Sunday, 25 January 2009

TEPIAN MAHAKAM, 0G0S 2007

" Di tepian Mahakam kuhirup desau camar
hanya malam yang benar-benar
memahami dingin "
( Irianto Ibrahim, Buton
Samarinda, 03 Ogos 07)
LEBIH setahun hubungan kami terputus begitu saja. Beberapa SMS Komang muncul dari kampus UNJ dan Hudan dari Negara Banjar. Kemudian semua berlalu walau masih ku kutip beberapa puisi Irianto dari Kendari lewat Puisi Nusantara. Walaupun di DBP masih bersapa dengan Fullizam, yang hanya melempar senyum jauh, entah kemana pula Nizam di Bandar Bera atau Bukhari di Perlis menyepi. Memang terasa putus hubungan. Cadangan membentuk sesawang MASTERA 2007 gagal, namun di hati kecil masih mengingati wajah gebu Komang Ira Puspaningih, sayu kelabu Jefta putera si Kupang dan garau suara Irianto dari Kendari. Sopan nakal putera Brunei juga menyerlah.
Sepanjang cuti panjang ini telah 4 hari saya membeku di rumah Mak di Gombak. Menyusun dan mengatur koleksi lam. Tidak sanggup meriuh dengan dung-dung-ce suara gendang singa di luar sana. Melor juga sudah 3 hari di Kedah, bertugas mengambil gambar pengantin. Cik Abang sudah dengan kumpulan dagangnya. Saya memilih untuk sendiri, menyiapkan kerja Yayasan Adat Warisan Selangor. Tapi kerana nasib malang, setelah Notebook dirampas pencuri mabuk, semua data terkumpul lenyap. Hanya dengan komputer riba Melor menjadi sahabat dan aku mencari jejak anak-anak Mantan Mastera. Kutatap semua puisi dan cerpen Huda, cerita nakal Ira si Kupukupu manis dan desau puisi Irianto dalam blogspot masing-masing. Walau kalian jauh, hati seorang Bonda terhibur menghirup karya kreatif anda buat mengisi detik-detik usia senjaku ini. Salam manis untuk semua anakanda mantan MASTERA 2007 semua.
26 Januari 2009

SENI HIAS - MOTIF BUNGA

Tudung saji = sange,
Karangan tangkai bunga , gaya Kuala Kangsar 2008

SENI TEKAT - SULAM BENANG EMAS

Kalau tuan pergi ke Jambi
Pesanan saya bunga seni
Kalau tuan kasihkan kami
Karangkan saya setangkai bunga

Motif bunga cempaka, gaya Kuala Kangsar, 2008
Rumah atap nibung tiangnya
Tinggal anak orang Melaka
Setangkai bunga harum baunya
Harum lagi bunga cempaka

Teluk pancur tempat menjala

Jumpa orang bawa bubu

Bunga melor cempaka warna

Sungguh malam ada bau

(IV. Data Kajian YAMWS)
Pantun daripada koleksi Hans Ovebeck,peny.Anwar R dan E.U Krats, Hati Mesra, DBP 2004


SUKMA ANGINPUN BERLABUH

SUKAMA ANGINPUN BERLABUH
(Al Fatiha buat ayahanda Arena W)

RESAH akhirmu berbusa
melempar jasad ke gelombang
berpaut ke layar dicabik angin kau jahit
sejak di rumah lukis Naz Achnaz
debat di Pustaka Antara
ku pelajari pencarian zuriat
dari Mengkasar ke Teluk Bangka sebelum
bersauh ke Singa + Pura
keluh resah melawan penjajah
dengan kudrat pelaut
jatuh ke surat abjad.

Ayahanda
terakhir kita berjabat di kafe imigrasi
sendeng lurus tongkat berdiri
secangkir kopi
bibir masih berapi !

Pesanmu,
hapuskan korapsi
di rumah buku
juga sarat janji dan tipu
manuskrip tersadai berganti editor
bertahun apalah erti anugerah
kerana kita seperti ungkapmu
hanya pengimpi kaya
wajib sabar dan teguh
demi maruah anak bangsa ,
rapikan sukmamu
layari jati diri.

Ya sukma anginpun berlabuh
ke rumah abadi demi kasih Ilahi
al-Fatiha!

(allahyarham meninggalkan detik dinihari 28 Muharam 1430/ 25 Januari 2009)

Friday, 23 January 2009

OBJEK WARISAN

Pusara lama di Kg Bukit Belimbing Mukim Pasangan, Selangor
111.
(Data YAMWS)

SALAH satu konsep YAMWS ialah mengenal dan menyenarai pasti unsur warisan budaya yang berselerak di daerah Negeri Selangor. Antaranya ialah objek sejarah yang mungkin sebagai bahan arkeologi pra sejarah teramasuk artifak yang menggambarkan kepentingan agama dengan pengisian artistik terhasil dengan teknologi tradisi. Obejk sejarah ini juga merangkumi segala peralatan budaya atau melalui pendekatatan antropologi dikategorikan sebagai bahan etnografi (segala peralatan hidup , peralatan rumah tangga, usaha pertanian, perikanan, pelayaran dll).
Sebagai ketua unit Seni Bina dan Seni Hias, mata saya harus cepat menangkap objek-objek warisan yang dilihat sepanjang jalan di wilayah kajian. Di Kampung Belimbing, di celah-celah rumah tradisi ditemui pusara lama (betul-betul di pinggir jalan), terbiar dalam semak lalang. Pusara masih utuh dengan dinding kepingan batu datar bertarah dan sebuah nisan lain tersandar di badan pusara. Di percayai nisan-nisan itu sudah dicabut dan dibawa keluar, tapi si pengambil harus memulang kembali ke tempat asal. Gurisan kaligrafi yang dituris sudah haus, menghilang nama pemiliknya. Pihak Musium Selangor kononnya sudah merakam data tersebut, tapi sayang ia masih ditinggal sepi di persekitaran rumah yang semakin tumbuh di situ. Tubuh nisan yang berdiri dalam kurungan berpotongan bulat lekuk butung dan sebuah yang tersandar berpotongan leper (yang melambangkan nisan wanita) dengan bahagian kepala dipotong berbentuk lekuk tiga. Kerana tidak terdapat banyak unsur seni hiasnya, maka kerja penelitian makam ini akan diuruskan oleh kurator Intan yang sedang melengkap tinggalan nisan khusunya nisan batu Aceh yang masih berselerak di daerah dan mukim Kuala Selangor.
24 Januari 2009: 15:50

SUNGAI SINGA+PURA

Kocak air sungai Singa + Pura (Melor 1/1/2009)
1.
INGAT peristiwa mahkota raja harus dijatuhkan di air Teluk Belanga? Selepas itu angin dan taufan pun teduh. Hutan belukarpun dipugar, di gali parit di bina gerbang dan kota. Bertahta lah raja pertama yang baru tiba dari Bentan....beraja dari asal titih Sugnai Melayu di Bukit Seguntang.
Seseorang terbahak kerana sahabatnya ini, masih mengulang 'dongeng Melayu itu' - demikian usik seseorang itu. Dia sudah bersedia dengan menggenggam jemari membentuk penumbuk, untuk melontarkan kemarahan kepada wajah selamba si pemberi canda itu.. .... (Jeda...) Kini dia berdiri dalam kemilau cahaya kota Singa menjelang tahun baru 2009. Perahu persiaran, kilau bunga api membentuk aneka panca warna dan rasa.....
Catatan :
1) Dalam buku sejarah di pulau aneh ini, tercatat Singa - pura di buka oleh Raffles.
2) Istana Sultan Husin sudah dijadikan pusat Kebudayaan Melayu.
3) Menyusuri jalan Bugis kemudian berwuduk di Masjid Kampung Gelam.
4) Ingin mendaki bukit tempat makam-makam raja Melayu - jalan ke sana sudah hilang
berganti bangunan si peneraka penjajah
5) Ke Muzium , berkumpullah segala khazanah seni Melayu termasuk karya lukisan seniman
Malaysia...sudah diboyong ke situ.
6) Rakyat kota Singa berbondong-bondong berbelanja ke pasar tani di Johor, harga segala
ulam sudah melambung tinggi diboyong pulang ke pulau. Orang Melayu Johor kempunan
dengan harga peniaga gila
7) Negara baru Iskandar, milik siapa ?

Dung-dung-ce, dung-dung ce.....ular naga berbelet-belet gembira, kepala singa mengangguk melompat, mercun pun berdentum tapi cuma di hujung tambak Johor. Di Kota Singa berkialuan cahaya tanpa kebisingan tandak singa , dung-dung-ce....

(24 Januari 2009:13:10).
11.
Ya dung-dung ce, dung-dung ce....dia terpaku di depan tv pagi di hari pertama tahun baru lembu.Semua pengacara lelaki perempuan memakai warna merah, Si Emi dengan cheong sam merah berbunga putuh, terbelah di kiri kanan. Tapi wanita ini kelihatan sopan juga kerana memadannya dengan celana hitam. Maka paha dan kakinya terlindungi. Si pengacara lelaki yang becok riuh itu memakai sam po merah. Mujur saja wajahnya ala ke Indian, maka tidak wujudlah wajah dari tanah besar sana itu. Merekapun riuh rendah juga dengan dung-dung ce, sama-sama terkekeh melihat tarian singa. Tiba-tiba terdesis suara entah dari mana ,tapi dia tahu, ketika mereka menonton tarian singa barong Bali, semua gerak tari yang memang berasal dari seberang pulau jauh, sudah digubah menjadi garia dan gerak-gerak pulau dewata. Citra kecinaan sudah dilupuskan terutama dengan watak singanya menjadi barong atau barongan kalau kita menjengah ke Ponorogo.
Dung-dung ce....dung-dung ce makin meriuh dengan dentuman mercun bagi menakutkan segala hantu-hantu yang mengganggu di hari tahun baru.
Tapi itu hanya di wilayah kerajaan Melayu inilah mereka bebas bertandak, menari meloncat, malah atas kesedaranan kesatuan bangsa, anak-anak Melayu pun sudah mula bertandak dan menyarung topeng singa...wah inilah negeri kami yang kaya nilai demokrasinya. Lebih mengejutkan dengan berani pula mereka meminta Raja Kami bersalaman dan sang singa itu!Tapi mengapa muzik dung-dung ce dan letupan mercun tidak pun bertandak-tandak atau dengan lebih jelas, atas kemakmuran telinga yang telah pasti membingit telinga, maka dung-cung ce dilarang di pulau puaka Singa +Pura kecuali arca singa dengan wajah tersenyum sumbing berdri setia di tepi sungai sana. Dung-dung ce, telinga tuanya semakin nipis dan tidak mampu diasak dengan muzik keras dengan rentak gendang yang dipukul garang. Ya selama cuti panjang ini dia benar-benar tidak keluar rumah, tidak berbelanja ke pasar atau ke mall mana tahu dia akan disentak dengan keriuhan dung-dung ce yang membingit kota raya yang semakin galau di mata! Dung-dung ce dung -dung ce, dia tersentak dan hampir lemas, siapa pula yang mengeraskan suara tv di depannya?
Gombak
26 Januari 2009

YANG TAK TERLUPAKAN

(Melor, 1 Januari 2009)
SETIAP kali melintas di daerah dan mukim ini ada ingatan saling berlapis muncul di ingatan.
(Episod Disember 1956)' .....Seorang anak kecil duduk tersimpuh di balik pintu rumah Melaka, melihat seorang lelaki lengkap berbaju Melayu, bersongkok berjabat tangan dengan seorang imam, berjubah dan berserban sedang mengucapkan sesuatu. Dia tidak tahu makna perlakuan itu. Tapi dia juga melihat seorang perempuan berkebaya panjang, berbunga kelopak kecil, berselendang menutup kepala...sehingga datang seorang perempuan lebih tua dari perempuan muda itu mengusap kepalanya dan terdengarlah suara, " ....sayang jangan sedih ya , sebentar lagi anak akan ada ayah, emak akan bernikah..."
Pulau Sebang nama yang tidak pernah terlupakan....ibu bernikah di situ ketika aku merasa betul-betul kehilangan nenek dan abah jauh di Gombak ketika itu.
Terimakasih Melor, selalu saja membuat kejutan dengan gambar di stesen Tampin/Pulang Sebang ini.
24 Januari 2009 : 12:31

KOTAK POS

Kotak pos di Victoria, Melborne (Melor, 2007)

SAYANG sekali sejak hubungan komunikasi semakin cangggih, cepat lewat emel , sms, maka surat kiriman melalui kotak pos semakin jarang berfungsi. Ada sahabatku tidak lagi tahu di mana letak pejabat pos. Baru terkial-kial berdiri di depan pejabat beratur hanya untuk mengutip surat berdaftar atau kiriman surat laju . Lebih jengkel bersusah payah mengutip surat rasmi, rupanya yang sampai surat saman dari JPJ. Bilakah anda terakhir ke pejabat pos atau mengirim surat dan poskad mengguna kotak pos?