Wednesday, 12 November 2008

MODERATOR DAN PENYAIR UNDANGAN

Antara pengiring yang sedia menunggu
setiap acara - Boniface I Apar, Timbalan Residen Miri (t-shirt putih)
Penyair undangan Dr Victor (Rusia) dan Diah Hadaning (Jawa)

Bersama tenaga pelaksana, Dato' Adi Badiozaman Tuah
(no 2 dari kiri) - moderator
persembahan puisi - menyuarat penyair
dan Abang Merali, Mazlun.
Dengan tenaga kerja yang baik hati
kami para penyair mengucap terima kasih tidak terhingga .

PUISI MENJADI SAKSI

Kim Keum-Hyum terpukau dengan kelempaban hutan hujan
bercerita tentang kehidupan air, batu dan gua purba
(kita tunggu puisinya)


Lord Tan Sri Earl of Grandbrooke turut menghayati bacaan
peserta di malam santai puisi . Puisi tentang perempuan dan
dayangnya juga cukup memikat


TIBA JUGA DI GUA LUKISAN

Depan Lukisan Dinding (Gua Lukisan)-Kain Hitam
SETELAH melewati 1.30 jam perjalanan, mendaki, menunggah, menurun kamipun melepasi Lubang Tulang, merentasi Lubang Hangus, terfana dalam kegelapan di cekam Gua Bulan (Gan Kira) di ketinggian 60 m menurun pula , kemudian menuju ke Kain Hitam. Garis-garis sisa warna merah semakin pudar, perahu mayat dengan jejeran dayung, dan tiang tonggak bagai dilambung ombak, siapakah yang maut di bawa ke dunia kayangan? Roh nenek moyang Penan? Lakaran menjadi saksi, membukti cakaran seni telah memberi amanat - inilah kekayaan milik untuk anak cucu suatu bangsa di hari muka. Kini milik Siapa?
Lakaran pun terus digubah menjadi taman lindungan hujan
berumahlah dengan kasih alam!

AKAR DIRI


BLA bla berjalan, masuk hutan keluar hutan
masuk rimba keluar rimba
dalam kehijauan dalam keteduhan
Akarpun saling melingkar
memanjat menuju ke puncak.
Itukah akar
membentuk jati diri
biar teguh dirimba
angkuh
menjaga jiwa
atau manusia
lupa diri
jenuh
mencipta suasana
biar jauh dari bumi nyata.
Sepanjang trek ke gua Niah
9-1o Nov 2008




CANDA KENYALANG ? ENGGANG ?

NOTA buat BIA

KEPERKASAAN unggas ini sudah dilambangkan dengan mulia, cantik dan bangga. Lelaki Iban tahu itulah lambang keperkasaan lelaki dan menari dengan gerak langkah berjaga-jaga.Wanita pula menyusun benang kapas yang telah dicelup dengan warna perang kesumba, hitam dan bunga jalur kepala naga boleh saja menjelma. Di celah jurai gerimis menjelang pulang terdengar suara sang kenyalangan ,

- Sebelum kau pulang meninggalkan rimba ini, barpantunlah!

- Kajang tuan kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu
Dagang tuan dagang bertempat
Dagang hamba pulang membawa rindu

- Oh cantik pantun mu....gimana nak jawab...ha

Gerimis terus berderaian. Tangisan Hujan Kenyalang kah itu?

(Sepanjang jalan dari Kampung Niah ke Miri 11 Nov 2008)

PUISI BUNGA HUTAN

PUISI BUNGA HUTAN
(buat Chiranan dan Intang)
DALAM kelincahan pagi
kelopak baru terkembang
bunga renik jambu hutan
pakis dengan keluk baru
tidak ada suaramu lagi
semua dalam kesenyapan
menikmati pagi
kadang tersentak
dengan geselan bulu
anak tupai melompat di bahu
senyuman terkulum
mata mentari menembusi
hati persahabatan.
Kau pun diam
menikmati anugerah
besar
terdepang
jalinan alam
mengukuh
di hujung lambaian.
Hulu Niah
9 - 11 - 2008

Tuesday, 11 November 2008

DI JALUR RIMBA KE GUA PURBA




SEBUTLAH senarai pohon yang dikau kenali. Dari ketapang berusia beratus tahun, tubuh agam batangnya sebidang tiga -lima pemeluk lekaki gagah, pucuk muda daun tenum yang berbau manis, batang rotan tua melingkar seperti sang ular meliuk manja menuju ke pucuk awan, buah ambangan bertaburan di tanah berukuran tumpurung kelapa matang (rasanya aduhai gabungan masam manis buah bacang-kuini diracik digaul dengan cili berlacan ), buah tabai, berwanga ungu ranum lemak di hujung lidah , lumut-lumut pakis menyatu dengan batu-batu grenit , butiran saga bertaburan di tanah, daun palma ekor ikan bergoyang disentuh angin, bunyi derak ranting dielus ekor tupai, gema anak anak kera dan decau kuang saling bersahutan, berselang seni dengan tiupan suling Endet...yang lain ialah debaran jantung saling bergetaran di dada peredah rimba tripoka di kaki gua Niah. Gerimis pagi masih berderaian ketika kami menyeberangi dada Sungai Niah untuk mula melangkah ke rimbun rimba menuju mulut gua.

Udara pagi dan sisa embun atau hujan masih membasahi pelepah aneka daun. Aliran anak sungai kecil mencelah di timbunan batu-batu bersisik menerbitkan kesan resah air mata diri. Entah apalah yang difikirkan oleh Mbak Dian Hadaing (penyair Jawa dalam usianya yang ke 75 tahun) dengan tebaran rambutnya separuh ubadan, lincah kicau dan derai ketawa Chiranan berceloteh dengan Michael Griffith (sahabat baik Dato' Sri Lord Cranbrook dari Wales), kediaman dalam senyuman Patrick penterjemah untuk Kassim dari Nakon Si Thamarat, lelucon Dato' Adi Tuah, kesiriusan Dr Victor Pogafev mencatat pantun Russia , kesibukan guru bahasa Kim Keum-Hyun (Korea) dan kelincahanan HanXiao Indah (pelajar MA Kelas Sosio Melayu, China), mengutip istilah bahasa Melayu dan Iban, ...siapakah penggerak kerja kembara bertema "Budaya, Alam Semulajadi: Hutan, Gua dan Lelayang?" kalau bukan dari tenaga muda dari Jabatan Warisan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Pelancongan Sarawak, Resedensi Miri dan DBP Sarawak.


Malam pertama di chalet sudah berhamburan puisi-puisi dan lagu dan petikan gitar-suling. Hingga larut Malam, masing-masing membawa lirik ingatan puisi Mencari Indah dengan gaya Lim Swee Tin bernyanyi. Di hari kembara kedua penyair-penyair muda berpusi di sempanjang pondok singgahan menuju ke gua, termasuk wakil dari Brunie, Awan Suib dan Zefri Arif, berselang seli dengan kumpulan penyair pemuzik PUTRA, dengan ketuanya Paul Ganggang dan teman-teman muda lain, Abizai Abi, Jaya Ramba, Atot dll. Gema itu dibawa pulang sehingga dalam mesyuarat terakhir terbinalah rumusan, seperti ide Jabatan Warisan sebuah buku puisi rimba-gua akan terbitkan. Selepas ini tidak ada alasan papan tanda tentang pohon, dedaun hidupan burung lelayang, kelawar, cicak terbang, siput gondang, akan turut tercatat dalam nada puisi alami.


Ya Gua Niah terletak di Residensi Miri. Maka sepanjang acara disertai Timbilan Residen Bonaface Itang Apar (kerana Residen Datu Ose Murang datang di hari perasamian dan penutupan). Baca puisi di rimba dan gua, mungkin belum diterokai oleh DBP. Tapi Dato' Zuraina dengan idea Tan Seri Lord Cranbrook sudah membuka jalan. Kerana Cranbrook juga meminati puisi tradisi, malah turut mengutip cerita lisan masyarakatdi persekitar Gua Niah sehingga Syair Jerjezang turut diedit dan diterbitkan (2001) susunan Haji Mera'ee Abdullah dan diterjemah oleh beliau.. Puisi beliau pula merupakan catatan pengalamannya sebagai seorang arkeologis, yang begitu mencintai tulang, tengkorak purba manusia di gua. Barangkali tidak heran juga Othman Yatim turut menjadi penyair. Sayang saja Almarhum NA Halim belum mempamerkan bakat kepuisisannya (siapa tahu kalau isterinya sudi membongkar buku catatannya terpalit bait-bait puisi?)