Sunday, 30 November 2008

PROJEK KASIH BONDA











Senarai gambar 1) Puisi dan sketsa " Ramadhan Menjelang Syawal "
2-3) Baju T Kasih Bonda @ RM 25.00
4) Buku terbitan DBP, 2008 @ RM 30.00
USAHA menerbitkan buku ini memang Perih sekali. Idea kerja dilakukan sepanjang ibu berada dalam suasana kesakitan yang berpanjangan. Sebentar kami bergilir menunggu ibu di HUKM, sebentar sudah tergeletak di bilik sepi kadang terkejut harus menghantar ke klinik . Inilah kerja yang cuba menenangkan keadaan gawat merawat ibu. Hasilnya aku kembali mengheret memori beliau agar kembali putih ingatannya. Inilah ceritu Siti dengan ibunda dan ninda, terhasil sepanjang tahun 2000. Berjalanlah manuskrip ini untuk mencari penerbitnya hingga dengan berani sampailah ke meja editor Azzah untuk skrip bacaan kanak-kanak . Tapi akhirnya berpindah ke editor remaja - baru siap setelah 6 tahun. Tidak mengapa...jalan seperti siput b iasanya, kerana kancil atau pelandok memang susah mengejarnya. Kami cuba mengembang minat selain membaca buku, Galeri Melora cuba mencetaknya untuk di pakai - baju t , dengan dua warna putih dan hitam. Untuk dapatkan buku ini boleh emel ke > galerimelora@yahoo.com. Atau kalau ada adik-adik dan kawan sudi mengedarnya (dengan komisyen lhe) boleh juga dibincangkan. Salam Kasih Bonda

AIR TANGAN MELOR




1
1) Lokan, masak rebus manis
2)Hidangan salad nanas
3) sambal cicah resepi nenek
ALHAMDULILLAH tengahari ini santap rezeki Allah, hasil air tangan Cik Melor. Lokan kami perolehi dari Kampung Bagan Lalang seminggu yang lalu. Melor hanya rebus air dengan bumbu hirisan bawang merah, bawang putih, halia, cili merah dan daun kunyit. Bibir lokan kembang dengan daging putih kuning kembang lembut (hei mana mutiaranya). Melor seterusnya menyediakan cicahan kicap resepi neneknya + tumbuk cili merah,lada api, bawang putih dan perah asam limau. Si ibu hanya menambah salad nanas yang kudapatkan dari kebun buahan Lembah Selangor, bercampur sayuran timun, terung rebus, tomato dengan hirisan cili merah dan potongan dadu cila Bomby+ sesudu mayonis sayur dan perahan asam limau. Cukuplah makanan siang kami. Wira belum pulang, sepiring kepah disimpan di bawah tudung saji.
Terimakasih Melor, kerana ada waktu masak di hari Minggu ini. Hari lain, mana ada waktu masak, pulang setiap hari selalu lepas maghrib. Amin. Tanpa di duga sebelah petangnya seseorang yang hilang sejak hari raya setahun dulu tiba-tiba muncul. Inikah makna si kecilku yang sudi memasak hingga diberi ganda gembira hati dengan munculnya si dia yang hilang itu? Ya hidup kita semoga beroleh berkah dengan KehendakNya jua.

SEMERBAK JERMIN


SELAIN helaian pandan, kunyit, serai, daun limau kasturi yang kerap semerbak wangi terutama selepas hujan, semalam ku dapatkan sepasu kecil tumbuhan lama yang pernah mengharum halaman rumah nenek. Daun jermin setapak tangan ini lembut dan berbulu halus. Tapi Cik Melor pula menyamakan bentuk daun ini saperti pucuk ulam Pucuk Raja. Alahai, dia tidak pernah terfikirkan atau terpandang gadis-gadis Melayu hingga tahun 1960an masih berhias sanggul di kepala dengan hiasan sepucuk daunan jermin. Ha....eh sungguh wanginya menyengat! Melor terpana tak tahu apakah dia akan menghiasi helaian jermin ini di kepalanya.
Helai jermin harum mewangi
Menghias cantik di rambut dara
Lalai diri kerana iri hati
Menyimpan dendam alangkah hina*
*Siri pantun kasih sayang

SELERA MAKAN DAN KESIHATAN




Di halaman rumah Mak masih subur pohon-pohon ulaman dan pohon buahan. Daun keladi yang kubawa benihnya dari Tanjung Karang sudah membiak dengan pelepah daunnya yang gemuk dan daunnya bagai payung berkembang cantik. Seorang pelukis cat air " Asam Gelugur" telah membuktikan janjinya hingga membawa benih pokok asam gelugur khas di bawa dari Kedah. Mustahillah menunggu pohon ini berbuah. Kutanam di celah pohon renik dan tumbuhan lain, betik dan pisang hutan. Tanah Secengkal, masih nak tanam pokok-pokok jenis purba ini. Komentar jiran sebelah yang tahu pokok asam jawa , asam gelugur, buah jambu jambak akan meninggi dan tumbang ke arah rumah sebelah. Tapi dasar otak orang kampung daku tidak peduli. Pokok tersebut makin subur menumbuhkan helaian daun muda walau berkali-kali pucuk mudanya dimamah ulat. Ya maknanya mereka disenangi para unggas dan serangga. Pucuk-pucuk muda daun betik, pucuk jambu jambak dan daun asam gelugur kupetik dijadikan bahan ulaman dan kerabu ditambah dnegan hirisan cili, bawan besar, bawang puti, halia dan perahan limau kasturi. ...nah tidak payahnlah mengambil berbagai-bagai vitamin ...tumbuhan hadiah dari Dia Maha Pencipta kerap saja menumbuh selera dan kesegaran. Alhamdulillah semoga berkah dan kesihatan pemberian Allah. Insya Allah!
Daun keladi subur meninggi
Lebar kelopak sayap merak
Budi tuan kubawa mati
Biar hilang hidup berjarak
Pohon gelugur baru disemai
Daun muda di makan ulat
Mohon kasih jangan bercerai
Gagal cinta jangan diumpat

Pucuk betik segar muda
Di mamah berulam sambal
Pujuk Cik Adik yang manja
Walau sehari baru dikenal *

*Siri pantun kasih sayang

RUMAH BUKU


RUMAH buku, di sini kerap dijadikan ruang membaca, menyimpan, membongkar ilmu khazanah lama, catatan terbaru. Kitapun melangkah ke rumah buku. Mungkin kedai mewah di pusat beli belah, ke kedai sederhanana tapi kaya dengan himpunan khazanah lama.
Yang rajin dan pintar menggoda pelanggan akan menyusun buku seperti teknik perpustakaan. Kita tidak tercari-cari kerana sudah diberitahu melalui abjad, poster atau dengan sesawang di komputer. Namun sakit hati pilu pula bila di kedai-kedai ibu kota, rak buku Melayu seperti tidak wujud. Apalagi tentang buku-buku seni lukis.
Di kedai buku mewah di KLCC hanya terpapar 5 judul buku-katelog seni terbitan BSLN (1 judul), Utusan Melayu (1 judul) dan RA Fine Art (3 judul). Apakah orang Melayu tidak baca buku sehingga judul ilmu hanya dengan judul itu saja. Rupanya masih ada ruang buku Melayu tapi umumnya karya novel pop yang kerap dibelek-belek oleh pembaca remaja. Di celah novel pop itu terdapatlah satu rak himpunan judul A.Samad Said terbtian Wira Bukit. Tanhniah Hilmy Samad? Lina Usman pula telah menarik jualan buku di sebuah kedai buku mewah lantaran komesyen yang diambil menjamah 60 %.
Bagaimana dengan rumah buku anda? Nampaknya Nisah sudah menyiapkan pustaka buku di rumah - sebagai pejabat juga. Rumah buku Mawar sudah sarat di kampus Bangi bukan?

Saturday, 29 November 2008

BUNGA LOCENG - SAYAP BIDADARI

Green House Fairy Park, Victoria 2007
BUNGA ini batangnya memanjat batang-batang pohon lain atau besi dan kayu yang dijadikan para-para atau lengkun berkubah. Bunganya berkembang, berkelopak dengan menjulur ke arah bumi sehingga kalau belum kembang kelopaknya ia seakan loceng. Warnanya merah jambu tua hingga kami gelar ia bunga lipstik. Tapi bila empat kelopak berkembang kami pun memberi nama baru bunga - sayap bidadari. Inilah kekayaan imaginasi kanak-kanak yang kerap kuheret ke mana-mana. Rimbun pohon sudah lama menjalar ke atas pagola kayu di depan rumah kami di Bangi. Bunga yang sama juga menjuntai sarat di depan galeri Kartika di Jalan Kaliurang Merapi, Jogja. Hobi mengintai bunga, kebun bunga atau ladang bunga juga diwarisi Cik Melor. Kadang-kadang si ibu ini terperanjat kaget, kerana tempat tinjauan dan laluannya bagai mengikuti jejak kembara silamku. Bunga si sayap bidadari ini dibidiknya tidak jauh dari bekas rumah sahabat kami, Raja Azhar di Victoria. Rupanya instink manusia kerap menapak jejak sejarah.
Bunga loceng juntai berjuntai
Merah kesumba kelopak empat
Sukma dan hati dicarik lerai
Marah jangan bawa merempat*
*Siri pantun kasih sayang

KATAK LOMPAT SI KATAK LOMPAT

Putera katak marmar 2.5 x2.5 meter
(lensa Melor, Sydney International Airport 28 Dis 2007)
BIDALAN MELAYU lama seperti katak di bawah tempurung sudah lama kusingkirkan dalam mindaku. Terlalulah kalau katakku asyik cari tempurung. Dalam dunia secanggih kini katak juga makin rajin melompat dan sudah bosan duduk di bawah tempurung. Lebih manis kupesan kepada anak-anak dan cucu-cucuku, ' Rumah katak tu ialah tempurung dunia yang sudah terbuka. Kalau dia keluar dari rumahnya ba urusan yang dilakukan. Si katakpun sudah bosan memanggil hujan di kota raya ini. Tanpa suaranya hujan dengan baik hati mengguyur ke bumi....banjirpun melanda dan orangg kotapun menjadi mabuk gila memandu kereta nak cepat sampai ke rumah nya yang hanyut ke Sungai Gombak ke Sungai Kelang dan Dataran Merdekapun banjir. Riuh rendahlah muzik katak hahaheehhuhu....

Katak si katak lompat
lompat tinggi gapai awan
Budak baik harus ingat
erat budi sopan menawan *
Rumah Katak
30 November 2008
nyak14:10
* Siri pantun kasih sayang