalam' maka bernamalah kampung ini Kampung  Bandar Dalam.  Inilah Bonda  ibu tanah air yang perlu dilindungi,dikasihi  khususnya buat warga Kampung Bandar Dalam serta para generasi muda pewaris seni budaya Bangsa' (dalam  Kasih Bonda kampung Paya Kami, DBP, 2009)  

*****
' Important too is her oral-aural quality. Siti Zainons's works are composed for the ear, and it is when  they are spoken and heard that their  distinctive are highlighted. The oral-aural quality relates were works to traditional literature - its folkloristic traditions. especially, which view poems a stories as part of performance as an oral art, memorised and dramatised at sosial or other ocassions'
 ( SN Prof. Dr Muhammad Haji Salleh dalam Malaysian Writers Siti Zainon Ismail, DBP, 1989). 

*****
 '...Siti  Zainon berguru mengikut tatacara konsep belajar dengan masyarakat Melayu di zaman dahulu. Perguruannya membawa dirinya menjelajah , berkelana, mengembara menyelidik khazanah  purba pusaka zaman silam. Dari desa kecil di tempat terpencil, dari tanah besar ke pulau-pulau Nusantara, dari negeri ke negara sehingga ke kota-kota besar dan kecil di Asia Tenggara, Eropah di mana sahaja ada jejak-jejak silam  seni seniman Melayu ..sekarang Siti kembali menjejak kampung kelahirannya, Gombak ' 
( Prof. Madya Dr Mahzan Musa dalam  Zikir Pelangi, The Rainbow Siti Zainon Ismail, 2000 : 19) 

KBD, 30 Sept 2011


Friday, 23 September 2011

DENGAN WARNA ALAM YANG BERSIH


'...Melukis itu kerja remeh, main-main, dan eeehh, anak aku juga boleh melukis seperti itu ...!!!'

Pernah anda mendengar ocehan remeh begini.  Suara lain bersambut, ' boleh ke hidup dengan melukis' .

Inilah nada momokan yang harus dilalui oleh pelukis yang baru melangkah ke dunia seni lukis yang luas ini. Sehingga tahun 1950an memang belum ada pun sekolah seni lukis apa lagi pusat pengajian tinggi yang menawar kursus aneh ini.  Menjelang tarikh kemerdekaan  YTM Tunku Abdul Rahman telah menaungi Badan Kebudayaan Melayu dan selepas itu berdirilah Angkatan Penulis Semenanjung (1956). Sebuah galeri sudah berdiri di bawah kuasa pemerintah dengan nama Balai Seni Lukis Negara. Pemerintah Inggeris pula telah mengeluar biasiswa menghantar murid pintar untuk mengikuti berbagai kursus termasuk kursus seni bina. Di sinilah mula dicatat, pemuda Melayu Syed Ahmad Jamal yang bermula mengikuti kusrus seni bina tetapi akhirnya muncul sebagai graduan seni lukis dan menjalar catatan, ' pelukis muda baru pulang ke tanah air, dengan sejumlah lukisan yang aneh: garis-garis lincah impresioniosme'. 

Di tanah ketika itu berkembang seni lukis realisme-romantis  potret dipelp[pori oleh Hussein Enaz  ( tahun 1950an Angkatan Pelukis Semenanjung ), lukisan cat air, pemandangan oleh Abdullah Arif dan Young Mun Sejak  (tahun 1930an) di Pulau Pinang. Beberapa orang daripada mereka adalah pelukis semula jadi serta berpengalaman dari tanah asal masing-masing. Tetapi melalui sistem pendidikan seni Barat, Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein dan Latif Mohidin, memang terpilih untuk belajar  di Eropah. 

Di sinilah jejak pertama Syed Ahmad Jamal. Sejak awal kerja melukisnya bermula dengan rasa yang jernih. "  Ruang kerja, susunan berus, campuran warna harus bersih."  Inilah pesannya ketika kami bersama santai di ruang terbuka di Balai Seni Lukis Negara di bangunan lama di depan Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Ketika pameran solo sempena usia 70 tahun di Muzium Kesenian Islam, warna cerah gemilang tetapi dengan sapuan dan campuran warna yang bersih semakin 'ranggi'. Percikan bintang bertaburan dengan latar sapuan berus lebih lapang tetapi meninggalkan kesan bergelombang, warna ungu langit seperti lapisan pelangi, jingga biru hijau menyatu. Warna muda yang segar.

Sejak menjelang tarikh kemerdekaan, kesan kepada nada merdeka telah  ke akar. Itu juga pesannya. Walau sekali imbas kita tahu beliau membawa aliran impres-ekspresionisme Barat. Tetapi itu hanya gaya. Jelasnya lagi...' sepanjang belayar, pulang ke tanah air, ketika kapal memasuki Selat Melaka,  ohhh saya sudah tiba ke tanah air tercinta'. Suara itulah saya puisikan dan membacakannya di hari pelancaran pameran itu. Rimbunan Rumbia, melepas pucuk-pucuk tinggi, menuju  ke langit...itulah semangat juang sebagai nada kebebasan. Unsur alam itu sudah lama bergelora.  Beliau melihat akar dan sulu noipah, laut brgelora yang muncul ialah semangat bergeloran anak muda menjelang memnuambut detik kebebasan.
Kebebasan dan nada juang itu terpanjar denga aris lincah, spontan, palitan berus kasa, saling bertindih mempamerkan kalimah  abjad jawi moden, dalam judul ' Tulisan' (cat minyak  1962). Hal yang sam juda dilakukan oleh latif Mohidin dalam siri ' Pago-pago'. 

Bagi Syed Ahmad Jamal , kesan perjuangan semangat menjeIang  kemerdekan  makin kukuh setelah bergemanya, Konsep Kebudayaan Kebangsaan (1972), bagi mencari akar pribumi (Seminar akar-akar Pribumi, 1979). 

" Siri Ledang" 
Sejak tahun 1979, Beliau tidak berpaling lagi. Pemikiran Melayu digali dari teks Sastera Klasik. Ikon Ledang mula meruap.  Beliau juga menemukan ikon budaya tempatan hingga berhasil mengadakan pameran Rupa dan Jiwa (Univerisiti Malaya ).   Karyanya juga tidak terbatas dengan bahan asas Seni Rupa seperti kanvas dengan akrilik tetapi juga melibatkan usaha reka corak  dengan tema Sejarah Melayu dalam kerja tenunan dalam judul ' Jambatan Emas/Jambatan Perak (songket + gouache). 

Semangat Ledang, bukan berdiri sendiri sebagai mitos Sejarah Melayu-Melaka tetapi juga jauh ke belakang telah wujud semangat dunia Melayu Nusantara dengan simbol gunungan 'Mahameru, Tumpal, Pucuk Rebung'. Simbol gunungan juga adalah ikon dengan  motif yang menjati diri sejak kewujudan kesenian warisan: wayang kulit, gerak tarian dan irama muzik Nusantara.

Usaha beliau ini telah membuka wadah kesenian Seni Rupa Malaysia yang wajar menjadi contoh kepada  pelukis muda tanah air.  ...
Semangat Ledang, bukan berdiri sendiri sebagai mitos Sejarah Melayu-Melaka tetapi juga jauh ke belakang telah wujud semangat dunia Melayu Nusantara dengan simbol gunungan 'Mahameru, Tumpal, Pucuk Rebung'. Simbol gunungan juga adalah ikon dengan motif yang menjati diri sejak kewujudan kesenian warisan: wayang kulit, gerak tarian dan irama muzik Nusantara.

Usaha beliau ini telah membuka wadah kesenian Seni Rupa Malaysia yang wajar menjadi contoh kepada pelukis muda tanah air. ...

(sambungan tulisan ini  lihat judul : 2.Manifestasi Dunia Seni > Puisi dan Lukisan, www.senirupasiti.blogspot.com/19/09/2011) 


@SITI ZAINON ISMAIL (Untuk rujukan sila nyatakan sumber @SZI, "Judul" dalam http://www.senirupasiti.blogspot.com,23/ Sept 2011)
Gombak
23 September 2011

Tuesday, 20 September 2011


BAJU MELAYU
Teluk Belanga dan Cekak Musang
sudah diangkat sebagai
busana warisan.
Baju Melayu Teluk Belanga
diperikan dengan dua gaya :
1) samping di luar baju  ' dagang dalam'
2) samping di bawah baju ' dagang luar ' 
3) di jadikan pakaian dalam majlis  rasmi
4) lengkap songkok atau destar

(data untuk akta warisan bahagian Busana, Teksil dan Seni Hias Diri
Kementerian  Kebudayaan dan Warisan)

20 ept 2011