Thursday, 5 May 2011

Detik Perpisahan, jurai palma masih melambai (23)

Bukit pasir merah sepanjang Ariha- Jericho menuju ke lembah Laut Mati ke perbatasn Jordan

BAGAI melakukan tawaf widak, buat terakhir, kami dibawa masuk lagi ke masjid Al-Aqsa melewati Tembok Ratapan. Hujan sudah merimbas, garis gerimis makin tajam. Peluang untuk lebih lama melihat gelagat pengunjung Yahudi berdoa dan meratap tidak dapat dilakukan. Pengawal di pintu pagar sudah mula membebel dengan pengunjung Yahudi dan Kristian yang tidak sabar untuk masuk ke dalam tembok. Hisham meminta kami agar segera mengambil wudhuk untuk solat sunat masjid, jamaq qasar zuhur-asar. Pesannya lagi " Panjangkan doa, agar selamat perjalanan ke Makkah -Madinah dan kembali ke tanah air " .

Bilik air penuh dengan jemaah Muslimah, ada yang terjerit berebutan paip air. Polis Israil segera meninjau dengan rungutan menghalau kami untuk cepat keluar, dan terus masuk ke dalam tembok untuk memasuki kawasan masjid.

Apakah doa kami masih dikabulkan. Adakah hari lagi untuk kami kunjungimu wahai masjid jauh Al -Aqsa. Hisham masih tidak selesai menjunjukkan kawasan berdarah, bekas tembok tempat anak-anak perempuan mengaji , juga turut dilimpahi darah berulang kali. Kutinjau lagi pagar yang memisahkan ruang mengaji dengan pustaka kecil, kelihatan suram dan seorang gadis sedang merapikan cataan di meja. Memang tidak ada peluang untuk meninjau kitab-kitab sejarah, agama dan falsafah Arab. Kami hanya berdoa, menatap mimbar dan mihrab, tetapi pandangan batin masih terpapar, serangan tentera Israil sejak mereka berkuasa, mencuba merampas masjid ini berkali, percubaan membakar, serangan, amukan masih saja berlaku.

Detik zuhur sudah berlalu, hujan makin menderas. Tetapi kami melangkah gagah, merayap di bawah jejeran pohonan zaitun menuju ke gerbang Kubah Emas. Hisham bagai segaja tidak membawa kami menjenguk ke bangunan kubah kecil di situ telah berdiri arca Manorah. saya tahu, manorah itu ada di situ. Biarlah.

Kami tinggalkan lapangan al -Aqsa, qubah Sakhrah dengan rasa berdarah, bilakah Fatah dan HAMAZ dapat menyatu untuk bangsa yang dahagakan kasih sayang umah. Gelora politik yang tidak sehaluan, hanya menguntungkan musuh. Detik perpisahan pun tiba, bas bergerak perlahan, kami tinggalkan al Aqsa dalam tembok tinggi, agam - entah siapa pula yang akan menguasai Kota Lama ini. Kecuali Kau yang Maha Tahu, Rahsia Hari Akhir, ketika umat durhaka akan dihancurkan bersama mala petaka?

Perjalanan makin merendah ke kawasan lembah, Laut Mati kelihatan melandai, dalam hujan dan awan makin gelap. Ya kami tidak singgah ke sisa negeri Sodom itu. Perjalanan 50 km menuju ke jambatan Allernby - King Hussein, langit sudah kelabu. Setengah berjenaka Hisham berpesan,

"Kawan-kawanku, anda tidak pulang...di sini tanah airmu juga, datanglah lagi dengan kasih dan cinta. Saya akan menunggu di sini , selalu. InsyaAllah "

Sebelum berpisah di perbatasan, soalan lain tanpa terduga, " Anda mahu bawa Hamzah pulang bukan? "

Ketika kami berpindah ke bas yang baru tiba dari Jordan, dalam kelam petang, Hisham sudah menghilang, setelah mengucapkan salam " Saya tunggu tulisan ziarahmu ! " Jauh di Lembah jurai palma disaluti deraian gerimis.


5 Mei 2011
(ketika catatan ini selesai, terkabar Fatah dan HAMAZ sudah menandatangi kesefahaman di Mesir. Masyaallah, satukan kasih antara perjuangan politik dan agama demi bangsa dan tanah Kota Suci Mu. Amin)

Sunday, 1 May 2011

Detik Awal Ziarah ( NB intro, Sayap Kasih Al-Quds)


0.1



AMMAN masih aman, ketika kami meninggalkan ibu kota Jordan pada 9 Mac 2011. Pengurus rombongan kami, berwajah sayu, pesannya, " Selamat jalan ya kawan, saya belum ditakdirkan untuk ke Tanah Suci sana" . Saya masih tidak percaya kenapa beliau yang bersungguh mengatur perjalanan ini, tetapi sehingga kami tiba di Jordan, namanya tidak ada dalam senarai pengesahan visa untuk ke Baitul Maqdis. Pembimbing perjalanan dari Baitul Maqdis sejak subuh sudah berada di lapangan terbangan Queen Alia. Agak sukar untuk menjelaskannya, cuma kedengaran suaranya, " Nama anda mungkin tercicir dari senarai, kiriman fax dari Pulay Salatan sana. Saya cuba mengatur perjalanan, hanya Allah swt menentu rahsia ziarah kawan-kawan semua ". Hisham Kamel Shwaiki mengambil tugas Murtaza yang hanya menghantar sampai batas terminal Jordan. Memasukan beg kami di ruang Public Relations and Tourism. Kami tidak perlu turun dari bas. Nampaknya perjalanan masih aman. Tambah Hisham, " Kawan adalah umat Muslim, semua orang muslim adalah sahabat Palestin. Dan kami ke Jordan juga memang bebas keluar masuk asal ada memegang kartu Palestin." Saya masih belum jelas duduk perkara hubungan Jordan-Zionis Israel - Palestina. Yang kita tahu, Palestina sudah menjadi wilayah jajahan musuh Allah. Perjalanan dari Amman untuk masuk ke perbatasan setelah merentasi sungai Jordan untuk merentas King Hussein - Allenby Bridge yang berjarak 50 KM dari kota Amman, mamang damai . Tetapi tingkah petugas terminal Zionis sungguh melelahkan. Beg kami diheret turun, dan kami harus sabar menunggu giliran di batas ruang skrin . Semua beg kecil yang bergantungan harus dibuka isi kandungannya. Wang kecilku bertaburan, gelang logamku berkelining di bawah sinar skrin komputer. Mata sinis menjeling, dan pasport setelah ditampal stiker di belakang dilempar ke sisi. Harus patuh dan sabar, cuba tersenyum tiada sambutan senyuman kagetku. Hisham sudah melompat ke jalur laluan rakyat Palestin. Kami terpinga menunggu giliran di celah garis pelancongan peziarah tua...

Jambatan King Hussein- Allenby Bridge


0.2


Jambatan inilah memisahkan negara Jordan dengan Zionis dan Palestin. Sungai Jordan menjadi saksi seribu peristiwa perang dan damai, huru hara atau perlakuan rezim Zinois, setelah peristiwa NAKBA 5 Mei 1948. Jambatan ini juga pernah dihancurkan oleh gerakan terroris Yahudi, Levi . Di sini juga jambatan sejarah untuk laluan para Haji dan pejalan Umrah dari Palestin untuk ke Tanah suci Mekkah. Setelah Jordan meninggalkan Palestin tetapi penduduk Muslim masih bebas merentasi jambatan walau terminal perbatasan pihak musuk masih oenuh dengan dendam dan curiga. Kini kami juga disorot dengan kecurigaan . Setelah melompat dari bas di batasan terminal , Hisham memasuki laluan penduduk Palestin dan segera menuju ke bas ruang tunggu di luar terminal. Kami tidak tahu di mana dia menunggu., cuma pesannya " Allahuakbar, nanti bila selesai, check inn jumpa dalam bas di awal perjalanan? " Ha? Dalam bas kemudian baru beliau menjelaskan, " ini rahsia dalaman dan perniaagan, kami harus mengikuti peraturan tidak mudah menerima kunjungan peziarah Muslim dalam ruang pelancongan, dan saya harus menyesuaikan diri dengan syarat mereka demi, umat se Muslim, anda telah tiba, selamat datang ke Bumi Berkah Allah! "


0.3

Selamat datang, selamat tiba! Tidak ada sesiapa memberi ucapan begitu di terminal rezim Zionis. Saya tidak tahu di mana pula Hisham sudah melompat dalam bas dengan gembira, " wellcome, to baraqah land. Amin"

Kami serentak mengaminkan ucapan pembimbing perjalanan ke tujuan Baitul Maqdis. Kami sudahpun melalui pinggiran sungai dan sayup di lembah kelihatan wajah Laut Mati - al Bahrul Mayed. Tetapi jalur perjalanan ini tidak singgah ke situ, sehingga waktu pulang perjalanan nanti. Tetapi hatiku entah kenapa berat untuk singgah ke tapak sisa negeri Sodom yang dilaknati Allah swt. Hisham menambah komentar lagi,
" Tahniah rombongan anda hanya satu jam saja melalui pemeriksaaan di terminal Zionis. Ada setengah rombongan sampai tiga jam, ada ditolak saja dibiar bermalam di terminal...anda orang terpilih, Allah mengizinkan perjalanan kawan semua " . Saya masih terpinga dengan komentar begitu, masih tertanya dan baru belajar dengan sistem sosio budaya yang lebih menjurus ke sistem politik penjajahan era moden tanpa nilai humanistik. Setengh perlahan Hisham bersuara lagi, " memang kita dianggap terroris, tapi kerana hidayah, jadi kita kuat dan berani kerana Allalh, ayuh, salawat Nabi, ayuh zikir...terus dalam perjalanan ini"


Lembah Ariha-Jericho, laluan tapak Musa a.s


0.4

" Wellcome to the city of the moon

the God ia a moon


Musa and Isa are hear


now you are the flowers


all Muslims smile with the wind


the wind of blue sky "




Saya hati-hati mengutip tutur Hisham. Saya kurang pasti apakah kawan-kawan serombongan turut asyik dengan percakapan itu. Kerana ada yang terpinga, " betulkah Tuhan itu Bulan". Saya terkilan tidak tahu bagaimana menjelaskan larik berlambang Hishamu. Cuma diri sudah mula bermonolog antara : saya dan aku" : ketika Allah membawa pertarungan Talut dan Jalut. Talut yang bijaksana dengan ilmu pengetahuan dan terpilih menjadi raja di Ariha sebelum tiba Nabi Daud a.s! dan siapa pula Hisham. Cucu cicit Talut ?



" Talut? yes i'm the great Talut king of Jericho

the great grandson of Talut

but not Jahut , not Lut !

yes , read al Baqarah !"




'Itu juga sajak ke, dengus kawan sebelah tempat duduk!



Wellcome to Jericho- Ariha sebelum kita masuk ke al Qud, al-Khan, al Ahma. kota Nabi Musa, Isa juga bersolat 44 hari di sini.


Jalan masih terus berlakr bukit pasir, gunung batu merah. Di celah bukit pasir berbondong segerombolan biri-biri dan si gembala . Angin mendesing, awan berarak cantik dilapisi biru langit cerah. Sebelum tiba di Makam Nabi Musa, kami singgah di gerai buahan kota bulan kota palma, angur, delima, limau pisang , tamar. Hajah Foziah membeli dua biji delima sebesar buah limau bali, Masyaallah. Manis segar. Ya Ilahi semoga perjalanan ke Baitul Madis kami diberi kesegaran dan kesabaran Iman.

***
Kota Baitul Maqdis,Rabiatulakhir 1432/Mac 2011






Saturday, 30 April 2011

Catatan untuk bahagian belakang > Sayap Kasih Al-Aqsa

Menghala ke pintu masjid al-Aqsa (@szi, 9 Mac 2011)




*Masjid al-Aqsa, qiblat pertama Islam sebelum diwahyukan Allah swt kepada nabi Muhammad saw , 14 tahun kemudian untuk mengadap ke Masjidil Haram.



* Palestin, tanah suci Anbiya, bumi kelahiran,berdahwah dan wafat para nabi antaranya Nabi Ibrahim, Lut, Daud, Sulaiman , Musa dan Isa Alaihimu - salam



* 15 Mei 1948 - tarikh tidak terlupakan bagi Muslim di Palestin. Terroris Yahudi (murtad) dikepalai oleh Irgun, Levi, Haganot telah bertindak ganas, terkenal dengan peristiwa NAKBAH dengan pembentukan Negara Israel palsu dengan 'arahan rejim Zionis' yang bertapak di Eropah. Dalam pertempuran ini beribu-ribu Muslim syahid. Lebih mengaibkan mereka menghalau penduduk asal di perkampungan Katoman yang dihuni pelbagai keturunan: Turki, Greek-Kristian Orthodoks, Islam, Armaneian, di halau secara paksa. Jerusalem terpecah dua, bahagian barat di huni Yahudi pendatang dan timur Juresalem - Baltul Maqdis untuk Islam dan Kristian Arab . Pelarian Palestian ditampung oleh negara jiran , Libya-Labanon, Syria, Jordan, Kuwait, Mesir dan Algeria. Tetapi penempatan pelarian ini terus saja diserang dengan niat untuk menghapus Muslim Palestin seperti serangan ke Kem Shattila ...





Sdr Hisham, NB- untuk bahagian belakang kulit buku


SZI, Kg. Bandar Dalam KL, 1 Mei 2011






Jurai Palma - pengalaman kecil di kebun Nyang Galoh

'....Matanya terus mengikuti betapa selama ini dia telah kerap melakar juraian daun atau pelepah palma bukan saja di Taman Victoria, tetapi juga di sepanjang taman di Teluk Sydney juga di Fremmantle, Perth. Aneh mengapa sekarang baru dia terpukau dengan anggukan akar setelah kakinya tersandung dan dia tersentak? Tiba-tiba saja, Sumi terhantar jauh ke kebun pusaka nenek Galuh di Tanjung Karang. Dia mula melihat telatah anak gadis remaja pertama mula mengenali jejerean pohon nipah, menghidu bau paku pakis dan tali air yang penuh ikan sepat. Di situlah pertama kali , dia mula mengetahui bagaimana atap rumah boleh dibuat dengan mudah apabila ayahnya berhasil menyusun dan menyemat jaringan rotan atau lidi untuk mengukuhkan susunan daun nipah sehingga beberapa helai atap siap... ''(JP, 2001, hal )


'... Sahabatnya itu juga masih menyimpan gambar-gambar kampung di Kalang dan Teluk Belanga, " sayang semuanya telah hilang", keluh sahabatnya. " Tapi masih ada rimbunan pohon palma, paku pakis di Botanical Garden?" (hal. 107) /Hadiah Sastera, 1995


........

Catatan Karya

Gombak, 1 Mei 2011

Friday, 29 April 2011

Aku Anak Tani!



Dialog Anak Alam (2)

1. Aku anak tani ...akupun meneruskan lirik lagu Ebit

2. Ala kitalah anak petani, dah biasa dengan kebun sawit, juga tanam padi

3. Cik Yam pernah digigit lintah....?

4. Eh sini ada lintah ke? Kampung saya di Sabak Bernam ada babi hutan, sebab tu ada lintah

Cik Yam pun turun, menarik rumput renik yang menjalar ke pohon mengkudu, membilik pokok nenas yang ditanamnya 4 bulan dulu. Di petiknya bunga sepit udang, dimasukkan ke dalam vas, dan meja makan kami berhias seni pagi. Cik Yam juga sudah menyediakan nasi goreng, sisa malam dari bekalan rumah pengantin...saya masih merapikan meja tulis, Cik Yam menunggu di meja. Ketilang dan serindit masih menyanyi.

6. Eh, nanti lain kali kita bawa Cik Salamah ye, pasti riuh. Kalau kita berdua, senyap saja rumah ini.

Ha, pendiamkah kami?


Nota Laman Nyang Galoh
11 april 2011

Menunggu surat???

Dialog Anak Alam:

1. CIK YAM, sekarang orang tidak menulis surat, tidak pergi ke pejabat pos untuk membeli setem. Waktu sungguh terhad, sekarang tekan swis, lampu menyapa, komputer pun boleh bersuara.

2. Percayalah, bisik Cik Yam, " akan tiba surat Rahim Nazar dari Negeri Kincir Air, akan datang surat ekspres Ali Mabuha dari Mexico. Poskad Zahar dari Langkawi. Herman dari kampus Tentera. Mana tahu surat Jo juga tiba dari Afghanistan, datang kiriman puisi cantik dari Oom Latif Mohidin dari Teluk Kumba, eeeh,,mungkin Bang Tapa juga titip puisi cinta lagi kepada ku, di alamatkan di sini?

3. Esok pagi, terdengar motor pos, datang cepat, memasukkan kertas surat? Cik Yam berlari ke bawah, membuka kotak surat merah ini, " Haaa, kan ada surat...surat dari pejabat Cukai Negara, eh awak masih harus bayar cukai ke...kah bersara haaa???

4. Itulah surat cinta Cik Yam ooiii....mereka cari kita konon banyak kot royalti tulisan haaaaa...

Kotak surat bisu. kenapa kami rindu menunggu tiba suratmu?


Laman Nyang Galoh, Aoril 2011
(NLNG)

Wednesday, 27 April 2011

Puisi Si Gembala (16)

Mimbar Salahuddin al Ayubbi masih utuh di masjid Nabi Ibrahim

di Hebron , abad ke 11 M



Mimbar Salahuddin al Ayubbi , ter(di)bakar di letak di luar
masjid Al Aqsa, dicat putih menutupi kesan terbakar
tapi mimbar tetap utuh


1.



Dari jauh, deruan tapak kuda dan pahlawan dari Mesir


menyerbu laju. Amukan dendam si tentera Salib


berkecamuk, hapuskan seluruh Kota Lama


tidak ada sisa umat Muhammad


serbu, deraian jeritan, kanak-kanak , isteri dan ibu renta


kilatan pedang syaitan memercik api dengki


darah banjir di Al Aqsa


kuda berenangan dalam hanyir darah para syahid!




Tapi Salahudin Al Ayubbi memasang peta rahsia


tujuh tahun mengkaji, menjaring selera pejuang


menakluki dunia


hanya dengan menembus


gerbang Baitulmaqdis dengan cinta


tanpa darah dan air mata!





11.



Putera manja dari Tikrit


terasuh mewah pahlawan Kurdis


tapi Salahudin bangun, menyepi menyatu jihad


tentera Salib, jangan sekali bermaharalela


siap sedia, sekarang , 'aku tiba


dari belahan sungai Nil, akulah menteri keadilan


menyatu Mesir, Sham dan Hijaz,


jika kita takluki mereka di sini


tidak ada darah tumpah di Baitul Maqdis! '





111.



Harum kasturi semerbak di kaki mimbar


ku tahu kau di sini dalam subuh fajar


membaca kutbah perpisahan


kau pulang setelah membina kemakmuran


kuda melangkah perlahan


pelana berdenting terakhir


pesanmu, 'jagalah tanah suci ini


kalau terjadi kemungkaran, tamak dan haloba


bukan angkara kita, Allahuakbar! '



Kuda di pacu lacu


kau tidak berpaling lagi


tapi pesanmu masih kugenggami


terasa dingin bergetaran


mimbar di Al Aqsa kaku menjadi bukti


ada laknat di sini


bergelumang benci !



***



Al Aqsa, Baitul Maqdis - Hebron, Rabiatulakhir 1432/Mac 2011