MALAYSIA, inilah tanah air yang bebas menerima siapa saja datang untuk berkarya dan mengadakan pameran. Maka para kolektorpun dengan asyiknya membeli dan mengumpul karya-karya luar negera itu. Bergantunganlah lukisan mereka di sini, di bangunan badan korporat malah di bangunan milik negara juga. Di mana pula ruang untuk menggantung karya pelukis tempatan? Seperti pagi semalam (28 September 2008) ketika Galeri Melora diajak berbincang untuk pameran solo ke 15 ku pada bulan Oktober kelak sekali lagi aku berkenalan dengan sekelompok pelukis-pelukis dari Taiwan, berbahasa totok Mandarin dan bersambung percakapan kami dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Ya ini berlaku di rumah SOKA GAKKAI, berhaklah mereka menggunakan bahasa dan tulisan kaligrafi yang sudah berusia ribuan tahun itu. Setengah gembira setengah pilu juga, betapa senangnya pelukis asing mendapat tempat di rumah kita. Begitu juga dengan asyiknya pelukis Wang Jia Chen selaku General Manager & Calligrapher bercerita, sudah 6 tahun bergerak bebas di sini melalui Sino-Malaysian International Culture & Art Associaton, sibuk mengambil gambar, melambai sana sini agar pelukis lain datang menggelilingi kami (rupanya, setelah seminggu, kamilah wajah M E L A Y U yang datang ke galeri itu). Ya seni memang dapat mengeratkan persahabatan, menimbulkan kasih sayang. Pelukis asing bermata lancip itu memang mudah mendapat tajaan, mendapat pembeli dan sokongan daripada suku sakat mereka yang sudah lebih dulu datang ke sini, sudah kaya raya dan tidak hairan sanggup membeli lukisan gambaran realis kuncing, merak, ikan-ikan tanpa berfikir susahnya menikmati seni, dengan harga RM 50,ooo. Siapakah pula yang sanggup meletakkan karya kita kalau di bawa berpameran di Beijing, atau Kawloon, ada ke warga Melayu sanggup datang ke sana membeli lukisan pelukis tempatan di luar sana?
Rumah sejarah seni dan warisan bonda. Sila jejaki tangga ke rumah kita.Kelopakpun kembang ke jejenang diri
Sunday, 28 September 2008
CAHAYA ITU
antara suara tangisan malam
jauh di rumahMu
deruan dan esakan
pernah memaut rindu
sepercik bulan tergantung di hujung sanggulmu
dalam gelita dan resah Ramadhan
cahaya itu muncul di rumah jiwa
ranting sepi mendesis
pulanglah ke sana
cahaya itu setia menyentuh cinta
dunia abadi penentuan Sang Pencipta!
(Al Fatiha buat Allahyarham sahabat kami,
Lokman M Zen telah pulang ke Rahmatullah di Padang
25 September 2008, 25 Ramadhan 1429 - waktu
magrib)
Akhirnya Mereka Pasang Pelita Juga
ENTAH berapa tahunlah kurindukan puteri-puteriku memasang pelita dan bermain bunga api. R I N D U seorang ibu barangkali. Sedangkan mereka bukan sikecil yang memaksa bondanya membeli bunga api dan mercun lagi. Kupendam rindu itu, lalu harus melakar sendiri sketsa si Siti Kecil memasang pelita yang muncul dalam Kasih Bonda. Akhirnya malam ini, Wira dan kakaknya pun bagai si kecil, mengisi minyak, menyumbat kain kapas menjadi sumbu. Kudengar mereka riuh di halaman, memacak batang buluh, mengetuk paku di tiang anjung dan ketika aku keluar di halaman Rumah Waris Uwan, wou lampu-lampu minyak tanah bergantungan di tiang, di batang palma, di celah dinding, menyilau ke atas daunan keladi. Tiba-tiba air mataku mengalir, membayangkan kelak, mereka akan mengajar anak-anak mereka dan bercerita , bahawa dalam tahun 2008, sempena Ramadhan-Syawal 1429 mereka telah menghidupkan semula tradisi memasang pelita, mengganti lampu laplip-laplip letrik yang menyilau mataku yang semakin mudah perih oleh kilauan letrik. Terima kasih Sayang, kerana membawa bonda ke Rumah Waris Uwan dengan pemandangan yang sama seperti yang pernah Si Siti Kecil lakukan 50 tahun dulu atau ketika bonda riuh rendah melayanimu bermain mercun ketika usia muda kalian 20 tahun lalu. Diam-diam dalam kedinginan dinihari, ketika laungan azan bergema dari masjidil Haram Makkah, sepercik cahaya menyerap sejuk ke jiwa senjaku.
Ya betapa besar KeagunganMu Ya Rabb.
29 Ramadhan 1429, 29 September 2008 : 0:26 am
Hujung Ramadhan 1429
ENTAH kenapa manusia semakin sibuk? Sejak awal Ramadhan sudah sarat sendat di pasar Ramadhan. Majlis tempatan pun sibuk menyediakan tapak jualan. Konon untuk membantu rakyat kelas rendah menambah rezeki. Sunguhkah? Berapa harga sewa setapak? ada RM 200.00 ada RM 150.00 tergantung di mana tapak itu didirikan. Tapi aneh juga ada pasar besar yang didirikan agam gagah di Batu 4 3/4 Jalan Gombak sunyi sepi. Sehingga minggu ketiga hanya tiga meja yang setia membuka gerai. Yang lain penuh di pasar terbuka yang menjelma tiba-tiba di bulan Ramadhan. Kerana sibuk satu macam aku tidak sanggup bersesak ke situ, tidak sekalipun berbelanja ke Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak mampu masuk ke Jalan Masjid India. Tapi memilih saja meja jualan di pasar Gombak. Tentu saja tidak ada pilihan. Penjual berwajah sedih kerana tiada pengunjung. Kemudian kita tahu hingga hujung Ramadhan pesta berpindah ke restoran, berkunjung ramai-ramai sekeluarga. 'apalagi kalau malam minggu, kalau tidak menempah dulu di restoran tanda kelaparanlah kamu. Tapi mataku tidak pada makanan sebaliknya terpukau tertanya, tergugah melihat gaya sudah seakan berhari raya. Wanita entah gadis entah remaja sudah bergaya dengan santai menarik dan seakan menggoda. Cik Abang jangan cepat terpukau, batal puasa, kalau matamu bulat melotot melihat perempuan muda atau setengah baya, yang ramping pinggang, atau perut sudah menggedut, kaki padi bunting atau paha taya kereta tidak ada masalah bergaya. Pada petang minggu ketika aku diheret Melor, ke KLCC kebetulan untuk melihat pameran yang sudah mengusik rasaku, kerana melihat Burung Petalawati terbang membawa diri, setelah digambarkan banyangan runtuhan Kota Melaka, berakhir dengan hujung kanan kepala nnaga ketawa perkasa seakan berjaya menakluki bumi baru mereka. Wajah-wajah popular yang konon menghidupkan erti merdeka tanah air...jangan harap kau berjumpa wajah Mat Kilau, atauTuk Kenali, kerana sudah berganti dengan ciptaan angan....setengah pening matapun hampir terjuih, melihat muda mudi Muslim, ketawa berderai, berpelukan, di pentas jambatan monorel Chowkit, setelah berlaga dengan perempuan berkebaya, dengan jeans ketat pinggul bulat bergoyang..... suara azan sebentar kedengaran . Sabtu petang semalam kerana harus ke galeri Art Case untuk mengambil lukisan, aku terhantar lagi di arena pesta malam Ramaddan hujung - malam Lailaturqadar aku berdoa memohon ampun kepada Mu kerana membiarkan mataku ke arah kemungkaran (gara-gara Melor lagi nak berbuka di pusat belih belah). Nah lagu happy birthday pun bersahutan di senja buka puasa. Tapi sebelum itu mataku terbeliak lagi, berpapasan dengan wanita bukan remaja berbetis ubi keledek dengan berat badan kukira hampir 69 kg dengan santai duduk bersilang kaki, berseluar hot pants., mendedehak paha bulat tayar...berjeket, menunggu waktu berbuka puasa. Dimanakah daku berada, di tepi lautkah di kaki gunung untuk mendaki atau ke pesta muda mudi? Tidak ada yang peduli, kerana JAKIM atau JAIS tidak naik ke mall untuk menegur cara berbuka puasa, atau kereta mayat pun tidak singgah di depan Kentucky Chicken atau Burger King, atau kedai Mamak perkopiah putih terus saja berjualan di siang bolong walau di atas papan tanda lengkap dengan kaligafi Bismillah.... dengan pelanggan mereka wanita lelaki Melayu memesan makanan. MasyaAllah batalkah puasaku membebel sepanjang hari melihat telatah menjelang siang ke senja hari.
Mujurlah hati kembali di damaikan ketika sempat menjengah ke Rumah Kasih Sayang di Tasik Puteri. Melihat kegigihan ustazah Habidah melayan anak-anak yatim yang berwajah ceria melangkah pulang dari TADIKA. Dan senja ini, MUAFAKAT Kampung Paya juga membawa anak-anak yatim berwajah sendu bersama santap berbuka puasa di kedai makan Ipah Tomyam. Alhamdulillah agar semuanya beroleh berkah. Amin. Selamat hari raya maaf zahir batin ya sahabat habibi habibullah....
Mujurlah hati kembali di damaikan ketika sempat menjengah ke Rumah Kasih Sayang di Tasik Puteri. Melihat kegigihan ustazah Habidah melayan anak-anak yatim yang berwajah ceria melangkah pulang dari TADIKA. Dan senja ini, MUAFAKAT Kampung Paya juga membawa anak-anak yatim berwajah sendu bersama santap berbuka puasa di kedai makan Ipah Tomyam. Alhamdulillah agar semuanya beroleh berkah. Amin. Selamat hari raya maaf zahir batin ya sahabat habibi habibullah....
Wednesday, 24 September 2008
Jejaka Serius
INI jejaka beliaku. Orangnya serius, agak menutup diri, selalu mendengar, dan seseolah mudah menerima pandangan orang. Maaf, tidak demikian kerana dia harus memikirkan tutur atau suara yang didengarnya. Tidak cepat memprotes, tapi awas kalau dah bertumpuk bosannya, dia boleh menempek! Kawan-kawan selalu terkejut tapi tahu demikian watak seorang WIRA. Si kakak lebih tahu tapi tetap mengajak bercanda dan bertengkar- namun mereka demikian akrab, dan si ibu kerap juga tertinggal sendirian bila mereka keluar makan malam- itu hobinya mengambil dan menjemput kawang-kawan di KLCentral. Kerjanya memang di bidang masakan - lulus bidang pengurusan kulinari.
Galeri Seni Muzium Negara

Weh, si dia ni dulu waktu masih kuliah tidak terfikir nak kerja dengan mendampingi lukisan. Maklumlah dia belajar ekaun dan perbankan. Tapi kerana sejak kecil diheret ke galeri ke muzium, ke perpustakaan, menyelongkar dan menyusun himpunan katelog yang bersepah-sepah di rumah, di minta menaip artikel seni lukis (waktu belum ada komputer le)---rupanya terkesan juga. Setahun dia bertugas di bidang insurani tiba-tiba mula resah, lalu ikut kelas gamelan di ASK, tiba-tiba masuk kelas jahit, mula pula menjahit. Sibuklah makcik-pakcik seniman, bertanya kesian melihat dia menyusun buku, mempamer dan menjual di ruang-ruang kegiataan sastera...hehehe kesian dia. Tiba-tiba dia nak bekerja di galeri seni . Mana galeri seni nak terima seorang yang bukan lulusan seni reka atau seni lukis. Tiba-tiba ada suara menyampaikan, hei di ruang bank itu nak orang yang suka seni le? Ha, akulah si ibu yang sibuk melihat borang yang diisi untuk melamar kerja tu. Minta dia menyediakan proposal cadangan tugas, memastikan gambar-gambar dan projek Galeri Melora diikut sertakan dalam borang untuk kerja di bank itu. Siapa sangka....rupanya banyak yang lulusan lain bidang bekerja di bidang yang lain. Kini masuk 2 tahun dia di rumah batu kelabu kewangan itu. Kerja tak tentu masa, pulang selalu selepas mahgrib, kawan-kawan yang baik, bos yang berceloteh. Dan gembira juga dia dalam bising dan riuh kerja menghubungi pelukis, menyusun senarai lukisan, bingung dengn kumpulan vendor, yang pintar mendapat kontrak pemuziuman. Mampukah dia kelak menjadi kurator yang serius, jujur tidak pilih kasih, menyenarai nama pelukis, cadangan membeli koleksi baru untuk sebuah galeri seni yang akan dibuka tidak lama lagi? Tahniah, selamat menyambut hari lahir yang ke tiga angka. Teringat celoteh DJ " perempuan rajin pintar bekerja, susah mendapap jodoh? (bertuah adindaku Haneem Kaydeen - eh cicit Mydeen ke - dapat abang suami yang faham kerja seorang pelukis, penulis editor majalah seni, kurator). Tak mengapa bonda berdoa . ada jejaka tu tengah mengintai Cik Melor, hahaah. MasyaAllah.
Labels:
2007,
Cik Melor dengan secambak Lili Putih
Kota Basikal Tua
tiada kereta
jalan senyap dan suara melantun
bergema
masuk dan keluar dari jendela
kota pun bersabda
terima kasih menjaga kami
dari debu dan amarah
manusia mabuk hilang dalam gelap gelita
dan siang berdesir
mengenyam cinta !
Amsterdam 2003
Labels:
Amsterdam,
arca dan basikal tua,
Mei 2003
Subscribe to:
Posts (Atom)